Thursday, February 14, 2013

PAS dan PRU 13: Cabaran mengimbangi idealisme dan pragmatisme

Oleh FARISH A NOOR

Kontroversi berhubung penggunaan nama "Allah" oleh Kristian di Malaysia telah menimbulkan pelbagai persoalan tentang impaknya terhadap strategi politik parti Islam, PAS, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka bila-bila masa daripada sekarang hingga 28 April tahun ini.

Liputan meluas isu nama Allah di Malaysia dihangatkan kembali oleh ucapan pemimpin DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng semasa sambutan Hari Natal pada Disember lalu. Tindakannya mempertahankan penggunaan nama Allah oleh bukan Muslim untuk menterjemah "Tuhan" menerima reaksi keras daripada sesetengah pihak yang tegas mempertahankan kalimah Allah perlu dikhaskan untuk penggunaan Muslim sahaja. Sekutu DAP, PAS pada mulanya menyokong pendirian Lim tetapi mengubah pendirian apabila majlis syura parti itu mengumumkan nama Allah hanya boleh digunakan oleh Muslim sahaja.

Perkembangan ini telah menarik perhatian sekali lagi kepada perbezaan dan jurang dalam gabungan pembangkang persekutuan Pakatan Rakyat dan dalam PAS sendiri, antara ulama yang konservatif dan kelompok yang disebut sebagai "progresif" yang juga digelar "faksi Erdogan." Debat yang tercetus ketika pilihan raya umum semakin hampir ini menimbulkan persoalan tentang prestasi PAS dalam pilihan raya nanti, dan sama ada pihak Islamis akan dapat berkuasa nanti. Untuk menjawab soalan ini, perlu diperhatikan pencapaian pilihan raya PAS sejak penubuhannya pada 1951, dan turun naik popularitinya sepanjang enam dekad lalu.

Sejak pilihan raya 1955, pencapaian PAS bercampur-campur: Tahun itu PAS memenangi satu kerusi; pada pilihan raya parlimen selepas merdeka pada 1959 PAS memenangi 13 kerusi; 1964 sembilan kerusi; dan 1969 PAS menang 12 kerusi. Selepas tempoh singkat sebagai ahli gabungan pemerintah Barisan Nasional pada pilihan raya 1974, PAS sekali lagi bertanding bersendirian, mendapat lima kerusi pada 1978 dan 1982 dan satu kerusi pada 1986. PAS memenangi tujuh kerusi pada 1990 dan 1995; dan memenangi 27 kerusi pada 1999; tujuh kerusi pada 2004 dan 23 kerusi pada 2008.

Dapat diperhatikan PAS menunjukkan prestasi baik pada 1969, 1990, 1995, 1999 dan 2008 semasa menjadi ahli gabungan yang lebih besar. Pada 1990 dan 1995, ia menyertai pakatan dengan Semangat 46 sebagai Angkatan Perpaduan Ummah dan pada 2008, ia bersekutu dengan PKR dan DAP menubuhkan Barisan Alternatif. PAS hanya menang satu kerusi dalam pilihan raya 1986 dan tujuh kerusi dalam pilihan raya 2004, semasa bertanding bersendirian dan platform politiknya dinilai sebagai radikal dan berpotensi mencetuskan konfrontasi.

Dua kesimpulan boleh dibuat daripada pemerhatian pencapaian PAS dalam pilihan raya setakat ini: Pertama, PAS tidak dapat meraih kuasa di peringkat persekutuan sekiranya tidak bersama satu pakatan. Malah, semasa menjadi sebahagian pemerintah pada tahun 1970-an, ia sebahagian gabungan BN. Disebabkan landskap etnik Malaysia yang 60 peratus terdiri daripada orang Melayu dan etnik Bumiputera lain, PAS - seperti juga parti politik Malaysia lain yang beraspirasi nasional - perlu mempunyai sekutu daripada pelbagai parti dan menjadi sebahagian satu pakatan.

