Friday, February 29, 2008

Koridor demi koridor hanya janji sahaja, kata Dr Mahathir


KUALA LUMPUR, 29 Feb: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menyifatkan pelancaran koridor demi koridor yang yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini hanya bersifat janji semata-mata.

"Tidak ada apa-apa yang berlaku di tempat berkenaan. Jumlah wang yang terlibat begitu hebat. Sehingga bertrilion ringgit dan akan menjadi kenyataan mungkin dalam masa 10 hingga 20 tahun lagi. Oleh itu, kesemuanya adalah janji. Sesiapa sahaja boleh berjanji," katanya.

Dalam temubual dengannya yang disiarkan oleh Today Online semalam, Dr Mahathirt juga berkata kad laporan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak melaporkan perkara-perkara yang negatif.

"Sebagai contoh, kehilangan begitu banyak wang, prestij negara menurun dan hakikat bahawa ramai yang tidak dapat mencari kerja dan perniagaan di dalam negara ini. Mereka terpaksa pergi ke tempat lain," kata bekas Perdana Menteri.

Polis setuju permintaan PAS kempen guna layar besar

KOTA BHARU, 29 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa meminta jentera penerangan PAS dan parti-parti pembangkang di seluruh negara menggunakan skrin besar sebagai salah satu media kempen pilihan raya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika memaklumkan persetujuan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi kepada permintaan PAS untuk mengggunakan skrin besar bagi menayangkan majlis ceramah dan kempen sepanjang pilihan raya umum kali ini.

"Negeri-negeri lain juga mesti menggunakan skrin besar untuk berkempen kepada para pengundi. Jika penggunaan skrin besar itu diluluskan di Kelantan, tidak ada sebab ia tidak boleh digunakan di negeri-negeri lain," kata beliau.

Sebelum ini, polis Kelantan melarang penggunaan skrin besar dalam kempen pilihan raya kali ini.Larangan tersebut dikeluarkan oleh Abdul Rahim sebaik sahaja proses penamaan calon selesai dilakukan pada 24 Februari lepas.

Berikutan larangan itu, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah bertemu dengan Ketua Polis Kelantan itu dan berjaya meminta kerjasama beliau supaya menarik balik larangan itu.

Marah, kecewa tetapi tidak mengalah


KUALA LUMPUR, 29 Feb: "Marah, kecewa tetapi tidak akan mengalah." Itulah perasaan dan sikap para pemimpin dan penyokong PAS dihari penamaan calon 24 Februari lepas.


Mereka marah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana terus-terusan mempermainkan mereka dengan peraturan yang tidak pernah kekal bahkan boleh berubah sekelip mata.

Mereka kecewa kerana perkara ini berulang pada setiap kali pilihan raya tetapi ramai pengundi tidak insaf dan sedar sebenarnya mereka dipermainkan oleh kerajaan yang memerintah.

Dalam pilihan raya 2004 peraturan bangsal panas di hari mengundi menjadi isu panas apabila ia dibenarkan kembali di hari mengundi sedangkan calon-calon BN mengetahuinya lebih awal.

Namun, atas semua itu, mereka tidak akan mengalah bahkan akan terus berusaha memenangi hati rakyat.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Jual beli IC bermula, PAS arah petugas bersiap sedia

KUALA LUMPUR, 29 Feb: Kegiatan 'menjual' dan 'membeli' kad pengenalan palsu untuk diberikan kepada orang-orang tertentu supaya mengundi di sesuatu kawasan tertentu kini sedang giat dilakukan di sekitar Lembah Kelang dan Selangor.

Kegiatan ini dijalankan oleh satu sendikit dipercayai menjadi agen kepada Umno.

Modus operandi kegiatan ini sendiket itu adalah mencari sasaran dan menawarkan kad pengenalan haram kepada orang dengan meminta pelanggannya mengundi di sesuatu kawasan yang ditentukan.

Antara golongan yang menjadi sasaran sendiket ini ialah mereka yang tinggal di kawasan setinggan dan juga golongan mahasiswa yang dikira tidak begitu memahami undang-undang dan terdesak dengan masalah kewangan.

