Tuesday, May 10, 2011

Liputan media jejas peluang Mat Sabu?


Mohamad Sabu, tokoh popular PAS yang akan bertanding jawatan timbalan presiden parti itu dalam pemilihan nanti kelihatan berdepan laluan mudah di peringkat pencalonan pada masa ini.

Menurut laporan portal-portal berita, beliau memperolehi pencalonan terbanyak, jauh mengatasi penyandang Nasharudin Mat Isa.

Mohamad kini muncul sebagai tokoh tumpuan media dalam usahanya merebut jawatan nombor dua parti itu.

Walau bagaimanapun, profil tinggi beliau di media tertentu kini mampu mendatangkan kesan negatif terhadap sokongan dalam parti, disebabkan kemungkinan liputan itu dilihat sebagai sebahagian kempen agresif bekas naib presiden PAS itu.

Pada pemilihan yang lalu, Datuk Husam Musa mendapat liputan meluas media dan portal berita seperti Malaysian Insider dan Malaysiakini dengan laporan yang dilihat condong memihak kepada beliau dalam melaporkan persaingan merebut jawatan timbalan presiden.

Beliau juga dilaporkan secara meluas sebagai telah memenangi jawatan timbalan pada malam pengundian, sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Husam turut menerima sokongan kempen agresif penulis-penulis blog yang banyak menghasilkan tulisan kontroversi.

Husam yang dilihat berkempen secara agresif dan menerima sokongan kuat "orang luar" tewas ekoran tindakan ramai memberi sokongan padu kepada Nasharudin.

Sebahagian pemerhati mengaitkan kempen dan liputan di media sebagai salah satu punca kekalahan Husam.

Mohamad kini mendapat liputan berterusan portal-portal berita yang melaporkan berita positif untuk beliau.

Beliau telahpun memperlahankan kempen apabila membatalkan pelancaran kelab peminat yang dijadual 6 Mei lalu di Kuala Lumpur, sebagai usaha mengelakkan daripada disalah erti oleh penyokong dan ahli parti.

Acara besar-besaran itu dijangka akan memperlihatkan beliau sebagai terlalu agresif berkempen, sesuatu yang boleh dilihat secara negatif dalam PAS.

Media sejak lebih sedekad lalu memainkan peranan penting dalam pemilihan kepimpinan PAS, dan boleh menjadi ukuran sokongan kumpulan tertentu kepada tokoh yang bertanding.

Nasharudin pernah mendapat liputan meluas dan positif media berbahasa Inggeris bermula beliau mula bertanding jawatan timbalan dan sebelum pilihan raya 2008.

Bekas Timbalan Presiden Allahyarham Hassan Shukri tewas dalam pertandingan jawatan itu pada 2005.

Laporan-laporan portal berita berhubung isu Kohilal yang muncul secara mendadak dipercayai menyumbang kepada kempen negatif yang akhirnya menewaskan beliau.

Ada pihak dalam PAS melihat isu Kohilal sengaja ditimbulkan untuk menjatuhkan Hassan, terutama apabila isu itu tidak lagi ditimbulkan secara agresif selepas pemilihan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...