Monday, July 25, 2011

Apa jaminan biometrik bebas manipulasi?

Oleh IBNU AHMAD

Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, akhirnya bersuara menyatakan akan mengimplementasikan sistem biometrik untuk perjalanan proses pilihan raya di Malaysia.

Sistem biometrik ini, sekalipun belum diperincikan, tentunya kedengaran menarik dan mengujakan rakyat Malaysia secara amnya.

Sebelum kita pergi lebih jauh menerobosi kebarangkalian kejayaan yang bakal dicapai melalui sistem yang mengujakan ini, eloklah kiranya kita menahan gejolak nafsu kita yang sangat teruja dengan kita menggariskan beberapa perkara yang seharusnya menjadi pokok perbincangan, iaitu, masalah semasa yang dihadapi, gerak kerja inisiatif sendiri oleh parti-parti bertanding, matlamat yang ingin dicapai, dan cara atau sistem yang bakal digunakan.

Masalah semasa yang dihadapi

Salah satu masalah utama yang menghantui parti-parti politik di Malaysia, terutamanya parti-parti di luar koalisi Barisan Nasional adalah kewujudan pengundi hantu (phantom voters, dengan izin) yang berada dalam proses pilihan raya di Malaysia ini.

Dalam membincangkan masalah ini, adalah wajib untuk memahami bentuk kewujudan pengundi hantu yang disebut-sebut ini. Pengundi hantu wujud dalam beberapa keadaan, sama ada dalam keadaan yang disengajakan ataupun tidak:

1. Pengklonan data pemilih

Seseorang pemilih didaftarkan secara lebih daripada sekali sama ada melalui pertukaran alamat, pertukaran aksara-aksara tertentu dalam rekod pengenalan ataupun sekadar dengan meletakkan rekod individu yang sama di kawasan-kawasan pengundian yang berbeza.

2. Pengekalan kewujudan pemilih yang hilang kelayakan

Pemilih boleh hilang kelayakan melalui pelbagai cara. Salah satunya akibat kematian dan penghijrahan ke luar negara yang membatalkan kewarganegaraan seseorang pemilih. Sungguhpun demikian, terdapat keadaan-keadaan yang menunjukkan rekod pemilih yang hilang kelayakan ini kekal berada dalam daftar pemilih semasa yang digunapakai pada hari pengundian dan "diwakili" oleh pemililh yang lain.

3. Pemindahan pengundi ke kawasan-kawasan pemilihan yang lain

Wujud juga keadaan pemilih dipindahkan dari satu pusat pemilihan ke satu pusat pemilihan yang lain. Wujud dakwaan bahawa pemindahan ini dilakukan oleh semua parti yang bertanding dengan tujuan untuk menguatkan pengaruh dan mempengaruhi keputusan pemilihan.

Nah, isu pengundi hantu bukan sekadar pengundi yang tidak tinggal di kawasan pengundian tertentu, dan hanya pulang pada hari pengundian seperti yang dinyatakan oleh pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini malahan juga akibat daripada manipulasi ke atas daftar pemilih dengan cara-cara yang tidak hanya terhad kepada yang di atas.

Tindakan SPR menyatakan bahawa pengundi hantu adalah sekadar pengundi yang tidak menghuni di kawasan pengundian yang telah didaftarkan namanya hanyalah merupakan helah yang dibuat supaya fokus sebenar dapat dilarikan daripada isu duplikasi dan pengklonan yang telah dilakukan (dengan sengaja) ini.

Perlu difahami, bahawa kewujudan pengundi hantu dalam keadaan 1 dan 2 adalah sangat jahat dan merupakan satu bentuk pengkhianatan yang ketara kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini kerana, dalam keadaan 1 dan 2, hak untuk memilih ditambahkan daripada satu kepada beberapa hak, berbanding dengan keadaan 3 di mana hak pemilihan kekal kepada satu hak sahaja.

Seandainya anda beranggapan satu undi daripada seorang pemilih yang tidak seharusnya berada di dalam lokaliti tertentu itu satu pengkhianatan, maka anda perlu setuju bahawa penambahan hak pengundian kepada seseorang pemilih adalah merupakan pengkhianatan yang lebih dahsyat.

