Oleh M FAQIH, WAJDI MAYUSOH
KOTA BHARU: Bagi rakyat Kelantan tiga projek besar yang akan dilaksanakan di negeri ini sempena lawatan Perdana Menteri awal Ogos depan tentunya menggembirakan mereka.
Projek dimaksudkan iaitu Kolej Matrikulasi di Kok Lanas, pembinaan kampus tetap Universiti Malaysia Kelantan di Bachok dan pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra kedua.
Bagaimanapun projek tersebut difahamkan telah memberi memberi keuntungan berganda kepada pemimpin Umno. Misalnya Kolej Matrikulasi di Kok Lanas dikatakan akan dibina di atas tanah milik pemimpin Umno.
Menurut sumber tanah tersebut sudah lama dibeli menggunakan nama orang lain dan dijual kembali kepada kerajaan Pusat dengan nilaian jutaan ringgit.
Tidak kurang hebat juga dengan cadangan membina lebuh raya Kuala Krai – Kota Bharu pada nilaian asal kos projek sekitar RM600 juta.
Bagaimanapun selepas ditenderkan projek tersebut dikatakan telah meningkat sehingga RM1.7 bilion.
Bagi seorang peguam, Nordin Noor inilah kelebihan yang ada pada pemimpin Umno kerana mereka ahli perniagaan yang mengambil kesempatan di atas projek kerajaan.
“Pemimpin Umno rata-rata semua ahli perniagaan. Maka dengan ada projek besar kerajaan tentunya memberi ruang kepada mereka. Malah jarang kita dengar pemimpin Umno bukan ahli perniagaan.
“Ini menyebabkan baru menjadi pemimpin mereka sudah kaya raya,” katanya pada ceramah di Jalan Hamzah dekat sini, baru-baru ini. Hadir sama Senator Mumtaz Mohd Nawi dan ahli majlis tertinggi PKR, Dr Badrul Amin Bahrom.
Beliau juga mempertikaikan janji-janji pemimpin Umno pada pilihan raya umum lalu kononnya mahu membina kediaman lebih selesa kepada penghuni rumah panjang di Jalan Hamzah.
Sementara itu di Pasir Mas, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa seorang pemimpin utama Umno Kelantan mendapat manfaat projek pembinaan lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai bernilai RM1.7 bilion.
Begitu juga katanya projek pembinaan Jambatan Sultan Yahya kedua turut diboloti seorang lagi pemimpin Umno.
“Rakyat sepatutnya sedar pemimpin Umno Kelantan bukannya berjuang untuk rakyat tetapi untuk dapatkan projek. Kerana itu kita lihat pemimpin Umno menjadi kaya raya dan hidup mewah apabila menang jawatan ketua bahagian,” katanya pada satu ceramah di Chetok.
Dan lebih malang lagi kata beliau rakyat yang susah tidak dihiraukan biar pun mereka bercakap mahu membela nasib rakyat.
Sebaliknya kerajaan Kelantan yang hanya baru berusia 17 tahun mampu memperkenalkan pelbagai program kebajikan kepada rakyat seperti Skim Takaful Kifaalah.
Adun Meranti, Ustaz Nasurudin Daud berkata, Islam meletakkan jihad paling besar ialah menegur dan menyatakan kebenaran kepada pemimpin yang zalim.
No comments:
Post a Comment