Dilaporkan ribuan telah mendekati Stadium Merdeka termasuk Sasterawan Negara A Samad Said.
Walau bagaimanapun, sebahagian besar gagal mendekati lokasi itu akibat halangan pihak keselamatan.
Satu kumpulan lagi kini bergerak ke Stadium Merdeka melalui laluan lain.
Puluhan ribu perserta dilaporkan berkumpul di beberapa tempat, paling ramai di sekitar Menara Maybank, bank yang warna rasminya kuning, dan meliputi stesen bas Puduraya.
Ramai peserta pada awalnya tidak mendapat maklumat tepat tentang lokasi berhimpun, tetapi sebahagian besar kemudian bergerak bersama ke Stadium Merdeka.
Peserta protes dan ahli-ahli parti Pakatan Rakyat kini menyampaikan maklumat melalui media sosial Facebook dan Twitter.
Pemimpin-pemimpin PR termasuk Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Hatta Ramli, Tian Chua dan lain-lain bertegas mengenakan baju kuning Bersih.
Perhimpunan kali ini menyaksikan rekod tangkapan pantas - sehingga pukul 3 petang tadi - pemimpin-pemimpin PR termasuk Abdul Hadi, Mohamad Sabu, Dr Dzulkifly Ahmad, dan Tian Chua tidak lama selepas mereka menyertai perarakan.
Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar antara yang awal ditahan, di stesen KL Sentral.
Ketua Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan juga ditahan manakala Anwar pula cedera ringan dan pengawal peribadinya turut cedera.
Pada masa sama, pemimpin pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengetuai kumpulan anti-Bersih Patriot telah ditahan di Bukit Bintang. Patriot dilaporkan mengedarkan baju merah kepada orang ramai.
Tangkapan pemimpin-pemimpin ini dilihat sebagai usaha untuk menyukarkan aksi protes ini dengan menjadikannya tidak berketua.
Pihak FRU dilaporkan telah menahan orang ramai di sekitar stesen-stesen LRT seperti Kampung Baru sejak pagi tadi.
Sekitar jam 1 tengah hari tadi, dilaporkan hampir 500 orang telah ditahan atas alasan berkaitan dengan perhimpunan Bersih. Menurut polis, 672 telah ditahan sehingga pukul 2.30 petang tadi.
Sehingga kini, pemerintah kelihatan bimbang dengan persepsi kejayaan perhimpunan ini, mendorong pelbagai sekatan dilakukan.
Tekanan kuat pemerintah ini walau bagaimanapun dijangka mendatangkan impak negatif kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, seperti disuarakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Reaksi itu, sekiranya terjadi, menandakan Bersih 2.0 telah mencapai satu matlamatnya dalam perang persepsi dengan parti pemerintah.
No comments:
Post a Comment