Kegiatan ini terdedah apabila sekumpulan mahasiwa sebuah universiti tempatan yang menyertai sebuah kelab motosikal mendedahkan mereka telah didatangi sendikit berkenaan yang menawarkan 'khidmat' kepada mereka.

"Mulanya kami tidak menyedari ianya satu sindiket yang berkerja untuk sebuah parti politik, tetapi setelah kami diminta mengundi di kawasan luar dan diberikan upah baru kami sedar," begitulah dedah seorang mahasiwa.

Katanya, beliau diberikan beberapa kad pengenalan yang mana semua nama dalam kad pengenalan itu tersenarai di buku daftar undi di Kelantan.

"Bila menyedari ini saya mula mengesyaki bahawa ianya satu sendiket haram!" jelas mahasiswa jurusan Jurteru Eletronik itu.

Menurutnya, beliau diberitahu agen berkenaan setiap satu kad pengenalan akan 'dijual' itu akan 'dibayar' RM200 hingga RM300. Ini bermakna kalau seorang pelanggannya menyanggupinya untuk mengundi di tiga kawasan mereka akan memperolehi RM900.

Sementara itu Siasah difahamkan dari sumber lain kad-kad pengenalan palsu yang ditawarkan itu disalin daripada senarai kad pengenalan asal pengundi di sesuatu kawasan.

Adalah dipercayai besar kemungkinan pihak Jabatan Pendafatran Negara (JPN) terlibat sama bersuhabat dengan sendiket ini, jika tidak bagaimana mereka memperolehi kad pengenalan berkenaan.

Dokumen sulit mengenai seseorang warganegara seperti Kad Pengenalan hanya berada dalam simpanan JPN.

Sementara itu seorang penjual kedai makan di Kajang Selangor turut sama mendedahkan beliau juga turut sama didatangi oleh sendiket berkenaan yang menawarkan kad pengenalan untuk mengundi di Kelantan.

"Mulanya mereka bertanya saya apakah tidak mahu melakukan perubahan, tetapi selepas mereka meminta saya mengundi di Kelantan dan akan dibayar, baru saya tahu maksudnya," jelas peniaga berkenaan.

Dakwa penjual itu, sendiket itu mendakwa mereka sebagai pegawai Kemas, iaiti satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan dan Kemajuan Luar Bandar, di mana Abdul Aziz Shamsuddin adalah menterinya.

Menurut penjual itu lagi "pegawai' Kemas berkenaan tergesa-gesa meninggalkan kedainya apabila beliau menyatakan seumur hidupnya beliau tidak pernah mengambil upah untuk mengundi menggunakan kad pengenalan orang lain.

Adalah dipercayai sendikit berkenaan akan terus berkeliran dan mencari mangsa-mangsanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran agar para pengundi luar yang tidak sah jangan datang mengundi di Kelantan atau Terengganu. Jika mereka datang juga, tindakan yang sewajarnya akan diambil oleh petugas PAS.

Menurut undang-undang juga, memiliki dan memegang kad pengenalan orang lain adalah satu kesalahan dan boleh didenda.

PAS Pulau Pinang mendapat laluan mudah


PULAU PINANG, 29 Feb: PAS Pulau Pinang berada dalam kedudukan yang selesa kini selepas ada pihak tertentu yang sedang membantu mereka untuk menjatuhkan negeri itu kepada pembangkang.

"Kita akan mendapat laluan mudah sekurang-kurangnya untuk tiga kerusi Dun selepas mendapat pertolongan ini," kata seorang pemimpin PAS Pulau Pinang kepada Siasah.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut.

Thursday, February 28, 2008

Petugas BN belasah dua wartawan


KANGAR, 28 Feb: Dua wartawan dibelasah oleh para penyokong BN ketika sedang membuat liputan ceramah yang diberikan oleh Menteri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

(Gambar:Rashidi menunjukkan sikunya yang luka dibelasah petugas BN di Beseri, Perlis.)

Dalam kejadian malam Selasa lalu, sekumpulan lelaki telah membelasah pemberita sambilan Harian Metro, Mohd Rashidi Karim,42 dan wartawan Berita Harian, Adhai Ghazali, 30, yang sedang menjalankan tugas mereka di sebuah rumah kedai dekat Beseri.