Inisiatif sendiri oleh parti-parti bertanding

Sebilangan parti politik yang bertanding ada menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mengesan kewujudan pengundi hantu dalam kawasan pemilihan masing-masing. Proses yang selalunya dinamakan "culaan" ini selalunya merupakan proses "2 dalam 1" dengan pola pengundian diramalkan berdasarkan pemerhatian oleh pegawai-pegawai parti yang dilatih.

Selain itu, proses culaan ini secara langsung akan mendedahkan jumlah pengundi di satu-satu alamat dalam sebuah lokaliti dan bahagian pemilihan.

Sungguhpun begitu, perlu diakui bahawa proses culaan ini merupakan suatu proses yang jerih dan memenatkan selain memerlukan tenaga kerja yang banyak dalam melatih dan menyusun gerak kerja proses culaan ini.

Kemajuan teknologi maklumat juga telah digunakan membantu kerja-kerja culaan, namun "physical check" masih juga diperlukan untuk memastikan ketepatan data melalui teknologi maklumat.

Matlamat yang ingin dicapai

Perkara paling utama yang ingin dicapai menerusi pendedahan dan perbincangan ini adalah untuk menghapuskan kemungkinan penambahan hak pengundian dalam proses pilhan raya di negara ini.

Maka, ia bukan sekadar mengawal, memantau, mengurangkan atau menghapuskan pengundi hantu yang hanya ditakrifkan dalam keadaan 3 di atas.

Nah, sekarang jelas kelihatan bahawa SPR tidak membei tumpuan pada menghapuskan kecacatan dalam senario 1 dan 2, tetapi mengalihkan fokus kepada perkara yang kurang memberikan impak iaitu senario 3.

Sungguhpun mereka mengatakan bahawa matlamat sistem biometrik yang ingin diimplementasikan adalah menghapuskan pengundi hantu, tetapi ramai yang terperangkap bahawa tafsiran pengundi hantu mereka hanya sekadar senario 3, dan sekadar memejamkan mata kepada senario 1 dan 2 yang lebih memberi impak.

Perlu diingat, senario 1 dan 2 juga adalah merupakan tafsiran pengundi hantu yang wajib diberi perhatian.

Pra-penilaian ke atas sistem yang bakal digunakan

Maka, sekarang masanya untuk menilai kemungkinan kejayaan program "penambahbaikan" yang dicadangkan oleh SPR ini. Seandainya sistem biometrik digunapakai, mampukah ia diharapkan untuk mencapai matlamat tersebut? Sebelum kita menjawabnya, ada baiknya kita bincang dahulu tentang sistem ini.

Sistem biometrik, seperti namanya memang amat mengujakan. Ditambah pula dengan kejayaan beberapa sistem kurang kritikal (jika dilihat dalam skop sebuah negara) seperti yang diamalkan oleh beberapa syarikat swasta dan juga agensi kerajaan, maka harapan yang diletakkan adalah teramat tinggi untuk menghapuskan masalah yang dibincangkan tadi.

Sistem biometrik secara amnya akan menggunakan jalur-jalur maklumat biologi seperti cap jari, cap tapak tangan, suara, bentuk tulang wajah, bentuk iris mata, geometri tangan, DNA, dan sebagainya akan digunakan sebagai medium pemadanan.

Seandainya berlaku pemadanan terhadap salah satu atau gabungan daripada jalur-jalur maklumat ini, maka pemilih akan diberi lampu hijau untuk mengundi. Seandainya pemadanannya gagal, maka pemilih akan dihalang daripada meneruskan hasrat untuk mengundi.

Nah, jika demikian sekali potensi kejayaan sistem biometrik ini, mengapa harus ia dibangkang dan ditentang? Tidakkah tindakan membantah dan menentang ini menunjukkan jumudnya pemikiran pihak-pihak ini dan merupakan langkah ke belakang menolak kemajuan sistem teknologi maklumat berasaskan jalur bioloogi ini? Kuno sungguh pemikiran mereka!

Saya tidak berhasrat untuk menyentuh soal kos sebagai asas utama penolakan ini. Seandainya ia adalah benar-benar untuk kebaikan Malaysia, kos bukan satu alasan yang harus dipertimbangkan jika ada kemampuan. Kalau bukan soal kos, apa masalahnya?

