Showing posts with label Muktamar 2011. Show all posts
Showing posts with label Muktamar 2011. Show all posts

Sunday, June 12, 2011

AJK baharu PAS: Kabinet pilihan raya, kabinet Pakatan Rakyat

Lantikan penuh ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat hari ini menunjukkan lagi haluan "kabinet pilihan raya" parti itu, dengan dua pesuruhjaya negeri diletakkan tokoh yang lebih diterima rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Lantikan hari ini ditunggu-tunggu untuk melihat tanda persaingan kem-kem dalam parti itu.

Datuk Dr Hasan Ali yang dinilai sesetengah pihak sebagai tidak sehaluan dengan PR diganti dengan Dr Abd Rani Osman, yang pernah cuba dilantik ke jawatan itu sebelum ini.

Hasan pernah mengkritik jawatankuasa akauntabiliti Selcat dan bertikam lidah dengan exco dari DAP Ronnie Liu dalam kes inisiatif PAS mengawal penjualan arak, menjadikannya tidak popular dalam kalangan kerajaan PR Selangor.

Hasan juga tidak sehaluan dengan Khalid Samad, ahli Parlimen PAS di Shah Alam. Abd Rani lebih dapat diterima ramai dalam kalangan rakan PR berbanding Hasan.

Di Terengganu, Datuk Harun Taib yang juga dilihat tegas dengan rakan-rakan PR diganti dengan Mohd Abdul Wahid Endut, yang mula diketengahkan sejak dipilih bertanding Parlimen Kuala Terengganu pada Januari 2009.

Harun memperlihatkan sikap keras mempertahankan kerusi-kerusi di Terengganu, yang turut mahu ditandingi PKR di beberapa tempat.

Pelantikan baharu di dua negeri tersebut dilihat boleh memudahkan rundingan parti-parti PR dalam pembahagian kerusi, yang perlu diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Selangor, Terengganu, Sabah, Melaka dan Negeri Sembilan ialah lima negeri yang menyaksikan perubahan pimpinan tertinggi negeri.

Lantikan yang dilihat untuk menjaga kesatuan selepas pemilihan juga berlaku apabila tokoh yang kalah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Nasharudin Mat Isa dan Idris Ahmad dilantik ke Jawatankuasa Pusat.

Walau bagaimanapun, Datuk Mustafa Ali yang rapat dengan presiden parti mengekalkan jawatan setiausaha agung, yang turut cuba dilobi untuk diganti dengan tokoh lain, antaranya Dr Syed Azman Syed Ahmad.

Jawatan setiausaha agung dilihat sebagai satu tanda utama sama ada presiden mengekalkan pilihannya atau diganti tokoh dari kem Erdogan.

Lantikan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang tewas dalam persaingan timbalan presiden ke jawatan ketua penerangan memperlihatkan satu usaha untuk terus mengekalkan beliau dalam kepimpinan parti, yang boleh membuka ruang untuk beliau bertanding dalam pemilihan-pemilihan akan datang.

Sunday, June 5, 2011

Ulama-Erdogan dan dualisme dalam PAS


Oleh HARIS ZALKAPLI

Pemilihan kepimpinan PAS yang baru berlalu tidak dapat mengelak daripada dinilai daripada sudut pemisahan golongan agama dan bukan berpendidikan agama, walaupun simplistik dan cenderung untuk menyeleweng takrifnya.

Satu pemisahan yang sering digunakan ialah "ulama dengan bukan ulama," "ulama dengan profesional," dan juga "konservatif-reformis."

Dari sudut definisi yang mudah difahami, ulama boleh diterjemah sebagai sarjana ilmu Islam, yang sepatutnya tidak disamakan dengan "ustaz" yang merupakan mereka yang memperoleh pendidikan agama, tetapi tidak pada peringkat yang lebih tinggi sehingga dinilai sebagai ulama.

Istilah yang meliputi kedua-dua ulama dan ustaz ialah agamawan, iaitu mereka yang menerima pendidikan agama Islam dalam pengkhususan.

Dalam wacana popular tentang kumpulan-kumpulan dalam PAS di media negara ini, dapat diperhatikan istilah profesional digunakan dengan mudah terhadap sesiapa sahaja yang bukan ulama, termasuk Datuk Mahfuz Omar dan Mohamad Sabu.

Istilah profesional sering digunakan pada masa awal PAS menerima kemasukan ramai pakar-pakar dalam bidang profesional seperti guaman, kejuruteraan dan sebagainya.

Ini digunakan secara mudah untuk beberapa tujuan, antaranya untuk menunjukkan PAS bukan lagi sebuah parti "lebai" atau "kampung" seperti yang dilihat dalam persepsi ramai.

Tetapi penggunaan mudah ini kemudian diterima secara rigid, dan mewujudkan dualisme ulama dan profesional, pembahagian yang mungkin paling sering digunakan dalam wacana popular mengenai PAS.

Secara umumnya, pembahagian ini dilakukan untuk membezakan mereka yang berpendidikan agama dengan yang bukan, sesuatu yang sebenarnya diterima secara agak meluas dalam parti itu sendiri, yang menilai sifatnya sebagai gerakan Islam sebagai penting dan perlu dipastikan berterusan.

Dalam kalangan tertentu PAS, kelayakan pendidikan agama dinilai dengan sangat kritikal, sehinggi menjadi kriteria untuk dipilih sebagai pemimpin, bukan sahaja di peringkat tertinggi tetapi juga peringkat lebih rendah.

Atas sebab ini, tidak boleh ditolak sepenuhnya pembahagian agamawan dengan bukan agamawan kerana sentimen ini wujud dalam PAS dan terus dijadikan kriteria pemilihan pemimpin.

Tetapi kelayakan pendidikan agama masih tidak dapat menjawab pelbagai persoalan termasuk kemampuan dan melaksanakan tugas-tugas yang diperlukan dalam parti, terutama apabila kelayakan itu dijadikan sebab mutlak pemilihan.

Isu yang lebih penting ialah penghayatan nilai-nilai agama yang lebih luas, dan kemampuan memaknakan dan menterjemahkan agama dalam kehidupan, atau amalan kepada teori agama.

Kedua-dua label "profesional" dan "ulama" tidak secara automatik menjadikan pemegangnya memenuhi tuntutan-tuntutan yang diperlukan, kerana profesionalisme tidak boleh diharapkan secara automatik daripada seseorang profesional, seperti juga penghayatan dan pelaksanaan agama tidak datang secara automatik daripada seseorang agamawan.

Berkait dengan dualisme ini ialah label progresif yang sering digunakan untuk menyifatkan pemimpin-pemimpin berkelayakan "profesional," sedangkan sifat progresif juga dapat dimiliki oleh agamawan.

Penggunaan istilah seperti di atas tidak adil kepada agamawan kerana secara automatik memaknakan golongan agamawan atau ulama sebagai tidak progresif.

Sifat progresif perlu dibuktikan dan merupakan kualiti yang boleh turun dan naik, dan tidak sewajarnya dikait terus, misalnya, dengan bidang pendidikan seseorang.

Konotasi ini dapat diperhatikan pada sesetengah komentar mengenai hasil pemilihan kepimpinan PAS dalam muktamar yang berakhir hari ini.

Satu lagi yang banyak digunakan ialah "Erdogan," yang diletakkan berseberangan dengan ulama atau agamawan.

Satu asas utama pembahagian ini ialah pendirian berkait pelbagai isu, yang salah satu paling berprofil tinggi ialah usaha melakukan perubahan kerajaan pusat melalui lompat parti wakil pemerintah ke parti-parti pembangkang.

Saya sendiri memilih untuk menggunakan istilah Erdogan (daripada nama Recep Tayyip Erdogan, perdana menteri Turki sekarang ini) kerana melihat ia mempunyai asas yang boleh diterima.

Apapun yang mendasari pemilihan dan penggunaan istilah ini oleh pencetus asalnya, ia mempunyai satu kaitan jelas dengan pasca-Islamisme.

Dalam wacana Islam politik, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) disifatkan sebagai sebuah parti pasca-Islamis atau model terbaik pasca-Islamisme, yang antara cirinya ialah wacana yang tidak lagi tertumpu pada isu ideologi dan dengan bahasa agama yang biasa dilihat pada gerakan Islam.

Pasca-Islamisme dinilai sebagai penggunaan bahasa yang kontemporari, sifat yang dilihat lebih liberal dan inklusif berbanding Islamisme, istilah untuk menyifatkan sebahagian besar gerakan dan parti Islam.

Dalam PAS, kumpulan yang disifatkan sebagai Erdogan mempunyai ciri-ciri pasca-Islamis, seperti bercakap dalam bahasa kontemporari dan tumpuan yang lebih kepada isu hak, pluralisme dan sebagainya yang berkaitan.

Satu lagi ciri persamaan ialah hubungan baik dengan tokoh pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi isu yang agak sensitif pada sesetengah pihak.

Pelabelan Erdogan ini digunakan untuk memberi gambaran umum satu aliran pemikiran dan faksi, dan tidak semestinya seragam semuanya.

Label Erdogan dan ulama digunakan untuk menyifatkan dua kumpulan utama yang bersaing, dengan pendirian berbeza kedua-duanya dalam beberapa isu, tanpa menafikan perbezaan-perbezaan dalam setiap kumpulan atau menyatakan hanya dua kumpulan itu yang wujud dalam PAS.

