Saturday, May 31, 2008

Perhatian!
SMS Palsu guna nama Siasah


Siasah
tidak mempunyai sebarang kaitan dengan satu SMS yang disebarkan dengan menggunakan nama Media Icon Sdn Bhd dan akhbar Siasah. SMS yang dihantar itu berbunyi "pengumuman dari Media IconSIASAH anda berjaya dalam cabutan bertuah RM5000.00" . Penerima SMS itu kemudian diminta menghubungi nombor telefon yang disertakan. Pihak Siasah menasihati para pembaca berhati-hati dengan SMS tersebut.

Friday, May 30, 2008

PAS parti penentu

KUALA LUMPUR, 30 Mei: PAS kini menjadi parti penentu dalam kemelut perebutan pengaruh dalam politik Malaysia, kata Ustaz Ahmad Awang, Naib Presiden PAS.

Bagaimanapun, PAS mengambil pendekatan untuk terus bersama Pakatan Rakyat dan akan terus berusaha untuk memperkuatkannya, katanya kepada Siasah.

Untuk itu, katanya, satu gagasan bersama antara parti-parti Pakatan sedang dirangka dan diteliti oleh para pimpinan utama parti-parti dalam Pakatan.

"Kami di peringkat PAS sedang meneliti draf itu dan nampaknya tidak ada masalah besar untuk meluluskannya," kata beliau kepada Siasah.

Beliau mengulas usaha-usaha yang sedang dibuat untuk memancing PAS agar bersama dengan Umno sekarang.

"Memang sejak sebelum berjaya membentuk kerajaan di lima negeri Pakatan lagi, Umno siang malam berusaha untuk mendekati PAS dan mengajak bersama dengan mereka kononnya atas nama Melayu dan Islam," kata Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.

Katanya, setiap masalah yang timbul antara parti dalam Pakatan khasnya di Perak akan mendapat respon segera dari Umno untuk memancing PAS.

"Seolah-olah mereka menjejaki kita setiap masa. Matlamatnya satu sahaja, untuk mengajak kita bersama mereka," katanya.

Namun PAS, katanya, telah mengambil keputusan untuk menerima mandat rakyat agar bersama-sama dalam Pakatan.

Sementara itu, katanya, hubungan PAS dengan Istana Perak semakin rapat selepas kes Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

"Raja Muda sendiri secara terbuka memuji pendekatan MB kita dan insya Allah kes Pengarah Jaip itu akan selesai tidak lama lagi," kata beliau.

Batal rancangan bubarkan Kem Majidee

KUALA LUMPUR, 30 Mei: PAS meminta kerajaan mengkaji semula pembubaran kem Majidee di Johor Bharu untuk membolehkan projek pembangunan dijalankan di situ kerana ia melibatkan soal keselamatan negara.

Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berkata, kedudukan kem Majidee di selatan tanah air adalah terlalu strategik dari segi keselamatan dan ia adalah warisan sejarah negara untuk dibubarkan.

"Saya mendesak agar rancangan untuk menjadikan kawasan itu kawasan komersial dibatalkan kerana Batu Pahat terlalu jauh dari sempadan untuk berfungsi dengan baik. Ianya dua jam perjalanan dari Johor Bharu ke Batu Pahat," kata Salahudin.

Sebuah akhbar harian Jumaat lepas telah menjadikan isu kem ini sebagai berita muka depannya dan menyifatkan pembubaran kem ini bertujuan keuntungan kewangan semata-mata.

Kem ini akan dibangunkan dengan pusat komersial dan perumahan. Ia bakal dimajukan oleh anak syarikat kerajaan negeri Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn Bhd dengan Tasik Zamrud Sdn Bhd.

Yang menjadi isu adalah, kem Majidee adalah kem yang paling selatan di Semenanjung. Ia sepatutnya dibubarkan selepas selesainya pembinaan Kem Skudai.

Projek itu belum bermula lagi, namun separuh dari tentera yang ada di situ, yang menempatkan Gerak Khas dan Briged Tujuh, telah dipindahkan ke kem di Kluang, Gemencheh dan Gemas.

Menurut satu sumber lain, mykmu.net, anggota Parlimen Johor Bharu, Shahril Samad adalah antara personaliti yang terlibat dalam usaha untuk menswastakan Kem Majidee ini untuk ditukarkan kepada projek pembangunan komersial pada pertengahan tahun 1990an lalu.

57% mahu Anwar PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Menurut satu kajian yang dibuat oleh sebuah badan di Lembah Kelang, 57.0 peratus penduduknya bersetuju Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Malaysia. Hanya 15.6 peratus tidak bersetuju manakala 27.4 peratus memberikan maklum balas tidak pasti.

Kajian itu juga mendapati faktor Anwar sebagaimana berikut:


* 49.0% yakin ekonomi lebih stabil

* 51 % bersetuju Islam lebih terbela

* 49.3 % Melayu lebih terbela

* 51.6 % yakin perpaduan kaum lebih baik

* 58.7 % yakin Pakatan akan lebih kuat

* 48.7 % tidak percaya Anwar agen asing


Laporan penuh Siasah Sabtu ini.

San Francisco

Kami tiba di San Francisco lewat petang semalam. Cuaca di sini lebih sejuk daripada tempat lain di Amerika Syarikat yang sudah hampir kepada musim panas.

Kami ditempatkan dekat di kawasan dikenali sebagai Bay Area, kawasan teluk yang juga menempatkan syarikat-syarikat IT terkenal dunia.

Pagi ini, kami bertemu dengan seorang editor majalah Sierra dari Sierra Club dan kemudian dengan majalah teknologi Wired.

San Francisco dikenali sebagai salah satu pusat media progresif Amerika. - Haris Zalkapli

Thursday, May 29, 2008

Percepatkan proses bayar balik wang Kifalah

KOTA BHARU, 29 Mei: Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diminta mempercepatkan proses membayar balik wang pendahuluan skim Kifalah bernilai RM500 yang dibayar kepada warga tua yang meninggal dunia.

Ini kerana, sejak kebelakangan ini, ramai penghulu di negeri itu menghadapi masalah apabila terpaksa mendahulukan wang mereka untuk dibayar kepada keluarga simati yang terlibat dengan skim itu.

Menurut maklumat Siasah, setiap kawasan Parlimen menerima RM5,000 dari PMBK untuk dibayar kepada keluarga simati sebaik sahaja maklumat kematian itu diperolehi oleh petugas Kifalah.

RM5,000 itu hanya cukup untuk 10 kematian sahaja kerana setiap satu kematian dibayar RM500.

Apabila lebih, pihak kawasan khasnya penghulu yang terlibat terpaksa menggunakan wang mereka sendiri sebagai pendahuluan.

"Apabila wang PMBK lambat sampai, ia membebankan kita," kata seorang penghulu kepada Siasah.

Ketika ditanya, adakah ahli Kifalah yang meninggal tidak mendapat bayaran pendahuluan segera RM500 ini, dia tidak tahu kes sebegitu berlaku.

Kifalah akan membayar RM2500 untuk setiap wargatua yang berdaftar dengannya apabila meninggal dunia.

RM500 sepatutnya diberikan pada hari kematian dan selebihnya kira-kira sebulan kemudian.

Adik TPM bangunkan tanah UM?

KUALA LUMPUR, 29 Mei: Apakah benar adik timbalan perdana menteri, Datuk Ahmad Johari terlibat dalam usaha untuk membangunkan 11 hektar tanah milik Universiti Malaya?

Inilah persoalan yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Namun, timbalan menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron yang sepatutnya menjawab persoalan itu tidak mengesahkannya kerana soalan tambahan dari Mohd. Nasir bin Zakaria [PAS-Padang Terap] tidak dijawab beliau.

Nasir dalam soalannya bertanya, adakah pihak kementerian akan membenarkan permohonan Universiti Malaya di atas inisiatif sektor swasta untuk membangunkan 11 hektar tanah Universiti Malaya, yang sangat bernilai daripada segi sejarah dan sebagainya?

Secara tidak langsung menyebabkan universiti hilang fokus terhadap core business untuk melahirkangraduan kelas pertama, katanya.

"Adakah syarikat yang terlibat untuk membangunkan tanah tersebutsalah seorangnya adalah merupakan Dato’ Ahmad Johari Abdul Razak, yang merupakan adik Timbalan Perdana Menteri kita?" soal beliau.

Bagi Nasir, tindakan ini akan menjatuhkan lagi ranking Universiti Malaya dalam ranking universiti di dunia.

Wednesday, May 28, 2008

Scomi bekalkan bas baru untuk RapidKL

KUALA LUMPUR, 28 Mei: Hampir kesemua bas baru RapidKL dibekalkan oleh anak syarikat Scomi Berhad yang dipengerusikan oleh anak Perdana Menteri, Kamaludin Abdullah.

Begitu juga bas-bas baru RapidPenang, ia juga dibekalkan oleh anak syarikat Scomi itu.

