Saturday, June 11, 2011

Piala FA: Kelantan PAS atau Kelantan Umno?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Pasukan bola sepak Kelantan akan bertemu Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Kuala Lumpur malam ini.

Dalam suasana politik yang menyentuh dan menyelinap ke seluruh pelusuk kehidupan pada masa kini, perlawanan ini menjadi satu isu sentral dalam wacana politik popular negara ini.

Seperti juga perlawanan akhir Piala Malaysia pada 2009 dan 2010, simbol politik akan dapat diperhatikan secara meluas menjelang, semasa dan selepas perlawanan Kelantan dan Terengganu malam ini.

Penyokong PAS umumnya mengaitkan Kelantan dengan parti itu, disebabkan penguasaan PAS lebih 20 tahun di negeri itu.

Tetapi, seperti yang disaksikan pada tahun lalu, perlawanan akhir Piala Malaysia melibatkan Kelantan dengan Negeri Sembilan berjaya dimanfaatkan oleh Umno untuk menumpang imej positif.

Perlawanan yang diadakan selepas pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan menyaksikan usaha kedua-dua pihak menggunakan perlawanan itu untuk mendapat manfaat politik.

Secara sedar, kedua-dua PAS dan Umno menggunakan sentimen menuju perlawanan itu untuk menyumbang kepada imej positif masing-masing.

Umno, walaupun kurang dikaitkan dengan Kelantan, berjaya memanfaatkan sentimen sekitar perlawanan itu dan kemenangan pasukan Kelantan melalui beberapa tindakan yang dilakukan, termasuk menyediakan pengangkutan untuk penonton.

Selepas perlawanan, Tan Sri Annuar Musa dilapor meraikan kejayaan dengan memakai baju korporat Persatuan Bola Sepak Kelantan dalam majlis politik, dan sambutan Piala Malaysia yang dibawa ke Kelantan disesuaikan untuk memberi manfaat kepada Umno.

Annuar kekal sebagai orang kuat Umno Kelantan walaupun ada usaha memasukkan tokoh lain ke negeri itu, seperti pada pilihan raya umum 2008.

PAS, untuk tidak ketinggalan membalas dengan memberikan anugerah kepada pemain-pemain Kelantan, mengikat kejayaan pasukan bola sepak itu dengan kerajaan PAS negeri Kelantan.

Hal yang sama dapat diperhatikan ekoran kejayaan pasukan negara menjuarai Piala Suzuki akhir tahun lalu, apabila kedua-dua kumpulan pembangkang dan pemerintah bersaing mendekatkan diri dengan kejayaan itu.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional kelihatan cuba mengatasi satu sama lain memberikan ucapan tahniah dan anugerah kepada pasukan negara.

Kelantan, yang seorang pemainnya menjadi salah seorang pemain kebangsaan yang cemerlang, mendapat manfaat imej positif hasil kemenangan itu.

Menteri besar Kelantan muncul di media dalam upacara memberikan anugerah kepada pemain cemerlang itu, Khairul Fahmi Che Mat.

Dalam perlawanan hari ini, Kelantan akan menemui Terengganu, negeri yang juga mudah dikaitkan dengan Umno kerana dikuasai parti itu sejak memenanginya semula pada 2004.

Terengganu pernah diangkat sebagai pasukan PAS dan simbol kejayaan parti itu apabila memenangi Piala Malaysia pada 2001, semasa masih di bawah pemerintahan PAS.

Sentimen politik kepartian membentuk wacana popular penyokong-penyokong PAS pada masa itu, tidak lama selepas sentimen reformasi 1998 menghasilkan perubahan kerajaan di Terengganu pada pilihan raya umum 1999.

Dalam perlawanan di Bukit Jalil malam ini, Terengganu ialah "negeri Umno" bagi penyokong PAS, seperti juga Negeri Sembilan dalam perlawanan Piala Malaysia dengan Kelantan selama dua tahun lalu.

Sentimen ramai penyokong PAS yang mengikuti sukan bola sepak ialah sokongan untuk Kelantan, simbol paling jelas parti itu dalam sukan negara ini.

Semasa, dan paling utama selepas perlawanan malam ini, simbol-simbol politik akan dapat diperhatikan lagi, digunakan semua pihak berkepentingan untuk membina imej positif.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...