Saturday, May 14, 2011

Timbalan presiden penentu PAS dalam Pakatan Rakyat?

Timbalan presiden selepas pemilihan kepimpinan PAS pada muktamar awal Jun nanti bakal menjadi faktor penting dalam menentukan hubungan parti itu dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Mohamad Sabu yang mendapat sokongan meluas merentasi kem pada masa ini dilihat akan mengukuhkan kedudukan PAS sebagai ahli gabungan PR.

Mohamad merupakan penyokong kuat PAS terus bersama PR, walaupun berdepan pelbagai kritikan berhubung PAS yang dilihat dikuasai dan tidak menunjukkan kepimpinan dalam gabungan itu.

Bekas naib presiden PAS itu juga berpendirian teguh menolak sebarang urusan dengan Umno, yang dianggap usaha menyelamatkan parti Melayu ketika parti itu sedang tergugat ekoran Pilihan Raya Umum ke-12.

Pengkritik melihat PR terlalu didominasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, dan menggesa PAS membebaskan diri daripada pakatan yang didakwa menjadi liabiliti kepadanya itu.

Mohamad mempunyai hubungan sangat baik dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Aktivis popular PAS itu sebelum ini dilihat sebagai pengkritik kuat Anwar dalam PAS, tetapi mula kelihatan berkompromi selepas penubuhan PR.

Pada masa ini, Mohamad menerima sokongan kuat semua golongan dalam PAS terutama kem yang dikenali “Erdogan,” dipercayai disebabkan pendiriannya berhubung PR dan penyandang timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa.

Mohamad bersaing dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan timbalan presiden bersama Datuk Husam Musa yang juga bekas naib presiden dan Nasharudin pada pemilihan yang lalu tahun 2009.

Husam telah menyuarakan hasrat untuk tidak bertanding merebut jawatan timbalan presiden pada tahun ini.

Nasharudin dikritik sebagai tidak menunjukkan prestasi yang baik sepanjang memegang jawatan timbalan presiden, tetapi masih mendapat sokongan kuat banyak pihak.

Beliau turut dikaitkan dengan usaha berbaik dan menjalin hubungan politik dengan Umno, dakwaan yang turut dikaitkan dengan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang oleh pihak tertentu.

Mohamad dalam kempennya untuk merebut jawatan timbalan presiden mengemukakan agenda membantu presiden untuk mengukuhkan PAS.

Pendirian Mohamad walau bagaimanapun tidak sepenuhnya selari dengan sikap Abdul Hadi berhubung haluan PAS dan PR.

Presiden PAS itu mempunyai pandangan tersendiri berhubung peranan PAS dalam PR, dan pernah mencadangkan kerajaan perpaduan nasional melibatkan semua parti politik di negara ini.

Ide beliau itu walau bagaimanapun dikecam sebagai usaha mengadakan pakatan PAS dengan Umno, mewujudkan perdebatan sengit antara dua kumpulan besar dalam parti itu.

Abdul Hadi masih berdepan tekanan dan kritikan ekoran dikaitkan dengan kegagalan rancangan perubahan kerajaan pusat 16 September, 2008 diketuai Anwar.

Tekanan terhadap beliau muncul lagi menjelang muktamar tahun ini apabila isu kelayakan beliau menjadi presiden PAS muncul lagi di media.

Prof Dr Abdul Aziz Bari mengulangi kritikan terhadap Abdul Hadi tidak lama dulu, dan pemikir libertarian Wan Saiful Wan Jan menulis ulasan yang diterbitkan di beberapa media menggesa presiden PAS itu melepaskan jawatan.

Kritikan terhadap Abdul Hadi kali ini walau bagaimanapun ditolak oleh ramai pihak termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

4 comments:

Anonymous said...

SB dan Task Force 2011 menjadi penentu dalam pemilihan Timbalan Presiden PAS. PAS tidak berupaya mengekang elemen ini, menyebabkan Timbalan Presiden PAS menjadi milik puak yang mahu PAS kembali kepada UBN

Anonymous said...

Zombie Kg Pisang.

Jika perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS kali ini hanya melibatkan Mat Sabu mencabar Nasharudin - maka perwakilan Muktamar PAS sewajarnya tidak berdepan kemelut.

Sebab?

Rata-rata bersetuju Nasharudin GAGAL. Noktah.

Walau pun ada sebuah blog warna merah kendalian seorang Pak Haji yang pernah amat giat bercerita perihal seorang pimpinan kanan PAS yang gemar memakai baju merah petak-petak dan begitu giat pula kini mendokong Nasharudin sekaligus giat juga memperlekeh Haji Hadi sambil menyepikan wibawa Mat Sabu serta tersorong-sorong memujuk Naib Presiden terkanan PAS supaya ikut bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS dengan pelbagai dalil-dalil yang hanya Pak Haji itu percaya.

