Tuesday, July 24, 2007

Program PAS di bangunan Umno


KUALA LUMPUR, 24 Julai: Ada yang kata ia kudeta dan ada yang kata Umno terlalu sibuk dengan masalah dalamannya sehingga PAS berjaya menganjurkan program peringkat antarabangsanya di dalam bangunan Umno sendiri, PWTC.

Ucap utama program itu pula dilakukan sendiri oleh bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan Kelantan melalui badan penyelidiknya, Kelantan Reserch Institute and Strategic Studies (Kriss) menganjur seminar antarabangsa dinar emas (International Seminar on Gold Dinar) di PWTC 24 Julai lepas di PWTC.

Tidak ada siapa yang tahu program itu dianjurkan oleh Kriss sehinggalah Tun Dr Mahathir dalam ucap utamanya mengucapkan terima kasih kepada Kriss kerana memberikan peluang kepada beliau untuk berucap di majlis itu.

Selepas itu, barulah masing-masing sedar betapa ramainya pemimpin kerajaan negeri Kelantan di program tersebut seolah-olah ia majlis PAS.

Antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang turut makan bersama Tun Dr Mahathir dan tetamu yang lain sebaik sahaja selesai ucap utama Tun.

Namun Husam terus beredar sebaik sahaja sidang akhbar hendak diadakan oleh Tun.

Husam ketika ditemui selepas itu begitu ceria sekali sambil berkata, "Alhamdulillah...semua berjalan dengan baik."

Tun Dr Mahathir berada di majlis itu dan memberikan ucap utama atas kepentingan idea bersama iaitu 'dinar emas' antara beliau dan pemimpin PAS dari Kelantan, Husam Musa.

Idea 'dinar emas' ini telah disebutkan oleh Husam lebih awal dari tahun 2001 lagi apabila Tun Dr Mahathir menganjurkan idea yang sama pada tahun itu.

Pada tahun 2001, Tun Dr Mahathir mencadangkan agar dinas emas digunakan untuk semua negara Islam dalam urusan dagang antara mereka bagi menghadapi manipulasi mata wang.

Kali ini Dr Mahathir memperjelaskan lagi idea dinar emas itu di majlis anjuran PAS melalui Kriss di PWTC.

Kata Tun Dr Mahathir, emas tidaklah boleh digunakan sepenuhnya untuk menggantikan mata wang yang ada tetapi cukup sekadar untuk menjadikan ianya sebagai alternatif.

"Sekurang-kurangnya, bila ada alternatif, sistem yang ada sekarang (mata wang kertas, fiat money) akan memperbetulkan dirinya," kata Tun di majlis itu.

Bagi beliau, negara Amerika sekarang sudah bangkrap kerana terlalu banyak menanggung hutang khasnya dari negara Arab sendiri yang berjumlah USD14 trilion.

Wang kertas USD yang ada pula, katanya, tidak terkawal lagi di pasaran kerana ia sudah unlimited.

Tetapi dunia masih lagi bergantung kepasa US Dollar kerana kuasa senjata yang ada pada Amerika dan kebergantungan negara di dunia kepada simpanan mereka yang dibuat dalam bentuk USD.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...