Wednesday, May 18, 2011

Sokongan untuk Anwar gugat perpaduan Abim

Angkatan Belia Islam Malaysia, Abim, yang mencecah usia 40 tahun pada tahun ini berdepan kemelut dalaman ekoran sokongan kuat gerakan itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua Parti Keadilan Rakyat, PKR, yang juga bekas pemimpin kumpulan bukan kerajaan itu.

Sokongan untuk Anwar, pada masa kritikan yang semakin meningkat berhubung pendiriannya berhubung isu-isu Islam dan Melayu, dilihat telah menjadi punca beberapa bekas pemimpin kumpulan itu disisihkan.

Abim kini dilihat meminggirkan bekas pemimpinnya seperti Dr Yusri Mohamad dan Prof Datuk Dr Sidek Baba yang kritikal dengan Anwar kini, walaupun kuat menyokong bekas timbalan perdana menteri itu satu ketika dulu.

Abim, bersama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) saling berkaitan dan biasa dirujuk sebagai secara popular sebagai Abim ekoran perkaitan rapat itu.

Secara umumnya, aktivis yang bergerak dalam PKPIM di kampus kemudian menyertai Abim dan selepas itu bergerak dalam Wadah.

Yusri, bekas presiden Abim yang kini bergiat dalam Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menjadi tokoh paling vokal mengkritik Anwar yang didakwa menunjukkan sikap menyokong pluralisme agama yang dibawa Barat.

Satu kes yang mengejutkan pertubuhan itu ialah satu rakaman audio perdebatan Anwar dengan ahli-ahli Abim yang disebarkan oleh laman web anti-Anwar, di anwaraidc.com.

Pendirian Anwar dipersoalkan dengan lebih kuat ekoran satu ucapannya di London School of Economics pada 2010, menyaksikan Anwar mengemukakan hujah yang boleh dibaca sebagai menyokong pandangan menyamakan agama-agama yang berbeza.

Anwar juga dikritik kerana tidak memberikan pandangan yang jelas berhubung isu murtad Lina Joy dan menyokong penggunaan kalimah Allah oleh Kristian Katolik yang ditentang kuat Pembela dan aktivis-aktivis seperti Dr Mohd Farid Mohd Shahran.

Ucapan Anwar itu dinilai sebagai mengemukakan tafsiran yang bertentangan dengan Islam dan cuba mengambil hati Barat untuk menguatkan lagi sokongan kepada beliau.

Sikap Anwar itu turut mengundang kritikan terhadap PAS yang bersama Anwar dalam Pakatan Rakyat, gabungan pembangkang yang dilihat semakin mengabaikan Islam.

Menurut sumber, ekoran sikap kritikal tersebut, kedua-dua Yusri dan Sidek tidak dijemput ke satu majlis besar untuk memperingati 40 tahun pertubuhan itu baru-baru ini.

Ekoran sikap kritikal terhadap Anwar, ada suara yang mengaitkan kedua-dua mereka sebagai cuba merapatkan diri dengan parti pemerintah, malah ada yang mendakwa mereka dibeli.

Tokoh yang kuat mempertahankan Anwar kini termasuk Dr Siddiq Fadzil, akademik yang kini memgang jawatan presiden di pusat pengajian tinggi Islam ditubuhkan Abim, Kolej Dar al-Hikmah.

Anwar masih mempunyai pengaruh kuat terhadap Abim, yang dilihat sesetengah pihak sebagai tanda menunjukkan pergantungan pertubuhan itu untuk mendapat manfaat daripada kuasa politik presiden keduanya itu, selain hubungan persahabatan peribadi.

Aktivis Abim menjadi pendokong kuat Anwar ketika beliau di dalam Umno. Menjelang 1998, pemuda Umno yang dikuasai Anwar memainkan peranan aktif dalam membawa agenda Anwar, termasuk mengkritik perdana menteri ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad dan amalan "kolusi, kronisme dan nepotisme."

Semasa Anwar menjadi timbalan perdana menteri, menjelang tahun 1998, Sidek yang ketika itu merupakan orang Anwar yang berpengaruh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM, melaksanakan agenda yang termasuk mengekang kumpulan pelajar yang dikaitkan dengan PAS.

Beliau dilihat sebagai antara tokoh yang bakal ditempatkan di kedudukan tinggi sekiranya Anwar berjaya menjadi perdana menteri dalam masa terdekat.

Antara jawatan yang disebut-sebut bakal dipegang tokoh itu ialah ketua menteri Melaka.

UIAM ketika era kegemilangan Anwar merupakan kubu kuat kem Anwar, tempat bergiat pemimpin pelajar seperti ketua pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Mohamad Ezam Mohd Noor yang kini telah meninggalkan Anwar.

Pemimpin pelajar kem Anwar walau bagaimanapun tidak semuanya terus bersama Anwar.

Seorang bekas presiden PKPIM, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyertai Umno dan kini bergiat aktif bersama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Perkasa.

Asyraf pada Pilihan Raya Umum ke-12 bertanding di Parlimen Tumpat menentang orang kuat Anwar, Datuk Kamaruddin Jaffar dari PAS.

Jaringan ahli dan bekas ahli Abim kini masih menjadi pendokong dan penyokong penting Anwar sehingga ke hari ini, termasuk dalam PKR yang diwakili antaranya oleh Mustaffa Kamil Ayub dan Dr Muhammad Nur Manuty.

Muhammad Nur yang berlatar belakang akademik dan agamawan menjadi pembela utama Anwar dan PKR dalam membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian Katolik.

Abim merupakan kumpulan paling aktif membela Anwar pada awal beliau dipecat daripada Umno dan kemudian menubuhkan Parti Keadilan Nasional, PKN.

Jaringan yang dikenali "orang Abim" walau bagaimanapun semakin merosot dalam PKR ekoran peningkatan pengaruh ahli bukan Muslim dan berfahaman liberal, serta agenda Anwar yang semakin liberal.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...