KUALA LUMPUR: Mula-mula, ketika merasmikan Nur Sejahtera bagi melahirkan kesedaran tentang kanser payudaya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, "Kita mesti melakukan perkara yang boleh membantu kita mengelakkan kanser."
Tetapi, bila diminta komen cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz untuk mengutamakan calon yang tidak merokok dalam pilihan raya umum akan datang, Nazri melenting pula.
"Apa yang dia cadang adalah sampah," kata Nazri. Hina sekali cadangan Nik Aziz pada mata Nazri untuk memilih calon PAS dalam pilihan raya umum akan datang di kalangan mereka yang tidak merokok.
Nik Aziz dalam satu majlis di Kelantan berkata, dia lebih cenderung untuk memilih calon yang tidak merokok dalam pilihanraya umum akan datang. Sudah pasti calon ini adalah untuk PAS bukan untuk meletakkan syarat bagi calon yang lain dari PAS pula, apa kuasa Nik Aziz untuk berbuat demimkian.
Tetapi kerana ia datang dari PAS, Nazri mengambil sikap untuk memukul PAS sehingga menyifatkan cadangan Nik Aziz itu sebagai 'sampah'.
Ini semua dilaporkan oleh NST, hari ini, 15 Julai di muka 12.
Menurut Nazri sebagaimana NST, "Apa yang mereka mahu adalah untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang tanpa bertanding kerana mereka tahu kita semua merokok."
Pulak dah.
Nampaknya, Nazri tidak sempat memahami apa yang dikatakan Nik Aziz sendiri. Yang dia tahu, kenyataan PAS mesti dibantai sahaja. Hatta wartawan atau editor NST sendiri (sebagaimana laporan NST hari ini) menampakkan kenyataan Nazri ini bercanggah dengan kenyataannya sendiri ketika berucap merasmikan program itu.
Apa kaitan kenyataan Nik Aziz itu dengan calon BN. BN boleh meletakkan siapa sahaja dalam pilihan raya umum akan datang. Yang Nik Aziz cadang adalah untuk calon PAS. Jika ada dua calon yang dicadangkan, satu merokok dan satu lagi tidak merokok, Nik Aziz akan memilih calon yang tidak merokok. Ini kerana, dalam Islam, merokok itu boleh jadi haram dan sekurang-kurangnya makruh.
Bagi Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar ketika dihubungi berkata, kenyataan Nik Aziz itu membayangkan betapa PAS berusaha untuk mendapatkan calon yang terbaik termasuk dari segi moralnya.
Ini kerana, kata Kamarudin, moral seorang pemimpin sangat penting.
Bagaimanapun, perkara ini masih pandangan peribadi Mursyidul Am PAS kerana belum dibincangkan di peringkat parti lagi.
No comments:
Post a Comment