Sunday, July 3, 2011

Pilihan raya Thailand: Politik perdamaian dan perangkap populisme

Oleh HARIS ZALKAPLI

Dengan 92 peratus undi dikira, parti Puea Thai pimpinan Yingluck Shinawatra kini memenangi 260 daripada 500 kerusi parlimen memperolehi majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Yingluck, ahli perniagaan yang muncul dengan agak tiba-tiba untuk memimpin Puea Thai kini muncul sebagai bakal perdana menteri Thailand yang baharu.

Dalam pilihan raya ini, Puea Thai yang dari semua sudut kelihatan dikawal oleh Thaksin Shinawatra memenuhi jangkaan dengan memperolehi kemenangan yang dijangka oleh pemerhati.

Sejarah terkini pilihan raya tidak menyebelahi Demokrat, parti tertua Thailand yang memperolehi kuasa pada 2008 ekoran keputusan mahkamah perlembagaan mengharamkan pesaingnya, perkembangan yang dinilai memperlihatkan campur tangan meningkat untuk mengekalkan status quo kuasa di negara itu.

Parti berada di pihak bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dilihat berdepan tekanan yang kuat daripada suruhanjaya pilihan raya yang semakin aktif sehingga menimbulkan persoalan bersabit kedudukannya yang sepatutnya neutral.

Kedudukan bertentangan dengan Demokrat juga bermakna penentangan daripada pihak tentera yang mempunyai kedudukan kuat dalam politik Thailand dan istana yang mempunyai hubungan baik dengan elit Demokrat.

Puea Thai perlu memenangi pilihan raya kali ini dengan jumlah kerusi yang cukup untuk menyukarkan entiti-entiti berkuasa dalam negara itu termasuk monarki, tentera dan pihak pemegang kuasa lain daripada menghalangnya menjadi pemerintah, atau melakukan pelbagai tindakan mengekang dan mengganggu.

Puea Thai, dengan slogan "Thaksin fikir, kami laksanakan" jelas tidak menjarakkan diri daripada Thaksin yang disebut-sebut bakal mendapat pengampunan dan kembali ke Thailand sekiranya parti pimpinan adiknya berkuasa.

Hal ini mengundang respons kuat daripada Demokrat, parti Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, yang menyebut pilihan raya ini sebagai peluang "menyingkirkan racun Thaksin dari Thailand."

Abhisit mendakwa kumpulan baju merah yang kini diwakili oleh Puea Thai mempunyai agenda untuk membawa pulang Thaksin.

Pihak tentera telah menunjukkan campur tangan dengan membuat gesaan supaya rakyat memilih calon-calon parti Demokrat. Wujud kebimbangan tentera akan campur tangan pada satu masa untuk menggugat atau menjatuhkan kerajaan pimpinan Puea Thai.

Pengaruh tentera dalam politik Thailand sentiasa menjadi faktor yang penting dan memberi kesan besar, seperti di wilayah majoriti Muslim di selatan dan pertikaian sempadan dengan negara jiran Kemboja.

Dalam kedua-dua kes, tentera berperanan dengan agak bebas dan dilihat berhasrat meneruskan agenda mereka tanpa dipengaruhi kuasa politik yang menjadi pemerintah.

Tetapi kedua-dua Puea Thai dan tentera didakwa cuba mencapai persetujuan agar parti itu dibenarkan memerintah dengan balasan pemimpin tentera yang terlibat dalam keganasan terhadap kumpulan baju merah pada Mac dan Mei tahun lalu mengorbankan lebih 90 orang.

Satu kritikan utama terhadap Puea Thai ialah individu-individu baju merah dikaitkan dengan terorisme yang mempunyai kedudukan berpengaruh dan menjadi calon untuk parti itu.

Protes kumpulan baju kuning dan baju merah yang melumpuhkan Bangkok lebih setahun lalu berpunca daripada Thaksin, tokoh divisif dalam politik Thailand yang terus menjadi isu utama yang membawa negara yang sebelum ini stabil memasuki satu fasa yang sukar, yang belum tentu diselesaikan selepas pilihan raya ini.