Izinkan saya menjelaskan asas penentangan perlaksanaan sistem ini. Perlu difahami, sistem biometrik ini bergantung kepada jalur maklumat yang diperlukan, akan memerlukan satu proses "pendaftaran." Dalam proses pendaftaran ini, setiap seorang dari pemilih yahg layak perlu "didaftarkan" jalur maklumat biologinya ke dalam satu pangkalan data.

Contohnya, Encik Ahmad bin Abu seorang pemegang kad pengenalan Malaysia yang sah bernombor 721230-XX-XXXX yang mengundi di lokaliti 252/78/49/053. Encik Ahmad bin Abu perlu hadir ke pejabat pengurusan pangkalan data untuk direkodkan segala jalur maklumat biologinya.

Di sana, rekod cap jari, cap tapak tangan, suara, bentuk tulang wajah, bentuk iris mata, geometri tangan, DNA, dan sebagainya akan direkodkan. Berapa masa yang diperlukan untuk merekodkan seorang pemilih? Berapa juta pemilih yang layak untuk kekal berada di daftar pemilih seluruh Malaysia?

Mungkin ada yang mengatakan pula, seandainya kos bukan menjadi perhitungan, maka masa juga tidak harus diperhitungkan demi kebaikan negara. Baik, saya setuju dengan pendapat itu.

Di sini masalah utamanya. Sepanjang melalui proses "pendaftaran" itu, ada kemungkinan wujud kesilapan manusia dalam menjalankan proses tersebut. Apa jaminan bahawa proses "pendaftaran" itu tidak akan silap? Mungkin pula ada yang akan menjawab, kita akan wujudkan proses semakan dan pengesahan sebelum Encik Ahmad bin Abu melangkah keluar dari pejabat pengurusan pangkalan data tersebut.

Baik, itu adalah semakan dan pengesahan untuk pendaftaran yang sah, apa pula jaminan bahawa sistem jalur maklumat Encik Ahmad bin Abu ini tidak digunakan juga untuk Encik Rostam bin Khalid yang sebenarnya tidak wujud dan diberikan kad pengenalan yang luarannya (kecuali gambar) milik Encik Rostam bin Khalid, tetapi padanan di dalamnya sama seperti padanan untuk kad pengenalan bernombor 721230-XX-XXXX dan diberikan kepada Encik Ahmad bin Abu?

Maka, Encik Ahmad bin Abu akan mempunyai dua hak memilih, satu di bawah nama yang sah Ahmad bin Abu dan satu lagi dibawah nama fiksyen Rostam bin Khalid.

Itu sekadar kemungkinan yang berlaku di dalam proses "pendaftaran." Bagaimana pula keadaannya pada hari pengundian? Encik Baba bin Alang Jaafar pemegang kad pengenalan bernombor 810513-XX-XXXX mungkin tidak mendapat padanan yang baik akibat kegagalan pengesahan sewaktu proses "pendaftaran" tempoh hari.

Beliau juga berdepan dengan risiko gagal mendapat padanan akibat cap jari yang sudah rosak, iris mata yang berubah akibat pembedahan, suara yang berlainan padanan akibat batuk teruk yang berlanjutan, maka akan perlu wujud suatu keadaan manual override akan diperlukan.

Bagaimana pula manual override ini akan dilakukan? Bagaimana pemantauan ke atasnya? Siapa yang mempunyai autoriti untuk menjalankannya? Apa jaminan manual override ini tidak dimanipulasi dan disalahguna?

Mari kita lihat bagaimana pula keadaannya seandainya dakwat kekal yang digunapakai. Dalam penggunaan dakwat kekal, seseorang pengundi yang ingin melepasi satu peringkat pemeriksaan kelayakan akan ditandakan dengan sejenis dakwat yang sukar dihilangkan kecuali selepas beberapa hari.

Maka, seandainya agen tempat mengundi (polling agent) melihat seseorang yang telah ditandai jarinya mencuba untuk mengundi lagi, maka ia akan dihentikan dan pengundi tersebut akan dinafikan hak mengundi kali kedua yang sememangnya tidak sah.

