Wednesday, July 25, 2007

Siapa selepas Raja Petra?

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Pelbagai pihak kini mula tertanya-tanya, "Siapakah selepas Raja Petra" yang bakal menjadi mangsa tindakan terhadap blogers.

Ini kerana, sebelum Raja Petra, Nataniel Tan, bloger dan webmaster Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah ditahan untuk siasatan selama empat hari oleh polis.

Para pemimpin Umno pula, mula membuat kenyataan tindakan akan diambil terhadap para blogers yang melanggar peraturan negara.

Terbaru, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib membuat laporan polis terhadap Raja Petra yang mengendalikan laman web Malaysia-today.net atas alasan menghina Raja dan agama Islam.

Akibatnya, pada 25 Julai beliau telah mula disiasat oleh polis.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dalam kenyataannya meminta Perdana Menteri agar bertegas tidak membuka pintu untuk membenarkan undang-undang jenayah disalahgunakan untuk kepentingan individu, politik atau kepentingan peribadi.

"Biarlah prosedur sivil seperti undang-undang fitnah digunakan untuk menjaga raputasi pihak-pihak yang berkenaan jika Raja Petra bersalah dan membuat laporan secara yang tidak berasas terhadap mereka," kata Lim Kit Siang.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin usaha sedang dilakukan untuk menyekat suara-suara pengkritik yang dibuat melalui blog.

"Ya memang sedang ada usaha ke arah itu. Tetapi, kita tidak boleh menyekat orang ramai menggunakan internet," kata Mahathir.

Beliau juga berkata, pentadbiran beliau pernah cuba untuk menyekat pornografi melalui internet tetapi gagal. Antara sebabnya kerana ia disiarkan melalui server yang berada di luar negara.

"Sama dengan bloggers, kita tidak boleh menyekat mereka," kata beliau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...