Akhbar Utusan hari ini menyiarkan di muka depannya gambar lautan bas City Liner, Park May dan Intrakota yang memberikan khidmat kepada warga kota selama ini yang tersadai di depoh mereka.

Sebahagian besarnya dikatakan masih dalam keadaan baik tetapi tidak digunakan.

Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) membangkitkan perkara ini dalam Dewan Rakyat semalam.

“Kenapa gabungkan dua syarikat ini tetapi tidak gunakan bas-bas tersebut dan beli bas-bas baru,” tanya Bung Mokhtar yang mempertikaikan langkah itu.

“Saya ingin tanya kerajaan, adakah apa-apa yang tidak kena dalam penjelmaan RapidKL ini,” tanya Bung sebagaimana yang dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Protes di White House

Protes-protes di depan White House, di Pennsylvania Avenue. Mereka menjadi tarikan kepada pelancong dan media, dari dalam dan luar Amerika Syarikat.

Ramai pelancong mengambil peluang bergambar dengan mereka, selain bergambar di depan pagar White House.
Penunjuk perasaan ini boleh berdemonstrasi tanpa gangguan, tetapi ada juga masa penunjuk perasaan tersebut ditahan, dengan alasan seperti berdemonstrasi tanpa permit. - Haris Zalkapli

Tuesday, May 27, 2008

Anacostia

Ini kawasan dikenali Anacostia, di seberang Sungai Anacostia dari kawasan DC. Kawasan miskin yang lebih 90 peratus penduduknya warga kulit hitam.

Barack Obama menang besar di sini.

Kawasan ini ialah tempat jenayah paling banyak berlaku di DC. Persekitarannya memang jelas menampakkan kawasan ini jauh berbeza daripada kemakmuran kawasan North West DC. Tapi ini bukan kawasan daif yang paling mundur di Amerika Syarikat.


Gambar di atas ialah rumah Frederick Douglass, tokoh Afrika-Amerika yang berperanan besar menamatkan perhambaan, hasil kejayaannya menjadikan penamatan perhambaan isu penting bagi pihak Utara dalam Perang Saudara.

Lagi gambar di politikpop.blogspot.com - Haris Zalkapli

Monday, May 26, 2008

Pemimpin Umno perlu sertai Pakatan - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 26 Mei: PAS mengajak para pemimpin Umno supaya membuat perubahan dengan cara baru iaitu menyertai usaha pembentukan kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penyertaan para pemimpim Umno ini penting bagi memastikan tertegaknya kerajaan baru yang berasaskan kepimpinan Melayu Islam serta perpaduan dan keadilan untuk semua kaum di negara ini.

Untuk melaksanakan hasrat itu, katanya, beliau sentiasa terbuka untuk menemui mana-mana pihak bagi menyatakan hasrat PAS itu.

Abdul Hadi berkata demikian dalam kemelut peralihan kuasa yang sedang melanda negara ini sekarang ekoran pengisytiharan keluarnya bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir dari parti itu.

Bagi Abdul Hadi, parti Umno sudah sampai umur bersara dan para pemimpinnya perlu mencari pendekatan dan platfom baru.

Platform baru ini, kata beliau, akan memastikan tidak ada diskriminasi untuk negeri-negeri di pantai timur (Kelantan dan Terengganu) atau negeri-negeri di Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

"Kalau selama ini Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sentiasa ketinggalan di bawah kerajaan lama dan berada dalam kategori negeri-negeri miskin, walaupun mempunyai sumber yang kaya, melalui pakatan baru ini kita berharap akan dapat memperbetulkan keadaan ini," kata beliau dalam pertemuan khas dengan Siasah.

Berhubung dengan keluarnya bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir dari parti itu, Abdul Hadi berkata, tindakan itu membayangkan kerajaan BN pimpinan Umno sememangnya sangat lemah sekarang.

"Kita bersedia untuk memberikan pentas PAS kepada Tun Dr Mahathir jika beliau mahu dan sedia juga mempertimbangkan jika beliau memohon untuk menyertai PAS," kata beliau mengulas tawaran Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar Mahathir menyertai PAS.

Menurutnya, PAS sekarang sedang menangani perkembangan baru yang berlaku dalam Pakatan Rakyat dan berusaha untuk meneguhkan lagi pakatan ini.

"Kita selalu bertemu dengan pimpinan lain dalam Pakatan. Yang terbaru kita bertemu dengan Datuk Seri Anwar dan berbincang cara-cara untuk mencapai hasrat bagi membentuk kerajaan baru di peringkat Pusat.

"Nampaknya beliau sangat yakin untuk membentuk kerajaan baru, tinggal lagi kita sedang mengkaji kesan-kesannya atas dasar dan perjuagan PAS," kata beliau.

Untuk itu, kata beliau, para pemimpin Umno perlu juga menyertai pakatan ini kerana kerajaan yang Umno bina itu sudah sampai masa untuk bersara.

Saya yang minta maaf dari Rashid, Wan Rahim

KUALA LUMPUR, 26 Mei: "Sayalah orangnya," kata anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bagi menjawab persoalan siapakah pemimpin pembangkang yang pergi meminta maaf kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman selepas pilihan raya umum lalu.

Menurut Wan Rahim, beliau bersendirian bertemu Rashid di pejabatnya di Putrajaya pada 13 Mac iaitu lima hari selepas pilihan raya umum ke 12 lalu.

"Saya memang minta maaf kepada dia bagi pihak kawan-kawan yang keterlaluan membuat kenyataan terhadap dia," kata Wan Abdul Rahim yang juga Timbalan Pengarah II Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat kepada Siasah.

Dalam pertemuan itu, beliau juga meminta Rashid yang akan tamat tempoh perkhidmatannya hujung tahun ini untuk meninggalkan legasinya tersendiri dalam SPR dengan membantu meningkatkan kualiti SPR.

Wan Rahim mengulas kenyataan Rashid yang sebelum ini mendakwa pemimpin parti pembangkang datang bertemu beliau meminta maaf dengan tindak tanduk mereka menjelang pilihan raya lalu.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan PAS ada pergi memohon maaf kepada Rashid tanpa mengetahui tindakan Wan Abdul Rahim itu.

"Kami tidak boleh menerima tindakan-tindakan yang dibuat oleh SPR menjelang pilihan raya lalu, jadi tidak berbangkit kami pergi meminta maaf," kata Mustafa.

Antara yang tidak boleh diterima PAS adalah pemansuhan di saat akhir penggunaan dakwat kekal dan juga peraturan mati setem kepada borang penamaan calon yang tidak dikuatkuasakan semasa hari mengundi, kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Beliau yakin, tanpa peraturan dan pembatalan peraturan yang dibuat sendiri oleh SPR ini, PAS akan menang dengan lebih banyak kerusi lagi khasnya di Terengganu.

"Misalnya persoalan pengundian berganda ini, ia sememangnya berlaku di Terengganu dan jika peraturan dakwat kekal ini berjalan ia boleh menghalangnya dari berlaku," kata Mustafa.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Yahya Ali memberitahu Siasah, antara penemuan awal post mortem yang dibuat oleh PAS Terengganu adalah laporan dari Dungun yang mengatakan adanya unsur-unsur pengundian berganda melalui penggunaan kad pengenalan palsu.

"Setakat ini Jawatankuasa Post Mortem yang kita tubuhkan telah pergi ke Besut, Kuala Nerus dan Dungun. Antara laporannya tentang pengundian berganda ini," kata Yahya.

Sunday, May 25, 2008

Catatan DC (3)

Hari Sabtu, kami dibawa melawat tempat-tempat yang mempunyai signifikan besar kepada pembentukan Amerika Syarikat.

Jalan di depan White House, sebahagian Pennsylvania Avenue, kini menjadi tempat jalan kaki pelancong, selepas ditutup kepada trafik oleh Bill Clinton kerana takut serangan teroris.

Di sini juga, beberapa penentang perang menunjukkan protes kepada Bush. Satu ketika, penunjuk perasaan itu berdebat dengan seorang veteran perang, salah seorang daripada ramai yang datang sempena Hari Memorial.
Pennsylvania Avenue. White House beralamat 1600 di jalan ini.
Bangunan Capitol, yang kini, masa musim pilihan raya, kosong kerana ahli-ahli kongres pulang berkempen. Pada masa ini, tempat ini dipenuhi rakyat, dan pelancong.

Lagi gambar dan catatan selepas ini. Gambar dan catatan lain di politikpop.blogspot.com - Haris Zalkapli

Friday, May 23, 2008

Dupont Circle 2



Hari ini, 22 Mei di Washington DC, hari kedua kursus. Dua gambar teratas diambil dari dalam bas. Gambar Dupont Circle yang lebih dekat.

Masih belum melawat seluruh DC, cuma melihat Lincoln Memorial dan tempat-tempat lain dari dalam bas, dalam perjalanan ke restoran tempat makan tengah hari.

Pemandu bas membawa kami sekitar DC sekejap, kerana masih awal untuk makan tengah hari.