Penutup

Dakwat kekal tidak perlu kepada proses "pendaftaran" jalur biologi dan tidak terdedah kepada manipulasi pangkalan data tetapi secara mudahnya mampu menangani masalah yang timbul akibat usaha jahat tersebut.

Nilaikanlah. Dengan kos yang begitu minimal, kita juga berpotensi mencapai matlamat yang dibincangkan. Tidak perlu berbelanja besar berbillion-billion yang terdedah kepada kesilapan dan manipulasi yang hanya berpotensi untuk menggagalkan senario 3 dan membiarkan senario 1 dan 2 terus berjalan dan memberikan kelebihan kepada pihak tertentu.

Ibnu Ahmad ialah aktivis PAS Selangor, dan terlibat dalam kerja-kerja pilihan raya umum.

5 comments:

Anonymous said...

Bagi Pakatan Rakyat semua yang kerajaan buat semuanya tak betul, semuanya salah, haram, berdosa dan macam-macam lagi tuduhan keji yang dilemparkan oleh Pakatan Rakyat terhadap Kerajaan Malaysia, sedangkan apa yang dibuat oleh Pakatan Rakyat semuanya dianggap betul belaka oleh Pakatan Rakyat walaupun perkara salah, perkara berdosa, perkara tidak senonoh, perkara keji semuanya dianggap baik oleh Pakatan Rakyat sebab itu mereka yang buat. Pakatan Rakyat telah menjadi takbur dan angkuh selepas berjaya menggugat Barisan Nasional pada PRU 12 tahun 2008 yang lalu sedangkan mereka tidak sedar itu semua adalah ujian dari Allah untuk melihat sejauh mana para tok guru dalam PAS terutamanya dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain boleh bersyukur dan menjalankan apa yang mereka sering ceramahkan setiap hari itu. Malangnya sikap angkuh dan takbur pimpinan Pakatan Rakyat yang menjadi penjahat merosakkan keamanan makin menjadi-jadi sedangkan mereka tidak pula tahu untuk membangunkan negara, membantu rakyat, apa yang mereka tahu mempergunakan rakyat untuk mempopularkan diri mereka dengan memburuk-burukkan Kerajaan Malaysia. Sikap ini sungguh keji dan tidak berakhlak sama sekali, tidak tahulah sama orang sedemikian ada akal atau tidak kerana ada otak sudah pasti, tetapi akal itu samada berfikir guna akal atau nafsu serakah, yang jelas Pakatan Rakyat berfikir guna nafsu serakah kerana banyak buat kerosakkan pada negara sendiri.

Anonymous said...

Pakatan Rakyat ini buatlah apa sahaja, selagi tidak memihak kepada dia, benda betul pun dia kata salah, benda halal pun dia kata haram, tapi kalau memihak pada dia, maksiat pun boleh dibela, benda salah pun boleh jadi betul, benda haram pun boleh jadi halal, kerana adanya tok guru hebat dalam Pakatan Rakyat terutama dari PAS.

Berkenaan isu biometrik ini, Pakatan Rakyat kata dakwat kekal lebih baik dengan mencelupkan jari pengundi yang telah mengundi, kononnya biometrik boleh di manipulasikan, itu tuduhan mereka. Tetapi dakwat kekal pun sama boleh dimanipulasikan, malahan Pakatan Rakyat sendiri boleh memanipulasikan dakwat kekal ini dengna pergi ke kampung-kampung di pedalaman yang diketahui penyokong kuat kerajaan dengan memperdayakan pengundi di sana untuk mencelupkan jari mereka guna dakwat kekal tersebut. Malahan sekiranya taktik itu pun Pakatan Rakyat masih kalah juga dia akan tuduh parti pemerintah, Barisan Nasional pergi buat celup jari sebelum pilihanraya pula, sedangkan dia sendiri pun boleh buat sama. Inilah Pakatan Rakyat, semuanya nak mereka dapat, orang lain peduli apa, inilah pemikiran Pakatan Rakyat.