Label seperti ini, tidak semestinya secara automatik terkait secara langsung dengan benar atau salah, positif atau negatif.

Dalam politik kepartian, perbezaan-perbezaan tidak dapat dielakkan daripada wujud. Perbezaan ialah realiti mana-mana kumpulan yang menghimpunkan manusia.

Pembahagian sewajarnya tidak digunakan secara simplistik, seperti ulama lawan progresif yang memberi konotasi negatif kepada satu pihak, dan definisi seharusnya dipilih dengan cermat.

Tetapi, pembahagian juga perlu untuk memberi gambaran secara umum, untuk menyifatkan ciri-ciri tertentu yang dapat diperhatikan.

Kepimpinan baharu PAS cetus debat peranan ulama

Pelbagai bacaan muncul ekoran kemenangan besar pemimpin-pemimpin yang bukan berpendidikan agama dalam pemilihan PAS dalam muktamar tahun ini.

Banyak pihak melihat perkembangan ini sebagai persediaan PAS untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presiden parti itu sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan kepimpinan yang baru dipilih ialah "kabinet pilihan raya PAS."

Hal ini turut diperhatikan oleh pengkaji politik Dr Bridget Welsh dari Sekolah Sains Sosial, Universiti Pengurusan Singapura, yang menyifatkan pemimpin baru dipilih itu sebagai satu "pasukan bekerja."

"Pemimpin-pemimpin yang baru dipilih itu merupakan satu pasukan bekerja, bekerja keras, mempunyai semangat aktivisme dan keazaman melonjakkan PAS dan gabungan pembangkang," kata Welsh kepada SiasahDaily.

Menurutnya, pasukan ini akan memberi semangat baharu kepada PAS dan membawa parti itu keluar daripada "perasaan tewas" yang dialami.

"Mereka membawa satu situasi menang-menang kepada PAS, dan meletakkan parti itu setara dengan DAP, serta menguatkan lagi dialog dengan PKR," katanya.

Pemerhati politik Malaysia dan Asia Tenggara itu menyifatkan pasukan baharu yang memenangi pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti itu sebagai "teras generasi reformasi" yang menghargai kepentingan gabungan Pakatan Rakyat.

Mengulas isu peranan dan sikap ulama yang menjadi perhatian dalam pemilihan kali ini, Welsh menegaskan hal itu tidak boleh dilihat secara simplistik.

"Bukan semua ulama itu sama. Tetapi wujud sekelompok ulama dari negeri tertentu yang kurang berkemampuan untuk memahami kepelbagaian rakyat Malaysia, malah dalam PAS sendiri," ujarnya.

Jelasnya, perkembangan ini bakal menjadikan peranan ulama mengalami perubahan-perubahan daripada peranan yang dilihat pada masa kini.

Keperluan perubahan peranan ulama ini turut dilihat oleh ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS, Riduan Mohamad Nor.

Menurutnya, ulama tidak boleh lagi hanya menjadi ulama fiqh seperti yang dilihat pada masa kini, tetapi perlu meningkatkan pemahaman bidang lain termasuk sains sosial dan isu-isu berkaitan politik semasa.

"Seperti disebut presiden dalam ucapan dasar, ulama tidak sepatutnya mempunyai ilmu tetapi tidak faqih dan tidak mempunyai dimensi pemikiran selain daripada bidangnya," kata Riduan dalam satu wawancara ringkas dengan SiasahDaily.

Menurutnya, keputusan pemilihan muktamar kali ini menunjukkan bahawa perwakilan telah menghantar mesej kepada ulama yang dilihat tidak memenuhi prestasi yang diharapkan.

Jelas Riduan lagi, ramai ulama gerakan Islam di beberapa negara Islam menunjukkan kepentingan dan keperluan ulama yang turut berperanan sebagai intelektual mencakupi bidang yang lebih luas.

Menurutnya, pendidikan tahap tinggi di pusat-pusat pengajian yang tidak tertakluk kepada dualisme pendidikan, atau pemisahan pendidikan agama dengan bidang lain perlu dicontohi.

Beliau memberi contoh pemimpin gerakan Islam Sudan, Hassan al-Turabi yang menerima pendidikan tinggi di Sorbonne, Perancis, tetapi diterima kedua-dua golongan berpendidikan tradisional dan kontemporari.

Walau bagaimanapun, beliau tidak melihat PAS sebagai sepenuhnya gagal dalam hal ini, kerana pernah mempunyai pemimpin seperti Dr Burhanuddin al-Helmi yang bukan agamawan tetapi mewakili semua golongan dalam parti.

"PAS tidak gagal dalam hal ini, tetapi apa yang kita ada sekarang masih tidak mencukupi."

Saturday, June 4, 2011

Mohamad Sabu menang timbalan presiden PAS, hangatkan debat kepimpinan ulama

Mohamad Sabu disahkan memenangi jawatan timbalan presiden PAS untuk penggal 2011-2013, menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad mendapat undi tertinggi , 420, Nasharudin memperolehi 224 manakala Tuan Ibrahim mendapat 399 undi.

Naib pula dimenangi dua penyandang Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa.

Perubahan kepimpinan ini meletakkan semua timbalan dan naib presiden bukan daripada kalangan agamawan atau ulama, mencetuskan persoalan tentang konsep kepimpinan ulama yang menjadi ikutan banyak pihak dalam parti itu.

Ini merupakan kali kedua Mohamad mencabar jawatan timbalan presiden selepas tewas pada 2009 dalam persaingan melibatkan penyandang dan Husam.

Kemenangan Mohamad ini meletakkan tokoh bukan agamawan di kedudukan nombor dua PAS, kedudukan yang dilihat bakal pengganti presiden.

Perkembangan ini dijangka akan menghangatkan lagi debat berhubung konsep kepimpinan ulama, yang dijadikan hujah untuk memastikan kedudukan timbalan sentiasa dipegang agamawan.

Beberapa tokoh PAS, Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib dan Subky Abdul Latif menyatakan sokongan terbuka terhadap calon agamawan untuk jawatan timbalan presiden menjelang pemilihan kali ini.

Mohamad walau bagaimanapun berpendapat kepimpinan ulama tidak semestinya bermakna jawatan tertinggi, tetapi Majlis Syura Ulama.

Mohamad mendapat sokongan dipercayai sebahagian besarnya berdasarkan kemampuannya menggerak massa dan peranan yang dikaitkan dengan peranan semasa pilihan raya umum akan datang.

Beliau pernah memangku jawatan ketua pemuda, menjawat jawatan naib presiden dan menjadi ahli Parlimen.

Demonstrasi Bersih pada 2007 yang dikaitkan sebagai penyumbang kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 digerakkan sebahagian besarnya oleh Mohamad.

PAS dan Pakatan Rakyat, isu yang tidak berkesudahan

Sesetengah media terus menjadikan isu PAS bersama Pakatan Rakyat sebagai berita, selepas dua konvensyen diadakan dan tanpa sebarang tanda jelas PAS menimbangkan untuk keluar daripada kerjasama itu.

PAS terus dilihat defensif dalam hal ini manakala sesetengah pihak terus menekan PAS untuk terus menjawab dan membuktikan komitmen parti itu.

PAS sewajarnya tidak perlu defensif dalam hal ini, kerana komitmen PAS sebagai rakan dalam PR telah terbukti, dari segi sumbangan dan sikap yang diambil ketika berdepan serangan lawan, seperti dalam kes video seks dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikatnya, PAS ialah parti yang paling menunjukkan komitmen dan pengorbanan dalam kerjasama PR, walaupun ketinggalan dari segi kerusi di peringkat nasional berbanding rakan-rakan PR lain. Dari segi ini, boleh dihujahkan PAS telah menunjukkan komitmen paling tinggi.

Ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam telah sekali lagi menegaskan pendirian PAS dalam hubungan dan kerjasama dengan PR.

Sudah tentu, kerjasama parti berbeza ideologi dan asas penyokong mempunyai keterbatasan dan had-had tertentu, yang tidak sewajarnya dibaca sebagai tanda kelemahan dari segi komitmen, kerana setiap parti perlu mengambil kira kepentingan dan asas kewujudannya sendiri.

Kerjasama, terutama dalam hal-hal tertentu, antara parti-parti politik dalam medan politik negara ini - termasuk PAS dengan Umno - bukan sesuatu yang luar daripada biasa dan semestinya dibaca sebagai sesuatu yang jahat.

Realpolitik (faktor kuasa dan hal praktikal), pada tahap-tahap tertentu masih perlu diambil kira, tanpa perlu ia menguasai segala tindakan. Bukankah penubuhan dan kerjasama parti-parti dalam PR itu sendiri juga mengambil kira faktor realpolitik?

Friday, June 3, 2011

Berjaya kuasai Muslimat, Erdogan kini sasar timbalan, AJK Pusat

Pemilihan Dewan Muslimat PAS menghasilkan keputusan mengejutkan apabila calon-calon Erdogan menguasai ketiga-tiga jawatan tertinggi.

Siti Zailah Mohd Yusoff, ahli parlimen Rantau Panjang merampas jawatan ketua daripada Nuridah Saleh dan ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud menewaskan Wan Hasrina Wan Hassan untuk jawatan timbalan.