Dupont Circle tempat menarik untuk duduk menikmati cuaca pagi dan sinaran matahari petang.

Lagi catatan di politikpop.blogspot.com - Haris Zalkapli
Jawatankuasa pantau exco kerajaan dari PAS
Kuasa lantik Pesuruhjaya diserah pada negeri
PAS Temerloh gesa perubahan

TEMERLOH: PAS kawasan ini menggesa dua perubahan besar dilakukan dalam parti melalui usul-usul yang telah dibentangkan dalam muktamar meraka.

Melalui satu usul yang dibentangkan oleh Ahli jawatankuasa PAS Temerloh sendiri, Amiruslan Manaf, beliau mendesak parti itu diperingkat pusat mengambil tindakan segera memanggil untuk menasihati wakil-wakil PAS yang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri yang dikenal pasti tidak mempedulikan pandangan pimpinan PAS peringkat negeri.

Dalam usul yang sama beliau turut menggesa PAS Pusat mewujudkan jawatankuasa pemandu yang berperanan memantau wakil-wakil PAS khususnya yang menjadi exco kerajaan dinegeri-negeri yang dikuasai oleh PAS serta Pakatan Rakyat.

Sementara itu, seorang lagi AJK PAS Temerloh, Syed Putra Syed Ahmad menggesa satu pindaan dibuat ke atas Fasal 34 (4,5,6,7) Undang-undang tubuh PAS bagi membolehkan diadakan muktamat tahunan diperingkat negeri.

Muktamar itu kata beliau, untuk melantik para pimpinan negeri dan Dewan-Dewan oleh perwakilan dari kawasan-kawasan dari negeri tersebut seperti mana proses perlantikan pimpinan PAS Pusat melalui muktamar Agung tahunan.

Ikuti laporan perkembangan ini dalam akhbar Siasah Ahad 25 Mei ini

Thursday, May 22, 2008

Pengarang Rencana Siasah mulakan kursus kewartawanan penyiasatan di US

KUALA LUMPUR, 22 Mei: Pengarang Rencana Siasah, Haris Zalkapli memulakan kursus "Kewartawanan Penyiasatan" yang dianjurkan oleh Jabatan Negara Amerika semalam, 21 Mei di Washington DC.

Beliau bersama 24 peserta dari seluruh dunia menyertai kursus itu selama 20 hari yang bakal membawa beliau menjelajah seluruh negara Amerika itu.


Berikut adalah catatan pertama beliau dari sana.

Ini gambar Dupont Circle dari bilik hotel saya, diambil sekitar pukul 8 malam tadi. Dupont Cirlce yang dikatakan sangat mengelirukan oleh Sydney Ellen Wade dalam filem The American President.

Cuaca di sini selalu sejuk, sebab hujan, hampir dengan suhu musim luruh. Seperti di mana-mana negara Barat, banyak kedai kopi di sini, bukan hanya Starbucks.

Kata seorang kawan, kopi di negara Barat lebih sedap rasanya, apapun pandangan politiknya.

Memang, kerana mereka jarang sangat minum kopi segera, seperti Nescafe.

Kelantan buktikan kesederhanaan perlu dicontohi lain-lain negeri

Oleh Salma Husin
KOTA BHARU, 22 Mei: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairudin menyifatkan Menteri Kelantan sebagai 'mutiara ilmu' selepas kejayaannya mentadbir Kelantan sekian lama dengan berjaya.

“Kelantan telahpun membuktikan kejayaannya dalam pentadbiran menerusi aspek tertentu seperti kebajikan, kesederhanaan dan seumpamanya yang perlu diambil contoh oleh negeri-negeri Pakatan khususnya,”ujarnya.

Konsep kesederhanaan dan pembangunan insan yang dilaksanakan oleh kerajaan PAS Kelantan telah diterima oleh masyarakat umum khususnya di negeri itu sendiri, katanya kepada wartawan.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di pejabatnya dekat sini Rabu lepas.

Pertemuan yang memakan masa kira-kira 45 minit itu telah berlangsung di Pejabat Menteri Besar, di Kompleks Kota Darulnaim kira-kira pukul 8.30 pagi.

Hadir sama pada majlis itu bekas Ketua Pemuda PKR Negeri, Zamakhsari Ibrahim, serta lain-lain pimpinan PKR peringkat negeri.

Menurut Zamakhsari pula, dengan kunjungan wakil kerajaan Pulau Pinang itu dan sebelum ini Menteri Besar Perak, membuktikan Pakatan akan semakin utuh dalam memantapkan persefahaman untuk kepentingan rakyat.

Tuesday, May 20, 2008

Mahathir mulakan plan B

Oleh: Hafiz Mohd Baqi

"Saya akan pohon untuk masuk Umno apabila Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada
menjadi Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana
Menteri Malaysia"
- Tun Mahathir

"Kita mesti mengelakkan dari terperangkap dengan
agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang
lemah dengan pemimpin yang rasuah"
- Anwar Ibrahim.
Selain daripada menyatakan kegembiraan atas
keputusan beliau dan menganggap tindakan itu
mengambarkan kehancuran yang sedang berlaku dalam
parti Umno, ada beberapa perkara yang perlu dilihat
serta dianalisis terutamanya oleh pembangkang.


Berpuluh tahun berada kancah politik Malaysia dengan
22 tahun daripadanya sebagai Perdana Menteri adakah
Mahathir meninggalkan Umno semata-mata kerana
emosi beliau yang terlalu kecewa dengan pimpinan
Umno sekarang yang disifatkan tidak demokratik, lupa
perjuangan, pembodek dan macam-macam lagi itu.


Mahathir memulakan apa yang boleh disebut sebagai
peperangannya dengan Abdullah tidak lama selepas
jawatan Perdana Menteri itu diserahkan oleh beliau
sendiri kepada Abdullah.


Sepanjang tempoh itu, satu-satunya yang boleh
dikaitkan dengan kemarahan paling ketara beliau
terhadap Abdullah hanyalah pembebasan Datuk Seri
Anwar Ibrahim daripada Sungai Buloh.


Isu jambatan bengkok atau AP dan kemudiannya
penguasaan budak-budak tingkat empat hanyalah asam
garam terhadap kemarahan tersebut. kecuali ada pihak
yang benar-benar yakin terhadap keikhlasan Mahathir di
atas kritikan terhadap Abdullah boleh menolak teori ini.


Manakala Anwar, selepas pembebasannya mula
menyusun langkah dan mengatur strategis satu demi
satu untuk mencapai hasrat yang beliau sendiri
uar-uarkan iaitu mahu menukar kepimpinan negara ini
atas slogan untuk perubahan.


Walaupun tidak melafazkan beliau sebagai orangnya,
namum atas dasar 'understanding' mahupun
berdasarkan percakapan umum yang persetujuannya
telah diolah dengan cukup teliti, dengan jelas dapat
dibaca hanya Anwar lah tokoh yang bakal ditabalkan
sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan
kepimpinan yang ada.


Melihat kepada senario pasca pilihan raya umum ke-11
baru-baru ini, kebarangkalian Anwar akan sampai ke
puncak kuasa semakin melebar.


Tidak hairanlah Anwar dalam reaksinya terhadap
perkembangan terkini Mahathir, seperti melihat ada agenda
besar disebaliknya.


"Kita mesti mengelakkan dari terperangkap dengan
agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang
lemah dengan pemimpin yang rasuah" katanya dalam
blog


Berbalik kepada Mahathir, si politikus licik ini sudah
menghidu kemungkinan-kemungkinan tersebut sejak
awal-awal lagi. Kekhuatiran beliau terhadap Anwar
menjadi Perdana Menteri tidak perlu dijelaskan
sekiranya memahami krisis yang berlaku pada tahun
1998.


Justeru, dari situlah usaha untuk memastikan Anwar
tidak berjaya sampai ke puncak kuasa diusahakan
habis-habisan oleh beliau.


Tetapi malangnya di bawah kepimpinan Abdullah
peluang Anwar terbuka luas. Sama ada Abdullah sendiri
mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri, itu persoalan
yang lain, hakikatnya di bawah Abdullah laluan Anwar
lebih mudah.


Langkah paling selamat perlu dilakukan oleh Mahathir
hanyalah mengantikan Abdullah secepat mungkin
kepada tokoh lain yang mestilah tidak mesra Anwar
sifatnya.


Berdasarkan apa yang Mahathir lakukan sepanjang
serangannya terhadap Abdullah selama ini dapat
dirumuskan hanya bertujuan untuk mengantikan
Abdullah secepat yang boleh.


Selepas pilihan raya, usaha itu semakin diperhebatkan,
malahan beliau sama ada secara terancang atau
kebetulan telah mendapat 'back-up' daripada sebahagian
Umno yang lain apabila semakin ramai secara terbuka
memberi tekanan atau mewakili suara mendesak
berlakunya peralihan kuasa yang diketahui Mahathir
adalah orang paling awal mencetusknnya.


