Wednesday, May 25, 2011

'Erdogan masa depan PAS'

Oleh JOHARI M

Perbincangan isu pemilihan kepimpinan PAS yang diadakan di Kuala Lumpur pada 24 Mei semalam memberi gambaran kesimpulan bahawa masa depan PAS berkait rapat dengan kumpulan Erdogan, yang juga disifatkan sebagai kumpulan "progresif" dalam parti Islam itu.

Forum itu bertajuk Pemilihan 2011: Mampukah PAS Membuat Lonjakan, memberi implikasi dan isyarat bahawa pemilihan pemimpin-pemimpin tertentu sebagai tanda lonjakan atau pembaharuan dimaksudkan itu.

Forum anjuran pemikir libertarian Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Ilham Center dan Free Public Forum Malaysia itu ialah yang pertama dalam siri forum berhubung PAS yang akan diadakan.

Wakil-wakil PAS terdiri daripada Dr Dzulkifly Ahmad, ahli Parlimen Kuala Selangor dan bekas pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam dan Datuk Kamaruddin Jaafar, ahli Parlimen Tumpat.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari menjadi ahli panel tunggal yang bukan dari PAS. Forum dipengerusikan Wan Saiful Wan Jan dari Ideas.

Apa yang paling jelas daripada forum itu ialah wakil-wakil PAS kesemuanya sealiran, sehingga boleh menimbulkan persoalan keperluan sehingga tiga orang menjadi panel.

Malah, tidak ada wakil dari kem bertentangan dipanggil, sehingga forum menjadi mudah diagak dan ahli-ahli panel kurang dicabar.

Apa yang lebih mengundang perhatian ialah dua yang terlibat; Wan Saiful dan Abdul Aziz pada bulan lalu menerbitkan tulisan yang mengkritik dengan keras Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, tindakan yang dilihat muncul sebagai sebahagian permainan menjelang muktamar parti itu.

Walaupun kewujudan kem dan label Erdogan dinafikan, persamaan ide dan perspektif wakil-wakil PAS terbabit memperlihatkan sebaliknya.

Malah, istilah properubahan turut timbul, yang memberi makna wujud kem lain yang tidak mahu atau kurang menerima perubahan.

Kesemua ahli Parlimen PAS terbabit mengemukakan sudut pandangan yang menarik, popular dengan audiens yang hadir, dan berdasarkan suasana politik semasa, perlu diperincikan dan dijelaskan lagi dalam wacana lain.

Hampir kesemua pandangan dikemukakan kelihatan sangat ideal dan baik, sehingga tertonjol ketidakselariannya dengan perkembangan dalam parti selama ini yang jauh berbeza.

Kesemua memberikan pandangan yang sealiran dengan sedikit perbezaan, tetapi paling efektif disampaikan oleh Dzulkifly, yang antara lain turut mengemukakan hujah berdasar nas al-Quran untuk menyokong sistem dua parti.

Forum ini - dan pelbagai forum lain sebelum ini - mengukuhkan lagi kedudukan Dzulkifly sebagai tokoh paling mempunyai keupayaan intelektual yang cukup untuk menjelaskan ide-ide yang dikaitkan dengan kumpulan itu.

Menurutnya, sistem dua parti secara praktikal ialah semak dan imbang antara dua kumpulan seperti disebut dalam al-Quran.

Khalid walaupun menegaskan lagi pendiriannya yang biasa didengari sebelum ini, kelihatan agak berbeza apabila memuji dua pemimpin konservatif yang berseberangan dengan Erdogan, iaitu presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Nasrudin Hassan, ketua pemuda.

Beliau turut mengelak daripada menjawab soalan berhubung kemungkinan bekerjasama dengan Umno, tanpa memberi sebarang penjelasan.

Kamaruddin, menjawab satu soalan peserta pada penghujung program mengakui bahawa ide kerajaan perpaduan yang disarankan oleh presiden telah tidak dibincangkan dengan sempurna oleh pimpinan PAS.

Menjelaskan ide-ide yang dilihat dipelopori oleh Erdogan, Kamaruddin menjawab satu isu dengan baik apabila memberikan latar sejarah pakatan politik melibatkan Melayu-Muslim dengan bukan Melayu seperti dilakukan sebelum merdeka dan pada 1980-an dengan penubuhan majlis untuk menguruskan perhubungan dengan orang Cina.