Naib ketua menyaksikan Mumtaz Md Nawi mengekalkan jawatan dalam persaingan empat penjuru.

Perubahan itu mengimbangi kejayaan kem ulama menguasai Dewan Pemuda yang kekal diketuai Nasrudin Hassan dan jawatan timbalan baharu dipegang Nik Abduh Nik Abdul Aziz, selepas Suhaizan Kayat menerima sokongan ramai untuk bertanding jawatan ketua semasa tempoh pencalonan.

Pengundian akan dilakukan hari ini untuk jawatan timbalan, naib presiden dan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat.

Ulama kini berusaha mengukuhkan kembali penguasaan selepas Erdogan meluaskan pengaruh dan bersuara agresif sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Perkembangan ini menyebabkan Mohamad Sabu yang mendapat sokongan Erdogan berdepan laluan sukar untuk mengatasi penyandang timbalan presiden Nasharudin Mat Isa dan pencabar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mohamad menerima sokongan meluas akar umbi tetapi turut mendapat dukungan Erdogan ekoran pendiriannya yang kuat menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan menyokong kuat pengukuhan Pakatan Rakyat.

Ulama termasuk ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Harun Din telah menyatakan sokongan terbuka untuk gandingan presiden dan penyandang dikekalkan.

Walau bagaimanapun, populariti tokoh Erdogan seperti Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa mampu membantu mereka mendapatkan sokongan kuat daripada ahli.

Enam calon bersaing untuk merebut jawatan naib presiden, kedudukan yang merupakan posisi selesa untuk bersaing jawatan timbalan pada masa akan datang.

Jawatan itu juga bakal menjadi faktor dalam kedudukan semasa pilihan raya umum nanti, yang dijangka ramai akan diadakan beberapa bulan lagi.

Seorang pesaing naib presiden yang juga penyandang, Datuk Mahfuz Omar malah memperolehi ruang berkempen di atas pentas melalui persembahan gerakan antisaman ekor, dan turut mendapatkan presiden parti untuk disertakan dalam persembahan itu.

Thursday, June 2, 2011

Endorsement SiasahDaily, Mohamad Sabu untuk timbalan presiden PAS

Kempen untuk jawatan-jawatan tertinggi kini memasuki tempoh penghujungnya.

Pelbagai bentuk komentar dan sokongan telah disuarakan oleh mereka yang berkepentingan dalam parti, dan tidak kurang juga dari luar.

SiasahDaily, berdasarkan penilaian pemimpin-pemimpin yang bertanding, kini bersedia melakukan perakuan atau sokongan untuk jawatan-jawatan timbalan presiden, naib presiden, timbalan dan naib ketua Dewan Pemuda PAS.

TIMBALAN PRESIDEN

Mohamad Sabu

Mohamad mempunyai beberapa kelebihan mengatasi dua calon lain, Nasharudin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; populariti, pengalaman dalam parti dan politik nasional, dan rekod prestasi yang baik. Mohamad disenangi dalam parti dan dalam kalangan massa, pernah ditahan di bawah ISA, konsisten dalam pendirian dan jarang sekali, sekiranya ada, dilihat sebagai gagal. Beliau turut aktif dalam isu pekerja dan mempunyai hubungan baik dengan pertubuhan bukan kerajaan. Kemampuannya boleh dimanfaatkan pada masa PAS akan menempuhi pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi. Mohamad memenuhi kelayakan dan kemampuan sebagai pemimpin gerakan Islam, termasuk hubungan yang baik dengan gerakan-gerakan Islam global, ciri yang setara dengan penyandang, Nasharudin dan tidak dilihat pada Tuan Ibrahim.

NAIB PRESIDEN

1. Salahuddin Ayub

Ketiga-tiga calon mempunyai kelebihan pengalaman, populariti dan prestasi yang agak baik. Salahuddin Ayub, walaupun banyak terlibat dengan politik kenyataan akhbar dan bermain selamat, mempunyai kelebihan pengalaman dan hubungan baik dengan rakan Pakatan Rakyat, ciri yang penting dalam menghadapi pilihan raya. Beliau juga pemimpin yang selesa bergerak di peringkat nasional. Sebahagian besar kelebihan beliau ialah kualiti relatif berbanding beberapa calon lain dalam senarai.

2. Husam Musa
Datuk Husam Musa terpalit dengan kedudukan beliau sebagai salah seorang orang kuat kem Erdogan, dan pernah menunjukkan bercita-cita tinggi untuk menduduki kedudukan tinggi dalam parti. Tetapi, beliau telah menunjukkan prestasi cemerlang sebagai naib presiden sebelum bertanding sebagai timbalan presiden. Kenyataan-kenyataan beliau merupakan antara yang terbaik, mengulas dan menangani isu-isu termasuk kewangan dan ekonomi, yang jarang sekali ditangani pemimpin lain dalam parti. Husam mempunyai wajah yang mampu meningkatkan imej parti di peringkat nasional dan boleh diberikan peluang sekali lagi.

3. Idris Ahmad
Selain kedudukan sebagai tokoh berpendidikan agama yang popular dalam kalangan ahli parti dan aktivis, Idris Ahmad juga mempunyai kedudukan yang sesuai untuk mengimbangi komposisi naib presiden. Mempunyai kebolehan ceramah yang masih diperlukan untuk menyampaikan mesej parti. Mempunyai pengalaman peringkat nasional dan mendaki dalam organisasi PAS bermula dari bawah, termasuk pernah aktif dalam Pemuda. Merupakan pekerja parti yang setia dan berkemampuan serta mempunyai hubungan baik dengan akar umbi.

TIMBALAN KETUA PEMUDA

Suhaizan Kayat
Suhaizan Kayat telah membuktikan kemampuan dan mempunyai kualiti kepimpinan di peringkat nasional dalam Dewan Pemuda. Beliau malah mendapat sokongan ramai untuk bersaing merebut jawatan ketua Pemuda. Gandingan Suhaizan yang berciri aktivis dengan ketua Pemuda kini memberi harapan untuk membuat lonjakan kepada Pemuda PAS. Kualiti beliau mengatasi calon-calon lain dan sesuai berada di kerusi timbalan ketua Pemuda yang tidak menunjukkan keberadaan dalam politik Pemuda dan parti sejak sepenggal lalu.

NAIB KETUA PEMUDA

Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
Mempunyai pengalaman panjang dalam Pemuda PAS, yang disertai secara aktif sejak menamatkan pengajian pada 1999. Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob memegang jawatan ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS sejak kembali dari pengajian di United Kingdom setahun lalu, dan berjaya menjadikan lajnah tersebut antara yang paling aktif dalam Pemuda, walaupun dengan sumber yang terhad. Mempunyai kualiti populariti dan kemampuan akademik dan aktivisme untuk berperanan sebagai salah seorang penggerak Pemuda PAS.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

IKLAN TEKS

Kem Bimbingan Remaja al-Quran 2011 (KEBAL)
7 hingga 11 Jun, 2011,
Untuk remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun.
Pengisian: Tahfiz 5 ayat lazim, solat jamaah, tadarus,/qiraah al-Quran dan surah Yasin, al-Rahman dan al-Mulk, zikir Asma al-Husna, al-ma'thurat, qiamullail, dhuha, rawatib, sesi muhasabah, pengajian aqidah dan fiqh, munajat khitamah. Sesi akhir bersama ibu bapa.
Anjuran: Raudhatul Huda, Maahad Tahfiz Ibbdurrashad, no 16 Lorong Lampam, 13700 Seberang Jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Pendaftaran hubungi Puan Sue 019-4716165/019-4748165

Wednesday, June 1, 2011

Erbakan, Erdogan atau Syeikh Ahmad Yassin?

Oleh ABU IMAD AL-MAHSHARI

PAS sekali lagi menjejakkan kaki ke pemilihan kepimpinan pusat.

Pemilihan ini dikatakan antara yang paling sengit dalam wacana politik PAS mutakhir ini, bukan sahaja kerana ramainya calon naib presiden yang bertanding namun pelbagai spekulasi dan bacaan dari langsuir politik terus berwacana di setiap tingkat.

Pemilihan kali ini dikatakan percaturan terakhir antara Erbakan dan Erdogan atau profesional dan ulama, sehingga menjadi bual bicara utama tokoh perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan pemimpin sebuah tangki pikir; IDEAS, Wan Saiful Wan Jan yang juga bekas pimpinan mahasiswa PAS di United Kingdom/Eire suatu ketika dulu.

Pemilihan ini juga kata sebilangan adalah percaturan politik yang luar biasa, dalam mengetengahkan tokoh kepimpinan solo Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Abang Mat dengan ideologinya yang tersendiri diwarnai dengan pelbagai warna-warni revolusi Iran mahupun sosialis Islam yang sepertinya diberi laluan oleh kumpulan Erbakan bagi menjatuhkan tokoh "kerajaan perpaduan," Nasharudin Mat Isa dan lebih menumpulkan peluang beliau dengan mengetengahkan seorang tokoh ulama lain, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sekaligus menjadi pemecah undi kepada penyokong ulama PAS.

