Monday, December 3, 2007

Exco Terengganu jadi mangsa

KUALA TERENGGANU, 2 Dis: Seorang Exco kerajaan negeri Terengganu bakal menjadi mangsa politik dalaman Umno apabila beliau dikatakan sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang bertujuan untuk dijadikan alasan penggugurannya dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut maklumat yang Siasah terima, ketegasan dan kelantangan exco berkenaan melawan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dalam beberapa isu telah menyebabkan 'beliau terpaksa diketepikan'.

Bagaimana caranya? Dengan cara memburukkan nama beliau dan penyiasatan BPR dikatakan menjadi caranya.

Siasah difahamkan, nama Exco berkenaan telah tidak ada dalam senarai calon BN Terengganu yang dikemukakan Umno kepada presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya, nama seorang wakil rakyat dari kawasan lain yang merupakan rakan beliau sendiri disebut-sebut bakal menggantikan beliau. Ia bertujuan untuk mengurangkan kemarahan beliau.

Namun, maklumat yang Siasah terima memaklum, tindakan menggugurkan beliau dibuat secara yang sistematik dan bagi memastikan seluruh penyokong beliau yang menyusahkan MB juga tidak berpengaruh lagi dalam Umno Terengganu.

Antaranya, apabila rakan beliau mengambil alih tempatnya, pengganti tempat Adun berkenaan akan diambil alih musuh peribadi beliau sendiri. Penyokong beliau di Dun lain juga bakal diketepikan dalam pilihan raya ini.

Nama Exco berkenaan juga tidak ada dalam senarai calon anggota Parlimen BN yang dikemukakan secara berasingan kepada Abdullah.

Baru-baru ini, media melaporkan, seorang ahli politik terkenal merupakan antara 70 individu yang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di negeri ini sejak awal tahun ini.

Pengarah BPR Terengganu, Sharuddin Sapian berkata, kertas siasatan kes rasuah ahli politik berkenaan serta individu lain kini sedang disiapkan untuk tindakan lanjut.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu sama ada ahli politik itu mempunyai kedudukan dalam kerajaan negeri iaitu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Exco mesyuarat kerajaan negeri.

"Memang umum berpendapat, ramai pemimpin Umno terlibat dengan rasuah tetapi mereka akan selamat selagi tidak bertembung dengan Menteri Besar," kata seorang ahli politik dari negeri ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau mendapat maklumat, BPR akan menyiasat mana-mana pemimpin kerajaan negeri dengan syarat mendapat restu dari menteri besar.

"Saya nak kata, pintu sentiasa terbuka untuk BPR menyiasat mana-mana pemimpin kerajaan negeri tanpa perlu restu saya," kata Nik Aziz sebagaimana yang dilaporkan media.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...