Abdul Aziz tidak menampakkan perbezaan daripada kenyataan-kenyataan provokatifnya sejak beberapa tahun lalu.

Secara keseluruhan, forum ini menarik dan berjaya menyampaikan pandangan-pandangan Erdogan dengan baik, tetapi dalam parti apa yang disebut tidak seindah itu kerana berlaku pergeseran yang getir akibat daripadanya.

Apapun, forum seperti ini wajar diadakan lagi, tetapi hendaklah lebih mewakili pandangan berbeza dan tidak hanya membawa satu aliran pandangan seperti yang berlaku dalam forum ini.

1 comment:

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang

Rata-ratanya puak Erdogan terdiri daripada pemimpin pelapis PAS yang memiliki imej wibawa serta daya intelektual yang baik.

Erdogan juga boleh dianggap cerminan ciri-ciri PAS moden yang sedia berubah demi menangani perubahan senario politik.

Puak Erdogan kini membentuk menjadi satu kelompok atau gerombolan atau fraksi utama di dalam PAS, selain satu lagi kelompok yang dipanggil sebagai puak "ulama".

Kelompok ketiga yang dikatakan tidak memihak kepada mana-mana di antara kelompok Erdogan atau "ulama" tadi dikatakan berdiri dalam saf Mat Sabu.

Malangnya .., Erdogan turut dikaitkan sebagai ahli-ahli PAS yang bukan sekadar terkesima dengan Ketua Umum PKR malah memperlekeh keupayaan Presiden PAS sendiri, terutama dalam konteks menjadi teraju utama negara (baca Perdama Menteri) sekiranya PR berjaya memenangi PRU.

Bertambah malang pula apabila Mat Sabu dikatakan telah berunding dan bersekongkol sekali lagi dengan kelompok Erdogan dalam menghadapi pemilihan jawatan pada Muktamar kali ini. Walhal Mat Sabu pernah jatuh terpesuk ke dalam lubang yang digali kelompok Erdogan untuknya ketika Muktamar lepas.

Lebih malang lagi apabila kelompok "ulama" hanya sekadar mampu menampilkan penceramah Tuan Ibrahim sebagai pilihan kedua mewakili kelompok mereka ketika pilihan pertama iaitu Nasharudin Isa dilihat semakin tawar seperti kopi pekat melekat tak bergula yang diberikan oleh Saloma kepada A.R. Tompel dalam filem Ahmad Albab.

Atau mungkinkah kelompok "ulama" berstrategi Nasharudin menarik diri lantas memberi manfaat kepada Tuan Ibrahim (yang kini rata-rata dirujuk sebagai Tuan Guru Tuan Ibrahim @ Dato Tuan)??

Dan apakah pelik jika Nasharudin bersetuju lalu diberi jawatan kompromi seperti Timbalan Mursyidul Am ke? sebagai contoh.

Mat Sabu bagaimanakah pula?

Apakah agendanya? Mana mungkin Labu-Labi di sekelilingnya tiada agenda sedangkan belum pun Mat Sabu menjadi Timbalan Presiden - Labu-Labi Mat Sabu dilihat mula berjinak-jinak serta memangkah X tempat-tempat di Pejabat Agung PAS - tak percaya? Tanyalah mana-mana mamat/minah wartawan yang hadir sidang akhbar Mat Sabu pasal Bersih baru-baru ini ...

Belum nak ulas pasal si Husam yang berstrategi "undur selangkah untuk maju tiga langkah" ...

Kot mana pun kemelut pemilihan jawatan pada Muktamar PAS kali ini terdapat dua (2) perkara yang harus diberi perhatian iaitu;

1. Mursyidul Am yang baru

2. Mazlan Aliman sebagai Naib Presiden dengan undi tertinggi.

Yang pertama tak perlu beri sebab. Kalau nak juga sebab .., sebabnya sudah terang lagi bersuluh.

Kedua, Mazlan merupakan pemimpin muda yang dilihat begitu gigih serta memain peranan cukup kritikal untuk PAS.

Selamat BerMuktamar & Tolong Jaga Kebersihan Taman Melewar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...