Kedua-dua kumpulan telah mengukuhkan perbezaan politik dalam masyarakat Thailand dan menyukarkan usaha perdamaian, serta menjadikan politik lebih keras dengan pembahagian kumpulan yang jelas dan sukar dikompromi.

Protes baju kuning yang anti-Thaksin dan baju merah pro-Thaksin telah melumpuhkan Bangkok dan menjejaskan aktiviti ekonomi. Kumpulan baju merah yang pro-Thaksin pula dikaitkan dengan elemen jenayah.

Selepas pilihan raya ini, pemerhati menjangka protes baju kuning dan merah berpotensi tercetus lagi, terutama sekiranya isu-isu sensitif seperti kepulangan Thaksin dan keganasan pada tahun lalu terus memanaskan suasana.

Satu isu kritikal dalam pilihan raya ini ialah dasar-dasar populis yang kini mendominasi politik Thailand selepas dibawa secara besar-besaran oleh Thaksin.

Thaksin dan parti dikuasainya menerima sokongan ramai, dan menjadi sandaran kepada golongan miskin dan juga kelas pertengahan Thailand sebahagiannya disebabkan tindakan-tindakan populisnya, termasuk bantuan perubahan, bantuan wang tunai dan yang terbaharu, komputer tablet untuk sejuta murid sekolah.

Amalan ini, walaupun bukan sepenuhnya negatif, dan ramai pihak mendapat manfaat, berpotensi mewujudkan persaingan tidak sihat ke arah populisme, tanpa didasari penilaian mendalam dan kemampuan sebenar.

Kejayaan Thaksin memenangi undi ekoran dasar populisnya menjadikan pendekatan ini pilihan utama parti-parti bertanding, sebagai senjata untuk memenangi pilihan raya.

Kedua-dua Demokrat dan Puea Thai kini membawa janji-janji melibatkan perbelanjaan besar, termasuk keretapi laju dan komputer tablet percuma.

Isu pemberian wang tunai kepada orang miskin ialah satu contoh jelas amalan populis yang sukar dibezakan dengan pembelian undi dan merupakan satu eksploitasi yang tidak bertanggungjawab.

Projek pemberian komputer tablet juga menimbulkan persoalan berhubung kos, matlamat dan terhadap keutamaan parti Puea Thai yang sangat rapat dengan komuniti perniagaan.

Kesimpulannya, kedua-dua isu pertembungan baju kuning dengan baju merah dan perlumbaan membawa dasar populis boleh dijadikan pengajaran penting dalam melalui proses politik demokratik.

Parti-parti politik dan kumpulan yang berbeza mempunyai pilihan untuk menumpukan pada perdamaian atau menajamkan lagi perbezaan sehingga politik kumpulan menguasai dan menyukarkan sebarang elemen yang lebih rasional.

Ini memerlukan kompromi dan pertimbangan yang sihat daripada semua pihak terbabit, agar perbezaan tidak menjadi lebih sukar ditangani dan menguasai segenap ruang, dan tidak menguntungkan rakyat secara keseluruhan.

Hal yang sama juga dapat dinilai daripada dasar populis, yang sebahagian besarnya hanya penyelesaian jangka pendek dan tidak menumpukan pada penyelesaian sebenar yang lebih bersifat jangka panjang.

Hal ini dapat diperhatikan juga di Malaysia, apabila pemerintah menyediakan kedai barangan keperluan murah, dan pembangkang menjanjikan untuk menurunkan harga bahan bakar. Kedua-dua ini memberi manfaat kepada rakyat, tetapi pada masa sama tidak sepatutnya digunakan semata-mata untuk meraih undi.

Program lebih komprehensif melibatkan usaha menangani inflasi, ketidakseimbangan pendapatan dan pelbagai isu berkaitan perlu ditangani dengen lebih agresif.

Perlumbaan memenuhi keperluan rakyat perlu wujud supaya rakyat mendapat manfaat daripada proses politik demokrasi, tetapi bukan dasar populis yang hanya bertujuan memenangi undi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...