Friday, July 13, 2007

Revolusi penerangan PAS di Kedah




Oleh Penulis Khas

CHINA HALAU SIAM,
SIAM HALAU MELAYU,
MELAYU HALAU BERUK.

Itu adalah pepatah yang popular di kalangan orang Melayu Selatan Thai apabila mereka bercerita tentang nasib mereka. Kini mereka terpaksa menghalau beruk yang selama ini tinggal di hutan untuk mendapatkan tapak baru. Kalau selama ini mereka tinggal di kampung-kampung, kedatangan orang Siam telah menghalau mereka. Orang Siam pula yang selama ini tinggal di bandar-bandar terpaksa berhijrah selepas mereka dihalau oleh etnik China yang menguasai bandar-bandar utama di Thailand. Bekas Perdana Menteri, Thaksin Sinawatra adalah contoh China yang berjaya di Thailand. Dulu perniagaan sahaja tetapi kini, politik pun mereka kuasai.

Inilah intipati cerita Ketua Penerangan PAS Kedah, Amirudin Hamzah dalam ceramahnya. Dan bagi Amirudin inilah nasib orang Melayu di Kedah sekarang. Tanpa mengungkapkannya dalam konteks perkauman tetapi keadilan kepada penduduk asal, orang Melayu di Kedah sekarang sedang dihalau secara halus dari tanah air mereka di bandar-bandar, ke pinggir bandar dan seterusnya ke hutan, kata Amirudin.

Itu isinya, tetapi yang lebih menariknya adalah cara Amirudin bercerita kepada pendengar dan penonton ceritanya. Caranya tidak ubah seumpama seorang ketua jurutera memberikan taklimat kepada tetamunya tentang projek yang sedang diuruskannya. Lengkap dengan peralatan multimedia (komputer riba, layar besar dan projektor), beliau menceritakan dengan jelas tentang apa yang sedang diuruskannya. Pendek kata, Amirudin, seorang jurutera kanan sebuah ajensi kerajaan di Kedah sebelum ini, menggunakan segala kepakaran teknikalnya dalam tugas barunya sebagai Ketua Penerangan PAS negeri Kedah.

Ketika Amirudin dengan penuh wibawa menceritakan apa yang berlaku di Kedah sekarang, seorang rakan dari Kuala Lumpur berbisik kepada penulis, "Kalau Ustaz Azizan tak mahu jadi MB, inilah calonnya."

Yang beliau maksudkan adalah Ustaz Azizan Abdul Razak, yang baru sahaja disambung semula jawatannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah baru-baru ini. Sebelum Amirudin dilantik sebagai Ketua Penerangan, jawatan itu telah diberikan kepada orang lain, Aris Awang. Tetapi setelah ia ditolak, jawatan itu diberikan kepada Amirudin oleh Ustaz Azizan.

Ketika bercakap dengan penulis di Kuala Lumpur, Azizan pernah berkata, "Di Kedah, orang yang paling saya percayai adalah Amirudin." Kenyataan itu dibuat selepas beliau dilantik lagi sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah.

Amirudin sebagaimana Azizan turut terpilih sebagai AJK PAS Pusat dalam Muktamar PAS di Kota Bharu Jun lalu. Azizan, sebagai seorang veteran politik PAS dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah.

Malam itu, Amirudin memulakan ceramahnya yang dibantu oleh pekakas multimedia itu, dengan memetikkan slogan yang diwar-warkan oleh pemimpin BN di Kedah, Kedah Maju 2010. Bagi Amirudin, Kedah tidak akan maju pada tahun 2010. Ini kerana, mentaliti dan cara kerja para pemimpin BN di Kedah yang ada tidak akan membolehkan Kedah maju. Bukan sahaja 2010 bahkan 2020 nanti. "Saya akan buktikan selepas ini kenyataan saya ini," kata Amirudin kepada lebih 1,000 pendengar yang terdiri dari para pakcik makcik dan tidak kurang juga orang muda yang mendengar ceramah beliau di Barokhas, Padang Terap itu.

