Oleh: Kalsum Ahmad
KOTA BHARU: Gara-gara berkawan dengan anak perempuan seorang timbalan menteri, seorang lelaki mendakwa telah diugut dan dibelasah teruk oleh timbalan menteri tersebut dengan konco-konconya hingga membuatkan dirinya menjadi cacat, tulang tengkoraknya patah, remuk dan kemek sementara mata sebelah kirinya kabur.
Ekoran daripada kecacatan yang dialami, lelaki tersebut Amir Bazli Abdullah,37 yang berasal dari Kota Bharu Kelantan mendakwa tidak boleh lagi bekerja untuk menyara dua orang anaknya dan semua keperluannya kini ditanggung oleh ahli keluarganya.
Menurut Amir yang menduda sejak lapan tahun lalu dan punyai dua orang anak, kejadian itu berlaku pada 16 Januari 2006 di sebuah taman rekreasi di Country Height, Kajang dan seterusnya meleret hingga ke rumah timbalan menteri tersebut.
Menurut beliau pada tarikh tersebut lebih kurang pukul 10 malam ketika beliau hendak membayar duit minyak di stesyen Petronas di Uniten Bangi, tiba-tiba seorang lelaki memanggil dan menariknya keluar dari keretanya.
Tanpa banyak bicara katanya, lelaki tersebut menariknya masuk ke kereta yang telah sedia menunggu dan berkata “Bos nak jumpa! Ikut saja arahan dia, jangan banyak cakap, kalau tidak boleh sakit”
Kemudian katanya, beliau dibawa ke taman rekreasi Country Height Kajang dan di sini beliau melihat timbalan menteri tersebut datang dengan dua tiga buah kereta.
“Bila dia datang, saya tunduk sambil menghulurkan tangan untuk bersalam tetapi tiba-tiba tanpa bercakap beliau menumbuk muka saya dengan kuat hingga membuatkan batang hidung saya patah. Mata sebelah kiri saya bengkak dan darah banyak keluar dari hidung. Saya menutup muka dengan tangan,” cerita Amir lagi.
Dakwanya, selepas timbalan menteri menumbuk muka, konco-konconya seramai lapan ke 10 orang tanpa belas kasihan terus membelasahnya hingga beliau tidak bermaya.
Akibat daripada kejadian tersebut, beliau terpaksa dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama seminggu dan kemudian dimasukkan pula ke Hospital Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu selama tiga bulan.
Kesan dari kejadian tersebut, mata sebelah kirinya menjadi kabur sehingga kini, tulang tengkorak patah, remuk dan kemek hingga mencacatkan wajah, tulang rusuknya sakit, pernafasannya tersekat, hidung bengkok akibat patah dan beliau tidak boleh lagi bekerja untuk menyara keluarga.
Tambah Amir, beliau tidak menyangka timbalan menteri tersebut sanggup memperlakukan dirinya hingga sedemikian sedangkan pada zahirnya timbalan menteri tersebut adalah seorang yang kelihatan baik.
Beliau sendiri sering mengikutinya melakukan ekspedisi konvoi bermotosikal dan kali terakhir beliau bersama pada konvoi ‘Jalur Gemilang Big Rides’ sewaktu menyambut Merdeka pada tahun 2005.
11 bulan kejadian baru buat laporan polis.
Takut diugut bunuh
Setelah tiga bulan anak perempuan timbalan menteri tersebut memutuskan hubungan dengannya dan memberi keizinan untuk membuat apa sahaja, akhirnya pada 20 Disember 2006 Amir telah memberanikan diri ke Balai Polis Dang Wangi, di Kuala Lumpur untuk membuat laporan polis.
“Sebelum ini saya takut dengan ugutan yang diberi tetapi setelah anaknya memutuskan hubungan dan berkata saya boleh buat apa sahaja tindakan, lalu saya memberanikan diri membuat laporan polis. Dari balai polis Dang Wangi, pada malam yang sama saya dibawa ke balai polis Kajang untuk diambil keterangan,” ujarnya.
Katanya, pada masa ini pihak polis sedang menyiasat kejadian tersebut berdasarkan kepada laporan polis berkenaan.
Beliau juga mendakwa telah menfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor terhadap timbalan menteri tersebut bagi menuntut gantirugi atas kecederaan kekal yang dialami.
Saman itu telah didaftarkan pada 5 Julai 2007 (No. pendaftaran: 22-1151-2007) melalui Tetuan Karpal Singh and Co yang beralamat di No. 67, Jalan Pudu Lama, 50200 Kuala Lumpur.
“Saya harap, saya akan mendapat keadilan yang sewajarnya apabila kes ini dibicarakan di mahkamah,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment