Tuesday, July 24, 2007

Parti pemerintah amalkan rasuah - Tun Dr Mahathir



KUALA LUMPUR, 24 Julai: Bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa 'parti pemerintah' (Umno) mengamalkan rasuah dan 'ini tidak pernah berlaku sebelum ini'.


"Dalam kawasan saya (Kubang Pasu), semua orang tahu telah berlaku pemberian rasuah...tetapi Jawatankuasa Disiplin (Umno) berkata, tidak ada rasuah," kata Dr Mahathir dalam sidang akhbarnya selepas memberikan ucap utama di Seminar Antarabangsa Ekonomi Dinar Emas.


Seminar itu adalah anjuran Institut Kajian Strategik Kelantan (Kriss) dan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 24 Julai lepas. Ia telah disertai oleh hampir 1,000 peserta dari pelbagai negara.


Turut berada di majlis itu adalah para pimpinan PAS Kelantan termasuk Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (Exco kerajaan negeri), Haji Mohamad Sabu dan Datuk Takiyudin Hassan (Exco kerajaan negeri).


Kenyataan Tun Dr Mahathir itu dibuat ketika ditanya dalam sidang media kenapa beliau enggan bertanding untuk menjadi perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agungnya yang akan datang.


"Mengapa saya enggan? Kerana saya tahu saya akan kalah. Mereka akan memberikan wang kepada perwakilan supaya tidak mengundi saya. Sebelum ini, mereka membelanjakan lebih RM80,000...seorang diberikan RM200...bila orang ini membuat laporan, Jawatankuasa Disiplin (Umno) berkata, tidak ada rasuah," kata Dr Mahathir.


Tiga cawangan Umno dalam bahagian Kubang Pasu yang Dr Mahathir wakili selama tiga dekad, telah mencalonkan beliau untuk menjadi perwakilan.


Pada pemilihan yang lalu beliau hanya berjaya menduduki tangga ke sembilan dari 15 yang bertanding untuk menjadi perwakilan bahagian itu ke Perhimpunan Agung Umno.


Dr Mahathir mendakwa, beliau dihalang dari menjadi perwakilan Umno kerana tidak mahu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden Umno ditegur oleh beliau semasa perhimpunan.


Dalam sidang media itu juga, Dr Mahathir berkata, rasuah juga berlaku dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum.


"Mereka menjual undi mereka RM200 dalam pemilihan parti (Umno). Untuk pilihan raya umum RM1,000. Di pilihan raya kecil Ijok baru-baru ini, pengundi dibayar RM1,000, mesin jahit diberikan, kesemua jenis perkara berlaku," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...