Tuesday, July 5, 2011

Bersih demo di stadium, siapa menang, siapa kalah?

Ketua Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan memberitahu media bahawa demonstrasi besar-besaran gabungan kumpulan menuntut penambahbaikan proses pilihan raya itu akan diadakan di stadium dan bukan di jalanan.

Pendirian baharu Bersih ini muncul selepas bertemu dengan Yang Dipertuan Agong hari ini.

Bersih yang digerakkan oleh parti-parti Pakatan Rakyat sebelum ini bertegas untuk mengadakan protes di tengah bandar Kuala Lumpur di beberapa lokasi tetapi ditentang hebat Umno dan penyokong.

Perkembangan ini bermakna Bersih berundur daripada pendirian asal menolak demonstrasi di stadium atas sebab tertentu, manakala pemerintah dan penyokong seperti Perkasa terpaksa menerima protes Bersih akan tetap diadakan.

Gesaan Yang Dipertuan Agong yang telah mendorong perubahan rancangan Bersih kedua kini telah mengendurkan ketegangan antara pihak-pihak terbabit, yang termasuk Bersih 2.0, kerajaan, Perkasa dan pemuda Umno.

Beberapa pihak menjangka akan tercetus kekacauan atau satu bentuk aksi ganas pada masa perhimpunan Bersih kedua Sabtu 9 Julai nanti, yang bakal memburukkan imej pemerintah kerana mengulangi tindakan keras pada Bersih 2007 dan pada masa sama menjejaskan juga pihak pembangkang.

Bagi pihak pemerintah, titah YDP Agong ini telah menyelamatkan kerajaan pimpinan Umno daripada terpaksa mengambil tindakan-tindakan berdasarkan undang-undang pencegahan yang dilihat dengan kritikal oleh pembangkang dan sebahagian rakyat dalam usaha menghalang perhimpunan Bersih kedua.

Pada masa sama, pemerintah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak juga terpaksa akur bahawa hak demokratik untuk berhimpun secara aman perlu dihormati.

Sebagai respons kepada titah YDP Agong itu, penyokong-penyokong Umno termasuk penulis-penulis blog mendakwa ia sebagai kejayaan pemerintah menghalang perhimpunan Bersih 9 Julai nanti, dan mentafsirkannya sebagai membenarkan segala dakwaan mereka terhadap gabungan itu selama ini.

Walau bagaimanapun, perkembangan terbaharu menunjukkan perhimpunan Bersih kedua masih boleh diadakan, menandakan bahawa tuntutan-tuntutan sah gabungan itu masih diteruskan.

Umno dan penyokong tidak boleh mendakwa mendapat kemenangan dalam hal ini kerana isu yang dipersoalkan ialah perhimpunan yang dilihat boleh mencetuskan perkara tidak diingini, tetapi bukan tuntutan-tuntutan Bersih berhubung pilihan raya.

Pembangkang - terutama PAS yang menjadi wajah hadapan perhimpunan kali ini melalui Mohamad Sabu - dan gabungan Bersih juga mendapat manfaat kerana dielakkan daripada dipersalahkan sekiranya perkara tidak diingini berlaku dalam perhimpunan Bersih kedua di tengah kota Kuala Lumpur.

Perhimpunan 9 Julai nanti, sekiranya berjaya diadakan di mana sahaja, masih boleh meningkatkan momentum menuju Pilihan Raya Umum ke-13.

2 comments:

AgForex said...

8 perkara saja yang dituntut x kan SPR x boleh pertimbangkan demi rakyat. Kalau x boleh buat elok letak jwtn bagi kat org yg lebih berwibawa

cikguyem said...

kenapa takut dengan bayang-bayang sendiri.... kalau dia orang tu betul2 jujur dan bersih ROHANINYA kenapa takut rakyat untuk mengadakan perhimpunan...... begitulah kalau hati pemimpin2 melayu yg mengaku Islam dah HITAM hatinya.....sama seperti Patih Karma Wijaya yg berdendam kepada Hang Tuah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...