Rencana pengarang
Dakwaan seorang duda beranak dua Amir Bazli Abdullah, 37 beliau dibelasah dan dipukul oleh seorang Timbalan Menteri Malaysia bersama rakan-rakannya sehingga mengalami kecederaan kekal yang serius tidak boleh dibiarkan dan dipandang ringan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi.
Kejadian berkenaan tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil dan tidak termasuk dalam hal-hal yang perlu diberi perhatian serius oleh Abdullah sebagai ketua negara. Kes itu mungkin bersifat peribadi tetapi imej yang terlekat kepada timbalan menteri berkenaan tururt sama mencalarkan imej Perdana Menteri dan negara.
Walaupun kejadian itu tidak menjejaskan kedudukan Abdullah selaku Perdana Menteri dan kedudukannya selaku Presiden Umno serta tidak menjejaskan parti berkenaan Barisan Nasional (BN), namun ia harus dilihat dengan penuh keadilan dan bertanggungjawab demi menegakkan keadilan untuk semua. Timbalan Menteri berkenaan adalah di bawah kuasa dan tanggungjawab Abdullah.
Sesungguhnya apa yang menimpa Amir Bazli itu amat dikesali dan ia adalah kesenimbungan kepada beberapa tindakan dan kelakuan sadis membabitkan orang besar dan ternama sebelum ini.
Kes seperti melibatkan bekas Ketua Polis Negara (KPN) tidak lama dulu yang menumbuk orang tahanan atau kes seorang bekas menteri menampar orang di lapangan terbang sungguh memalukan dan menggambarkan betapa rendahnya akal budi para pembesar negara ini.
Cara mereka bertindak itu, ala samseng dan mengikut amarah, seolah negara ini tidak ada undang-undang dan masih menggunakan undang-undang ‘law of the jungle” – undang-undang hutan rimba di mana siapa yang kuat dan gagah dialah menjadi raja. Apa yang mengejutkan lagi ianya didakwa dilakukan oleh seseorang yang berperangai baik dan mempunyai akhlak agama tinggi!
Biasanya pelaku jenayah dikaitkan dengan seseorang yang kurang berpendidikan, tidak berfikiran panjang atau dalam kata lain mereka yang tahap pemikirannya rendah dan kurang daya toleransi dan bersikap rasional. Jadi apabila ia didakwa dilakukan oleh seorang timbalan menteri ia mengejutkan kerana tidak mungkin seorang timbalan menteri memiliki ciri-ciri demikian di mana pelantikannya tentulah dinilai dari setiap aspek dan keperibadian yang menyeluruh.
Justeru apabila timbalan menteri bertindak demikian adalah wajar kalau Abdullah menilai semula akan perlantikannya ke jawatan itu dengan tujuan menjaga integriti kebinet dan pentadbiran beliau sendiri. Kita tidak mahu pentadbiran Perdana Mentera itu turut sama memiliki mereka yang hipokrit ataupun bersifat manis di belakang tetapi sebenarnya mereka naif dengan naluri keinsanan.
Sebaik-baik tindakan perlu diambil ialah dengan menyingkirkan timbalan menteri berkenaan sebagai suatu pengajaran kepada mereka yang lain di masa hadapan. Ia juga bagi menunjukkan bahawa Perdana Menteri hari ini sangat mementingkan kepada akhlak, keperibadian serta keunggulan perasaan kasih mengasahi sesama manusia.
Tidak syak juga perbuatan timbalan menteri berkenaan sangat kontras dengan 10 prinsip yang didokong Islam Hadhari yang angat dibanggakan itu.
No comments:
Post a Comment