Namun sejauh mana kejayaan itu, persoalan inilah perlu
dianalisis secara mendalam oleh pihak-pihak yang
mempunyai kaitan politik secara langsung atau tidak
langsung dengan perkembangan mutakhir politik
Mahathir ini.


Atas satu tujuan iaitu untuk memastikan jawatan
Presiden Umno sekaligus Perdana Menteri Malaysia
diserahkan kepada orang lain dari Umno sebelum
dirampas oleh Anwar, boleh jadi Mahathir telah gagal
strategi pertamanya kerana Abdullah masih lagi disaat
ini Presiden Umno dan Perdana Menteri.


Bagaimanapun boleh jadi strategi Mahathir diperingkat
ini berjaya kerana beliau (strategi serangan pertama itu)
hanyalah mahukan seperti mana yang berlaku ketika ini
iaitu mewujudkan tekanan-tekanan dari Umno terhadap
Abdullah supaya melepaskan jawatannya.


Justeru sebab paling besar kenapa beliau meninggalkan
Umno hanya berkisar kepada dua kemungkinan tersebut
iaitu sama ada memulakan strategi baru selepas
kegagalan plan A beliau atau memasuki fasa seterusnya
untuk menyempurnakan plan peralihan kuasa daripada
Abdullah kepada seorang yang tidak mesra Anwar.


Mana-mana daripada dua sebab di atas, Mahathir kini
telah memasuki plan B yang mana atas kapasiti beliau
bukan lagi ahli Umno, kemungkinan 'game' selepas ini
akan melibatkan parti-parti politik pembangkang dengan
lebih efisyen daripada apa yang parti-parti politik
pembangkang sumbangkan menjayakan perancangan
awal beliau - sama ada secara sedar atau tidak sedar.


Antara yang boleh diramalkan, tindakan Mahathir ini
akan menimbulkan suasana panik di kalangan Umno
yang secara tidak faham akan membaca partinya
sedang menuju kehancuran.


Sudah tentu momentum panik itu kurang berkesan
dengan Mahathir seorang sahaja yang keluar parti,
dengan strategi yang tersusun tindakan meninggalkan
parti ini akan berterusan dari masa ke semasa dengan
penyertaan pihak tertentu atas nama pengikut Mahathir.


Dalam masa yang sama, usaha untuk menimbulkan
rasa panik ini akan dibantu pula dengan
kempen-kempen pembangkang yang akan
menggunakan modal Mahathir keluar parti kepada rakyat
jelata supaya menjauhi Umno kerana parti itu semakin
kacau bilau.


Hasilnya, desakan supaya memulihkan Umno dari
kalangan ahlinya akan semakin hebat yang mana
caranya telahpun diletakkan ke dalam kepala mereka
sejak awal-awal lagi iaitu plan peralihan kuasa.


Sehubungan itu, mentafsir tindakan Mahathir keluar
Umno kerana kecewa dengan apa yang berlaku dalam
parti itu semata-mata perlu difikirkan banyak kali.


Seorang yang licik seperti Mahathir apa sahaja yang
dilakukan tidak dibuat secara membuta tuli bahkan
masa paling sesuai untuk beliau tinggalkan Umno ini
dipercayai dari kajian mendalam berdasarkan plan
strateginya.


Ada beberapa waktu yang boleh dikatakan Mahathir
sesuai untuk meniggalkan Umno, tetapi beliau hanya
memilih meninggalkan Umno setelah road show nya
menemui begitu ramai perwakilan serta pimpinan Umno
dalam perlbagai program yang dianjurkan selesai.


Paling ketara beliau telah meniggalkan mesej penting
kepada ahli-ahli Umno dalam ucapan terakhirnya
sebagai ahli Umno.


"Saya akan pohon untuk masuk Umno apabila Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada
menjadi Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana
Menteri Malaysia"

Monday, May 19, 2008

PAS bertepuk gembira bila Dr M diumumkan keluar Umno

SHAH ALAM, 19 Mei: Pengumuman keluarnya bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir dari parti itu disambut tepukan gemuruh dan laungan takbir oleh lebih 1,000 pemimpin PAS semua peringkat di negeri Selangor jam 1.30 tengahari tadi.

Pengumuman secara sepintas lalu dibuat oleh pengerusi forum sempena Ijtimak PAS Selangor yang diadakan di Dewan Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor dekat sini.

“Saya terima mesej, berita TV mengumumkan keluarnya Tun Dr Mahathir dari Umno sekejap tadi,” kata Cikgu Radzi, pengerusi forum itu.

Dr Mahathir mengumumkan keluar dari Umno dalam satu majlis di Alor Setar kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.

Beliau tidak akan masuk semula Umno selagi Datuk Seri Abdullah terus menjadi presiden parti itu.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, PAS akan menuju jalan maut jika menyertai Barisan Nasional (BN) ketika tunggak parti itu iaitu Umno sedang nazak sekarang.

“Kita akan menjadi ekor sepanjang masa jika menyertai Umno walaupun dia sedang nazak sekarang,” kata Husam ketika membentangkan kertas kerjanya di ijtimak PAS Selangor itu.

Ketika itu, Tun Dr Mahathir belum lagi membuat pengumuman untuk keluar dari Umno.

Husam juga berkata, kenyataan menantu Abdullah, Khairy Jamaludin bahawa PKR adalah singkatan kepada Projek Khinzir Raksaksa akan merosakkan lagi Umno di mata orang bukan Melayu, khasnya Cina di negara ini.

“Ia lebih disaster dari menjulang keris yang dibuat oleh Hishamudin sebelum ini tetapi Khairy dan Umno tidak sedar perkara ini,” kata Husam.

Sunday, May 18, 2008

Saya masih sihat dan boleh jalankan tugas - Nik Aziz

KOTA BHARU, 18 Mei: "Saya masih sihat dan boleh jalankan tugas," kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau hanya akan bercuti mulai 26 Mei ini hingga awal Jun untuk menunaikan umrah di Tanah Suci dan semasa ketiadaannya, timbalan beliau, Datuk Ahmad Yaacob akan memangku tugas sebagai Menteri Besar.

Nik Aziz berkata demikian ekoran pertanyaan wartawan selepas timbul berita dalam akhbar The Star tentang pelan persaraan beliau yang ditimbulkan oleh ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim.

MB Perak kunjungan MB Kelantan

KOTA BHARU, 18 Mei: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin telah mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan hari ini.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyambut kedatangannya bersama 10 orang deligasi lain kira-kira pukul 12.30 tengahari tadi di kediaman rasmi JKR 10, di sini.

Turut hadir dalam majlis makan tengahari itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasharuddin Daud, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun dan lain-lain pimpinan.

Nizar dalam rangka lawatan kerjanya turut ditemani Pengerusi Jawatankusa Perpaduan, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna, Chen Fook Chye, Adun Selising, Husin Din, Adun Semanggul, Ramli Husin, Setiausaha Politik dan akhbarnya, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Anuar Hashim.

Dalam rangka lawatan selama empat jam ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Nizar turut diraikan pada majlis makan tengahari bersama Anggota Exco kerajaan negeri dan Adun sebelum mengadakan pertemuan rasmi dengan Tuan Guru di pejabatnya.

Selepas itu, beliau turut menghadiri majlis pertemuan rasmi dengan anggota exco kerajaan negeri dan Adun yang diadakan di Bilik Gerakan Suk.
Kehadiran Nizar buat pertama kali ke negeri itu, menjadi perhatian para media termasuk RTM, tv3, tv9 untuk membuat liputan.

Nizar ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaannya yang baru dibentuk lebih dua bulan itu akan mengutamakan konsep kebajikan dan amanah sebagaimana yang diingini rakyat.

Menurutnya, selama itu rakyat Perak dan seluruhnya begitu ‘haus’ dengan kebajikan dan amanah dari kerajaan baru.

“Untuk kita, pihak kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk memikul amanah itu sebaiknya dan akan melaksanakan konsep kebajikan dan beramanah sebagaimana yang rakyat inginkan.

“Dalam masa yang sama, Perak memerlukan sokongan semua pihak termasuk rakyat seluruhnya mendoakan kesejahteraan kerajaan kita agar sentiasa berada di bawah lindungan Allah,”ujarnya.

Tegasnya lagi, kerajaan Perak juga akan menjadikan Kelantan sebagai model dalam semua hal termasuk pentadbiran memandangkan kejayaan negeri itu telah menerajui perubahan sejak 18 tahun lalu.

Turut berucap pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob.

Bakal MB: Apakah calon lain pendendam, soal Fatah Harun

KOTA BHARU, 18 Mei: Pengarah Pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Haron tidak bersetuju dengan cara anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah yang menamakan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakub sebagai bakal menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz sebagai menteri besar.

“Bukan saya tidak setuju Datuk Ahmad menjadi pengganti Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tetapi cara veteran PAS itu membuat kenyataan.

