Wednesday, May 25, 2011

Pendedahan WikiLeaks serampang dua mata dedah Eskay, Anwar

Oleh ZOMBI KG PISANG

Terdapat dua perkara pokok yang perlu diperjelaskan kepada umum berikutan pendedahan terbaru WikiLeaks seperti didedahkan kepada Asia Sentinel yang kemudiannya disiarkan oleh laman web kendalian Raja Petra Kamaruddin iaitu Malaysia Today. Pendedahan tersebut berdasarkan kabel sulit Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia yang dibocorkan.

Pendedahan terperinci itu merupakan maklumat mesyuarat pada 5 Februari 2006 yang dihantar kepada Jabatan Negara AS di Washington melalui kabel sulit oleh kaunselor politik Mark D Clark.

Pertama ialah peranan yang dijalankan oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dalam konflik bersenjata di negara jiran Malaysia iaitu Thailand. Menurut pendedahan tersebut, Eskay mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang pergerakan serta aktiviti puak pemisah Melayu Muslim di selatan Thailand dalam konfliks berdarah dengan kerajaan pusat Thailand yang telah mengorbankan ramai nyawa terutama di pihak puak pemisah akibat serangan tentera kerajaan Thailand termasuk menyerang masjid dan sekolah agama di selatan Thailand yang mempunyai penduduk majoriti Melayu Muslim.

Eskay dikatakan telah berkongsi maklumat dengan pegawai-pegawai berpangkat tinggi di Kedutaan AS Kuala Lumpur. Antara lain, Eskay dikatakan berkongsi maklumat perihal aktivis-aktivis puak pemisah Melayu Muslim Thailand yang menetap di Malaysia serta jaringan dan aktiviti mereka.

Kedua, malah mungkin lebih mencetuskan persoalan dan kontroversi ialah pendedahan bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama ada ketika masih di pihak kerajaan Umno dan Barisan Nasional mahupun selepas disingkirkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad daripada Umno dan kerajaan – acap kali dikatakan berhubungan dengan pegawai-pegawai kedutaan AS bagi memberi amaran secara kerap kepada kedutaan AS tentang Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Menurut pendedahan itu lagi, kabel sulit yang mengandungi lebih 900,000 perkataan itu merangkumi laporan selama 15 tahun bermula pada tahun 1993 hingga tahun 2008. Anwar, sejak awal lagi dikatakan menganggap Najib sebagai bahaya kepada dirinya dan secara kerap memberi amaran kepada kedutaan AS betapa Najib sering melakukan jenayah korupsi dalam pembelian peralatan pertahanan negara dan menjadi ancaman kepada amalan demokrasi di Malaysia.

Menjadi sedikit pelik apabila laman web yang dianggap berwibawa seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider – begitu pantas dan prihatin melaporkan pendedahan tentang Eskay tetapi bertindak menggelapkan pendedahan tentang Anwar walhal tindakan seseorang ketika memegang jawatan timbalan perdana menteri dan selepas itu, pemimpin utama pakatan pembangkang yang melapor kepada sebuah kedutaan asing tentang seseorang yang menjadi ahli parti politik serta ahli kerajaan yang sama – boleh menimbulkan persoalan yang amat besar.

Sekiranya perkara tersebut berlaku sewaktu Anwar menjadi sebahagian daripada kerajaan – tidakkah ini menunjukkan betapa Umno sebagai parti politik utama yang memerintah dalam kerajaan Malaysia tidak mempunyai cara atau mekanisme untuk menangani amalan korupsi ahli-ahlinya. Jika sebagai sebuah parti politik perkara ini gagal ditangani, bagaimanakah pula dari sudut sebuah kerajaan yang memerintah negara?

Pada waktu yang sama, apakah kuasa dan peranan seorang perdana menteri ketika itu, malah berlanjutan kepada semua agensi atau jabatan seperti polis, pencegah rasuah dan lain-lain.

Jika seorang timbalan perdana menteri bertindak sedemikian, apakah yang dapat menghalang orang lain sama ada menteri-menteri kabinet, ketua-ketua turus tentera, ketua-ketua kementerian dan lain-lain untuk melapor kepada mana-mana kedutaan asing di Kuala Lumpur?

Tidakkah tindakan sedemikian sebenarnya amat merbahaya kepada keselamatan negara?

Pendedahan tentang Eskay hanya melibatkan peranannya secara peribadi – yang jika diperhalusi tidak melibatkan maklumat sulit negaranya sendiri. Eskay memberi maklumat tentang puak pemisah Melayu Islam di Thailand kepada kedutaan AS di Kuala Lumpur. Barangkali yang dipersoal ialah moralnya sebagai orang Muslim, atau juga risiko yang perlu dihadapinya sendiri akibat peranannya itu.

Sebaliknya, jika pemain-pemain politik Malaysia, tidak kira di sebelah pihak parti yang memerintah atau di barisan pembangkang dibenarkan mengadu atau melaporkan perihal seteru politik mereka kepada mana-mana kedutaan asing di Kuala Lumpur, sama ada seteru politik itu berada di dalam parti sendiri atau tidak, tidakkah tindakan sebegini pada tahap paling daif lagi naïf malah amat berbahaya umpama suami isteri anak-beranak bergaduh lalu masing-masing mengadu-domba sekeliling kampong.. opps, serata dunia.

Dan soalan cepumas untuk PAS – sebagai parti politik yang mendakwa mendambakan Islam sebagai destinasi perjuangannya yang syumul – apakah pendirian PAS dalam soal seperti ini? Atau seperti isu-isu lain sebelumnya, terutama yang melibatkan seseorang yang menghuni rumah agam di Segambut Heights, PAS sentiasa berpegang kepada keputusan konsensus bersama-sama rakan politik mereka iaitu DAP dan PKR?

Zombi Kg Pisang ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily. Beliau merupakan pemerhati politik tempatan, terutama melibatkan PAS dan hubungan dengan rakan pembangkang lain.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...