Sunday, May 22, 2011

Pakatan Rakyat harap Bersih kedua ulangi kejayaan PRU 12

Gabungan parti-parti pembangkang Pakatan Rakyat sedang membina momentum untuk mendapat sokongan mengulangi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-12 melalui demonstrasi besar-besaran.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil yang lebih dikenali dengan nama popularnya kini, Bersih 2.0 telah mengumumkan demonstrasi besar-besaran di ibu kota pada 9 Julai nanti.

Rancangan ini diumumkan pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat, Mohamad Sabu di Kuala Lumpur Sabtu, 21 Mei.

Perhimpunan ini bakal mengulangi demonstrasi Bersih kali pertama yang diadakan pada 10 November, 2007, sekitar empat bulan sebelum pilihan raya umum pada 8 Mac tahun berikutnya.

Pada perhimpunan Bersih 2007 itu, sehingga 100,000 dianggarkan hadir di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur, termasuk Dataran Merdeka, sekitar Pasar Seni dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Perhimpunan Bersih 2007 melibatkan penyerahan memorandum kepada ketua negara, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Warna kuning menjadi tema perhimpunan itu, yang selain untuk memperlihatkan kesatuan, juga bertujuan untuk membina hubungan baik dengan institusi raja.

Perhimpunan kali ini turut melibatkan tuntutan tambahan menolak penyalahgunaan institusi kerajaan dan tempoh kempen yang lebih panjang.

Empat tuntutan asal ialah penggunaan dakwat kekal yang diterima Suruhanjaya Pilihan Raya, daftar pengundi yang bersih, penghapusan undi pos dan akses parti pembangkang kepada media dikuasai pemerintah.

Demonstrasi besar itu mendapat liputan meluas media antarabangsa terutama al-Jazeera, dan meningkatkan profil Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai penggerak utama dan pemimpin aksi massa itu.

Bersih ditunjangi PAS dan parti-parti PR tetapi turut melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Bersih pertama disebut sebagai penyumbang penting kepada kejayaan parti-parti PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP pada pilihan raya Mac 2008, yang bersatu sebagai PR sejurus selepas kejayaan itu.

Kali ini, Bersih 2.0 dipimpin Datuk Ambiga Sreenevasan dan melibatkan 60 pertubuhan lain, tetapi juga menyaksikan peranan besar PAS.

Mohamad merupakan tokoh paling dapat diharapkan untuk mobilisasi massa, dan menjadi sandaran penting untuk menjayakan perhimpunan yang dirancang ini, terutama dari segi kehadiran.

PR telah berusaha mencetuskan suasana untuk demonstrasi besar-besaran sejak tercetus kebangkitan rakyat di Afrika Utara dan Asia Barat.

Anwar dalam satu tulisan di akhbar Wall Street Journal menyentuh isu tersebut dan menyifatkannya sebagai pencetus perubahan di dunia Islam.

Pelbagai pihak menimbulkan gaya hidup membazir dan membina kekayaan diri oleh keluarga diktator terutama wanita pertama Tunisia dan Mesir dan mengaitkannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...