“Kenyataan veteran PAS itu seolah-olah calon lain pencemburu, suka menikam dari belakang, buruk sangka dan pendendam. Saya rasa calon-calon lain tidak sebagaimana yang beliau bayangkan itu,” kata Abdul Fatah yang menghubungi Siasah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan Wan Abdul Rahim berhenti dari membuat kenyataan sebegitu kerana ia hanya memburukkan suasana.

“Kita serah sahaja kepada parti dan Tok Guru untuk menentukannya bukan membuat kenyataan sebegitu yang boleh membuatkan lain-lain pihak tidak senang hati,” kata beliau yang juga seorang Adun Kelantan.

Dua hari lalu, akhbar The Star menyiarkan kenyataan Wan Rahim yang menyatakan Kelantan telah selesai dalam peralihan kuasanya apabila Ahmad Yaakub buat kedua kalinya disahkan sebagai Timbalan Menteri Besar.

“Jika Tok Guru hendakkan calon lain, sudah tentu Ahmad Yaakub tidak dipilih sebagai Timbalan Menteri Besar buat kali keduanya,” kata Wan Rahim.

Ahmad Yaakub adalah Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan, Datuk Husam Musa Timbalan Pesuruhjaya II dan Nik Amar Nik Abdullah adalah Timbalan Pesuruhjaya III.

Husam adalah Naib Presiden PAS yang paling kanan manakala Nik Amar adalah AJK PAS Pusat namun Ahmad Yaakub tidak berjaya dalam percubaannya untuk menjadi AJK PAS Pusat.

Selain itu, AJK PAS Pusat dari Kelantan adalah Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Datuk Anuar Tan dan Datuk Takiyudin Hassan.

Saturday, May 17, 2008

Ijtimak PAS Selangor Isnin ini bakal panas!

SHAH ALAM, 17 Mei: Ijtimak atau konvensyen PAS Selangor Isnin ini dijangka panas dengan pelbagai isu dalaman selepas PAS bersama Pakatan Rakyat berjaya mentadbir Selangor selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu di samping berjaya menghantar ramai wakilnya ke Dewan Rakyat.

Konvensyen itu akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang manakala Datuk Husam Musa, Naib Presiden dan Mohamed Hanipa Maidin, peguam yang juga AJK PAS Pusat bakal membentangkan kertas kerja masing-masing.

Konvensyen yang akan diadakan di Komplek Belia Selangor itu akan disertai kira-kira 1,500 pemimpin pelbagai peringkat PAS Selangor.

Pesuruhjaya PAS Selangor , Datuk Dr Hassan Mohamad Ali ketika ditemui sebelum ini teringin benar mengetahu apakah maklum balas rakyat Selangor terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor khasnya menjelang 100 hari pentadbirannya 18 Jun nanti.

Dalam poll yang dibuat Siasah mulai 13 Mei lalu, 92 peratus respondan menyokong kerajaan Pakatan Rakyat itu iaitu 53 peratus berkata prestasinya sangat baik, 39 peratus baik dan hanya enam peratus yang berkata buruk dan sangat buruk.

Berdasarkan poll itu, kelihatan prestasi kerajan Pakatan yang disertai PAS itu memuaskan sehingga kini.

Namun, menurut tinjauan rambang Siasah, ada juga kerisauan kalau-kalau nasib kerajaan PAS Terengganu selepas 1999 lalu berulang di Selangor.

“Saya bimbang dengan sikap sebahagian aktivis PAS yang suka sangat mengkritik secara terbuka pimpinan negeri,” kata seorang petugas PAS kepada Siasah. Inilah juga yang menjadi punca kejatuhan PAS di Terengganu 2004 lalu.

Antara kritikannya adalah pemimpin PAS tidak meraikan ramai petugas PAS dalam melantik kakitangan dan petugas utama kerajaan negeri di mana orang-orang yang dikira bukan aktivis PAS yang dilantik.

Siasah dimaklumkan, kritikan sebegini dinyatakan secara langsung kepada pimpinan PAS negeri di samping cakap-cakap dalam mesyuarat parti.

Para pemimpin kanan PAS di Selangor nampaknya mempunyai jawapan jelas dalam hal ini.

“Kita mementingkan kepakaran kakitangan yang hendak dilantik. Ini yang akan menentukan kita berjaya dalam mentadbir negeri ini atau tidak,” kata salah seorang dari pimpinan PAS Selangor kepada Siasah.

Adalah dipercayai, ini antara perkara yang bakal memanaskan ijtimak PAS kali ini.

Tambahan lagi Husam dan Hanipa yang akan membentangkan kertas kerja mereka mempunyai sikap tersendiri dalam hal kerajaan negeri Selangor ini.

Friday, May 16, 2008

Peguam Negara wajar bertindak segera

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Pelbagai pihak menyambut baik laporan Suruhanjaya Diraja berkaitan dengan video klip Lingam dan mahukan Peguam Negara segera mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang didapati bersalah.

Mereka sepakat, dengan tindakan yang drastik dan menyeluruh sahaja akan memulihkan institusi kehakiman yang rosak sejak Tun Salleh Abbas dipecat dari ketua hakim negara dahulu.

Pagi tadi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kabinet memutuskan agar Peguam Negara mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas kandungan laporan suruhanjaya itu.

Antara pihak yang didakwa terlibat adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor yang menuduh Linggam mabuk ketika memberi keterangan, V K Linggam sendiri, Vincent Tan serta bekas ketua hakim, Ahmad Fairuz dan Eusof Chin.
Dalam pada itu ada juga yang menyifatkan langkah Kabinet mahukan Peguam Negara bertindak itu sebagai tindak balas terhadap Dr Mahathir yang terlalu keras mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Abdullah Badawi.
Laporan penuh menyusul.

Memo bantah keganasan Israel sempena hari Nukbah

Pelbagai pihak menghantar memorendum bantahan terhadap keganasan Israel sempena memperingati Nukbah Palestin di depan pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Damansara tengahari Jumaat. Antaranya IMAM (Integrasi Mahasiswa Muslim). IMAM adalah front dakwah melibatkan WUFI-PKPIM-KARISMA di UIAM.

Kelantan sokong boikot Utusan Malaysia

Oleh Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU 16 Mei: Pelbagai pihak di sini menyokong Majlis Menteri-Menteri Besar Pakatan Rakyat (PR) memboikot akhbar Utusan Malaysia yang jelas mempunyai agenda politik bagi pihak Umno.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat Sains dan Teknologi Negeri, Dr Fadzli Hassan berkata, akhbar yang jelas mempunyai agenda politik dan bukan bertujuan menyebarkan maklumat kepada rakyat wajar diboikot.

"Selain itu, sudah sampai masanya sekarang kerajaan pusat meluluskan permohonan permit akhbar harian yang dipohon PAS.

"Kelulusan itu amat perlu agar PAS mempunyai akhbarnya sendiri bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat memandangkan akhbar harian yang ada sekarang mempunyai agenda sendiri,” katanya.

Khamis lalu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mewakili Majlis Menteri Besar PR mengajak rakyat memboikot akhbar Utusan Malaysia.

Adun Jelawat, Abdul Aziz Kadir turut menyokong penuh cadangan tersebut."Kalau dah dapat persetujuan Majlis Pakatan, pihak kami menyokong penuh," katanya sambil menyifatkan bahawa tindakan dilakukan akhbar berkenaan mahu menjaga Umno dan bukannya rakyat.

Royalti Terengganu: MB tidak tahu ke mana diberikan

KUALA TERENGGANU, 16 Mei: Apa sudah jadi? Siapa betul? Ke mana wang itu? Begitulah pertanyaan yang berlegar di kalangan rakyat negeri ini berhubung peruntukan daripada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKPP) yang diterima kerajaan negeri sejak 2004.

Ini berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Amirsham A Aziz semasa menjawab soalan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat, 13 Mei lalu.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun bermula 2004, Petronas telah membayar sejumlah RM26.8391 bilion sebagai royalti kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM13.419 bilion dibayar kepada Kerajaan Persekutuan, Terengganu (RM7.364 bilion), Sabah (1.234 bilion) dan Sarawak (4.821 bilion).

Walaupun begitu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, sebagaimana laporan sebuah akhbar harian Khamis lalu, berkata kerajaan negeri hanya menerima RM4.3 bilion peruntukan daripada DKPP yang dimasukkan ke dalam bajet negeri selama empat tahun sejak 2004.

Ini kerana baki RM3 bilion daripada RM7.3 bilion yang dilaporkan dibayar Petronas, tidak diterima dan tidak pernah dimasukkan dalam bajet negeri yang dibentangkan selepas Barisan Nasional (BN) memerintah semula negeri ini.

Ahmad yang juga Adun Kijal bertanya perkara itu kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah yang memberitahu kerajaan negeri hanya menerima RM4.3 bilion.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak tahu ke mana perbelanjaan RM3 bilion lagi dan ada kemungkinan ia digunakan untuk membiayai kos pembinaan projek Persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung baki duit royalti petroleum atau dana khas itu yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan rakyat negeri ini.