Lagi satu, penggunaan dakwat kekal meyebabkan air tidak dapat mengenai kulit semasa berwudhuk dan mandi hadas, ini tok guru PAS ada hukum apa pula nak atasi perkara ini? Penggunaan dakwat kekal semasa mengundi bukannya perkara wajib dari segi agama, macam mana pula ini tok guru PAS? Ini semua auta dari Pakatan Rakyat untuk mengelirukan rakyat kerana mereka tamakkan kuasa politik seolah-olah kuasa politik berkenaan boleh dibawa masuk ke kubur bila mereka mati nanti. Fikirlah guna akal, jangan guna nafsu serakah.

Anonymous said...

cuba lihat youtube bagaimana system biometric thump print empunya A pun boleh di gunakan orang lain

Anonymous said...

Saudara Anonymous 31 July 2008 8:33 AM, berkenaan biometrik, tidak ada dua atau lebih manusia yang walaupun kembar mempunyai cap jari yang sama. Ini adalah hakikat, bukannya rekaan. Malahan video di youtube itu, boleh percayakah? Berkenaan isu biometrik untuk pengundi, di tempat pengundian pun ada wakil-wakil parti yang terlibat, mereka boleh lihat sekiranya ada penyelewengan, lainlah kalau wakil parti yang dihantar oleh parti berkenaan adalah orang buta, maka itu tak bolehlah dia nak kesan sebarang penyelewengan, sebab dia tak nampak. Nasihat saya, tidak payahlah nak pusing sana pusing sini kerana yang jelas bermasalah adalah pihak yang suka membangkang itu dan ini sedangkan diri sendiri tak tahu apa yang perlu dibuat, sibuk membangkang saja, nak tolong tak tahu apa. Itulah, bak kata pepatah, kalau tidak dapat menyenangkan orang, paling kurang, janganlah menyusahkan orang.

Anonymous said...

Pakatan Rakyat tidak akan mempedulikan apa pun selagi ia tidak memihak kepada mereka walaupun kebenaran. Tetapi sekiranya memihak kepada mereka, maksiat pun boleh dibela, benda salah pun boleh jadi betul, benda haram pun boleh jadi halal. Apa tidaknya kalau dahulu kata UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC yang tidak ekstrem seperti DAP dituduh haram, berdosa dan bagai-bagai tuduhan melulu lagi. Sekarang PAS boleh bertepuk tampar dengan DAP boleh pula, malahan kerana sayangnya PAS pada DAP, sanggup PAS mengetepikan perjuagnan Negara Islam dan Perundangan Hudud dan gantikan dengan Negara Kebajikan, sedangkan sudah 54 tahun kerajaan Barisan Nasional dan sebelum itu Perikatan menguruskan negara ini berdasarkan negara kebajikan, sekarang PAS baru nak terhegeh-hegeh nak buat negara kebajikan pula. Itu semua auta dari PAS untuk tutup kelemahan diri sedangkan pengikut PAS sendiri sudah meluat dengan pimpinan PAS hingga ramai telah keluar parti menyertai UMNO atau tidak menjadi ahli mana-mana parti tapi menyokong Barisan Nasional kerana mereka telah lihat PAS sekarang ini lebih teruk dari UMNO, walaupun UMNO dituduh dengan berbagai nista dan caci maki dari PAS, tetapi UMNO tetap pertahankan hak bumiputera dan Islam, tapi PAS pula kerana sayangkan sangat DAP sanggup ketepikan Negara Islam dan Perundangan Hudud, kemudian sanggup nak ketepikan keistimewaan bumiputera dengan alasan kononnya dalam Islam tak ada keistimewaan untuk sesuatu bangsa, tapi tidakkan PAS lihat di negara lain, penduduk asal dan majoriti negara itu begitu melindungi bangsa mereka sedangkan PAS pula nak ketepikan bangsa sendiri kerana hendak jadi 'anjing suruhan' DAP. Benarlah PAS adalah Parti Anjing Suruhan DAP, semua DAP suruh PAS buat, DAP suruh pecah belah bumiputera, PAS ikut, DAP suruh pecah belah kariah masjid melalui pilihanraya masjid, PAS bukan main galak promosi, walaupun 'disepak terajang' oleh DAP, PAS tetap setia dengan DAP. Inilah yang menyebabkan ramai ahli PAS terkejut dan lari meninggalkan PAS yang hanya membawa bencana kepada bangsa kerana menjadi tali barut DAP.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...