Bacaan awal pakar-pakar penganalisis, Abang Mat akan memecah kebuntuannya untuk sampai pada tingkat tertinggi dakian seorang bukan ulama dalam PAS untuk berada menjadi timbalan kepada seorang tok guru.

Begitu ghairahnya pelbagai bacaan dan materi-materi politik yang bersimpang siur dalam pelbagai wacana dari kedai kopi, ke mesyuarat PAS negeri mahupun alam siber.

Namun, kita tetap gagal mencari analisis tuntas tentang beberapa persoalan utama mahupun persoalan kecil yang mampu memberi impak kepada hala tuju PAS masa hadapan selain dari bual bicara tentang kuasa kepimpinan dalam PAS:

1. Apakah masa depan politik PAS yang makin kehilangan undi Melayu dalam beberapa pilhan raya mutakhir ini?

2. Apakah impak kepada polisi dan prinsip-prinsip perjuangan PAS yang ketika ini sangat bergantung kepada undi bukan Muslim?

3. Apakah penilaian luhur PAS berkenaan pencapaian PAS terhadap slogan negara berkebajikan yang dilaungkan bermula 2008 yang lalu?

4. Apakah prestasi PAS di Kedah dan adakah Kedah akan menjadi sebuah lagi penolakan rakyat terhadap kerajaan PAS Terengganu?

5. Apakah cukup PAS untuk terus bergantung pada kredibiliti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang semakin berusia untuk kemenangan PAS di Kelantan pada pilihan raya akan datang dan apakah strategi PAS untuk Kelantan pasca-Nik Abdul Aziz?

6. Bagaimanakah penilaian PAS sebagai penumpang dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang? Setakat mana benar-benar PAS mampu mewarnai polisi dan pentadbiran kerajaan negeri atau hanya sebagai penumpang dalam keretapi kuasa tinggi ?

7. Apakah pendirian PAS dalam isu-isu baharu di Malaysia selain isu sitara politik yang berkisar tentang liwat, "Altantuya" dan video seks? Apakah PAS mempunyai kefahaman dan mempunyai pendirian terhadap :

a. Isu pelan ekonomi Model Baharu Ekonomi, dan pelan transformasi ekonomi ETP dan GTP negara?

b. Perjanjian TTP dan perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah yang bakal membuka lembaran baharu liberalisasi ekonomi secara total seawal 2017?

c. Pendirian politik PAS berhubung pelbagai masalah alam sekitar yang menjadi kerisauan rakyat seperti masalah nuklear mahupun masalah Lynas di Gebeng?

8. Isu liberalisasi dan pluralisme agama yang sepatutnya menjadi tonggak perjuangan PAS dewasa ini?

9. Dan tidak salah saya katakan banyak lagi isu, berhubung polisi dan hala tuju negara.

Saya berasa begitu yakin, ketika perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dan Abu Bakar dalam perjalanan bersejarah Hijrah, sebegitu yakin saya, Rasul S.A.W. yang telah dipanggil oleh masyarakat Madinah untuk memimpin mereka, tidak berbicara dengan Abu Bakar tentang satu untuk engkau, dan satu untuk aku, timbalan perdana menteri untuk engkau, dan perdana menteri untuk aku.

Nabi S.A.W. berpesan “Pemimpin suatu umat itu, adalah khadam kepada umat tersebut.” Kelihatannya bual bicara kita dalam muktamar agung makin rakus tentang siapa yang menjadi pemimpin parti, siapa bakal memimpin Putrajaya? Negeri mana dan siapa menteri besar untuk pilihan raya akan datang?

Saya meyakini, perbualan Nabi S.A.W. bersama Abu Bakar al-Siddiq dalam perjalanan keramat hijrah mereka bukan tentang kuasa, tetapi adalah tentang keesaan Allah dan tentang nasib umat yang terus beliau ratapi sehingga ke penghujung hayat beliau.

Saya mengimpikan muktamar agung sebuah parti Islam akan mampu menyelam dalam tentang praktisnya sebuah kepimpinan Islam dapat diimplementasi dalam pentadbiran sebuah negeri?

Apakah inovasi dan model-model Islam yang dapat ditonjolkan dalam konteks ekonomi tanpa riba, pertanian mesra alam, pembangunan lestari, sains dan teknologi yang humanis bukan komersialis dan alternatif-alternatif kepada neoliberalisme ekonomi yang dikatakan sebagai anti-Islam?

Malangnya usai muktamar agung dan usai pelbagai pilihan raya – yang kita lebih dengar bagaimana perwakilan kita dalam pihak berkuasa tempatan yang tidur dalam mesyuarat majlis kerana tidak tahu menahu tentang urusan pentadbiran kerajaan tempatan?

Atau Yang Berhormat pemimpin negeri kita yang tahu menemani menteri besar dan ketua menteri ke majlis berbuka puasa walaupun beliau bukan beragama Islam dan tidur ketika perbahasan FDI mahupun Rancangan Struktur Negeri dibahas di Mesyuarat Exco Negeri.

Menang sorak, kampung tergadai.

Ya, tajuk di atas tidak ada apa-apa makna melainkan untuk mengajak mereka yang hanya berminat tentang percaturan kuasa untuk berfikir dan merenung tentang percaturan agenda dan ideologi.

Abu Imad al-Mahshari ialah aktivis masyarakat dan alam sekitar di Pulau Pinang di Institut Abu Dzar.

------------------------------------------------------------------------------------------------

IKLAN TEKS

Kem Bimbingan Remaja al-Quran 2011 (KEBAL)
7 hingga 11 Jun, 2011,
Untuk remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun.
Pengisian: Tahfiz 5 ayat lazim, solat jamaah, tadarus,/qiraah al-Quran dan surah Yasin, al-Rahman dan al-Mulk, zikir Asma al-Husna, al-ma'thurat, qiamullail, dhuha, rawatib, sesi muhasabah, pengajian aqidah dan fiqh, munajat khitamah. Sesi akhir bersama ibu bapa.
Anjuran: Raudhatul Huda, Maahad Tahfiz Ibbdurrashad, no 16 Lorong Lampam, 13700 Seberang Jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Pendaftaran hubungi Puan Sue 019-4716165/019-4748165

Tuesday, May 31, 2011

'Majlis Syura wajar buat endorsement pemilihan parti'

Veteran PAS, Subky Abdul Latif berpendapat Majlis Syura Ulama parti wajar membuat perakuan (endorsement) calon jawatan-jawatan tertinggi parti untuk dijadikan panduan oleh ahli dalam membuat pilihan.

Menurutnya, pemerkasaan Majlis Syura untuk menjalankan fungsi ini perlu supaya ahli-ahli parti mempunyai panduan untuk memilih pemimpin-pemimpin tertinggi parti.

"Majlis Syura mesti diperkasakan untuk menjadi pemandu kepada parti. Majlis Syura boleh menunjuk calon-calon yang dilihat layak untuk jawatan-jawatan tersebut supaya ahli mempunyai panduan siapa hendak dipilih," kata Subky kepada SiasahDaily.

Bekas pemimpin PAS Wilayah Persekutuan ini menjelaskan, sekiranya soal pemilihan calon untuk pilihan raya perlu melalui penilaian Majlis Syura, tidak ada sebab pemilihan kepimpinan parti tidak boleh mendapat perakuan majlis itu.

Katanya, Majlis Syura perlu menilai setiap calon dan memberikan perakuan untuk calon-calon pilihan supaya disokong oleh ahli dalam pemilihan di muktamar.

Beliau turut menegaskan lagi keperluan dua jawatan tertinggi parti dipegang oleh tokoh berkelulusan agama kerana berpendapat orang nombor dua ialah pemimpin yang dipersiapkan untuk menggantikan presiden.

Tegasnya lagi, ini bermakna semua anggota Majlis Syura mestilah berada pada kedudukan kuat berbanding ahli-ahli Jawatankuasa Pusat supaya pandangan kolektif mereka dihormati dalam parti.

Penulis prolifik ini menegaskan, untuk mencapai tujuan itu, Mursyidul Am kini perlu mengambil tugas memperkuatkan Majlis Syura supaya mempunyai suara yang lebih besar dan berkemampuan memandu hala tuju parti.

Pandangan Subky ini selari dengan pandangan yang disampaikan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din pada 2009 dalam ucapannya Memperkukuh Kepimpinan Ulama pada majlis sambutan jubli perak kepimpinan ulama PAS.

Haron mencadangkan calon-calon bertanding pada pemilihan parti melalui penapisan oleh Majlis Syura seperti diamalkan dalam memilih calon pilihan raya.

Dua cadangan utama Haron dalam kertas itu ialah calon-calon pemilihan perlu disemak oleh Majlis Syura dan ahli Jawatankuasa Pusat hanya sah jawatan mereka setelah diperakukan oleh majlis itu.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

IKLAN TEKS

Kem Bimbingan Remaja al-Quran 2011 (KEBAL)
7 hingga 11 Jun, 2011,
Untuk remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun.
Pengisian: Tahfiz 5 ayat lazim, solat jamaah, tadarus,/qiraah al-Quran dan surah Yasin, al-Rahman dan al-Mulk, zikir Asma al-Husna, al-ma'thurat, qiamullail, dhuha, rawatib, sesi muhasabah, pengajian aqidah dan fiqh, munajat khitamah. Sesi akhir bersama ibu bapa.
Anjuran: Raudhatul Huda, Maahad Tahfiz Ibbdurrashad, no 16 Lorong Lampam, 13700 Seberang Jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Pendaftaran hubungi Puan Sue 019-4716165/019-4748165

Monday, May 30, 2011

Isu KUIN, muktamar PAS perlu tangani kenyataan MB Kedah

Oleh ZOMBI KG PISANG

Hanya beberapa hari menjelang muktamar PAS 2011, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selaku menteri besar Kedah yang mewakili PAS sebagai kerajaan negeri telah mengeluarkan satu kenyataan yang rata-rata dilihat tidak berhemah malah mampu mencalar maruah serta kredibiliti Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku pemimpin tertinggi PAS.

