SELANGKAH
Oleh SUBKY LATIF
DATUK Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak menolak keharusan, malah menjadi wajib mengambil pendekatan jalan raya sebagai alternatif kepada pilihan raya bagi menegakkan keadilan dan demokrasi.
Itulah panduan yang Presiden PAS itu beri kepada persoalan yang dibuat oleh gerakan pro demokrasi bagi mengadakan perhimpunan 100,000 di jalan raya kiranya Suruhanjaya Pilihan Raya gagal melaksanakan reformasi dalam mengendalikan perjalanan pilihan raya yang di ambang pintu.
Tetapi panduan yang beliau buat itu bukan satu pilihan dalam suasana demokrasi masih subur atau demokrasi masih boleh dipulihkan.
Dalam suasana pilihan raya berjalan bebas seperti di Amerika, di Britain, di India, di Israel, di Jepun dan di Korea Selatan, tidak perlu rakyat memilih jalan raya. Menyertai pilihan raya adalah pilihan yang terbaik. Mengambil pendekatan turun ke jalan raya dalam suasana seperti itu adalah langkah yang paling tidak bertanggungjawab.
Tetapi pengendalian pilihan raya yang begitu buruk, bercelaru, penuh dengan penipuan seperti yang diurus oleh SPR dalam beberapa kali pilihan raya umum dalam tempuh suku abad yang lalu, maka turun ke jalan raya adalah pilihan yang sudah diharuskan, malah ia suatu yang tidak dapat dielakkan.
Sejak sekian lama gerakan pro demokrasi menuntut pelaksanaan pilihan raya yang adil dan bersih; pilihan raya melalui pos hendaklah dibatalkan; tiada lagi kawasan keselamatan dijadikan pusat mengundi seperti kawasan kediaman tentera dan polis; memperkenalkan penggunaan dakwat di jari pengundi yang tidak boleh dipadamkan sepanjang tempoh mengundi bagi mengelakkan pengundian lebih dari sekali; memastikan daftar pengundi yang digezet saja sebagai daftar yang sah; persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibenarkan oleh perlembagaan bagi setiap sepuluh tahun dilanjut kepada 20 tahun atau lebih; dan memastikan SPR ditadbirkan oleh orang-orang yang bermaruah dan bukan pelacur-pelacur politik murahan.
Suruhanjaya Pilihan Raya bukan tempat makan gaji atau tempat cari makan tetapi ia adalah satu tempat perkhidmatan yang mulia dan beramanah. Orang yang bermaruah dan berakhlak mulia saja yang wajar berkhidmat di situ.
Peralat
Jika didapati ada pihak tertentu dari luar SPR mahu memperalatkan SPR dan pegawai-pegawainya dipaksa menjalankan kemahuannya, maka orang-orang yang maruah itu hendaklah menolaknya atau mengambil langkah berundur secara terhormat dari suruhanjaya itu.
Berundur dari situ adalah jauh lebih mulia dan bertanggungjawab dari membenarkan diri masing-masing menjadi pelacur kepada perakus kuasa.
SPR sebagai badan awam adalah terdedah kepada perhatian umum. Maka dari mula kewujudannya dari semasa ke semasa itu diperhatikan dan tegur oleh masyarakat umum. Teguran itu semua bukan bersifat anti SPR tetapi adalah mahu memastikan SPR sentiasa bebas, bermaruah dan bertanggungjawab.
Semua sifat dan tanggungjawabnya yang mulia itu berperanan menyumbangkan keadilan, demokrasi, kebebasan, keamanan dan kestabilan kepada masyarakat dan negara.
Selagi demokrasi wujud, maka SPR akan berupaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai yang diamanahkan. Tetapi kalau SPR sudah tidak berupaya menerima teguran, atau ia lebih senang menjadi musuh masyarakat pro demokrasi, maka ia kena betulkan. Kalau ia tidak berupaya dibetulkan melalui kaedah umum demokrasi, maka ia kena ubah melalui kaedah jalan raya.
Penggunaan jalan raya bukan suatu kerja yang senang. Ia banyak payahnya. Banyak risikonya. Tetapi semua risiko inilah yang dapat akhirnya memulihkan demokrasi yang sudah dibunuh oleh kerajaan Barisan Nasional sejak 50 lalu.
Kita tidak tertarik dengan suasana kehancuran di Perancis menjelang Revolusi Perancis. Kita tidak tertarik dengan kekejaman menjelang revolusi Boleshevik di Rusia, tetapi suasana buruk yang membunuh demokrasi di kedua negara itulah yang menyumbang kepada revolusi itu.
