Friday, July 27, 2007

Kerajaan negeri tolak cadangan wujud Lembaga Kelantan Utara


Pastikan RMK-9 terlaksana dahulu


KOTA BHARU, 27 Julai: Kerajaan Kelantan menganggap cadangan Umno supaya kerajaan mewujudkan Lembaga Kemajuan Wilayah Utara Kelantan sebagai tidak perlu memandangkan telah ada banyak agensi pelaksana dimiliki kerajaan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, buat masa ini lembaga seperti itu dianggap belum sesuai memandangkan sudah banyak peruntukan disalurkan kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan kawasan utara Kelantan.

“Cuma pemimpin Umno negeri ini perlu pastikan segala projek pembangunan yang dirancang di bawah RMK-9 kepada Kelantan dilaksana mengikut jadual ditetapkan.

“Sekiranya segala proses itu berjalan lancar, tiada sebab mahu diwujudkan lembaga baru,” katanya ketika diminta mengulas cadangan pemimpin Umno bagi mewujudkan Lembaga Kemajuan Wilayah Utara Kelantan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan pelan pembangunan Koridor Pantai Timur dalam masa terdekat.

Menurutnya konsep itu dilihat bagi memberi perhatian kepada kawasan yang kurang pembangunan termasuk cadangan penubuhan Lembaga Kemajuan Wilayah Utara Kelantan.

Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Wilayah berkata, kewujudan lembaga seperti dicadangkan tersebut juga mungkin menyebabkan berlaku pertindihan tugas dengan agensi sedia ada.

Katanya, agensi milik kerajaan negeri atau Pusat sudah banyak bagi membangunkan wilayah Kelantan utara dan dianggap tidak perlu lagi kepada agensi baru yang boleh meningkatkan kos ditanggung kerajaan.

“Daripada mencadangkan penubuhan lembaga baru, lebih baik pemimpin Umno tidak menghalang Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan hadir pada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri.

“Setakat diwujudkan pegawai kanan terbabit tidak pernah hadir biar pun disenaraikan sebagai anggotanya. Malah, wakil pun tidak dihantar pada mesyuarat yang diadakan,” ujarnya.

Cadangan mewujudkan Lembaga Kemajuan Wilayah Utara Kelantan mungkin dibuat selepas dilihat kejayaan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) menjadikan Gua Musang sebagai kubu Umno di negeri ini.

Ini dapat dilihat sejak pilihan raya 1995 sehingga sekarang kawasan itu didominasikan Umno. Cuma pada 1990 kerajaan negeri berjaya menguasai parlimen Gua Musang di atas tiket Semangat 46.

Pensyarah ekonomi dari Kolej Teknologi Darulnaim, Dr Abdullah Sudin berkata, mungkin akan berlaku pertindihan fungsi memandangkan di kawasan utara sudah ada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan agensi lain.

Katanya, dari aspek luaran mungkin berlaku pertindihan memandangkan peranan yang dimainkan Kada juga termasuk mengurangkan kadar kemiskinan penduduk melalui sektor pertanian.

“Bagi saya cadangan itu boleh menjadi rasional apabila kesemua agensi berkaitan pembasmian kemiskinan rakyat diletak di bawah satu bumbung yang boleh diurusetia melalui satu lembaga.

“Dan keadaan ini mungkin lebih berkesan kerana ada penyelarasan kerja secara lebih teratur. Sedangkan sebelum ini agensi terbabit bergerak secara bersendirian,” katanya.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kebangsaan, Hu Pang Chaw melihat cadangan menubuh Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Utara lebih bermesej politik.


Ini kerana katanya perancangan mengenai pembangunan ekonomi negara sudah hampir 50 tahun dijalankan kerajaan, namun nampaknya ia belum mampu diselesaikan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...