Kenyataan berbunyi, “Insaniah (Kolej Universiti Insaniah - KUIN) bukan hak PAS, presiden PAS bukan ada locus standi dalam bab ni. Insaniah hak kerajaan negeri," dikeluarkan oleh menteri besar Kedah sebagai mengulas isu enam orang pelajar KUIN yang dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak pentadbiran kolej universiti tersebut.

Kenyataan berkenaan telah dilaporkan oleh Harakahdaily dan dipetik oleh beberapa laman web lain seperti Malaysiakini.

Menurut seorang pemerhati politik tempatan, kenyataan tersebut boleh disalah anggap sebagai memperlekeh wibawa jawatan presiden malah PAS itu sendiri dalam keadaan menteri besar Kedah itu adalah wakil yang dilantik oleh PAS untuk memerintah kerajaan negeri Kedah.

Jika kenyataan itu dijadikan sandaran, maka apakah locus standi semua ahli politik di dalam negara ini sama ada daripada kalangan parti pemerintah atau parti pembangkang untuk mengulas atau mengkritik apa-apa isu bersabit dengan institusi pengajian tinggi apabila diminta berbuat demikian oleh mana-mana pihak?

Jika keperluan locus standi yang disebut oleh menteri besar Kedah itu barangkali merujuk kepada aspek undang-undang dalam keadaan pelajar-pelajar terbabit memilih pendekatan penyelesaian bukan undang-undang iaitu merujuk kepada pemimpin tertinggi parti yang memerintah negeri Kedah, adakah beliau akan memberikan jawapan yang sama sekiranya pelajar-pelajar terbabit bertindak merujuk perkara tersebut kepada Sultan Kedah, yang juga dari aspek undang-undang tidak mempunyai locus standi?

Tidak diketahui jika kenyataan Azizan itu berkaitan dengan perebutan jawatan sempena muktamar PAS 2011, walhal fakta mengesahkan bahawa menteri besar Kedah itu tidak dicalonkan untuk bertanding jawatan presiden PAS oleh mana-mana kawasan.

Ada pun hanya terdapat seorang sahaja yang diketahui umum sejak beberapa ketika begitu tegar dengan dalilnya supaya ahli-ahli PAS seluruh negara menabalkan Azizan Abdul Razak sebagai presiden PAS jika mahukan PAS berjaya berkuasa di Putrajaya.

Orang yang sama juga sejak sekian lama begitu ghairah mengkritik malah ke tahap memperlekeh kepimpinan Abdul Hadi sebagai presiden PAS.

Orang itu merupakan seseorang berjawatan profesor bidang undang-undang perbandingan (comparative laws) iaitu salah satu daripada puluhan cabang bidang undang-undang. Profesor ini juga dianggap sebagai pakar salah satu lagi cabang undang-undang iaitu undang-undang perlembagaan (constitutional laws) malah sering menulis terutamanya di akhbar-akhbar alternatif serta memberi pandangannya berkaitan isu-isu perlembagaan.

Laman web Malaysiakini turut melaporkan bahawa akibat kecewa dengan cara pengendalian isu tindakan tataterbib terhadap enam mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah, sekumpulan mahasiswa mengugut untuk menggegarkan isu itu dalam muktamar PAS 2011.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, sekiranya dalam tempoh terdekat kepimpinan PAS masih berdiam, pihaknya akan memastikan ia menjadi antara isu utama yang dibahaskan.

Zombi Kg Pisang ialah nama samaran seorang pembaca SiasahDaily. Beliau percaya pada motto "Tiada sokongan tanpa kritikan."

Friday, May 27, 2011

Nasrudin jawab kritikan Erdogan

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menjawab kritikan-kritikan kumpulan Erdogan yang menuntut perubahan besar dilakukan melibatkan pemimpin-pemimpin PAS, sekaligus mempertahankan presiden parti.

Nasrudin memberikan jawapan panjang dalam blognya hari ini.

Dalam satu forum 25 Mei lalu, akademik pengkritik kuat kumpulan ulama Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata PAS memerlukan pemimpin yang boleh membawa perubahan, merujuk kepada tokoh-tokoh Erdogan, sambil menyifatkan PAS kini seperti "gajah tanpa kepala."

Dalam forum itu, Abdul Aziz meneruskan kritikan kerasnya menuntut Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berundur, sambil menyifatkan Abdul Hadi telah diberi marching order atau didesak berundur oleh ahli.

Ahli-ahli panel lain turut menyimpulkan bahawa apa yang dikenali sebagai kem Erdogan ialah kumpulan yang properubahan, memberi implikasi kem ulama tidak mahukan perubahan.

Sambil menegaskan perubahan perlu berhati-hati, Nasrudin juga menggesa supaya perubahan tidak didesak hanya untuk mendapatkan posisi tertentu.

Menurutnya lagi, perubahan tidak sepatutnya dituntut hanya berdasarkan rasa tidak puas hati.

"Gerakan perubahan tidak boleh bertolak dari rasa tidak puas hati, sebaliknya ia mesti berpaksi di atas kesedaran dan keinsafan yang tinggi terhadap cita-cita perubahan tersebut serta memiliki matlamat dan objektif yang jelas, tepat dan benar."

Menurut Ketua Pemuda PAS itu lagi, perubahan juga bukan hanya mesti bermakna menukar individu tertentu, dan memberi ingatan agar perbezaan pendapat tidak mendasari tuntutan perubahan itu.

"Membawa perubahan bukan untuk menyalahkan orang selain daripada kita atau menidakkan apa yang telah dilakukan oleh orang lain untuk jamaah. Perubahan juga tidak hanya terhenti pada menukar susuk tubuh pemimpin kepada pemimpin yang lain."

"Saya tidak prejudis dengan gerakan perubahan namun sebagai peringatan kepada semua termasuk diri saya sendiri, jika gerakan perubahan itu hanya bermula dari rasa tidak puas hati dan pertelingkahan politik serta perselisihan pendapat, saya yakin gerakan perubahan itu hanya seperti angin pantai yang meniup secara bermusim," tegas Nasrudin.

Forum melibatkan semua moderator dan ahli panel sealiran pendapat itu menjelaskan lagi pandangan-pandangan kumpulan Erdogan dalam PAS, yang menolak label itu dengan menggantikannya dengan properubahan.

Moderator dan penganjur, Wan Saiful Wan Jan walau bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan kesatuan dan penegasan tuntutan Erdogan.

Dalam satu tulisannya, Wan Saiful menegaskan, "But the so-called ‘reformists’ in PAS have failed to even outline what reform they want to bring to the party. If they really want to bring reform, they should start speaking up now."

Pemilihan PAS, timbalan dan naib presiden sengit

Ekoran kemasukan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding jawatan timbalan presiden, sentimen sejak awal yang tertumpu pada Mohamad Sabu dan Nasharudin Mat Isa berubah dengan drastik.

Tuan Ibrahim kini calon popular dalam persaingan timbalan presiden, berdasarkan kelayakan pendidikan agama dan kedekatan dengan kepimpinan tertinggi, sebagai naib presiden sejak sepenggal.

Keupayaan tokoh agamawan ini walau bagaimanapun masih belum dapat diperhatikan oleh banyak pihak, berbanding Nasharudin yang berkelayakan tinggi dan lebih biasa terlibat dalam pertemuan antara gerakan-gerakan Islam antarabangsa seperti Hamas.

Penglibatan bersama gerakan Islam antarabangsa dilihat sebagai satu lagi ciri untuk melengkapkan kelayakan sebagai timbalan presiden, yang merupakan bakal pengganti presiden.

Kekurangan besar Nasharudin kini ialah prestasinya yang dinilai dengan rendah sekali oleh banyak pihak, dan gaya hidupnya yang dikatakan sangat elit.

Tetapi pengkritik beliau tidak dapat menyabitkan beliau dengan kelemahan yang lebih besar, dan kritikan terhadap kehidupan beliau semakin kelihatan selektif, seperti juga isu hubungan dengan pemimpin-pemimpin Umno.

Tuan Ibrahim mempunyai merit kelayakan pendidikan agama, tetapi ada yang menganggap kekananan beliau dalam parti bakal menyumbang kepada kesukaran beliau untuk memimpin.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini agak lebih lewat aktif dalam PAS berbanding beberapa pemimpin, termasuk Idris Ahmad yang kini bersaing untuk jawatan naib presiden.

Tuan Ibrahim juga dikritik kerana lewat menyertai persaingan, dan didakwa banyak pihak disebabkan dorongan pihak lain untuk tujuan yang tidak semestinya berasaskan kelayakan beliau.