Pada masa sama, sifat pengundi Malaysia, yang berbeza kepentingan berdasarkan etnik, bahasa dan agama, menjadikan satu parti berkuasa tanpa sokongan parti berasas etnik atau agama sebagai sekutu sesuatu yang mustahil. Hal ini terpakai pada PAS dan parti-parti lain: Malah Umno yang kekal sebagai parti terbesar di negara ini juga bergantung kepada sekutu dalam BN.

Kedua, proses tawar menawar antara etnik di Malaysia bermakna mana-mana parti yang bercita-cita berkuasa di peringkat nasional perlu memenuhi keperluan dan permintaan pengundi Malaysia secara keseluruhan, dan tidak mencetuskan kemarahan mana-mana kumpulan etnik atau agama dalam negara. Seperti diperhatikan pada pilihan raya umum pertengahan 1980-an, pencapaian terburuk PAS berlaku semasa parti ini kelihatan terlalu radikal dan dipengaruhi retorik dan taktik parti-parti Islamis sedunia, sejurus selepas tercetus revolusi di Iran.

Pada 2004, PAS menyaksikan pencapaian terburuk selepas pemimpinnya secara terbuka menunjukkan sokongan kepada Taliban dan mewajarkan "jihad" terhadap Barat. Ini menunjukkan pengundi Malaysia, termasuk Melayu-Muslim yang membentuk majoriti, tidak berkecenderungan untuk menyokong parti politik yang mengambil pendekatan radikal dan mengartikulasi jalan revolusi menuju kuasa. Dalam hal ini, pengundi Malaysia kekal menjadi kuasa moderat yang mengimbangi retorik dan cita-cita parti-parti politik di negara ini.

PAS pada masa ini kelihatan bertekad untuk kekal dalam politik pakatan dan tidak menunjukkan kesediaan meninggalkan Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun, tuntutan segme konservatif dalam parti juga akan ditangani pada masa sama kepimpinan parti berusaha mencapai kuasa sebagai sebahagian satu pakatan pelbagai etnik dan agama.

Persoalan tentang bagaimana tuntutan kelompok konservatif dalam parti akan ditangani sekiranya PAS berkuasa, masih terbuka. Isu panas daripada penguatkuasaan peraturan Islam hingga kepada tindakan mengawal moral masih menjadi hal yang perlu ditangani oleh gabungan PR. Di sinilah dilema PAS: Ia tidak boleh mencapai kuasa di peringkat persekutuan melainkan kekal dalam gabungan, tetapi ia tidak dapat mencapai matlamat penubuhan negara Islam selama menjadi ahli pakatan.

Cara PAS menangani "isu nama Allah" memberi petunjuk politik yang bakal dimainkan oleh PAS sekiranya gabungan PR berkuasa. PAS dijangka kekal dalam gabungan PR kerana pakatan ini membolehkannya mencapai kuasa. Tetapi kekal dalam pakatan juga akan mencetuskan persaingan dalaman melibatkan kelompok konservatif dan progresif dalam parti.

Konflik dalaman ini sukar untuk diselesaikan walaupun ia dapat berkuasa di peringkat persekutuan, kerana sentiasa ada kemungkinan tuntutan untuk berusaha mencapai matlamat asal perjuangan yang telah ditentukan sejak tahun-tahun 1950-an. Permintaan-permintaan itu, walau bagaimanapun, tidak dapat dipenuhi tanpa mengakibatkan hakisan sokongan daripada sekutu PAS dalam pakatan. Maka kompromi perlu memandu politik seharian PAS, sementara kepimpinan parti berusaha menangani cabaran sukar mengimbangi pragmatisme dan idealisme politik.

Dr Farish A Noor ialah profesor madya di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Artikel ini, diterjemahkan oleh SiasahDaily dan dipetik daripada laman RSIS Commentaries dengan tajuk asal 13th Malaysian General Election: Prospects and Challenges for PAS.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...