Thursday, November 22, 2012

Monarki Arab, antara ancaman Iran dan ancaman Ikhwan

Oleh HARIS ZALKAPLI

Sejak 1979, tahun berlaku revolusi di Iran, isu ancaman pengaruh Iran dan Syiah menjadi satu topik yang sering diulang-ulang setiap kali kedudukan rejim-rejim Arab berasa terancam.

Dari Mesir ke Syam hingga ke Teluk Parsi dan Yaman, ancaman Iran sebagai kuasa serantau sering dikemukakan.

Tehran didakwa menggunakan proksi-proksi di seluruh dunia Arab untuk memperluaskan pengaruh, dakwaan yang walaupun ada kebenarannya, biasanya diperbesarkan dan disertakan implikasi yang amat negatif.

Persaingan serantau Arab Saudi dan sekutu dengan pakatan diketuai Iran muncul dalam hampir semua perkembangan politik serantau. 

Walau bagaimanapun, dilihat dengan lebih teliti, perkembangan semasa, terutama ekoran tercetus kebangkitan yang mengubah landskap politik di Mesir, Ikhwan al-Muslimin kelihatan lebih mampu menggugat rejim-rejim Arab, termasuk monarki yang sehingga ini masih tidak tergugat.

Perkembangan terkini, yang menyaksikan Ikhwan dan kumpulan yang mempunyai hubungan dengan gerakan ini lebih pragmatik, meningkatkan lagi ruang dan peluang gerakan Ikhwan serantau untuk mengatur gerakan bagi mendapatkan kuasa politik.

Ikhwan terlibat langsung dengan politik dalaman, dan mampu menyesuaikan diri untuk mendapatkan bantuan asing termasuk kuasa-kuasa besar.

Nama Ikhwan al-Muslimin dibicarakan dengan meluas sekali sejak tercetus kebangkitan di dunia Arab hampir dua tahun lalu, terutama di Mesir, dan dilihat sebagai tidak boleh dielakkan daripada diterima sebagai sebahagian realiti baharu politik Asia Barat.

Mesir ialah negara dengan gerakan Ikhwan paling berjaya, paling mendapat perhatian dunia dan paling menampakkan perubahan untuk menyesuaikan diri dengan politik semasa.

Sejak tercetus kebangkitan rakyat di Tunisia penghujung 2010, seluruh dunia Arab merasakan bahangnya, tidak terkecuali monarki-monarki Arab di Teluk Parsi, dan juga Jordan dan Maghribi, dua negara yang terpisah daripada monarki Teluk Parsi hanya dari segi geografi.

Kepentingan yang selari antara Jordan dan Maghribi dengan Majlis Kerjasama Teluk, GCC, telah bukan sahaja merapatkan hubungan sesama negara terbabit, tetapi juga membuka ruang penyertaan kedua-dua negara itu dalam GCC.

Setakat ini, negara-negara monarki di Teluk Parsi masih terselamat daripada kebangkitan rakyat Arab yang telah menyaksikan perubahan di beberapa buah negara republik - dengan Ikhwan mengambil peranan yang besar - disebabkan keadaan sosio-ekonomi yang jauh lebih baik dan sumber kewangannya yang besar.

Tetapi, satu kenyataan oleh ketua polis Dubai pada Julai lalu mendedahkan satu ketakutan pemerintah-pemerintah Arab di Teluk Parsi, negara-negara monarki yang tidak demokratik.

Kenyataan ini diulangi lagi oleh pemerintah-pemerintah monarki terbabit, yang mendakwa Ikhwan mahu merampas kuasa secara haram. Ikhwan dilihat monarki Arab terbabit sebagai satu punca kekacauan di dunia Arab, pandangan yang muncul selepas hubungan negara-negara terbabit dengan Ikhwan merosot dan berada di tahap paling rendah ekoran kebangkitan Arab.