Ada pemerhati menyifatkan Tuan Ibrahim mampu memberi kelebihan kepada Mohamad, yang paling awal menegaskan penyertaan dalam persaingan.

Ada juag yang menganggap beliau calon sokongan Erdogan untuk memastikan Nasharudin dan juga Mohamad tewas.

Kritikan paling keras terhadap Mohamad datang daripada blog anti-Erdogan, Tulang Besi, yang menegaskan dengan lebih dalam hujah Mohamad ialah calon Erdogan.

"Kumpulan endorgan tidak pernah putus asa. Kini kumpulan endorgan berkempen untuk memenangkan Mat Sabu dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PAS kali ini. Apa yang penting ialah siapa sahaja ulamak untuk jawatan no. 2 dalam PAS mesti dikalahkan dalam sesi kali ini," tulisnya dalam artikel bertarikh 24 Mei yang menunjukkan sokongan kuat penulis blog itu terhadap kepimpinan tokoh agamawan untuk dua jawatan tertinggi parti.

Hujahnya lagi: "Kali ini Mat Sabu merasa selesa dan gah apabila mendapat tahu beliau mendapat bilangan pencalonan yang agak besar juga untuk jawatan Timbalan Presiden dalam Muktamar 2011. Tetapi Mohamad Sabu mungkin terlupa akan agenda kumpulan endorgan untuk membuang gagasan ulamak dari kepimpinan tertinggi PAS iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

"Para simpati dan penyokong Mat Sabu juga mungkin terlepas pandang akan agenda tersirat kumpulan endorgan ini dalam PAS. Adakah Mat Sabu akan tertipu dengan keghairannya melihat pencalonan yang banyak dan desakan serta sokongan yang hebat dari ahli PAS khususnya kumpulan endorgan? Adakah Mat Sabu akan terjebak dalam permainan politik endorgan dan menjadi S.S.?"

Sebuah blog pro-Umno lebih keras lagi menyatakan Mohamad disokong Erdogan dan Lim Guan Eng supaya mereka dapat mempengaruhi PAS.

Mohamad walau bagaimanapun kekal sebagai tokoh yang paling mampu menggerakkan ahli dan penyokong, seperti yang dilihat semasa demonstrasi Bersih pada 2007 dan banyak aksi lain.

Kritikan terhadap Nasharudin berhubung prestasinya semakin meningkat, seperti juga sokongan terhadap Mohamad yang diharap dapat menggerakkan PAS dengan lebih aktif menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim kini dibina imejnya sebagai seorang tuan guru sebagai persediaan untuk meletakkannya sebagai timbalan presiden, dan kemungkinan, kedudukan lebih tinggi lagi.

Tetapi, tempoh seminggu lagi menjelang muktamar ialah satu tempoh panjang yang masih boleh memperlihatkan sebarang kemungkinan.

Dalam persaingan naib presiden, enam dijangka bertanding: Datuk Husam Musa, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Idris Ahmad.

Berdasarkan formula yang menjadi tradisi PAS, naib presiden mewakili tiga kumpulan iaitu agamawan, profesional dan aktivis.

Benar atau salah, hal ini dilihat menjadi pertimbangan ahli dan dibuktikan benar, walaupun tidak sepenuhnya, dalam pemilihan-pemilihan sebelum ini.

Sekurang-kurangnya, seorang agamawan biasanya dipilih untuk mengisi jawatan naib presiden.

Husam dan Nizar mewakili profesional, Salahuddin dan Mahfuz mewakili aktivis dan Nik Amar dan Idris mewakili ulama.

Walau bagaimanapun, dua tokoh daripada dua kumpulan berbeza, Husam dan Nik Amar kedua-duanya dari Kelantan, yang kemenangan kedua-dua mungkin menjadi isu perwakilan negeri atau kawasan berbeza untuk jawatan naib presiden.

Tetapi formula tersebut bukan sesuatu yang pasti, terutama sekiranya desakan Erdogan supaya pemimpin tidak perlu daripada kalangan agamawan sahaja diterima perwakilan mengundi.

Muktamar kali ini bakal menjadi pertemuan terakhir ahli-ahli PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Banyak isu, termasuk strategi dan sikap menghadapi pilihan raya dan kerjasama politik akan terkesan hasil pemilihan nanti.

Kebertanggungjawaban berkait prestasi dalam pilihan raya nanti pula dijangka menjadi isu yang akan memberi kesan berpanjangan selepas pilihan raya dan sehingga pemilihan akan datang selepas itu.

Wednesday, May 25, 2011

'Erdogan masa depan PAS'

Oleh JOHARI M

Perbincangan isu pemilihan kepimpinan PAS yang diadakan di Kuala Lumpur pada 24 Mei semalam memberi gambaran kesimpulan bahawa masa depan PAS berkait rapat dengan kumpulan Erdogan, yang juga disifatkan sebagai kumpulan "progresif" dalam parti Islam itu.

Forum itu bertajuk Pemilihan 2011: Mampukah PAS Membuat Lonjakan, memberi implikasi dan isyarat bahawa pemilihan pemimpin-pemimpin tertentu sebagai tanda lonjakan atau pembaharuan dimaksudkan itu.

Forum anjuran pemikir libertarian Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Ilham Center dan Free Public Forum Malaysia itu ialah yang pertama dalam siri forum berhubung PAS yang akan diadakan.

Wakil-wakil PAS terdiri daripada Dr Dzulkifly Ahmad, ahli Parlimen Kuala Selangor dan bekas pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam dan Datuk Kamaruddin Jaafar, ahli Parlimen Tumpat.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari menjadi ahli panel tunggal yang bukan dari PAS. Forum dipengerusikan Wan Saiful Wan Jan dari Ideas.

Apa yang paling jelas daripada forum itu ialah wakil-wakil PAS kesemuanya sealiran, sehingga boleh menimbulkan persoalan keperluan sehingga tiga orang menjadi panel.

Malah, tidak ada wakil dari kem bertentangan dipanggil, sehingga forum menjadi mudah diagak dan ahli-ahli panel kurang dicabar.

Apa yang lebih mengundang perhatian ialah dua yang terlibat; Wan Saiful dan Abdul Aziz pada bulan lalu menerbitkan tulisan yang mengkritik dengan keras Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, tindakan yang dilihat muncul sebagai sebahagian permainan menjelang muktamar parti itu.

Walaupun kewujudan kem dan label Erdogan dinafikan, persamaan ide dan perspektif wakil-wakil PAS terbabit memperlihatkan sebaliknya.

Malah, istilah properubahan turut timbul, yang memberi makna wujud kem lain yang tidak mahu atau kurang menerima perubahan.

Kesemua ahli Parlimen PAS terbabit mengemukakan sudut pandangan yang menarik, popular dengan audiens yang hadir, dan berdasarkan suasana politik semasa, perlu diperincikan dan dijelaskan lagi dalam wacana lain.

Hampir kesemua pandangan dikemukakan kelihatan sangat ideal dan baik, sehingga tertonjol ketidakselariannya dengan perkembangan dalam parti selama ini yang jauh berbeza.

Kesemua memberikan pandangan yang sealiran dengan sedikit perbezaan, tetapi paling efektif disampaikan oleh Dzulkifly, yang antara lain turut mengemukakan hujah berdasar nas al-Quran untuk menyokong sistem dua parti.

Forum ini - dan pelbagai forum lain sebelum ini - mengukuhkan lagi kedudukan Dzulkifly sebagai tokoh paling mempunyai keupayaan intelektual yang cukup untuk menjelaskan ide-ide yang dikaitkan dengan kumpulan itu.

Menurutnya, sistem dua parti secara praktikal ialah semak dan imbang antara dua kumpulan seperti disebut dalam al-Quran.

Khalid walaupun menegaskan lagi pendiriannya yang biasa didengari sebelum ini, kelihatan agak berbeza apabila memuji dua pemimpin konservatif yang berseberangan dengan Erdogan, iaitu presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Nasrudin Hassan, ketua pemuda.

Beliau turut mengelak daripada menjawab soalan berhubung kemungkinan bekerjasama dengan Umno, tanpa memberi sebarang penjelasan.

Kamaruddin, menjawab satu soalan peserta pada penghujung program mengakui bahawa ide kerajaan perpaduan yang disarankan oleh presiden telah tidak dibincangkan dengan sempurna oleh pimpinan PAS.

Menjelaskan ide-ide yang dilihat dipelopori oleh Erdogan, Kamaruddin menjawab satu isu dengan baik apabila memberikan latar sejarah pakatan politik melibatkan Melayu-Muslim dengan bukan Melayu seperti dilakukan sebelum merdeka dan pada 1980-an dengan penubuhan majlis untuk menguruskan perhubungan dengan orang Cina.

Abdul Aziz tidak menampakkan perbezaan daripada kenyataan-kenyataan provokatifnya sejak beberapa tahun lalu.

Secara keseluruhan, forum ini menarik dan berjaya menyampaikan pandangan-pandangan Erdogan dengan baik, tetapi dalam parti apa yang disebut tidak seindah itu kerana berlaku pergeseran yang getir akibat daripadanya.

Apapun, forum seperti ini wajar diadakan lagi, tetapi hendaklah lebih mewakili pandangan berbeza dan tidak hanya membawa satu aliran pandangan seperti yang berlaku dalam forum ini.