Jadi apa masalahnya? Mat Sabu akan menang mudah.

Atau Mat Sabu juga bermasalah?

Susuk Mat Sabu secara individu memang ada masalah sebab dia pun manusia TETAPI masalah paling kritikal dalam konteks ini ialah LABU-LABI DI SEKELILINGNYA.

Di sekelilingnya bermaksud 24/7. Noktah.

Labu-labi Mat Sabu ini MENGEPUNG malah MENGIKAT Mat Sabu daripada keluar dari kepompong pemimpin bertaraf biasa-biasa untuk menjadi pemimpin besar bertaraf global yang amat didambakan oleh PAS.

Labu-labi Mat Sabu ini ialah sekumpulan eksklusif manusia yang menentukan atur cara kehidupan Mat Sabu, terutama dan antara lain, jadual ceramah Mat Sabu di seluruh negara (kerana inilah jenama Mat Sabu nombor wahid) yakni sebagai penceramah politik paling popular di Malaysia. Setakat ini, kedudukan Mat Sabu masih teratas.

Labu-labi Mat Sabu ini secara konsensus, terutama di kalangan pimpinan dan penyokong PAS, dianggap golongan degil, semua tahu, atur sana atur sini dan lain-lain yang sewaktu dengannya.

Pada waktu yang sama, labu-labi Mat Sabu ini dikenali juga golongan dalaman PAS (namun tidak berjawatan parti rata-ratanya) yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku kepada beberapa institusi PAS seperti Kohilal, Kosis, Intis - sekadar menyebut beberapa nama.

Sokongan padu terhadap Mat Sabu dihambat keresahan betapa jika menang - golongan labu-labi ini bukan sekadar akan berkeliaran di Pejabat Agung PAS malah mengambil peranan sebagai menteri-menteri kabinet Mat Sabu - mungkin tanpa restu Mat Sabu sendiri.

Ekoran hambatan ini, satu usaha dikatakan sedang didepani oleh sekelompok besar YDP-YDP kawasan serta didokong oleh majoriti besar kelompok Pemuda PAS, Muslimat PAS termasuk kelompok "ulama" sendiri supaya keresahan ini disampaikan terus kepada Mat Sabu - dan Mat Sabu akan diminta menyatakan pendirian betapa jika terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS, beliau wajar mengawal keadaan dan berperanan sebagai Timbalan Presiden yang terbuka, telus lagi adil.

Seorang Timbalan Presiden untuk SEMUA kelompok di dalam PAS.

Seorang Timbalan Presiden yang mendokong saranan keramat Presiden sendiri agar PAS bersedia "Duduk Dalam Pakatan; Berdiri Dalam Barisan" dengan erti kata penuh kebijaksanaan tanpa mengorbankan prinsip perjuangan serta jati diri.

Seorang Timbalan Presiden yang berani mempertahankan PAS terutama berkaitan kerjasama di dalam Pakatan Rakyat untuk tidak sekadar menjadi pak turut sahaja.

Sekiranya Mat Sabu cekal lagi istiqomah - gandingan Haji Hadi dan Mat Sabu ini dijangka mampu melaksanakan satu anjakan paradiqma menjadikan PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam yang berkesan lagi berwibawa.

Insya'llah.

Anonymous said...

Baru terbaca interview Mat Sabu dalam Merdeka Review.Kuat dia promot DAP. - PenyokongPAStegar

zarra said...

Lumrah dlm sesebuah organisasi, apa lagilah politik! Tentu akan ada persaingan, yg tentunya utk menyegarkan demokrasi dlm organisasi supaya parti tidak jumut. Sebagai parti Islam & agak besar keahlian, PAS harus berlapang dada menerima siapa yg punya wibawa menawar diri utk memimpin jamaah. Soal, calon dpd kalangan ulamak, professional, aktivis dsbnya sepatutnya tidak timbul. Kerana premis kt jelas; berasakan al-Quran & hadith. Pemimpin yg menyimpang dpd landasan, pasti akan terpelanting. YDP Dato' Asri Muda meninggalkan parti tapi PAS terus maju. Jadi, apa yg perlu digusarkan, sehingga memberi ruang kpd strategis musuh memporak-peradakan PAS. Menjelang Muktamar Jun ini, bagi saya tidak perlulah ada tokoh dr kelompok tertentu membuat saranan kpd perwakilan tentang siapa yg patut dipilih! Lihat saja Ihwannul Muslimun, Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, siapa mereka? Tapi lihatlah legasi yg mereka tinggalkan. Marilah kt sama2 berjiwa besar meraikan sesiapa saja di kalangan pemimpin parti yg ingin menawar diri ke jawatan2 tertentu .........

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...