Laporan lengkap dalam Siasah Ahad ini.

Mat Sabu cadang zakat disalur kepada orang bukan Islam yang miskin


SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, adakalanya beliau terfikir sejarah Khalifah Umar Abdul Aziz yang ditulis tidak dapat menyalurkan wang zakat kerana semua rakyatnya hidup senang sengaja direka untuk memberi gambaran yang baik kepada khalifah.


Tetapi setelah Pakatan Rakyat menawan Selangor dan mengetahui hasil kutipan zakat yang diperolehi oleh negeri ini, beliau bukan sahaja percaya apa yang berlaku dizaman Khalifah Umar Abdul Aziz itu benar-benar berlaku tetapi sangat yakin Selangor mampu mengulangi kegemilangan itu.


Sehubungan itu Mohammad secara berterus terang mencadangkan supaya para ulama berbincang untuk membolehkan zakat diperluaskan agihannya kepada bukan sahaja orang Islam tetapi kalangan orang bukan Islam yang miskin turut boleh menikmatinya.


Ikuti laporan penuh berhubung 'Zakat untuk bukan Islam' dalam naskah terbaru akhbar Siasah Ahad (18 Mei) ini. Ikuti juga pelbagai isu menarik antaranya:



  • Wawancara bersama Yb Azmin Ali

  • Nizar minta penulis blog kritik kerajaan Pakatan Rakyat

  • P.Pinang yakin krisis beras dapat diatasi

  • Kelantan sokong boikot Utusan Malaysia

  • Kelantan 'kerah tenaga' tarik 6 juta pelancong

  • Terengganu: Apa sudah jadi dengan dana khas

  • Mencungkil pemikiran A.Samad Said

  • Pesonaliti Ahli Parlimen Indera Mahkota, Yb Azan Ismail

  • Laporan dan analisis terkini isu-isu antarabangsa serta banyak lagi

Thursday, May 15, 2008

Krisis Umno Pahang semakin panas

TEMERLOH: Apa yang disifatkan oleh pemerhati sebagai pergolakan Umno di Pahang semakin sengitdengan satu pendedahan terhadap Ketua Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Adnan Yaakub.

Setelah tuduh menuduh diantara Adnan dengan seorang pimpinan Umno dinegeri itu yang dipercayai tercetus ekoran daripada krisis kepimpinan, suhu politik Umno Pahang semakin panas apabila penyelewengan melibatkan penjualan tanah turut didedahkan kepada umum.

Antaranya Seorang Ketua Umno Bahagian, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman yang juga bekas Setiausaha Umno Pahang, mendedahkan beberapa fakta terhadap Adnan yang beliau percaya tidak mampu dinafikan lagi malahan telah direkodkan rakaman ucapan Adnan berkaitan fakta-fakta tersebut di dalam cekera padat (CD).

Adnan didakwa ugut dan bohong

Dalam suratnya (gambar atas) kepada Presiden Umno, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi, Ahmad Tajuddin berkata, dalam rakaman itu terkandungnya ugutan dalam usaha menutup kemungkinan pendedahan salah guna kuasa, penyelewengan atau pun rasuah dalam satu urusan penjualan tanah Umno Pahang beberapa tahun lalu.
Turut disebut Adnan berbohong dengan menyatakan tanah dijual kepada Yayasan Pahang sedangkan berdasarkan kepada bukti tanah tersebut sebenarnya dijual kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh peniaga Cina.

Adnan didakwa menyebut perkara-perkara tersebut dalam satu perjumpaan di Kuantan yang diaturnya dengan ketua-ketua Umno sebuah bahagian Umno.

Ikuti laporan penuh dalam akhbar Siasah akan datang rentetan krisis Umno di Pahang yang bukan sahaja melibatkan isu pribadi tokoh-tokoh dalam parti itu tetapi menyentuh kepentingan rakyat apabila turut diheret isu penjualan tanah secara tidak telus.

Wednesday, May 14, 2008

Datuk Rosli bakal dipilih sebagai senator

KOK LANAS, 14 Mei: Bekas calon PAS Dun Kok Lanas, Datuk Rosli Ibrahim diumumkan bakal dilantik sebagai senator bagi mewakili negeri Kelantan.

Pengumuman mengenainya dibuat sendiri oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu majlis ceramah dekat sini malam tadi.

Beliau dijangka dilantik secara rasmi dalam sidang Dun akan datang dan dijangka akan berkuatkuasa mulai Ogos nanti.

Sementara itu, Datuk Rosli ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan PAS atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau.

"Ini satu penghormatan kepada saya kerana menjadi lelaki pertama dilantik sebagai senator oleh kerajaan PAS yang ada," kata Rosli kepada Siasah.

Rosli menggantikan Wan Ubaidah yang kini adalah Adun Kijang dan Exco kerajaan negeri selepas menang tanpa bertanding dalam pilihan raya umum ke 12 lalu.

Saya tahu rasuah tetapi bukan sehebat ini - Ronnie Liu

KUALA LUMPUR, 14 Mei: "Saya tahu kerajaan BN sebelum ini memang banyak melakukan rasuah tetapi tidak sehebat ini," kata Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu dalam majlis PAS bersama media malam tadi.

Kira-kira 200 wartawan dan blogger serta pemimpin PAS menyertai majlis di sebuah hotel itu. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai pemimpin PAS menemui para pengamal media untuk menyatakan terima kasih kepada mereka.

Ini kerana, dengan sokongan mereka, PAS dan lain-lain parti Pakatan Rakyat menang besar dalam pilihan raya lalu.

Menurut Ronnie, secara umumnya beliau memang tahu rasuah berlaku dalam kerajaan negeri Selangor sebelum menjadi Exco lagi tetapi apabila menjadi Exco kerajaan negeri beliau terkejut gejala rasuah yang terlalu parah di negeri itu.

Ronnie sebelum ini membuat beberapa laporan polis atas beberapa isu rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kerajaan negeri Selangor sebelum ini.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Tuesday, May 13, 2008

Mahathir sepatutnya boleh dihukum pancung oleh raja-raja Melayu - Ahmad Awang

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Jika hendak dikatakan dosa kepada raja-raja Melayu, para pimpinan Umnolah yang 'berdosa besar' kerana membiarkan para pengikut mereka menaikkan kain rentang yang menyifatkan Sultan Terengganu sebagai binatang semasa kekecohan perlantikan MB negeri itu baru-baru ini.

"Mengapa pemimpin Umno yang mendakwa membela raja dan ketuanan Melayu bertindak lebih biadap dari Karpal yang mungkin tidak tahu adat resam dan sensitiviti orang Melayu itu?" tulis Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang dalam tulisan keduanya di blog beliau usahmadawang.blogspot.com.

Ahmad Awang dipercayai mengulas kenyataan Pengerusi DAP,Karpal Singh yang kini dihebohkan oleh media dan para pemimpin BN.

Ahmad dipercayai mengaitkan kain rentang yang dinaikkan oleh penyokong Datuk Seri Idris, bekas MB Terengganu dalam kekecohan perlantikan MB Terengganu baru-baru ini.

Dalam kes itu, kain rentang yang dinaikkan berbunyi "Kami nak Idris, natang". Natang adalah singkatan dari perkataan 'binatang' yang dipanggil sebagai 'natang' dalam loghat Terengganu atau 'nate' dalam loghat Kelantan. (Gambar atas)

Walaupun beberapa laporan polis dibuat, sehingga kini tidak ada sebarang dakwaan dibuat ke atas pihak yang menaikkan kain rentang itu.

Kata Ustaz Ahmad Awang, 'penderhakaan' yang paling besar ke atas simbol ketuanan melayu ialah ketika usaha yang di lakukan oleh bekas pemimpin tertinggi Umno dan bekas PM, Tun Dr Mahathir.

"Tindakan gila kuasa yang melampau bekas pemimpin Umno tersebut seharusnya boleh di hukum pancung oleh raja-raja Melayu.

"Ini di sebabkan ketika Mahathir bertindak meminda perlembangaan mengurangkan imuniti kuasa raja-raja, raja masih berkuasa penuh melalui hairaki Sistem Raja Berperlembagaan yang di gariskan oleh perlembagaan persekutuan Tanah Melayu," tulis beliau.

Bagi Ahmad, isu Karpal telah dipolitikkan oleh pemimpin dan media BN.

Perak akan dibangunkan dengan lima prinsip - MB

Oleh Hasiyah Mohd Nor

PARIT BUNTAR, 13 Mei: Kerajaan negeri Perak akan membangunkan negeri itu berasaskan lima prinsip iaitu keadilan, amanah, telus, berwibawa dan berkebajikan, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Untuk itu, beliau berharap semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, khasnya pegawai kerajaan, mematuhi dan menghayati prinsip yang telah digariskan oleh kerajaan negeri itu.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perjumpaan bersama Ahli Mesyarakat Daerah Kerian di Dewan Merdeka dekat sini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abd. Rahman Hashim, Pegawai Daerah Kerian, Ismail Hassan dan pegawai-pegawai kerajaan.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri mahu berlaku adil kepada rakyat pelbagai kaum dan tidak mahu mana-mana pihak merasakan mereka tersisih.