Tuesday, May 24, 2011

Tuan Ibrahim calon kompromi atau pemecah undi?

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini menyandang jawatan naib presiden PAS akhirnya mengambil keputusan yang dijangkakan banyak pihak; bertanding jawatan nombor dua parti.

Ini bermakna persaingan nombor dua bakal menyaksikan pertambahan seorang lagi calon, sekiranya Nasharudin Mat Isa dan Mohamad Sabu tidak berganjak dan tidak ada calon lain menyertai persaingan.

Kemasukan Tuan Ibrahim meletakkan dua tokoh ulama dalam persaingan.

Tempoh dua hari ini akan diperhatikan dengan minat oleh pemerhati untuk melihat sebarang perkembangan terbaharu.

Tuan Ibrahim sejak awal menyatakan tidak berminat bertanding timbalan presiden, tetapi mengubah keputusan menjelang dua hari tempoh akhir penerimaan pencalonan.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu cuba ditonjolkan sebagai calon kompromi oleh sesetengah pihak, sebagai pilihan yang terbaik berbanding Nasharudin yang dinilai tidak berjaya dan Mohamad yang dilihat tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin nombor dua selepas presiden parti.

Ramai yang menyokong Nasharudin dalam pemilihan lepas pada 2009 hanya berbuat demikian untuk mengekalkan tokoh daripada kalangan ulama terus memegang jawatan timbalan presiden.

Dengan adanya tokoh lain, ramai yang menyokong Nasharudin boleh - tetapi tidak semestinya - mengubah sokongan kepada Tuan Ibrahim, alternatif calon ulama.

PAS di negeri Pahang contohnya, berpotensi besar memberi sokongan kepada Tuan Ibrahim walaupun mencalonkan Nasharudin dan Mohamad semasa tempoh pencalonan.

Banyak pencalonan kepada Nasharudin dikatakan diberi ekoran kenyataan Tuan Ibrahim tidak mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Pada masa sama, sokongan kepada Mohamad juga bergantung kepada faktor menolak Nasharudin dan keengganan Tuan Ibrahim bertanding timbalan sebelum ini.

Tetapi satu kemungkinan yang dimbimbangi ramai penyokong ulama ialah perpecahan undi yang akan memenangkan Mohamad.

Ekoran jumlah pencalonan yang tidak semestinya diterjemahkan kepada undi dalam pemilihan, pelbagai kemungkinan masih boleh dijangka.

Beliau yang mempunyai hubungan keluarga dengan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinilai berkebolehan dalam bidang akademik dan berperwatakan alim, ciri yang dirasakan boleh mengukuhkan kepimpinan ulama dalam parti.

Beliau turut dikatakan mendapat sokongan Nik Abdul Aziz untuk merebut kerusi timbalan presiden dalam pemilihan Jun nanti.

Tuan Ibrahim menang dalam cubaan kali pertama bertanding naib presiden, yang dilihat sebagai ukuran populariti beliau.

Ramai menjangkakan kem ulama akan memberikan sokongan kepada Nasharudin atau tokoh lain yang dilihat boleh membawa kepimpinan ulama, sebagai penyokong presiden, pemangku dan juga bakal penggantinya.

Sebelum ini Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib membuat kenyataan menggesa presiden dan timbalan dikekalkan.

Dalam kempen menentang Mohamad, potensi peranan pemimpin popular itu sebagai pemangku presiden dan tahap pendidikan agama beliau menjadi antara isu negatif yang ditimbulkan oleh pengkritik beliau.

Mohamad walau bagaimanapun menurut sumber yang rapat dengannya tidak berminat untuk merebut jawatan presiden, dan dalam senario terburuk sekiranya presiden tidak dapat bertugas, beliau hanya akan memangku dan membiarkan pemilihan parti memilih presiden baharu.

Walau bagaimanapun, mengambil kira pelbagai perubahan yang boleh berlaku, kedudukan Mohamad di kerusi timbalan presiden juga dinilai boleh mencetuskan banyak perubahan yang bakal memberi kesan meluas, terutama dalam memecahkan tradisi timbalan presiden daripada kalangan ulama.

Kemungkinan-kemungkinan itu, yang mampu mengubah tradisi kepimpinan ulama yang difahami sebahagian besar ahli PAS, dikhuatiri oleh pengkritik-pengkritik beliau.

Kehadiran Tuan Ibrahim kini menjadi satu faktor yang mengubah permainan yang sebelum ini dijangka akan mempertemukan calon-calon utama, Nasharudin dan Mohamad dalam perebutan timbalan.

Friday, May 20, 2011

Mat Sabu bakal terkorban lagi?

Penyandang jawatan timbalan presiden PAS kini meningkatkan lagi kempen untuk mengukuhkan sokongan dan mengekalkan kedudukan, dan pada masa sama, sesetengah pihak dalam parti itu semakin kuat mendesak Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding jawatan timbalan presiden.

Penyandang, Nasharudin Mat Isa yang dipandang rendah sejak sebelum pencalonan pertama dibuat semakin menunjukkan kesediaan dan kemampuan untuk bersaing.

Nasharudin yang dilihat tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang dan dikaitkan dengan hubungan baik dengan Umno walau bagaimanapun masih menerima sokongan ramai - walaupun merosot - dan dianggap calon selamat, sebahagiannya disebabkan kedudukan sebagai penyandang.

Nasharudin sebelum ini mendapat sokongan terbuka daripada Datuk Harun Taib, ketua Dewan Ulama.

Pihak yang melobi Tuan Ibrahim bertanding menilai pemimpin dari Pahang itu sebagai calon kompromi dalam usaha menghalang calon popular Mohamad Sabu dan penyandang yang semakin tidak popular.

Tuan Ibrahim walau bagaimanapun masih dilihat baharu kerana baru sepenggal menjadi naib presiden, dan beliau telah beberapa kali menyatakan tidak mahu bertanding timbalan.

Tetapi, faktor yang dilihat pihak dalaman sebagai paling berpotensi menjejaskan peluang Mohamad ialah sokongan kuat kem Erdogan terhadap beliau, yang dikait dengan liputan media tertentu yang positif dan kebimbangan terhadap kedudukan nombor dua yang bukan agamawan.

Ada portal berita walau bagaimanapun kelihatan telah mengubah nada dengan melaporkan pertikaian terhadap angka pencalonan tidak rasmi yang dilaporkan sebelum itu.

Mohamad juga dilihat dengan kritikal oleh sesetengah pihak ekoran hubungan baiknya dengan seorang penulis blog kontroversi yang pernah menyerang Nasharudin di Parlimen.

Mohamad juga dikatakan hanya menerima pencalonan kawasan-kawasan tertentu ekoran keperluan politik supaya kawasan tersebut dilihat tidak menentang beliau, dan Mohamad akan bersedia berceramah di kawasan tersebut.

Kritikan lantang juru kempen beliau terhadap ulama juga dilihat pihak dalaman sebagai berpotensi untuk memberi kesan negatif.

Mohamad walau bagaimanapun mempunyai kekuatan sokongan ahli-ahli akar umbi, yang selesa dengan beliau yang mudah mesra dan tidak dikaitkan dengan imej elit.

Tuesday, May 17, 2011

Pemilihan PAS, fasa pertama selesai, tunggu 26 Mei

Keputusan calon-calon yang layak bertanding jawatan-jawatan dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi penggal 2011-2013 diumumkan di Kuala Lumpur hari ini, memberi gambaran saingan sengit di semua sayap parti kecuali Dewan Ulama.

Presiden menang tanpa bertanding kerana tiada pencabar.

Persaingan akan menjadi lebih jelas selepas tarikh akhir penerimaan pencalonan pada 26 Mei nanti, tarikh akhir penerimaan pencalonan untuk bertanding oleh mereka yang dicalonkan.

Pencalonan memperlihatkan perwakilan seimbang daripada semua golongan - ulama, profesional dan aktivis - dalam PAS.

Presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan untuk penggal kelima berturut-turut, mencerminkan kedudukanya yang stabil dan terus mendapat sokongan walaupun berdepan tekanan sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac, 2008.

Jawatan timbalan presiden yang disebut-sebut bakal mempertemukan penyandang dengan Mohamad Sabu menyaksikan enam calon layak bertanding termasuk penyandang Nasharudin Mat Isa.

Berikut calon-calon yang disahkan untuk Jawatankuasa Kerja Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat untuk penggal 2011-2013.

