Wednesday, April 16, 2008

Azreen sudah dibawa ke hotel sebelum pulang

JAKARTA, 16 April: Pasukan jejak kasih Cik Siti Nor Azreen berjaya membawa pulang remaja itu ke bilik hotel penginapan mereka dan sedang dalam proses menyiapkan dokumentasi perjalanan untuk membawa remaja itu pulang ke Malaysia.

Demikian SMS yang dikirimkan oleh Koordinator Migran Care Alex Ong kepada Siasah, yang mengetuai pasukan itu ke Lombok, Indonesia bagi mempertemukan bapa gadis itu, Che Ishak Che Kob, dengan anaknya yang hilang sejak beberapa bula lalu.

Misi yang sebahagian besarnya dibiayai Kijang Care, sebuah NGO yang dinaungi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa itu turut disertai oleh Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar.

Mereka berlepas 14 April lepas dari KLIA menaiki pesawat Garuda.

Mereka bertemu dengan Azreen di pusat kebajikan Lombok. Pasukan itu turut bertemu dengan lelaki yang dikatakan membawa lari Azreen ke Indonesia dari rumahnya di Negeri Sembilan.

Azreen, yang hilang sejak Aidiladha lalu dipercayai menjadi mangsa pukau seorang lelaki warga Indonesia yang juga jirannya ditemui semula di Desa Terentem, Dusun Kabar, Lombok Timur, Indonesia, Jumaat lalu.

Che Ishak, ayah Azreen, yang berasal dari Kelantan dan kini menetap di Ladang Ulu Sawah, Kuala Sawah, Rantau dekat sini, berkata beliau diberitahu Migrant Care sebuah organisasi sukarela yang bertanggungjawab mengenai buruh Indonesia bahawa anaknya sudah ditemui.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...