Ikhwan yang semakin berpengaruh dan terlibat dengan kebangkitan massa di seluruh dunia Arab dilihat sebagai ancaman oleh pemerintah serantau, lebih-lebih lagi monarki yang menolak sistem demokrasi untuk memilih pemimpin tertinggi negara, sistem yang diharapkan Ikhwan untuk merampas tampuk pemerintahan.

Dalam hal asas ini, Ikhwan dan pemerintah monarki Arab mengambil posisi yang bertentangan sama sekali.

Walau bagaimanapun, Ikhwan tidak boleh dilihat sebagai satu organisasi yang monolitik di seluruh dunia Arab. Ikhwan Mesir dan Ikhwan di negara monarki GCC dan Jordan mengambil pendekatan berbeza, dengan sesetengahnya menjalin hubungan baik dengan pemerintah.

Namun kejayaan parti Ikhwan, Parti Kebebasan dan Keadilan dan calonnya Mohamed Morsi sebagai presiden Mesir telah memberi semangat dan dorongan kepada Ikhwan di negara lain, terutama Syria yang untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim pemerintah negara itu.

Kemenangan yang menaikkan semangat Ikhwan di seluruh dunia Arab itu dilihat dengan penuh syak dan bimbang oleh monarki-monarki Arab di Teluk Parsi, dan mendorong Morsi mengimbangi tindakan dasar luarnya dengan berhati-hati, dalam usaha menjalankan dasar luar yang lebih bebas.

Morsi telah melakukan lawatan luar pertamanya sebagai presiden ke Arab Saudi, untuk tidak menampakkan Kaherah masih berhubungan baik dengan Riyadh.

Tetapi perkembangan terbaharu menyaksikan Ikhwan di Jordan mengambil kesempatan daripada situasi ekonomi dan politik di negara itu, termasuk mengetuai protes massa menunjukkan penentangan terhadap raja Jordan.

Di Arab Saudi, Ikhwan yang menyaksikan hubungan turun naik dengan pemerintah menunjukkan penentangan terhadap pemerintah secara bermusim, dan tidak mempunyai keupayaan dan sokongan massa yang cukup kuat untuk memberi penentangan seperti yang dilihat di Mesir.

Qatar, negara yang aktif menggerakkan agenda serantaunya kini pula menjalinkan hubungan baik dengan Ikhwan, di dalam negara dan di seluruh rantau Arab, sehingga membolehkan Ikhwan dipergunakan untuk kepentingan politik serantau Doha.

Stesen televisyen al-Jazeera dan ilmuan Dr Yusuf al-Qaradawi yang berpangkalan di Qatar telah memainkan peranan yang membantu peningkatan pengaruh Ikhwan di Mesir, memperlihatkan satu kejayaan besar dalam pelaksanaan dasar luar Doha.

Dalam hal ini, Qatar memperlihatkan perbezaan dengan monarki GCC lain, disebabkan dasar luarnya yang lebih pragmatik dan agresif pada masa ini, di samping dana yang cukup besar untuk menggerakkan agendanya, seperti yang diperhatikan melalui bantuan kepada pemberontak Libya dan kemudian Syria.

Hal ini menjelaskan sokongan kuat pemerintah Qatar kepada pemberontak Syria, yang didominasi tokoh Ikhwan negara itu.

Seperti juga Mesir, Ikhwan di Syria dijangka bakal memainkan peranan penting, kalau pun bukan paling utama, dalam politik Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.

Dalam sejarah, hubungan terkini Ikhwan dengan rejim Qatar pada masa ini hampir menyerupai peranan Ikhwan menentang gerakan pan-Arabisme Jamal Abdul Nasser dengan sokongan Arab Saudi pada 1950-an.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh meningkat Ikhwan di dunia Arab sekarang ini, tetapi menunjukkan juga hubungan Ikhwan dengan kerajaan-kerajaan Arab yang boleh berubah mengikut kepentingan semasa.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...