Kedua-dua wartawan terbabit telah membuat laporan polis di Balai Polis Beseri setengah jam selepas kejadian dan empat orang lelaki berusia lingkungan 40an telah ditahan.

Menurut saksi, kejadian bermula apabila Rashidi Karim, wartawan sambilan Harian Metro, diminta keluar dari tempat itu ketika Shahidan mahu memulakan ucapannnya, namun dia enggan kerana mahu menjalankan tugasnya.

"Saya tak mahu kerana mahu menjalankan tugas saya, Namun saya ditarik keluar dan mereka mengoyak baju saya," cerita Rashidi. Kemudian dia dipukul dan disepak oleh petugas BN itu.

Adhai, wartawan Berita Harian kemudian datang mahu membantu, namun turut di tumbuk oleh mereka.

Mengulas kejadian tersebut, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman menyifatkan BN sebagai sebuah parti yang bersikap angkuh dan tidak menghormati demokrasi, undang-undang serta kebebasan media.
"Media Umno-BN sering menyebut ada pihak yang menaja keganasan, tapi BN sendiri yang sebenarnya ganas. Ini bukan budaya kita, tolak BN rakyat selamat," serunya.

Kenapa negatif sangat turunkan harga minyak 30 sen


KANGAR, 28 Feb: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din hairan mengapa hampir saban hari para menteri memberikan respon negatif terhadap janji PAS-Barisan Alternatif untuk menurunkan harga minyak sebanyak 30 sen sekiranya diberi mandat oleh rakyat memerintah negara ini.

(Gambar atas: Datuk Hassan Din bergurau dengan abangnya, Datuk Dr Haron Din di pusat penamaan calon Parlimen Arau sambil diperhati abang mereka, Ishak Din)

Katanya, setiap hari media menyiarkan kaenyataan mereka yang menyebut negara akan muflis sekiranya harga minyak diturunkan sedangkan selama ini rakyat dicurahkan pelbagai maklumat yang hebat berkaitan ekonomi negara.

"Kita dihujani dengan pelbagai maklumat tentang ekonomi negara yang kukuh, rizab negara di luar yang meningkat, fundemental yang kukuh, eksport bertambah tapi bila PAS-BA mahu turunkan harga minyak mereka kata negara boleh bankrap.

"Penurunan 30 sen harga minyak itu hanyalah sekitar 15 peratus daripada harga semasa, adakah dengan susutnya pendapatan dari hasil minyak akan menjadikan negara bankrap sedangkan pendapatan dari hasil minyak adalah sekitar 30 peratus pendapatan negara.

"Kalau kering minyak di Malaysia sekalipun, tanpa hasil minyak kita masih mempunyai 70 peratus pendapatan daripada sumber lain," katanya.

Dr Haron melihat kenyataan-kenyataan yang dibuat itu sama ada dakwaan mereka adalah tepat dan menunjukkan keadaan ekonomi negara yang teruk atau sebaliknya hanyalah satu pembohongan untuk mengabui mata rakyat tentang kebenaran manifesto PAS-BA.

"Jika benar apa yang mereka kata, memang jelas ekonomi negara dalam keadaan teruk hasil pemerintahan Umno-BN dan kelemahan pemimpin negara.


"Ataupun sebaliknya, kalau tak benar dakwaan mereka dan saya yakin itu, ini merupakan satu pembohongan pemimpin Umno-BN. Ini kerana mereka suka mengikut jejak pemimpin tertinggi mereka yang suka berbohong.

“Contoh paling jelas baru-baru ini beliau berbohong mengatakan parlimen tak akan dibubar tapi besoknya beliau mengumumkan parlimen dibubar," ujarnya.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac ini Dr Haron akan bertanding di Parlimen Arau menentang Datuk Ismail Kassim yang juga adik Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

(Gambar: MB Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengangkat tangan adiknya, Ismail Kassim yang akan bertanding melawan Haron Din di Parlimen Arau mewakili BN.)

PAS pernah mencipta sejarah apabila memenangi pilihanraya kecil Arau tahun 1998 apabila Ustaz Hashim Jasin menewaskan Ismail pada masa itu.

