Wednesday, July 25, 2007

Umno Alor Limbat boikot mesyuarat agung bahagian Marang?


MARANG, 26 Julai: Umno dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Alor Limbat dipercayai memboikot mesyuarat agung Umno Bahagian Marang 28 Julai ini apabila kesemua 37 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam DUN berkenaan mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur dan Putarajaya pada tarikh berkenaan.

Lawatan yang dianjurkan menerusi Unit Terengganu Bestari (U-Best) itu akan bermula 26 Julai dan hanya akan bertolak pulang ke Terengganu pada petang 28 Julai.

Ini bermakna, kesemua mereka akan tidak boleh menyertai Mesyuarat Agung Bahagian yang bermula jam 8.30 pagi 28 Julai berkenaan.

Tidak diketahui dengan jelas kenapa tindakan berkenaan diambil tetapi dipercayai mendapat kerjasama penuh Adun kawasan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Marang, Alias Abdullah.

Di dalam surat yang dihantar kepada semua 37 pengerusi JKKK di dalam DUN Alor Limbat itu menyatakan tujuan lawatan itu adalah untuk memberi peluang melihat lebih dekat tempat-tempat menarik yang melambangkan kemajuan negara.

Peserta disyaratkan menaiki pengangkutan yang disediakan oleh penganjur dan tidak mempunyai komitmen lain semasa lawatan.

Bagi memastikan keselesaan peserta, di dalam surat yang ditandatangani oleh Pengarah U-Best, Datuk Mukhtar Abdullah itu dimaklumkan penganjur akan menyediakan kemudahan penginapan, makan minum dan wang saku.

Pemilihan mereka dipercayai ada kaitan dengan beberapa cawangan Umno dalam DUN Alor Limbat yang tidak senang dengan wakil rakyat sekarang, Alias Abdullah.

Ini kerana semua pengerusi JKKK itu adalah ketua Umno cawangan dalam DUN tersebut.

Dengan mengikuti lawatan itu, bererti mereka tidak dapat menghadiri Persidangan Perwakilan Umno bahagian yang bermula jam 8.30 pagi kerana mereka bertolak balik pada sebelah petang 28 Julai.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamad dijangka merasmikan persidangan yang akan diadakan di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...