Tuesday, July 31, 2007

PAS sokong MTUC teruskan piket 8 Ogos


KUALA LUMPUR, 31 Julai: PAS menyokong penuh terhadap keputusan pihak Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, MTUC untuk meneruskan piket seluruh negara 8 Ogos 2007 ini sekiranya kerajaan terus enggan memberikan reaksi yang positif terhadap tuntutan agar ditetapkan gaji minima RM900 dan Elaun Sara Hidup (COLA) minima RM300 kepada para pekerja di sektor swasta.


Demikian kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam satu kenyataannya hari ini.
PAS merasakan sudah tiba masanya lebih 8 juta pekerja disektor ini yang diwakili oleh MTUC dan sejumlah besar lagi yang tidak diwakili MTUC diberikan gaji minima yang selesa untuk menghadapi tekanan kos hidup yang semakin meningkat dalam Negara, kata Abdul Hadi.


“Sesungguhnya pihak kerajaan sewajarnya mengambil kira dan menghargai jasa mereka ini yang telah banyak menyumbang ke arah kemajuan negara sebagaimana rakan-rakan mereka disektor awam,” kata beliau.


Bagi PAS, adalah malang sekiranya kerajaan tidak dapat mengambil inisiatif berunding dengan tenaga kerja yang besar ini bagi menyelesaikan masalah mereka, kerana sudah pasti modal insan yang cemerlang hanya dapat dilahirkan apabila nasib dan kebajikan para pekerja dibela dan dipelihara.


“PAS menuntut YAB Perdana Menteri Malaysia agar memperuntukkan masa untuk berunding dengan pihak MTUC dalam hal ini,” katanya.


Sehubungan itu, PAS menyeru seluruh ahli dan para penyokongnya yang juga merupakan ahli gabungan MTUC agar keluar beramai-ramai menjayakan piket ini sekiranya tidak ada reaksi positif dari pihak kerajaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...