Friday, November 23, 2012

Persaingan Najib-Anwar ambil hati Obama, siapa menang?

Imej memainkan peranan yang sangat besar dalam politik, dalam usaha membina imej popular untuk meraih sokongan ramai.

Dalam dunia hari ini, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menjadi pemimpin berimej paling popular, dengan muncul bergaya di pelbagai jenis majalah termasuk majalah budaya popular terkenal dan diminati di seluruh dunia.

Imej ini memberi implikasi positif yang luas kepada AS, ekoran kemampuan seorang presiden memberi impresi baik hanya melalui imej dirinya.

Imej Obama ini mampu memberi kesan positif kepada mereka yang mendekati dan dilihat bersamanya, menjadikan peluang dilihat bersama presiden AS daripada Parti Demokratik itu sesuatu yang sangat dihargai oleh pemimpin seluruh dunia.

Di Malaysia, dua pemimpin utama kerajaan dan pembangkang, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersaing untuk mendapatkan kesan imej positif Obama, dan juga sokongan melibatkan politik.

Najib tidak melepaskan peluang untuk dilihat bersama Obama, dan hal ini sentiasa menjadi isu yang diangkat media pemerintah setiap kali Najib bertemu Obama.

Malah, gambar Najib sedang memegang gagang telefon dan dilaporkan sedang bercakap dengan Obama juga pernah diangkat oleh media pemerintah, dalam satu usaha yang kelihatan terdesak dan murahan untuk dilihat bersama Obama.

Kemuncak usaha Najib ini ialah pertemuan empat mata di Washington di sidang kemuncak isu nuklear dan pelancaran Gerakan Moderat Global yang sentiasa disesuaikan untuk menarik perhatian Obama.

Malah keputusan kes Anwar Januari lalu, yang terkait dengan kekangan terhadap homoseksualiti juga kelihatan mempunyai kaitan dengan usaha untuk tidak meletakkan Malaysia di posisi berseberangan dengan Obama, ekoran pengumuman sokongan Washington terhadap homoseksualiti di seluruh dunia.

Najib juga menunjukkan sikap selari dengan Washington di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, di Arab Saudi Ogos lalu dan kemudian tidak menghadiri sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali di Iran selepas itu.

Anwar, yang mengambil banyak pengajaran berhubung kempen politik dari AS, tidak ketinggalan dalam usaha menumpang imej Obama dan menarik perhatian pemimpin AS itu.

Kempen Anwar kini menampakkan hal ini; dengan bas dihiasi gambarnya seperti yang dilihat dalam kempen presiden di AS, dan gaya berceramah sambil berjalan yang menyerupai gaya Obama dan gaya ucapan dalam kempen pemilihan presiden.

Terbaharu, Anwar menulis sebuah artikel dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di laman webnya - dan bukan di akhbar seperti The Wall Street Journal yang biasa menjadi amalan Anwar untuk mengiringi pertemuan berprofil tinggi seperti Forum Ekonomi Asia Pasifik - menjelang lawatan Obama ke Burma.

Anwar biasa menulis komentar-komentar seperti ini untuk mengiringi acara-acara penting serantau dan global, untuk pelbagai tujuan yang antaranya termasuk menarik perhatian dan sokongan.

Dalam tulisannya itu, Anwar memuji peribadi Obama sambil turut menyebut kekerasan yang dikenakan ke atas peserta protes menuntut pilihan raya bersih, dipercayai merujuk kepada protes Bersih di Malaysia.

Pemimpin PKR itu memilih penggunaan nama Burma dalam tulisan ini, selari dengan dasar kerajaan AS. Dalam satu kenyataan lain, mengulas isu Rohingya, Anwar menggunakan nama Myanmar dalam kedua-dua kenyataan bahasa Melayu dan Inggeris. 

Anwar turut menggesa pentadbiran Obama membina kumpulan masyarakat sivil dan pakatan pembangkang yang efektif di Burma, dan dibaca berdasarkan konteks tulisan ini, juga dapat dikaitkan dengan seluruh rantau Asia Tenggara.

Di penghujung tulisan, Anwar memuji Obama dengan menyifatkan rakyat AS telah memilih seorang pemimpin yang "berprinsip dan berintegriti."

Persaingan merapati Obama antara Najib dan Anwar ini ialah satu sisi persaingan yang tidak kurang sengit berbanding persaingan lain antara kedua-dua tokoh yang masing-masing mengetuai kerajaan dan pakatan pembangkang itu.

Usaha kedua-dua pemimpin lama-kelamaan semakin jelas kelihatan dan semakin menarik untuk diperhatikan.

Persaingan ini menegaskan lagi kepentingan imej, yang berperanan meningkatkan profil dan populariti di dalam dan luar negara, dan paling utama, membuktikan kekuatan imej Obama sebagai seorang pemimpin.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...