Sunday, February 24, 2013

DAP dan PRU 13: Mampukah DAP bina imej lebih inklusif?

 Oleh FARISH A NOOR

Ketika Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir, timbul spekulasi oleh penganalisis tentang sama ada negara ini akan menyaksikan kemunculan politik sistem dua parti. Sejak 1975 Malaysia ditadbir oleh parti-parti yang membentuk sebuah pakatan, pada mulanya sebagai Perikatan (1957-1974) dan kemudian sebagai Barisan Nasional (1974-2013). Parti-parti pembangkang, walau bagaimanapun, bergerak sendiri dan setakat ini tidak dapat menubuhkan blok lawan yang kohesif.

Antara parti pembangkang yang menonjol hari ini ialah DAP, yang ditubuhkan pada pertengahan 1960-an. DAP mendakwa berhaluan kiri sederhana dan sekular, tetapi sejak 1960-an lebih diterima pengundi berketurunan Cina. Pencapaiannya bergantung pada kemampuannya bercakap bagi pihak bukan Melayu dan juga pada kekuatan dan kelemahan pesaing utamanya, MCA. Dari sudut pencapaian dalam pilihan raya, DAP menyaksikan rekod bercampur-campur.

Dalam pilihan raya tahun 1969 DAP mendapat perhatian apabila menang 13 kerusi parlimen, jumlah sama dimenangi pesaingnya, MCA. Sejak awal lagi DAP sudah jelas dilihat sebagai ancaman bukan terhadap Umno, tetapi kepada MCA, dalam merebut pengundi Cina. Pada tahun 1974 DAP menang sembilan kerusi (sementara MCA menambah 19) dan meningkatkan kedudukan pada 1978 apabila menang 16 kerusi. Pencapaian DAP merosot pada 1982 apabila ia memenangi sembilan kerusi, dan mencapai kemuncaknya pada 1986 dengan mendapat 24 kerusi parlimen. Pada 1990 DAP memenangi 20 kerusi, tetapi hanya menang sembilan pada 1995. Sejak 1999 kerusi parlimen DAP terus meningkat: daripada 10 pada 1999, 12 pada 2004, kepada 28 pada 2008. Kerusi dimenangi DAP sejak 1999 hingga 2008 sebahagiannya secara langsung dirampas daripada MCA, yang terus menyaksikan kemerosotan kerusi parlimen.

Beberapa penilaian boleh dibuat berhubung peluang DAP dalam pilihan raya akan datang berdasarkan pencapaiannya dalam pilihan raya setakat ini: Pertama, dapat diperhatikan sejak pilihan raya 1969 hingga awal 2000-an, DAP telah telah mensasarkan MCA dalam strategi jangka panjangnya memenangi sokongan kaum Cina. Walaupun mendakwa berhaluan kiri sederhana dan sekular, DAP telah memperjuangkan beberapa hal yang bersifat komunal, termasuk memperjuangkan sekolah vernakular untuk bukan Melayu dan menuntut lebih perwakilan bagi bukan Bimuputera di pentas politik.

Semasa 1980-an hingga 1990-an DAP ialah antara pengkritik paling keras dasar Islamisasi di negara ini, yang bermakna ia tidak boleh sehaluan dengan sebuah lagi parti pembangkang yang besar di Malaysia, PAS. Ketika PAS sedang hebat berkempen untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia, DAP secara konsisten menentang dan hasilnya dituai dalam pilihan raya 1986 – apabila PAS hanya menang satu kerusi parlimen dan DAP memenangi 24 kerusi.

Kedua, sebahagiannya disebabkan sifat politik Malaysia yang berasaskan kaum, DAP mula menyedari sumber undi utama mereka ialah pengundi bukan Melayu. Tetapi ini jga bermakna DAP tidak boleh mencapai kuasa di peringkat persekutuan tanpa menyertai pakatan politik yang boleh memenangi sokongan pengundi yang lebih meluas. Hal ini tidak dapat dilaksanakan pada tahun-tahun 1960-an hingga 2000 kerana DAP tidak dapat bekerjasama dengan PAS, yang mempunyai agenda negara Islam yang ditentang kuat DAP.

Hanya sejak 2004 DAP mula membina jambatan dengan parti-parti lain, terutama PAS dan PKR, pertama kali semasa kewujudan singkat Barisan Alternatif dan sekarang dalam gabungan Pakatan Rakyat. Walaupun dinafikan pemimpin-pemimpin parti pembangkang, wujud perbezaan mendalam antara parti yang masih tidak dapat diselesaikan.

Perbezaan mendalam antara ideologi berbeza ini dijelaskan lagi melalui kontroversi ucapan Hari Natal oleh pemimpin DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang mempertahankan penggunaan nama “Allah” dalam Injil berbahasa Melayu di Malaysia Timur. Pemimpin DAP itu dituduh oleh penentangnya sebagai melakukan provokasi terhadap sensitiviti Muslim tetapi pada mulanya dipertahankan oleh sekutunya PAS. Walau bagaimanapun, kemudian, PAS menarik balik sokongan ekoran keputusan majlis syuranya, yang mentakrifkan matlamat asas parti, menyatakan yang terjemahan “Allah” dalam Injil berbahasa Melayu boleh menyebabkan kekeliruan.

Isu ini, yang dimainkan di media, telah menunjukkan kerapuhan gabungan Pakatan Rakyat pada masa-masa tertentu. Pemimpin-pemimpin DAP juga secara konsisten telah menegaskan tidak akan menyokong penubuhan sebuah negara Islam di negara ini, pendirian yang mencetuskan kemarahan konservatif dalam PAS.

Ketiga, masih belum pasti sama ada DAP boleh membina semula imejnya sebagai sebuah parti Cina untuk menjadi lebih pluralistik dan inklusif yang boleh menarik semua kumpulan etnik di negara ini. Malah, pemilihan parti DAP yang lalu menyaksikan semua pemimpin Melayu gagal dipilih ke kepimpinan utama parti sehingga memaksa setiausaha agung mencalonkan dua daripada mereka ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat. Kecuali Pengerusi DAP Karpal Singh, kebanyakan pemimpin parti DAP berbangsa Cina, mengukuhkan lagi persepsi yang ia ialah sebuah parti Cina. DAP bakal meletakkan calon menentang lawan dari parti MCA dalam pilihan raya nanti. 

Walaupun keputusan pilihan raya akan datang masih belum pasti, jelas bahawa DAP berhasrat terus kekal dalam gabungan PR kerana pakatan ini sahajalah yang boleh membawanya mencapai kuasa di peringkat persekutuan. Ini bermakna sekiranya PR berjaya berkuasa di peringkat persekutuan, DAP perlu mengimbangi tuntutan penyokongnya dengan aspirasi seluruh pakatan.

Ini mungkin memerlukan DAP menerima beberapa tuntutan Islamis PAS, tetapi tindakan ini juga akan membangkitkan kemarahan pengundi tradisional DAP yang terdiri daripada sebahagian besarnya bukan Melayu dan bukan Muslim.

Dr Farish A Noor ialah profesor madya di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Artikel ini, diterjemahkan oleh SiasahDaily dan dipetik daripada laman RSIS Commentaries dengan tajuk asal Malaysia's 13th General Election: Prospects and Challenges for DAP.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...