Presiden (menang tanpa bertanding)

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Timbalan presiden (6 layak bertanding)

1. Mohamad Sabu
2. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
3. Datuk Seri Azizan Abdul Razak
4. Nasharudin Mat Isa (penyandang)
5. Datuk Husam Musa
6. Salahuddin Ayub

Naib presiden [3 kerusi] (14)

1. Datuk Seri Azizan Abdul Razak
2. Datuk Husam Musa
3. Salahuddin Ayub (penyandang)
4. Nasharudin Mat Isa
5. Mohamad Sabu
6. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (penyandang)
7. Idris Ahmad (ketua penerangan)
8. Datuk Mahfuz Omar (penyandang)
9. Mazlan Aliman
10. Datuk Nik Mohd Amar Abdullah
11. Dr Mohd Hata Ramli (bendahari)
12. Dr Mujahid Yusof Rawa
13. Nik Zawawi Nik Salleh
14. Datuk Seri Nizar Jamaluddin

Jawatankuasa Kerja Pusat [18 kerusi dipilih, (6 lagi dilantik)]

82 layak bertanding

Ketua Dewan Ulama (menang tanpa bertanding)

Datuk Haron Taib

Timbalan ketua ulama (2)

1. Datuk Ahmad Yaakob
2. Mohd Zain Abdul Rahman

Naib ketua ulama (menang tanpa bertanding)

Datuk Dr Mahfudz Mohamed

Jawatankuasa Kerja Ulama [18]

26 orang layak bertanding

Ketua Dewan Pemuda (4)

1. Nasrudin Hassan (penyandang)
2. Azman Shapawi Abdul Rani (timbalan ketua)
3. Suhaizan Kayat
4. Mohd Firdaus Jaafar

Timbalan ketua pemuda (9)

1. Ahmad Sabki Yusof (naib ketua)
2. Azman Shapawi Abdul Rani (timbalan ketua)
3. Mohd Firdaus Jaafar
4. Mohd Nor Hamzah
5. Nasrudin Hassan (ketua pemuda)
6. Nik Abduh Nik Abdul Aziz
7. Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
8. Riduan Mohd Nor
9. Suhaizan Kayat

Naib ketua pemuda (12)

1. Azman Shapawi Abdul Rani (timbalan ketua pemuda)
2. Mohd Firdaus Jaafar
3. Kamaruzaman Mohamad
4. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob
5. Ahmad Sabki Yusof (penyandang)
6. Khairi Faizi Kamil
7. Mohd Nor Hamzah
8. Mohd Sany Hamzan
9. Nasir Zakaria
10. Nik Abduh Nik Abdul Aziz
11. Riduan Mohd Nor
12. Suhaizan Kayat

Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda [12 kerusi]

Seramai 68 orang layak bertanding

Ketua Dewan Muslimat (4)

1. Nuridah Salleh (penyandang)
2. Dr Siti Mariah Mahmud
3. Dr Asiah Ali
4. Siti Zailah Mohd Yusoff

Timbalan ketua muslimat (6)

1. Siti Zailah Mohd Yusoff (penyandang)
2. Dr Asiah Ali
3. Mumtaz Md Nawi
4. Dr Siti Mariah Mahmud
5. Wan Hasrina Wan Hassan
6. Nuridah Salleh (ketua muslimat)

Naib ketua muslimat (11)

1. Aiman Athirah al-Jundi
2. Dr Asiah Ali
3. Mumtaz Md Nawi (penyandang)
4. Mastura Mohamad
5. Dr Najhatussolehah Ahmad
6. Normala Sudirman
7. Nuridah Salleh (ketua muslimat)
8. Rohani Ibrahim
9. Dr Siti Mariah Mahmud
10. Siti Zailah Mohd Yusoff (timbalan ketua muslimat)
11. Wan Hasrina Wan Hassan

Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat [17 kerusi]

Seramai 54 orang disah layak bertanding

Saturday, May 14, 2011

Timbalan presiden penentu PAS dalam Pakatan Rakyat?

Timbalan presiden selepas pemilihan kepimpinan PAS pada muktamar awal Jun nanti bakal menjadi faktor penting dalam menentukan hubungan parti itu dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Mohamad Sabu yang mendapat sokongan meluas merentasi kem pada masa ini dilihat akan mengukuhkan kedudukan PAS sebagai ahli gabungan PR.

Mohamad merupakan penyokong kuat PAS terus bersama PR, walaupun berdepan pelbagai kritikan berhubung PAS yang dilihat dikuasai dan tidak menunjukkan kepimpinan dalam gabungan itu.

Bekas naib presiden PAS itu juga berpendirian teguh menolak sebarang urusan dengan Umno, yang dianggap usaha menyelamatkan parti Melayu ketika parti itu sedang tergugat ekoran Pilihan Raya Umum ke-12.

Pengkritik melihat PR terlalu didominasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, dan menggesa PAS membebaskan diri daripada pakatan yang didakwa menjadi liabiliti kepadanya itu.

Mohamad mempunyai hubungan sangat baik dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Aktivis popular PAS itu sebelum ini dilihat sebagai pengkritik kuat Anwar dalam PAS, tetapi mula kelihatan berkompromi selepas penubuhan PR.

Pada masa ini, Mohamad menerima sokongan kuat semua golongan dalam PAS terutama kem yang dikenali “Erdogan,” dipercayai disebabkan pendiriannya berhubung PR dan penyandang timbalan presiden, Nasharudin Mat Isa.

Mohamad bersaing dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan timbalan presiden bersama Datuk Husam Musa yang juga bekas naib presiden dan Nasharudin pada pemilihan yang lalu tahun 2009.

Husam telah menyuarakan hasrat untuk tidak bertanding merebut jawatan timbalan presiden pada tahun ini.

Nasharudin dikritik sebagai tidak menunjukkan prestasi yang baik sepanjang memegang jawatan timbalan presiden, tetapi masih mendapat sokongan kuat banyak pihak.

Beliau turut dikaitkan dengan usaha berbaik dan menjalin hubungan politik dengan Umno, dakwaan yang turut dikaitkan dengan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang oleh pihak tertentu.

Mohamad dalam kempennya untuk merebut jawatan timbalan presiden mengemukakan agenda membantu presiden untuk mengukuhkan PAS.

Pendirian Mohamad walau bagaimanapun tidak sepenuhnya selari dengan sikap Abdul Hadi berhubung haluan PAS dan PR.

Presiden PAS itu mempunyai pandangan tersendiri berhubung peranan PAS dalam PR, dan pernah mencadangkan kerajaan perpaduan nasional melibatkan semua parti politik di negara ini.

Ide beliau itu walau bagaimanapun dikecam sebagai usaha mengadakan pakatan PAS dengan Umno, mewujudkan perdebatan sengit antara dua kumpulan besar dalam parti itu.

Abdul Hadi masih berdepan tekanan dan kritikan ekoran dikaitkan dengan kegagalan rancangan perubahan kerajaan pusat 16 September, 2008 diketuai Anwar.

Tekanan terhadap beliau muncul lagi menjelang muktamar tahun ini apabila isu kelayakan beliau menjadi presiden PAS muncul lagi di media.

Prof Dr Abdul Aziz Bari mengulangi kritikan terhadap Abdul Hadi tidak lama dulu, dan pemikir libertarian Wan Saiful Wan Jan menulis ulasan yang diterbitkan di beberapa media menggesa presiden PAS itu melepaskan jawatan.

Kritikan terhadap Abdul Hadi kali ini walau bagaimanapun ditolak oleh ramai pihak termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Thursday, May 12, 2011

Suhaizan, Raja Ahmad calon paling popular Pemuda PAS

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss kekal calon paling popular untuk merebut jawatan-jawatan tertinggi sayap Pemuda PAS dalam pemilihan kurang sebulan daripada sekarang.

Suhaizan dikatakan menerima pencalonan terbanyak untuk bersaing bagi jawatan ketua pemuda, mencabar Nasrudin Hassan.

Raja Ahmad, yang menang tanpa bertanding jawatan timbalan ketua Pemuda PAS Perak baru-baru ini menerima sokongan ramai untuk bertanding jawatan naib ketua Pemuda PAS.

Turut menjadi pilihan ramai ialah Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar yang dicalonkan untuk jawatan timbalan ketua.

Firdaus yang mengetuai Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan timbalan ketua.

Jawatan itu kini disandang Azman Shapawi Abdul Rani yang tidak lagi dilihat sesuai untuk memegang jawatan itu selepas satu penggal.

Raja Ahmad merupakan calon paling popular dalam kalangan ketiga-tiga pemimpin pemuda itu, menerima sokongan meluas dari seluruh negara.

Beliau juga berada di kedudukan paling selamat berbanding dua jawatan tertinggi yang masih terbuka kepada pertandingan atau kompromi lain.

Nasrudin masih menerima sokongan dan pencalonan, manakala kedudukan timbalan mungkin menyaksikan persaingan sengit.

Beliau yang kini mengetuai Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS dikatakan menerima jumlah menggalakkan dari seluruh negara, termasuk 24 pencalonan dari Perak, 15 dari Johor dan empat negeri iaitu Kelantan, Selangor, Pahang dan Kedah masing-masing memberikan 10 pencalonan.

Suhaizan yang pernah dipecat daripada jawatan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor, menerima sokongan berdasarkan aktivisme beliau dalam parti dan di peringkat nasional.

Beliau merupakan antara pemimpin pemuda yang paling berprofil tinggi di peringkat nasional disebabkan penglibatannya dalam demonstrasi dan kempen-kempen lain.

Suhaizan, Firdaus dan Raja Ahmad dilihat sebagai satu gandingan untuk mengetuai sayap pemuda pada penggal akan datang, tempoh yang dijangka berlaku Pilihan Raya Umum ke-13.

Ketiga-tiga calon menerima sokongan luas sebahagiannya disebabkan pendirian yang dilihat tidak berpihak kepada mana-mana kem dalam parti, yang bersaing dengan sengit sejak Pilihan Raya Umum ke-12.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...