Oleh AWANG MUDA
Kali ini Awang ada dua kisah nak dikongsi dengan para pembaca. Kedua-dua kisah ni boleh lah dianggap gambaran betapa rendahnya tahap ilmu sesetengah tok imam di Terengganu lening. Tambah sedih lagi, kes-kes ni bukan dalam bab hukum jenayah, muamalah atau pun munakahat, tapi dalam bab berkaitan sembahyang.
Bab yang tak sepatutnya seorang tok imam tak tahu, sebab dia ketua orang dalam sembahyang.
Kisah pertama, tok imam jadi khatib tak duduk antara dua khutbah. Kisah kedua, ada tok imam dari Terengganu qasar sembahyang Maghrib masa pergi rombongan ke Bangi dan Putrajaya baru ni. Rajin (pernah) dengar dah ke?
Mulanya Awang susah juga nak percaya bila saing sekerja di Siasah cerita fasal kes imam di Masjid Bukit Diman, Hulu Terengganu tak tahu tertib khutbah. Masa dia cerita kat Awang tu, cerita tu belum disiar dalam Siasah lepas.
Kata dia, maklumat fasal kejadian tu memang soheh, sebab dia terima cerita tu dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sendiri.
Yang Awang jadi rasa nak suka (tergelak)nya bila dia cerita betapa semangatnya tok imam tu nak baca khutbah. Dia kata, cara tok imam tu meluru ke mimbar tu imbas-imbas (macam) orang kena rasuk. Kata dia, tak dang (belum sempat) tok bilal sut (selesai) azan kedua, tok imam tu dah mula baca khutbah.
Ikut ceritanya, tok imam tu bekas tok bilal tua yang dah lama khidmat di masjid tu. Pengerusi Jawatankuasa Masjid tu pula ayah kepada Exco Islam Hadhari, Datuk Rosol Wahid. Kampung halaman dialah, katakan! Malah, Exco Rosol sendiri katanya jadi penaung masjid tu.
Kedua-dua beranak orang kuat kerajaan negeri tu khabarnya tak berapa suka bekas bilal tu dijadikan imam. Jawatankuasa Masjid tak setuju, JKKK pun katanya tak restu juga. Awang pun naik pelik juga fasal apa pulak dia orang tak setuju. Sedangkan tok imam tu katanya memang orang kuat parti pemerintah. Meminjam istilah orang-orang PAS, tok imam tu disebut “berkarat biru”. Ertinya, memang soheh tok bilal tu tak termasuk senarai hak kena enjal (terajang) dan retap (tampar) oleh Exco Rosol.
Awang katakan begitu sebab Exco Rosol pernah sebut benda tu dalam Sidang Dewan Negeri April tahun lepas. Dia kata ada antara imam dan bilal di negeri Awang ni yang tak mengenang budi kerajaan yang beri dia orang elaun bulanan.
Kata Exco Rosol, “kalau beri (elaun)... kekoh (gigit), beri... (imam/bilal) kekoh, lama-lama kita enjal jugok. Kita pun bengkeng (garang) jugok. Bagi saya kalau dak retap, kita enjal”.
Amboi, boleh tahan juga budi bahasa Exco Hadhari kita tu. Biasa la kan, siapa tak tahu cara Exco dan tok wakil Barisan bercakap dalam Dewan? Tak sah kalau tak ada maki hamun, sumpah seranah!
Tak apa lah, itu kisah lain. Berbalik cerita tok imam di Bukit Diman tadi, sebab utama orang-orang kuat di situ sepakat tak setuju lantik dia katanya kerana dia orang dah tahu tahap bacaan tok imam tu 'tak lulus' didengar telinga. Faham-faham ajelah apa maknanya tu kan.
Nak dijadikan cerita, ada pula pihak tertentu yang katanya main ‘pintu belakang’ dengan Pejabat Agama. Maka terlantiklah juga dia jadi imam walaupun tak direstui anak kariahnya. Tapi dia tak dibenarkan orang di situ untuk baca khutbah.
Entah macam mana pada Jumaat 22 Jun lepas, dia terlepas ke mimbar. Maka berlakulah apa yang berlaku. Dia dah mula baca khutbah tak dang bilal khatam azan.
Tapi itu boleh dimaafkan lagi. Mungkin dia didorong semangat berkobar nak berkhutbah setelah digam oleh Jawatankuasa. Mungkin juga kerana rasa gemuruh. Maklumlah itu kali pertama naik mimbar.Cuma jemaah agak kecoh bila dia tak duduk antara dua khutbah. Dia terus bercacan (berdiri). Nak kata dia tak tahu tertib tu, dia kan tok bilal di situ dah bertahun.
Kata sebahagian anak mukim, dia lupa duduk sebab asyik membelek khutbah kedua hak dia nak baca lepas tu. Tapi seorang saing Awang ada andaian lain. “Barangkali di akhir teks khutbah pertama tu Pejabat Agama tak tulis arahan supaya khatib duduk kot?”, sindir saing Awang. Awang tahu dia kata gitu sebab tengok cara tok-tok imam lening baca khutbah terlalu terikat dengan teks. Kata orang, patah demi patah. Jadi, barangkali arahan duduk pun nak kena tulis dalam teks juga, baru tok imam buat.
Habis kisah pertama. Kisah satu lagi pula Awang dengar dari seorang imam yang ikut serta dalam rombongan ke majlis Muzakarah Imam-Imam di Bangi baru-baru ni. Dia ni saing kepada saing Awang. Kata dia, dalam perjalanan ke sana, rombongan imam-imam dari Terengganu berhenti makan dan sembahyang di Temerloh. Waktu tu Zohor dah masuk lama. Jadi dia orang pakat sembahyang qasar dan jamak bersama fardhu Asar.
Okay la tu, belum ada apa hak pelik. Tapi bila dah sampai di sana, Maghrib dah masuk. Dia orang sekali lagi pakat nak sembahyang jamak-qasar. Biasa la kan, kalau dalam musafir, memang itu kelonggaran hak Islam tawarkan kepada umatnya. Rugi kalau tak ambil tawaran Tuhan tu.
Cuma Awang sedih juga bila dia cerita kebanyakan tok-tok imam tu pakat sembahyang sendiri-sendiri, tak berjamaah. Awang lagi sakan geleng kepala bila imam tadi cerita, ada di kalangan ahli rombongan tu yang turut qasar solat Maghrib. Ertinya, dari tiga rakaat dibuat dua saja, macam solat Isyak, Zohor dan Asar.
Astaghfirullah al-adzim! Dari kitab mana, dengan tok guru mana pula tok-tok imam tu belajar ni? Setahu Awang, dalam mazhab empat, Shafie, Maliki, Hanafi, Hambali, tak ada ajaran macam tu. Tak tahulah kalau dalam mazhab Hadhari (?), boleh qasar sembahyang Maghrib?
Munasabahkah seorang tok imam tak tahu mana solat yang boleh diqasar, mana hak tak boleh?
Lepas dengar cerita tu, Awang berharap sangat perbuatan jahil dia orang tu tak dilihat tok-tok imam dari negeri lain. Kalau tak, seluruh rakyat Terengganu akan berasa malu, termasuk Awang sendiri.
No comments:
Post a Comment