Mengulas tentang peluang beliau kali ini jelasnya suasana politik semasa khususnya di Perlis memberikan banyak kelebihan kepada PAS.

Di Parlimen Arau sendiri beliau meramalkan PAS mampu untuk menang di empat Dun dan juga mampu untuk menambahkan tiga lagi kerusi Dun di Parlimen Padang Besar dan Kangar.

"Sokongan orang ramai kepada kita semakin meningkat, masalah yang melanda BN Perlis sendiri dan pelbagai isu tempatan dan nasional adalah faktor-faktor yang akan merangsang satu perubahan di Perlis," katanya lagi.

Wednesday, February 27, 2008

Awang Adek dicabar bangunkan Bachok dahulu



KOTA BHARU, 27 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mencabar bakal menteri besar Kelantan, jika BN menang, Datuk Awang Adek Husin supaya membangunkan Bachok dahulu sebelum bercakap mahu bangunkan Kelantan.


"Dia boleh janji macam-macam, tapi dia buatlah di Bachok dulu. Saya pun boleh cakap RM2juta tahun depan bajet. Dia nak ambil duit daripada mana," tanya Husam.

Gas 2010

Untuk Kelantan, kata Husam, beliau yakin pada tahun 2010 nanti kerajaan negeri akan mendapat hasil baru iaitu gas.


"Saya yakin bajet kerajaan negeri akan capai peningkatan yang besar kerana pada waktu itu gas akan dikeluarkan di negeri Kelantan," kata beliau dalam sidang akhbar hariannya dekat sini.

Menurutnya, perbincangan dan perkiraan telah dibuat untuk memberikan subsidi gas memasak RM3 setiap tong di Kelantan.

"Kita telah buat satu kiraan untuk tujuan gas memasak domestik. Kita jangka boleh kurangkan dan bagi subsidi sebanyak RM3 setong menjelang 2009 dan 2010 selepas gas didaratkan di Kelantan. Untuk Kelantan sahaja, satu tong sekarang RM24 harga refill dan agak membebankan pada rakyat. So ini cara kita berfikir untuk mengurangkan beban," katanya.


Husam juga berkata, kerajaan negeri Kelantan berjaya meningkatkan kewangan negeri secara yang drastik tahun ini apabila Felcra membayar pampasan sebanyak RM24 juta.

"RM24 juta wang segera dan kita telah gunakan untuk projek perumahan," kata Husam.

Pak Lah bentang menifesto ke bajet, tanya Husam


KOTA BHARU, 27 Feb: Naib Presdien PAS, Datuk Husam Musa mempertikaikan apa yang dilancarkan oleh Barisan Nasional (BN) baru-baru samada ianya manifesto mereka atau bajet?

Ini kerana, perbentangan itu seumpama bajet sahaja dan bukannya manifesto parti politik untuk menghadapi pilihan raya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar hariannya pada 26 Februari lepas.

Husam juga mempertikaikan manifesto yang bertema Selamat, Aman dan Makmur itu.

"Saya rasa manifesto ini akan menikam BN sendiri kerana track rekod empat tahun lepas kita telah hilang rasa aman dan selamat tersebut terutama kerana peningkatan jenayah yang ketara selepas Pak Lah menjadi PM berdasar statistik berbanding zaman Tun Mahathir yang telah alami penurunan jenayah antara tahun 1999-2004," kata Husam.

Menurut Husam, selama empat tahun pentadbiran Pak Lah, tidak ada apa-apa tindakan berkesan bagi mengekang jenayah dari meningkat.

"Jadi pada saya rakyat menilai kredibiliti ini. Kalau empat tahun dulu dia berjanji tak boleh buat apa, apa bukti dia akan boleh laksanakan 61 ikrar baru untuk empat tahun akan datang," kata beliau.

Beliau juga mempertikaikan cara penyelesaian yang dibuat oleh pentadbiran Pak Lah untuk menghadapi segala masalah yang menimpa negara ini.

"Pada saya manifesto ini hanyalah satu panadol. Tak boleh sembuh penyakit negara kita dengan makan panadol ini tiap-tiap hari. Doktor pun marah kalau makan panadol banyak sangat," kata beliau mempertikaikan cara penyelesaian yang dikemukakan Abdullah.

