Wednesday, February 26, 2014

Kajang antara pemulihan MCA dan kebimbangan Umno

Oleh JOHARI M

Barisan Nasional telah memutuskan untuk meletakkan Datin Paduka Chew Mei Fun, naib presiden MCA bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, bersaing dengan nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Zaid Ibrahim, yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding.

Jelas sekali apa yang menjadi penilaian utama BN dalam meletakkan calon MCA ialah harapan merebut undi kaum Cina yang merupakan sekitar 40 peratus pengundi di kawasan itu.

Perkiraan ini sekali pandang nampak seperti strategi yang baik, tetapi apabila dilihat dengan lebih mendalam mendedahkan kaum Cina di Kajang kepada satu dilema dan implikasi yang negatif.

Calon Dun Kajang sebelum ini ialah wakil Cina daripada PKR, yang telah meletak jawatan dan memberi laluan kepada Anwar, pemimpin Pakatan Rakyat berbangsa Melayu.

Pengundi Cina Kajang dijangka memberi undi secara blok kepada Anwar, atas merit beliau sebagai pemimpin PR yang dilihat sebagai boleh memelihara kepentingan mereka tanpa mengira bangsa.

Calon daripada MCA dinilai mampu mencabar Anwar dan calon lain berdasarkan MCA yang telah agak pulih dan diharap mampu menarik kembali sokongan kaum Cina yang pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu meletak sepenuh harapan pada PR.

BN berharap perletakan jawatan wakil rakyat Kajang sebelum ini dan penyerahan kerusi itu kepada Anwar dilihat secara negatif oleh kaum Cina, dan akan membuat undi protes.

Sekiranya MCA menang, BN akan meraikan satu kejayaan yang mengejutkan dan menggembirakan, tetapi corak pengundian itu akan menunjukkan yang kaum Cina hanya mahu mengundi kaum mereka sendiri sahaja.

Hal yang sama juga sekiranya undi MCA meningkat dan majoriti kemenangan PR merosot berbanding PRU 13 yang lalu. Hakikat itu akan dapat dieksploit.


Perkiraan ini memberi gambaran tentang tanggapan BN terhadap pengundi Cina bukan sahaja di Kajang tetapi di seluruh negara, bahawa perkiraan kaum ialah yang paling penting.

Pilihan BN meletakkan calon daripada kaum Cina telah meletakkan pengundi Cina Kajang dalam persoalan yang boleh mencetuskan isu yang sukar kepada mereka.

Dalam persaingan di Kajang, Anwar nampaknya mempunyai kelebihan paling banyak, kerana sejak awal telah mengumumkan akan bertanding, tindakan yang menunjukkan kesungguhan dan tekad untuk mewakili rakyat Kajang.

Anwar turun bertemu orang ramai dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berhubung masalah setempat dan nasional, menunjukkan kesungguhan beliau.

Kehadiran beliau di Kajang sejak awal juga memberi kelebihan kerana paling awal bertemu rakyat Kajang dan membina hubungan, pada masa BN lambat membuat keputusan dan pada satu ketika kelihatan ketiadaan calon yang mempunyai kualiti boleh menang hingga muncul cadangan meletakkan jaguh badminton nasional Lee Chong Wei.

Sebab BN tidak meletakkan calon Umno dijangka disebabkan perkiraan yang hampir sama, yakni kerana tidak yakin kaum Cina akan memberi sokongan kepada calon Umno.

Pengundi Melayu yang membentuk majoriti juga tidak diyakini dapat memberi undi kepada Umno, kerana sokongan kuat kepada PR yang telah menunjukkan kemampuan menggantikan BN sebagai kerajaan di Putrajaya.

Pada PRU 13, Umno dihukum kerana mengambil kerusi yang selama ini ditandingi oleh MCA. Umno nampaknya tidak mahu hal ini berulang di Kajang, dan mungkin melihat tidak ada calon Melayu Umno yang mampu berdepan dengan Anwar, terutama dalam merebut sokongan kaum Cina.

Pilihan raya kecil Kajang itu nanti akan menjadi satu referendum kepada sokongan kaum Cina kepada MCA dan BN, selepas hampir setahun PRU 13 berlalu. - Februari 21, 2014

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...