Sunday, June 12, 2011

AJK baharu PAS: Kabinet pilihan raya, kabinet Pakatan Rakyat

Lantikan penuh ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat hari ini menunjukkan lagi haluan "kabinet pilihan raya" parti itu, dengan dua pesuruhjaya negeri diletakkan tokoh yang lebih diterima rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Lantikan hari ini ditunggu-tunggu untuk melihat tanda persaingan kem-kem dalam parti itu.

Datuk Dr Hasan Ali yang dinilai sesetengah pihak sebagai tidak sehaluan dengan PR diganti dengan Dr Abd Rani Osman, yang pernah cuba dilantik ke jawatan itu sebelum ini.

Hasan pernah mengkritik jawatankuasa akauntabiliti Selcat dan bertikam lidah dengan exco dari DAP Ronnie Liu dalam kes inisiatif PAS mengawal penjualan arak, menjadikannya tidak popular dalam kalangan kerajaan PR Selangor.

Hasan juga tidak sehaluan dengan Khalid Samad, ahli Parlimen PAS di Shah Alam. Abd Rani lebih dapat diterima ramai dalam kalangan rakan PR berbanding Hasan.

Di Terengganu, Datuk Harun Taib yang juga dilihat tegas dengan rakan-rakan PR diganti dengan Mohd Abdul Wahid Endut, yang mula diketengahkan sejak dipilih bertanding Parlimen Kuala Terengganu pada Januari 2009.

Harun memperlihatkan sikap keras mempertahankan kerusi-kerusi di Terengganu, yang turut mahu ditandingi PKR di beberapa tempat.

Pelantikan baharu di dua negeri tersebut dilihat boleh memudahkan rundingan parti-parti PR dalam pembahagian kerusi, yang perlu diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Selangor, Terengganu, Sabah, Melaka dan Negeri Sembilan ialah lima negeri yang menyaksikan perubahan pimpinan tertinggi negeri.

Lantikan yang dilihat untuk menjaga kesatuan selepas pemilihan juga berlaku apabila tokoh yang kalah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Nasharudin Mat Isa dan Idris Ahmad dilantik ke Jawatankuasa Pusat.

Walau bagaimanapun, Datuk Mustafa Ali yang rapat dengan presiden parti mengekalkan jawatan setiausaha agung, yang turut cuba dilobi untuk diganti dengan tokoh lain, antaranya Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Jawatan setiausaha agung dilihat sebagai satu tanda utama sama ada presiden mengekalkan pilihannya atau diganti tokoh dari kem Erdogan.

Lantikan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang tewas dalam persaingan timbalan presiden ke jawatan ketua penerangan memperlihatkan satu usaha untuk terus mengekalkan beliau dalam kepimpinan parti, yang boleh membuka ruang untuk beliau bertanding dalam pemilihan-pemilihan akan datang.

1 comment:

Anonymous said...

Zombi Kg Pisang

Perlantikan Tuan Ibrahim sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat berkemungkinan menjadi kekhilafan besar yang boleh memperlekeh tuan badan sendiri. Tuan Ibrahim tidak memiliki justifikasi utuh (boleh juga dibaca sebagai tiada pengalaman atau kelayakan) untuk menyandang jawatan yang sebenarnya amat kritikal dalam konteks perang tanding media guna meraih sokongan rakyat yang semakin kritis sifatnya. Malahan tugas besar Tuan Ibrahim sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang bakal dikompromikan sekali gus memberi laluan mudah kepada UMNO/BN di negeri itu. Pada waktu yang sama, pelucutan Hassan Ali sebagai Pesuruhajaya PAS Selangor pula mengundang natijah yang sama kritikal terutama dari aspek kesinambungan kerja parti menjelang PRU akan datang serta asas hubungan baik dengan kakitangan kerajaan negeri yang dilihat berjaya dikemudikan oleh beliau secara berhemah berdasarkan pengalaman beliau sendiri sebagai bekas pegawai kanan kerajaan. Perlu juga diberi perhatian ialah hubungan baik yang sukar dijalin dengan pihak istana negeri. Hakikatnya, pertukaran jawatan Pesuruhjaya Negeri ini boleh dan lebih baik dibuat selepas PRU setidak-tidaknya atas alasan tindakan tersebut mampu merencatkan segala perancangan yang sudah tersusun. Nampaknya Erdogan bukan sekadar dikata sebagai menguasai kepimpinan tertinggi PAS malah sudah mula menggerak & mengatur bidak-bidak catur politik mereka. Sayugia diingatkan kepada penyandang Timbalan Presiden - betapa kerjasama dengan Erdogan sebelum Muktamar harus diperhalusi justru jawatan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat kini berada di tangan mereka - dan supaya orang nombor 2 parti dihormati dengan "kerusi selamat" dan tidak dikerah bertanding menentang seorang janda tua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...