Untuk itu, katanya, semua pegawai perkhidmatan awam adalah perlu berkerja secara profesional dan sentiasa memberi komitmen sepenuhnya kepada kerajaan negeri yang ada
sekarang.

"Perlaksanaan pembangunan ini memerlukan kerjasama pegawai kerajaan, pemimpin setempat dan juga keseluruhan rakyat," katanya.

Mohammad Nizar juga berkata, beliau gembira dan optimis bahawa negeri Perak akan menerima lebih banyak pelaburan asing kerana setelah kira-kirav dua bulan memerintah negeri Perak telah banyak menerima kedatangan pelabur asing berbincang untuk melabur di negeri Perak.

Malah katanya, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi beberapa minggu lalu dan beliau diberi jaminan pembangunan di Perak akan diteruskan terutama segala pembangunan yang dirancang melalui NCER, pembangunan kemudahan infrastruktur dan juga kemudahan awam yang lain.

Kelab Penyokong PAS bercambahan di Perak

Oleh Hasiyah Mohd Nor

PARIT BUNTAR, 13 Mei: Kelab Penyokong PAS tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di Perak semenjak Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu. Tambah-tambah lagi apabila Menteri Besarnya datang dari PAS walaupun PAS mempunyai Adun paling sedikit dalam kerajaan campuran di Perak itu.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah melancarkan Kelab Penyokong PAS dari Kaum Cina dan India di Parit Buntar dan Pekan Baru Parit Buntar, bertempat di Pekan baru, Parit Buntar 8 Mei baru-baru ini.

Kira-kira 1,000 orang kaum Cina dan India di Parit Buntar menyertai Kelab Penyokong PAS. Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Adun Titi Serong, Dr Khalil Idham Lim, dan Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamahari turut hadir dalam majlis pelancaran itu.

Sebelum itu, di Bagan Serai, dalam perjumpaan pertama yang diadakan di sebuah tokong Cina dekat sini, kira-kira 500 orang kaum Cina dan India telah berikrar memberi sokongan penuh kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Perak sekarang.

Ikrar sokongan penuh, padu, dan jitu itu disampaikan kepada Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum Cina Menteri Besar Perak, Mohamad K.Y.Tiang, yang sebelum itu memberi penerangan dan ceramah khas yang menyentuh pelbagai isu mengenai kaum Cina dan India.

Ketua Kelab Penyokong kerajaan Pakatan Rakyat dari kalangan kaum India adalah Parama.
Majlis itu dihadiri juga wakil-wakil kaum Cina dan India daripada Taiping, Selama, Parit Buntar, dan Kuala Kurau.

"Penyokong terbabit berkata mereka kecewa selama 50 tahun banyak permohonan dan janji manis yang ditabur oleh pihak berkaitan kerajaan sebelum ini kepada mereka tidak ditunaikan," kata Mohamad K.Y.Tiang.

Manoharam boleh mula kemuka soalan

TAIPING, 13 Mei: Penasihat Undang-Undang badan Bertindak hak-Hak Hindu (Hindraf) M.Manoharan, 46, yang meanggatkan supah sebagai Adun Kota Alam Shah, Selangor, 8 Mei lalu boleh mengemukakan soalan kepada Dewan Undangan Negeri untuk dijawab oleh kerajaan.

Perkara ini boleh dibuat oleh Manoharam walaupun tidak boleh keluar dari Kem Tahanan Kemunting, kata Speaker DUN Selangor, Teng Chan Kim.

Manoharam menjadi calon DAP dalam pilihan raya lalu kini menjalani tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di Kem Tahanan Perlindungan Kamunting (Kemta), dekat sini telah selamat mengangkat sumpah kira-kira jam 9.00 pagi, 8 Mei lalu.

Manoharan mengangkat sumpah di Kemta di depan Teng Chang Kim, yang juga Adun Sungai Pinang (gambar).

Hadir sama dalam majlis angkat sumpah itu ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datin Paduka Zauyah Loth Khan, Penasihat Undang-undang Jabatan Penjara, isteri Manoharan,Pushpaneela a/p V.N Suppiah, 46, dan tiga anak, Shivaranjini, 11, Hariharan 11, dan Ganendra,9, serta bapa Manoharan, M.S.Malayalam.

Teng berkata, walaupun sudah mengangkat sumpah Manoharan masih tidak boleh masuk ke dalam Dewan sebelum ia dibebaskan.

Teng berharap kerajaan dapat membebaskan Manoharan seberapa segera kerana beliau telah dipilih oleh rakyat dengan majoriti besar pada pilihanraya ke-12 pada 8 mac lalu.

Katanya, kemenangan besar Manoharan dalam pilihan raya umum kali ke 12 lalu menandakan beliau mendapat sokongan padu rakyat dan ini membuktikan beliau tidak mengancam keselamatan negara.

Adun Kota Alam Shah itu mesti mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan selepas tarikh pilihan raya dan jika gagal berbuat demikian beliau perlu mengosongkan kerusi berkenaan dan pilihan raya kecil akan diadakan untuk memilih wakil rakyat baru.

Monday, May 12, 2008

Pertembungan tiga penjuru di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 12 Mei: Pertembungan tiga penjuru antara kumpulan Umno Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Ahmad Said dan pembangkang yang diketuai PAS nampaknya tidak dapat dielakkan dalam politik Terengganu.

Yang jelas kedua-dua kumpulan dalam Umno itu cuba mendapat sokongan PAS dalam mempastikan agenda masing-masing berjalan dengan baik.

Terkini, Badan Perhubungan Umno yang dipimpin Idris sedang berusaha keras untuk mempastikan royalti minyak yang bernilai kira-kira RM1 bilion setahun kekal dibawah kawalan mereka.

Satu mekanisme sedang dibuat untuk membolehkan ia berjalan dengan lancar.

Kumpulan penyokong Ahmad Said pula dikatakan sedang menggerakkan bahagian-bahagian Umno untuk membawa usul bagi mendesak Perhubungan Umno Terengganu meminta Pusat menyerahkan balik royalti kepada kerajaan negeri.

Ahmad Said mendapat sokongan enam dari lapan bahagian Umno di Terengganu iaitu Kemaman, Dungun, Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Setiu.

Namun Idris agak kuat kerana mendapat sokongan dari Pemuda, Wanita dan Puteri di samping bahagian Besut dan Kuala Terengganu.

Ahmad Said dalam beberapa kenyataan secara jelas mahukan Kerajaan Pusat menyerahkan royalti minyak itu kepada kerajaan negeri bukan lagi melalui wang ehsan yang ditadbir Pusat.
Beliau juga sedang berusaha untuk membuat temujanji dengan Perdana Menteri bagi membicangkan perkara itu.

PAS pula, secara konsisten mahukan royalti minyak yang dirampas kerajaan Pusat dari pentadbirannya di Terengganu dulu mahukan ianya dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Ia bayangkan melalui usulnya di Parlimen dan juga usul di Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.

Namun usul yang dibawa oleh PAS dalam Dewan Undangan Negeri ditolak oleh Speaker, Datuk Tengku Putra Tengku Awang yang dikira berada dalam kumpulan Ahmad Said. Ia agak menghairankan.

Sementara itu, Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) akan membuat kempen besar-besaran bagi membolehkan rakyat Terengganu mentadbir kembali royalti minyak.
Menurut Pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah yang ditemui di pejabatnya, Mampat akan menganjurkan satu konvensyen bagi membincang secara menyeluruh keperluan royalti ini dikembalikan kepada rakyat negeri Terengganu Jun ini.

Mampat dikatakan akan mendapat kerjasama dari kerajaan negeri, MPPR dan juga PAS sendiri dalam perjuangannya.

"Sudah lapan tahun royalti ditarik dari rakyat Terengganu. Mengikut kiraan kami, sudah RM12.285 bilion hasil royalti tidak diserahkan kepada kerajaan negeri (tertunggak) oleh Petronas sejak tahun 2001 walaupun sudah ada perjanjian yang jelas mengenai hal ini," kata Fauzi kepada Siasah.

Speaker

Dalam perlantikan Speaker juga berlaku lobi melobi antara dua kumpulan Umno ini. Walaupun hanya satu nama sahaja dicalonkan dalam Dewan Undangan Negeri iaitu Tengku Putera Tengku Awang, namun ada cerita disebaliknya.

Kumpulan Idris Jusoh dikatakan mahu Datuk Abdul Rahman Bakar, Ketua Umno Bahagian Marang dilantik sebagai Speaker.

Tidak berapa jelas kenapa tindakan itu diambil sedangkan Abdul Rahman adalah penyokong kumpulan Ahmad Said ekoran rasa tidak senang hati beliau kepada Idris yang tidak memilih beliau sebagai calon dalam pilihan raya lalu.