Umno gagal dalam bidang ekonomi


Oleh Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Ekonomi adalah merupakan tunggak kemajuan sesebuah negara. Ekonomi yang diuruskan secara efisyen dapat memacu pertumbuhan Malaysia untuk mencapai wawasan 2020 di samping kemakmuran negara dapat dinikmati bersama oleh rakyat.

Permasalahan

Sejak 1957, di sepanjang pemerintahan kerajaan UMNO/BN, telah berlaku pelbagai kepincangan ekonomi. Antara kepincangan yang utama ialah:

1. Gagal mengawal peningkatan harga minyak walaupun Malaysia adalah pengekspot minyak. Dari tahun 2000 – 2006, harga minyak telah meningkat dari RM1.10/liter hingga RM1.92/liter iaitu peningkatan sebanyak 75% dalam masa 6 tahun.

2. Gagal menyekat harga tol yang meningkat tahun demi tahun. Walaupun kerajaan berjanji tiada peningkatan tol pada tahun 2008, tetapi tahun 2009 akan pasti menyaksikan peningkatan harga tol yang seterusnya. Kerajaan membelanjakan lebih 300 juta ringgit wang rakyat setahun untuk membayar konsesi tol.

3. Gagal menyekat kenaikan harga barangan asas hasil daripada kenaikan harga minyak dan tol. Kenaikan harga barangan ini terpaksa dibayar oleh segenap lapisan rakyat

4. walaupun sebahagian daripada mereka tidak menggunakan jalan bertol terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar.

5. Pengurusan wang rakyat yang tidak cekap menyebabkan pembaziran secara berleluasa telah berlaku. Ini termasuk:

a. Pembatalan pembinaan jambatan bengkok yang menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM 257 juta.
b. Kerugian membeli saham Agusta sebanyak RM 510 juta.
c.
Pembatalan projek Incinerator di Broga yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM 500 juta untuk membayar pampasan.

6. Hutang Kerajaan Persekutuan terus meningkat dari RM146 billion kepada RM165 billion

7. Pengisytiharan pelbagai projek Koridor Ekonomi seperti WPI, NCER, ECER, SDC dan SCORE, yang menelan belanja mencecah 1 trillion ringgit adalah sangat meragukan. Tidak ada sebarang penjelasan yang lengkap bagaimana sumber kewangan yang begitu banyak dapat dijanakan untuk menampung projek-projek berkenaan.

Penegasan dan Gesaan

PAS sentiasa mengambil sikap yang serius dan amat perihatin terhadap perkembangan ekonomi Negara. Dengan ini, PAS secara jelas menegaskan bahawa kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah gagal dalam memacu menigkatkan lagi daya saing ekonomi negara.

Dengan demikian, PAS dan seluruh masyarakat yang prihatin serta mencintai kemajuan dan kesaksamaan ekonomi dengan tegasnya menggesa agar rakyat Malaysia menolak kerajaan UMNO/BN yang gagal mengurus ekonomi Negara dengan berkesan.
PAS ingin menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk membuat perubahan ini melalui pilihanraya umum ke-12 ke arah pembentukan sebuah kerajaan berkebajikan yang lebih bertanggungjawab dan perihatin.

Perantau lancar rayuannya Sabtu ini


KUALA LUMPUR , 27 Feb: Persatuan Anak Terengganu di perantauan (Perantau) akan melancarkan rayuan pilihan raya mereka pada hari Sabtu 1 Mac jam 3 petang di Hotel Plaza, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, semua anak Terengganu yang berada di Kuala Lumpur dan sekitarnya dijemput untuk menyertai majlis ini sambil minum kopi dan bersembang politik menjelang pilihan raya umum nanti.

"Rayuan itu berupa buku kecil yang akan diberikan kepada semua anak Terengganu khasnya yang berada di perantauan agar pulang mengundi 8 Mac nanti dengan selamat," kata Shuhaimi Embong, Setiausaha Perantau.

Sesiapa yang berminat sila hubungi telefon 03-40445868 (Nadiah) atau nombor telefon 03-40253142 (Dang Fatiha) atau SMS sahaja ke nombor 019-3824134 untuk pengesahan kehadiran.

