Tuesday, July 24, 2007

Terus cadangan Mahathir mengenai dinar emas - Nik Aziz


KUALA LUMPUR, 24 Julai: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan agar kerajaan Malaysia memperpanjangkan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad agar dinar emas digunakan di kalangan negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam perdagangan antara mereka.

Cadangan itu dikemukakan beliau ketika berucap di majlis makan malam sempena Seminar Antarabangsa Ekonomi Dinar Emas di PWTC malam ini.

Pada sebelah paginya Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia telah memberikan ucap utama di seminar antarabangsa itu di tempat yang sama.

Menurut Nik Aziz, Tun Dr Mahathir membuat cadangan itu ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri Malaysia lagi iaitu pada tahun 2001.

"Jika negara-negara Eropah boleh menggunakan Euro sebagai mata wang di kalangan mereka, mengapa tidak negara-negara Islam menggunakan dinar emas dalam urusniaga antara mereka.

"Lagi pun penggunaan dinar akan lebih adil dan telus untuk semua negara dan tidak lagi terdedah kepada manipulasi kuasa besar," kata beliau di majlis itu.

Kira-kira 500 orang peserta dari luar dan dalam negara menyertai majlis makan malam itu.
Menurut Nik Aziz, sejak dilancarkan di Kelantan sedikit waktu lalu, kira-kira RM600,000 dinar emas Kelantan telah berjaya dijual.

"Ia bukan untuk populariti tetapi untuk keadilan dan ketelusan," katanya.

Nik Aziz juga berkata, Kelantan tidaklah bercadang untuk menggantikan mata wang yang ada dengan dinar emas tetapi sekadar alternatif sahaja kepada mata wang yang ada.

"Kita boleh gunakan dinar emas ini untuk simpanan, hadiah, mas kahwin dan sebagainya," kata beliau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...