Untuk memastikan kemenangannya, orang-orang Idris dikatakan melobi Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu agar Abdul Rahman dilantik, namun MPPR dikatakan telah membuat keputusan untuk menyokong Tengku Putera sebagai calon Speaker.

Bagi menguatkan sokongan kepada Abdul Rahman juga, wakil-wakil rakyat PAS ditemui oleh penyokong Abdul Rahman. Antara yang ditemui adalah Muhamad Abdul Wahid Endut, Adun PAS dari Wakaf Mempelam.

Calon Speaker yang lebih dari satu ini telah disahkan sendiri oleh Wahid dalam ucapannya di Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Saturday, May 10, 2008

Siapa Ketua Pembangkang DUN Terengganu?

KUALA TERENGGANU, 11 Mei: Semasa sidang DUN Terengganu baru-baru ini, berlaku sedikit kekeliruan antara bekas MB Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pembangkang DUN Terengganu, Datuk Harun Taib.

Ia berlaku semasa sesi bergambar (Lihat gambar di atas). Biasanya, selaku Ketua Pembangkang, Datuk Harun Taib akan duduk di kerusi barisan depan bersama MB, Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Namun, dilihat Idris pun mahu duduk di kerusi yang sama. Setelah disemak, memang nama yang tertera di kerusi itu adalah milik Idris Jusoh bukan sebagaimana biasa, ia diberikan kepada Ketua Pembangkang iaitu Harun Taib.

Kalau begitu, siapakah Ketua Pembangkang sebenarnya Di DUN Terengganu sekarang. Seolah-olah pihak yang menguruskan sesi bergambar ramai ini mengiktiraf Idris adalah Ketua Pembangkang bukannya Harun Taib dari PAS.

Melihat kepada senario yang berlaku dalam politik Terengganu sekarang, apa yang berlaku itu ada kebenarannya.

Idris adalah calon MB dari Umno namun istana tidak bersetuju dan mahukan pihak lain dipilih sebagai MB.
Lalu kemudiannya terlantiklah Datuk Ahmad Said sebagai MB.

Dalam DUN, PAS meletakkan bekas Ketua Dewan Ulamaknya, Datuk Harun Taib sebagai Ketua Pembangkang walaupun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada dalam DUN itu juga.
Namun, kini siapakah ketua pembangkang yang sebenar dalam DUN Terengganu itu, Idris yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu atau Harun Taib, Adun PAS.

Dua gambar di atas banyak menceritakan kisah ini dan gambar di bawah adalah gambar rasminya.

Friday, May 9, 2008

Pertemuan rasmi lima ketua negeri Pakatan awal Jun

KUALA LUMPUR, 10 Mei: Mesyuarat bersama lima ketua kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat akan diadakan awal bulan Jun ini, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau yang bakal menjadi tuan rumah mesyuarat bersejarah itu berkata, beliau kini sedang menyiapkan satu kertas kerja khas untuk menjadi panduan dalam perbincangan itu nanti.

"Selepas pertemuan yang diadakan bersama penasihat KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang ini saya sedang berbincang untuk menangani hal pertemuan dengan ketua-ketua di lima negeri yang diterajui Pakatan Rakyat," ujarnya ketika ditemui di Restoran Cheng Ho milik penyanyi rock terkenal Amy Search, dekat Wangsa Maju, Ahad lepas.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menjelaskan bahawa pertemuan tersebut dijangka akan dibuat bulan depan memandangkan beliau akan mengerjakan ibadah umrah hujung bulan ini.

Sebelum ini, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar mengumumkan, mesyuarat pertama di kalangan lima ketua kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu akan diadakan di Kelantan dengan MB Kelantan menjadi tuan rumah.

Ini kerana, beliau adalah MB yang paling seniur di kalangan lima ketua kerajaan itu setelah mentadbir Kelantan sejak 1990 lalu.

Thursday, May 8, 2008

Lembaga Zakat Selangor lubuk wang

SHAH ALAM, 8 Mei: Dengan pengutan zakat mencecah RM200 juta setahun, Lembaga Zakat Selangor memang menjadi lubuk wang dan sememangnya ia menjadi tumpuan pihak-pihak yang ingin mencari kesempatan darinya.

Namun, sejak sekian lama ia tidak mendapat perhatian serius dari pihak berkuasa untuk melihat jauh ke dalam institusi umat Islam yang penting ini.

Mereka yang prihatin di dalam lembaga ini pula tidak berani membuat laporan kerana kerja-kerja tidak baik ini dilakukan oleh pihak yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa.

Namun, ketidaktentuan ini mula berubah apabila kerajaan negeri mula bertukar Mac lalu.
Seorang pegawai kanan Lembaga Zakat Selangor telah ditahan reman beberapa hari untuk siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan laporan yang dibuat ke atasnya.

Pegawai kanan itu yang merupakan seorang ketua jabatan yang penting di lembaga yang terletak di bawah kerajaan negeri Selangor itu ditahan reman beberapa hari awal April lali sebelum dibebaskan.

Beliau kini dikatakan sedang bercuti.

Namun tangkapan ke atas beliau tidak banyak merubah suasana Lembaga Zakat Selangor yang sebelum ini dikenali dengan Pusat Zakat Selangor.

Menurut sumber Siasah, pegawai kanan berkenaan mula dikesan melakukan penyelewengan berikutan panggilan telefon dari seorang kakitangan sebuah bank yang bertanyakan adakah pegawai itu masih bekerja dengan lembaga zakat itu.

Ini kerana, gaji yang dimasukkan ke dalam akaunnya di bank berkenaan tidak pernah disentuhnya.

"Sebelum ini, ramai tahu kegiatannya tetapi tidak berani membuat laporan kerana dia adalah seorang ketua pemuda Umno bahagian di Selangor dan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pihak atasan di negeri ini.

"Tetapi selepas kerajaan negeri bertukar tangan, ramai yang berani tampil ke depan," kata sumber itu.

Kesan negatif

Namun, tindakan beberapa pihak yang cuba membaikpulihkan nama baik lembaga zakat itu dari kegiatan tidak betul mula mendapat kesan negatif.

Ini kerana, ramai pegawai kanan lembaga itu masih lagi condong kepada kepimpinan kerajaan negeri Selangor sebelum ini maupun parti yang kalah di Selangor.

Ekoran itu, apabila ada pihak yang cuba memperbetulkan keadaan, namun mereka menjadi mangsa.

Dun Terengganu tolak usul kertas puteh dana khas

KUALA TERENGGANU, 8 Mei: Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini sekali lagi menolak usul yang dikemukakan oleh wakil PAS untuk menangguhkan persidangan bagi membahaskan cadangan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji projek melalui dana khas Persekutuan.

Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) mencadang untuk mengemukakan satu usul di bawah Fasal 30 supaya persidangan dewan ditangguhkan bagi maksud merundingkan satu perkara yang tertentu dan mustahak bagi orang ramai dan perlu disegerakan.

Katanya, perkara itu ialah cadangan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyediakan Kertas Putih – Laporan Kajian Projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di Negeri Terengganu Dari Tahun 2004-2008.

“Datuk Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat dari pembangkang pernah mendedahkan projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di negeri ini dilaksanakan tidak mengikut peraturan dan perbelanjaan tidak dikemukakan untuk diaudit seperti dilaporkan dalam buku Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Terengganu tahun 2005 dan 2006,” ujarnya semasa mengemukakan usul itu setelah sesi menjawab soalan lisan berakhir.

Tambahnya, menteri besar telah mengaku wujud salah guna dan penyelewengan Dana Khas Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada kementerian.

Beliau berkata, banyak projek yang dijalankan tidak dirujuk kepada kerajaan negeri, tidak mengambil kira keperluan dan keutamaan sebenar rakyat negeri ini dan jelas membazir.

“Oleh itu saya mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyediakan kertas putih dan dibentangkan kepada Dewan Undangan Negeri yang mulia ini hasil kajian terperinci semua projek-projek Dana Khas Kerajaan Persekutuan di negeri ini,” ujarnya.

Ketika menolak usul itu pada jam 11.04 pagi, Yang Dipertua Dun, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, beliau difahamkan telah sedia ada jawatankuasa antara negeri dan Persekutuan untuk mengurus tadbir dan memantau perkara yang berkaitan.

Tambahan pula, katanya, menteri besar sekarang masih baru mengambil tampuk kerajaan negeri dan adalah lebih adil memberi masa kepadanya untuk mengendalikan isu yang berbangkit demi kebaikan semua pihak.

“Jadi tidaklah perlu disegerakan dan saya buat keputusan menolak usul ini,” ujarnya.
Semalam, beliau yang juga Ketua Umno Hulu Terengganu menolak usul yang dibawa oleh Haji Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) berhubung royalti petroleum.

Abdul Wahid meminta agar Dun yang bersidang semalam mengambil ketetapan menyokong supaya royalti petroleum dikembalikan semula kepada kerajaan negeri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...