Tuesday, February 26, 2008

Pilihan raya kali ini terasa perbezaannya - Khalid Samad Shah Alam


SHAH ALAM, 26 Feb: "Pilihan raya kali ini berbeza sekali saya rasa. Ramai orang Cina dan India menyertai kita. Orang Melayu pula menyokong kita secara senyap. Itu yang dapat rasakan," kata Ir. Khalid Samad ketika ditemui Siasah menjelang mesyuarat khas PAS Selangor Selasa lepas.

Walaunpun pilihan raya kali ini adalah kali kelima beliau bertanding, Khalid menaruh harapan besar untuk menang.

Sebagaimana tahun 2004, beliau akan mencuba sekali lagi di Parlimen Shah Alam atas tiket PAS.

Khalid, adik kepada Shahrir Samad, mula menyertai pilihan raya sejak tahun 1986 lagi apabila menjadi calon Parlimen Kuala Krai di Kelantan. Tahun ini, Dr Hatta Ramli akan bertanding di kerusi yang sama.

Walau kalah semuanya, beliau tidak pernah serik.

"Pilihan raya tahun ini jauh berbeza. Ia semacam tahun 1999 juga tetapi tidak Nampak kemarahan rakyat secara zahir tetapi mood tu sangat baik," kata Khalid kepada Siasah.

Khalid akan bertanding di Parlimen Shah Alam melawan Datuk Seri Abdul Aziz Shamsudin. Dalam pilihan raya lalu, beliau kalah 13, 410 undi kepada Datuk Aziz.

Di sini, pengundi Melayu adalah 68.76%, Cina 15.08% dan India 15.08% serta lain-lain 0.63%.

Sebelum ini, kata Khalid, PAS tidak pernah menaruh harapan kepada pengundi Cina dan India tetapi kali ini PAS sangat yakin sebahagian besar mereka akan mengundi beliau.


"Harapan rakyat kepada Pak Lah meleset. Mereka harapkan dia membawa perubahan selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negara dari Tun Dr Mahathir, namun berlaku sebaliknya. Tun Dr Mahathir jauh lebih baik darinya.

"Rasuah merata sekarang. Kalau dahulu kroni sahaja, sekarang free for all. Semua buka lesen sendiri kerana Pak Lah lemah dan tidak boleh mengawal keadaan," kata Khalid.

Tiga pukulan untuk Umno Kelantan

KOTA BAHRU, 26 Feb: Umno Kelantan sehinga kini sudah terkena tiga pukulan sejak sebelum penamaan calon lagi dan disifatkan oleh banyak pihak sebagai pelemah semangat di kalangan petugas mereka.

(Gambar Husam berama keluarga yang datang ke hari penamaan calon di Kubang Kerian)

Pukulan paling hebat adalah hilang satu kerusi tanpa bertanding apabila calonnya disahkan muflis dan tidak layak untuk menjadi calon di Kijang.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengesahkan, sehingga hari penamaan calon, hutang kepada MARA yang mana calon berkenaan adalah penjaminnya masih tidak diselesaikan. Beliau mengetahui maklumat itu 10 hari sebelum hari penamaan calon lagi.

Hasilnya, calon wanita PAS, Wan Ubaidah Wan Yusof (gambar) disahkan sebagai Adun Kijang tanpa bertanding. Sebelum ini, Husam adalah Adun Kijang.

Ekoran itu, Umno Kelantan menerima pukulan dari Timbalan Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau sangat marah berkaitan dengannya dan mengarahkan siasasat dilakukan segera siapa yang bersalah dengan kelemahan ini.

Pukulan awal yang diterima Umno Kelantan adalah apabila dua calonnya, Profesor Abdullah Sudin dan Datuk Abdul Halim Ahamad menarik diri dari menjadi calon selepas diumumkan nama oleh oleh Datuk Annuar Musa.

Pukulan kedua adalah apabila Datuk Dr Awang Adek dicalonkan untuk bertanding dua kerusi, Parlimen Bachok dan Dun Perupok.

Ia disifatkan tindakan yang melambangkan Awang Adek tidak yakin untuk merampas Kelantan sehingga terpaksa bertanding dua kerusi.

"Jika tidak berjaya jadi MB Kelantan, boleh jadi menteri di peringkat Pusat, itu strateginya," kata seorang pemerhati politik mengulas tindakan itu.

10 kerusi sahaja tinggal

Menurut seorang wartawan akhbar harian yang bertugas di Kelantan, sehingga kini (26 Februari) Umno Kelantan hanya yakin untuk mempertahankan 10 kerusi Dun dari 45 yang ada.

Seorang rakan media luar negara yang bertugas di Kelantan untuk pilihan raya ini pula memberitahu Siasah, PAS akan menang di Kelantan kecuali berlaku penipuan.

"Mana tau Pak Lah arahkan Kelantan mesti menang juga," katanya.

Padahal, katanya, Pak Lah patut runsing dengan kedudukan negerinya, Pulau Pinang yang bakal jatuh ke tangan pembangkang itu.

"Pak Lah patut fokuskan jenteranya untuk menyelamatkan Pulau Pinang dari berusaha merampas Kelantan kerana pada pilihan raya 2004 dia telah berjaya rampas Terengganu. Kalau Kelantan kekal di tangan PAS pun bukan Pak Lah yang salah, itu pusaka Dr Mahathir," katanya.

SPR selamatkan Rafidah, calon BN bertanding atas ehsan MB Kelantan


IPOH, 26 Feb: PAS Perak menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelamatkan calon BN di Kuala Kangsar, Datuk Seri Rafidah Aziz selepas Rafidah tidak menandatangani borang pencalonannya.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang berkata, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai perkara ini dan satu lagi laporan akan dibuat untuk meminta polis menyiasat kenapa perkara ini boleh berlaku.

"Kita sedang mengkaji tindakan undang-undang ke atas SPR," kata Ahmad Awang dalam sidang medianya di pejabat PAS Perak dekat sini.

Di hari penamaan calon 24 Februari lepas, SPR mempamirkan dua borang pencalonan Rafidah, satu di luar dewean dan satu lagi di dalam. Kedua-duanya tidak ditandatangani Rafidah.

Namun selepas bantahan di buat, SPR menolak bantahan itu dengan berkata, borang asal yang disimpan SPR mempunyai tandatangan itu.

"Mana kita tahu dan borang itu tidakpun ditunjukkan. Mengikut peraturan pun, calon kena isi tiga borang bukan buat salinan dari borang asal. Ini bermakna, SPR yang selamatkan Rafidah," katanya kepada Siasah.

Menurut Ahmad Awang, ramai saksi yang melihat Rafidah mundar mandir keresahan dan bersungut dia terlupa menandatangani borang pencalonan itu.

Di PENGKALAN CHEPA, calon BN untuk Dun Cempaka, Datuk Dr Nik Zain juga tidak menandatangani borang itu dan dibantah oleh PAS.

Umno juga membantah borang pencalonan calon PAS, Datuk Nik Abdul Aziz, MB Kelantan dengan alasan nama datuk diletakkan pada pangkal namanya sedangkan nama asal dalam kad pengenalan yang perlu diletak.

Sebelum ini sudah ada kes yang sedemikian namun, SPR menganggap kesalahan meletak nama gelaran tidak mencacatkan borang itu.

Namun kerana bersemangat gentlemen, Siasah difahamkan, Nik Aziz sedia berlawan juga dengan calon Umno itu di situ. Dengan itu bantahan itu diselesaikan, kata seorang wartawan sebuah akhbar harian.

Jika benar maklumat ini, bermakna, Datuk Nik Zain dapat bertanding di Cempaka dengan ehsan MB Kelantan itu.

Keharuan nampak jelas di wajah Nik Zain selepas disahkan boleh bertanding dan beliau mengangis kerananya.

Sunday, February 24, 2008

13 Muslimat bertanding, satu sudah menang

KUALA LUMPUR, 24 Feb: Seorang calon Muslimat PAS telah mencatat sejarah apabila Wan Ubaidah Omar menang tanpa bertanding di Dun Kijang, Kelantan.

Selain beliau, seramai 12 lagi Calon Muslimat PAS telah diberikan tempat untuk bertanding di beberapa bahagian pilihan raya di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai lima orang adalah bagi memenangi kerusi Parlimen manakala selebihnya iaitu lapan orang ialah bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri.