Satu persatu Amirudin tunjukkan gambar dan kenyataan kenapa Kedah tidak akan maju bahkan kalau majupun, orang Melayu yang paling ramai di Kedah sekarang akan beransur-ansur dikeluarkan dari bandar-bandar utama sebagaimana orang Siam di Thailand.

Gambar pertama yang ditunjukkan oleh Amirudin adalah Komplek Ikan Bakar yang dibina di Kuala Kedah. Ia bukan menjadi tempat orang ramai atau nelayan menjual dan membeli ikan bakar tetapi penuh dengan semak samun dan najis haiwan di kompleks itu.

Kompleks itu menurut Amirudin berharga RM3.5 juta. Bagi Amirudin, beratus-ratus buah rumah rakyat kos mampu bayar boleh dibina oleh kerajaan jika wang sebanyak itu digunakan dengan perancangan dan cara yang betul.






Salahnya adalah kerana perancangan yang tidak kena.

Kemudian beliau tunjukkan gambar Kompleks Marina yang dibina juga di Kuala Kedah. Gambar dari jauh, Marina itu begitu gah sekali. Umpama bangunan berprestij di Casablanca, Maghribi. Tetapi bila dilihat dari dekat sudah penuh dengan semak samun dan juga najis haiwan. Ia menelan belanja RM38 juta duit rakyat.

Amirudin membandingkan, jika belanja itu tidak dibazirkan, berapa pasang baju sekolah untuk kanak-kanak miskin boleh disediakan oleh kerajaan negeri untuk rakyat. Maknanya, kerajaan bukan tidak ada duit, tetapi kerana perancangan dan kepentingan peribadi, ia dibazirkan begitu sahaja.

Penerangan yang dibuat oleh Amirudin ini bukan sekadar cakap sahaja. Ia disokong oleh carta dan gambar-gambar berkaitan dengan apa yang dicakapkan itu.

Dan di depan beliau, para penontonnya menganggukkan kepala tanda setuju dan faham dengan apa yang diterangkannya.

Sesungguhnya, ini satu revolusi dalam sistem penerangan yang dibuat oleh PAS. Di Kedah ia dimulakan oleh Amirudin. Sebelum ini, penulis pernah diberitahu, bekas Adun Lunas, Saifudin Nasution Ismail juga menggunakan pendekatan yang sama dalam ceramah-ceramahnya.

"Ini gambar Pak Lah menjelang pilihan raya umum 2004 lalu. Beliau mengimamkan sembahyang. Di mana-mana kita akan lihat gambar ini tahun 2004 lalu. Ini pula gambar Pak Lah sebulan lalu. Beliau sedang memegang bahu pelakun Hong Kong yang berasal dari Ipoh, Michelle Yeoh. Ini gambar asli yang diambil dari laman web Monsun Cup, yang dianjurkan di Terengganu.

"Para imam di Malaysia sekarang sedang protes Pak Lah kerana memalukan mereka. Mereka dok ajar kat masjid dan surau-surau, haram orang lelaki pegang badan perempuan tak berlapik, tetapi Imam Islam Hadhari ini buat macam ni," kata Saifudin dalam ceramahnya dengan bantuan alat multimedia.

Bagi Datuk Husam Musa, Naib Presiden PAS, parti itu perlu merevolusikan pendekatan dakwah dan penerangannya. Ceramah semata-mata ceramah tidak sesuai lagi. "Seen is beliving (lihat baru percaya)," kata para cerdik pandai bidang komunikasi, beritahu Husam.

Inilah yang dilakukan oleh Amirudin di Kedah kini. Ketika beliau mahu mengajak rakyat Kedah memberikan peluang kepada PAS, rakyat memang faham dan sedar kerajaan BN yang ada memang gagal dan tidak boleh dipercayai. Tetapi, apakah PAS diyakini mereka sebagai pengganti? Apakah PAS akan terlebih baik dari kerajaan yang ada? Inilah tugas besar beliau.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...