Monday, June 27, 2011

Bersih uji imej Najib dan sokongan untuk pembangkang


Perhimpunan besar-besaran Bersih pertama pada 2007 telah menjejaskan dengan teruk imej kerajaan Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Liputan media dalam dan luar negara yang meluas telah meletakkan kerajaan pada masa itu dalam keadaan defensif, terutama dengan munculnya rakaman-rakaman tindakan keras pihak berkuasa terhadap peserta demonstrasi.

Media antarabangsa dari Australia ke Amerika Syarikat membuat liputan yang memalukan kepada kerajaan Abdullah.

Pada masa yang sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat sebagai pemimpin gerakan itu menyaksikan peningkatan imej ekoran kejayaan himpunan besar-besaran itu.

Kali ini, Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak sekali lagi berdepan ujian imej yang besar, pada masa sama isu seperti kapal selam Perancis dan hal berkaitan turut mendapat liputan media antarabangsa.

Di dalam dan luar negara, Najib kini berdepan ujian terhadap imejnya, yang sentiasa berdepan tekanan sejak mula menjawat jawatan perdana menteri.

Najib sejak awal telah memperlihatkan respons berbentuk konfrontasi terhadap Bersih 2.0, dibantu oleh media seperti Utusan Malaysia, TV3 dan kumpulan seperti Perkasa.

Lebih 1,000 laporan polis juga sudah dibuat oleh pelbagai pihak yang menentang perhimpunan itu.

Terbaharu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengatakan ada kemungkinan ISA akan digunakan.

Tangkapan-tangkapan yang dibuat sejak beberapa hari lalu telah menunjukkan kesediaan pemerintah mengambil langkah yang boleh menggugat populariti.

Walau bagaimanapun, penggunaan ISA bakal memburukkan lagi imej Najib, termasuk mencetuskan pertikaian besar dalam kalangan parti komponen BN yang ada antaranya akan menentang langkah itu.

Tekanan pemerintah dan penyokongnya terhadap Bersih 2.0 boleh menakutkan mereka yang berpotensi menyertai perhimpunan itu, dan mencegah ramai daripada menyertainya.

Kaitan penganjur perhimpunan kali ini yang dikaitkan dengan kes murtad dan cabaran terhadap kedudukan istimewa agama Islam berpotensi menjejaskan sokongan untuk Bersih 2.0, walaupun hanya pada tahap yang minima.

Sekiranya pentadbiran Najib mengambil langkah pencegahan untuk menggagalkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai, imejnya bakal tercalar kerana menghalang perhimpunan sebagai satu cara rakyat dalam negara demokratik menuntut hak.

Pada masa sama, populariti pembangkang juga berdepan ujian, yang bakal diukur melalui jumlah yang hadir sekiranya perhimpunan 9 Julai nanti terlaksana.

Kumpulan propemerintah diketuai Pemuda Umno juga merancang untuk berhimpun pada tarikh itu nanti.

Populariti kedua-dua Najib dan Pakatan Rakyat akan berdepan ujian sebenar sekiranya perhimpunan pada 9 Julai nanti berjaya diadakan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...