Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dengan Pope Benedict ke-16 di Vatican City sekaligus menjalin hubungan diplomatik dengan Holy See tidak dapat dielakkan daripada dilihat berdasarkan politik Pilihan Raya Umum ke-13.
Pertemuan ini merupakan yang ketiga selepas pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh dan Perdana Menteri China, Wen Jiabao yang mempunyai implikasi terhadap sokongan komuniti minoriti kepada parti pemerintah.
Sokongan daripada komuniti Cina, India dan penganut Kristian Katolik terhadap Barisan Nasional terjejas sehingga mengurangkan kerusi pemerintah di Parlimen ekoran Pilihan Raya Umum ke-12.
Pemerintah ekoran pilihan raya umum lalu dikuasai hampir sepenuhnya oleh Umno, parti etnonasionalis Melayu-Muslim yang bersaing sengit dengan PAS, parti dikuasai Melayu-Muslim yang merupakan parti terbesar dalam gabungan pembangkang.
Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh Umno dan BN untuk memenangi semula sokongan tersebut, usaha yang dilihat menjadi pencetus kempen 1 Malaysia.
Jelas sekali bahawa kaitan pertemuan di Vatican City dengan politik pilihan raya tidak dapat dielakkan, dakwaan yang bukan sekadar spekulasi atau usaha mempolitikkan pertemuan itu.
Pertemuan Najib dengan Pope itu telahpun memperlihatkan sisi politik domestiknya disebabkan masa lawatan diadakan. Turut serta dalam lawatan itu ialah seorang pemimpin Katolik Malaysia Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam.
Pertemuan Najib dengan pemimpin tertinggi Katolik itu menyusuli pertembungan antara pemerintah dengan kumpulan Katolik di negara ini berhubung penggunaan kalimah Allah dan halangan pengedaran Injil dalam bahasa Melayu.
Menjelang pilihan raya Sarawak April lalu, isu panas berhubung sekatan terhadap kitab Injil oleh pihak berkuasa timbul lagi, dipercayai untuk mempengaruhi pengundi Katolik di negeri itu.
Sebelum itu, kumpulan dominan dalam parti pemerintah menentang keras penggunaan kalimah Allah oleh kumpulan Katolik di negara ini, yang tercetus ekoran penggunaannya dalam majalah komuniti itu.
Parti-parti Pakatan Rakyat terdiri daripada PAS, PKR dan DAP menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian Katolik, pandangan yang semakin meletakkan pemerintah dalam keadaan defensif.
Tekanan terhadap pemerintah meningkat ekoran kelantangan kumpulan-kumpulan Melayu yang menyokong dan mempunyai kaitan dengan Umno, dan kemudian selepas berlaku serangan bom petrol ke atas beberapa buah gereja sekitar ibu negara.
Kumpulan terbabit dan Umno muncul dalam pelbagai media sebagai fanatik pada masa itu, menjejaskan kempen penyatuan 1 Malaysia yang diilhamkan Najib.
Pada masa sama, PAS yang sebelum ini terpalit imej negatif yang sama muncul dengan imej lebih positif berbanding Umno ekoran sikap parti Islam itu yang tidak menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut Katolik di negara ini.
Secara umumnya, dari sudut sokongan popular terutama dalam kalangan minoriti termasuk penganut Katolik, PR memperolehi manfaat daripada isu kalimah Allah ekoran sikap positif terhadap penggunaannya oleh Katolik.
Walau bagaimanapun, di luar lingkuan parti politik, beberapa kumpulan Islam menentang penggunaan tersebut yang disifatkan mempunyai helah politik, pendirian yang meletakkan kumpulan terbabit berseberangan dengan parti-parti PR.
Penentang penggunaan kalimah Allah oleh Katolik termasuk bekas ahli parti komponen PR yang agresif mengkritik PAS dan ketua PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pendirian berhubung isu terbabit.
Di sudut yang lain, lawatan Najib bertemu Pope itu juga mampu mencetuskan kesan negatif terhadap pemerintah, yang slogan 1 Malaysianya dikaitkan sesetengah pihak dengan sifat liberal, termasuk pluralisme agama.
Dalam kalangan audiens tertentu, pertemuan Najib dengan Pope dapat dibaca sebagai satu perkembangan yang negtif kepada Umno dan kini mudah dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif.
Usaha Najib membina imej pemerintah yang dalam isu minoriti agama kini jauh merosot berbanding PAS menjelaskan satu kompleksiti baharu dalam politik Malaysia yang semakin sofistikated dan kompleks.
1 comment:
Zombi Kg Pisang
Walau boleh bersetuju dengan hampir keseluruhan artikel tulisan Jamal Awwal ini, namun terdapat beberapa sisi yang masih boleh diperhujahkan.
Antara lain, takrif golongan "berkecuali" itu sekaligus makna "berkecuali" itu sendiri.
Kelompok "berkecuali" ini tidak terikat kepada golongan intelektual/penulis sahaja, malah di kalangan rakyat marhaen, profesional, kakitangan kerajaan/tentera/polis dll - sikap "berkecuali" adalah pilihan utama.
Kenapa? Itulah sikap yang paling mudah & selesa. Duduk atas pagar.
Pada satu keadaan Ambiga tidak seharusnya menjadi polemik - namun pada keadaan yang lain susuk Ambiga itu sendiri merupakan suatu polemik. Kedua-dua belah pihak hanya menggunakan "Ambiga" masing-masing.
Harus diakui juga Bersih 2.0 bukan Bersih Ori. Bersih 2.0 mempunyai destinasi berbeza kerana waktu & suasana sudah berbeza, terutama dari segi perkaitan dengan peristiwa demo rakyat di negara2 Arab.
Mungkin PAS masih kekal dengan matlamat asal Bersih iaitu berfokus kepada proses pilihan raya tetapi apakah gabungan NGO berkongsi fokus yang sama. Mungkin DAP tidak begitu berharap apa-apa (berdasarkan keterlibatan) dari Bersih 2.0 - dan siapa yang dapat menyangkal PKR (terutama Ketua Umumnya) berdestinasi lebih jauh iaitu Bersih 2.0 = Dataran Tahrir di Mesir?
Dalam suasana ini yang "terperangkap" nampaknya Presiden PAS apabila "arahannya" supaya SEMUA ahli PAS keluar demo rata-ratanya dilihat gagal dipatuhi. Macam UG yang tidak pernah difahami gitu.
Perlu diberi perhatian betapa SEMUA "kebangkitan rakyat" di negara2 Arab baru-baru ini tidak menatijahkan perubahan yang diingini rakyat. Yang berubah hanyalah beberapa wajah pemimpin, malah hampir semuanya masih dari lubuk yang sama - sama ada di Tunisia, Mesir, Yemen, Bahrain dll - ironisnya di Libya, bunga2 Iraq2 amat jelas kelihatan.
Saya sangat bersetuju bahawa "masyarakat perlu berubah". Soalannya siapa atau golongan mana yang mendepani perubahan masyarakat/rakyat ini? Jika di kenal pasti, apakah mereka sudah melaksanakan tugas itu dengan jayanya? Atau "mereka" sendiri pun belum begitu berubah untuk merubah rakyat?
Alasan untuk tidak menentang kezaliman ..???
Sapa nak jawab ni?
Post a Comment