Bunuh
Perancis mengambil masa seratus tahun untuk mewujudkan demokrasi dan Rusia mengambil masa 80 tahun untuk kembali kepada demokrasi sekarang. Justesru itu jangan dibiarkan gejala yang membunuh demokrasi di Malaysia. Sebelum demokrasi itu hancur dan berkubur, maka turun ke jalan raya adalah pilihan terbuka bagi menjamin keselamatan dan pemulihan demokrasi.
Pilihan raya adalah satu proses dan amalan demokrasi. Tetapi dalam suasana demokrasi yang sudah dilacurkan, pilihan raya yang dibenarkan oleh demokrasi hanya berupaya mewujudkan demokrasi olok-olok. Demokrasi olok-olok mengadakan pilihan raya hanya bertujuan supaya ia dikatakan tanda adanya demokrasi. Tetapi demokrasi olok-olok itu menutup penyertaan kebebasan demokrasai dalam pilihan raya.
Peserta pilihan raya dalam suasana seperti itu adalah menjadi alat dan mangsa klik segelintir penguasa yang rakus yang menyekat proses kebebasan dan demokrasi yang sihat itu.
Demokrasi yang seperti nyawa-nyawa ikan itu dirasakan demokrasi oleh klik-klik orang berkuasa yang rakus itu. Tunku Abdul Rahman Putera dan Tun Hussein Onn apabila hilang kuasa terasa kebebasan itu amat sempit. Peluangnya untuk menubuhkan Umno Malaysia selepas Umno diharamkan ditolak oleh klik orang berkuasa ketika itu.
Tengku Razaleigh, Rais Yatim yang merasakan mereka menikmati demokrasi dan kebebasan sebelum, terasa sempitnya demokrasi itu. Tengku Razaleigh terus merasakan ia sempit sekarang. Dr Mahathir yang tinggal sedikit bisa orang yang berkuasa dulu, mulai merasakan sempitnya demokrasi sekarang. Tiada ruang besar lagi baginya di media.
Apa yang disuarakan oleh Dr Mahathir sekarang bukan kerana dia gila, nyanyuk dan tak sedar diri, tetapi adalah natijah cengkaman kuku anti demokrasi dari klik pemerintah. Akan tiba masanya Abdullah Badawi dan Najib merasakan kepahitan itu kelak seperti apa yang Anwar Ibrahim rasakan sekarang.
Mati ruh
Gerakan pro demokrasi antaranya dipimpin oleh Tuan Guru Abdul Hadi telah lama merasakan kesempitan itu. Ia tidak wajar dibenarkan berlarutan kerana ia akan mematikan ruh kebebasan, keadilan dan demokrasi.
Apabila ada tuntutan mahu turun ke jalan raya dengan seratus ribu kekuatan, maka beliau memberikan panduan bahawa gerakan ke jalan raya itu wajar dilakukan di samping membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
Ia bukan sekadar harus. Tetapi ia wajib. Menyerah kalah kepada tekanan kuasa yang mencengkam itu, katanya, adalah haram.
Itulah ada panduan yang sudah diberikannya kepada gerakan pro demokrasi khususnya pendukung dan penyokong partinya, PAS.
Sekelian ahli dan penyokong PAS sudah mendengar saranannya itu. Anggota parti itu sudah ditarbiyah supaya patuh dan walak kepada pimpinan. Setia dan walak itu adalah syarat kejayaan perjuangan.
PAS bukan parti yang tidak percaya kepada demokrasi. PAS sejak dari mula sudah menyertai perjuangan melalui pendekatan demokrasi. Turun ke jalan raya bukan kerana tidak yakin kepada demokrasi, tetapi kerana demokrasi itu kira dibiarkan terkubur, akan memberi padah kepada negara dan penduduk.
Bagi menyelamatkan demokrasi, ketika sibuk menghadapi pilihan raya ini, maka disiapkan juga lorong-lorong turun ke jalan raya yang setakat ini ditujukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. Kalau SPR berdegil dengan sikap tidak amanahnya, ia akan menghadapi rakyat yang hilang kepercayaan kepadanya turun ke jalan raya.
Adakah ahli dan penyokong PAS sudah bersedia dengan saranan pemimpin? Bila disuruh turun masing-masing turun berdahulu-dahuluan. Jalan raya dan pilihan raya sama-sama penting.
No comments:
Post a Comment