Tuesday, July 31, 2007

Mengharap simpati menjelang 50 tahun Merdeka


PASIR SALAK, 31 Julai: “Jika ada pihak yang bermurah hati, berilah kepada saya dan keluarga sebuah rumah yang selamat menjelang 31 Ogos nanti.”

Itulah kata-kata Puan Fatimah Hamid, 50 tahun, ibu tunggal yang tinggal di tebing Sungai Perak di Kampung Teluk Rubiah, Teluk Intan, menjelang hari Kemerdekaan negara.

Tahun ini genaplah sudah 50 tahun usia Fatimah. Beliau lahir pada 1 Februari 1957. Tetapi, walaupun usianya seumur dengan kemerdekaan negara, tetapi nasib beliau tidak seumpama mereka yang merdeka.

“Kami sekeluarga hidup dalam ketakutan selalu. Bila air pasang, rumah kami akan dimasuki air. Oleh kerana air pasang pada setiap bulan penuh dan pertengahan bulan, maka setiap kali raya kami kenalah lapkan lantai rumah kami dulu sebelum boleh menyambut raya kerana air sungai yang pasang masuk ke rumah kami,” rintih Fatimah kepada Siasah.

Sungai Perak yang terletak di belakang rumah beliau akan pasang dua kali sebulan iaitu pada pertengahan bulan dan pada hujung atau awal bulan. Ini bermakna, 24 kali setahun rumah beliau akan dimasuki air sungai Perak. Setiap kali pasang, bukan sehari, kadang-kadang sampai tiga ke empat hari.

Fatimah sudah 32 tahun tinggal di rumah itu. Beliau kini tinggal bersama dua anak dan seorang cucunya. Kerja beliau sekeluarga adalah membelat udang. Untuk satu hari, mereka boleh dapat antara 6 ekor hingga enam kilogram udang yang boleh dijual dengan harga RM25 sekilo.

Tetapi, dalam sebulan, paling banyak mereka boleh membelat 10 hari sahaja. Selebihnya, air Sungai Perak itu tidak mengizinkan mereka berbuat demikian.

Kini hanya tinggal tiga buah rumah sahaja yang tinggal di tebing Sungai Perak itu termasuk rumah Fatimah.

“Yang paling kami takut ketika air pasang adalah ular kapak yang turut masuk ke rumah bersama dengan air pasang. Begitu juga kalau ketika air pasang itu, bot yang besar lalu di sungai di belakang rumah kami, basahlah semua apa yang ada dalam rumah,” kata Fatimah.

Beliau pernah memohon bantuan dari Baitulmal untuk membina rumah baru tetapi selepas dua tahun memohon, hingga kini belum dapat hasilnya. Walaupun daif, beliau tidak menerima apa-apa bantuan dari mana-mana pihak.

1 comment:

Produk Halal Tanggungjawab Bersama said...

Inilah yang terjadi bila amanah diberi kepada yang bukan ahlinya. Baitul-Mal zaman skrang ni bukan lagi menjaga kebajikan rakyat, tetapi untuk kerajaan. Rakyat yang fakir dan miskin seharusnya dibela tanpa perlu mereka merayu sampai 2-3 tahun. Ke manakah menghilangnya peranan Baitul-Mal yang asasnya membela rakyat yang di dalam kesusahan kerana Allah?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...