Berikut adalah senarai penuh calon Muslimat PAS:

1.0 Ustazah Nuridah Mohd. Salleh, N.09 Tahan ( Pahang ), Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat/ Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan

2.0 Dr. Siti Mariah Mahmud P.111 Kota Raja ( Selangor ), Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat/ Pengerusi Lajnah Pengguna & Alam sekitar PAS Pusat/ Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat

3.0 Dr. Lo’ Lo’ Hj. Dato’ Ghazali P.119 Titiwangsa (Wilayah Persekutuan ) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat/ Pengerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat

4.0 Hajjah Azizah Khatib Mat N.24 Luit ( Pahang ) Muka Baru AJK PAS Pusat/ Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat/ Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Pahang

5.0 Hajjah Siti Zailah Mohd. Yusof P.23 Rantau Panjang ( Kelantan ) Muka Baru, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat/ Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan

6.0 Hajjah Wan Ubaidah Omar N.05 Kijang ( Kelantan ) Menang Tanpa Bertanding. Bendahari Dewan Muslimat PAS Pusat/ Pengarah jabatan Hal Ehwal Parlimen & DUN (HepDun)/ Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan

7.0 Dr. Halimah Ali Abdullah N.45 Selat Kelang ( Selangor ) Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat/ Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Pusat

8.0 Dr. Hajjah Najihatussalehah Hj. Ahmad P.069 Parit ( Perak ), Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat/ Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Pusat

9.0 Puan Rohani Ibrahim N.08 Tanjong Mas ( Kelantan ) Mempertahankan Kerusi Yang Disandang, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan

10.0 Ustazah Aishah Ghazali N.33 Merbau Pulas ( Kedah )
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah

11.0 Dr. Rohani Mutalib N.06 Jitra ( Kedah ), Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah

12.0 Hajjah Cikgu Asnah Hashim N.38 Bayan Lepas ( P. Pinang ), Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bayan Baru

13.0 Ustazah Siti Mariam Naam P.127 Jempol ( Negeri Sembilan ), Aktivis PAS.

3 Parlimen 5 Dun jadi sasaran

“Daripada lima kerusi Parlimen yang dipertandingkan oleh Calon Muslimat PAS, kita mensasarkan kemenangan sekurang-kurangnya bagi tiga kerusi Parlimen (Dewan Rakyat).,” kata Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi (gambar).

Seterusnya bagi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri yang Calon Muslimat pertandingkan, kita mensasarkan kemenangan sekurang-kurangnya 4-5 buah kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dewan Muslimat, katanya, mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan Bendahari Dewan Muslimat PAS Pusat iaitu Puan Hjh. Wan Ubaidah Omar (Bekas Senator Kerajaan Kelantan) kerana telah berjaya memenangi Kerusi DUN (N.05) Kijang di bawah Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Kemenangan awal ini sesungguhnya akan menjadi pendorong kepada semua Calon Muslimat PAS PRU-12 yang lain untuk gigih bekerja bagi mencapai kemenangan mutlak Calon PAS dalam PRU-12 yang akan berlangsung pada 8 Mac 2008 nanti,” katanya.

Secara keseluruhannya, kata beliau lagi, jika tanpa sebarang penipuan dalam perjalanan pilihan raya umum kali ini, Dewan Muslimat PAS yakin dan percaya kita akan mampu mengambil alih semula Terengganu, menubuhkan kerajaan negeri di Kedah dan Perlis serta mencatat kemenangan dan mempertahankan Kerajaan PAS di negeri Kelantan.

Semua ini adalah berdasarkan kepada peningkatan prestasi dan tumpuan gerak kerja jentera pilihan raya Muslimat iaitu HalWa di seluruh negara yang telah sempat saya lawati dalam tempoh kurang lebih seminggu yang lepas, katanya.

Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku unsur-unsur penipuan ; sasaran kejayaan ini mungkin akan berubah secara drastic, tambah beliau.

Justeru, DMPP menyeru seluruh jentera pilihan raya Barisan Alternatif (PAS dan keADILan) khususnya Muslimat dan Wanita agar tidak leka dan terus bekerja dengan lonjakan berlipat kali ganda bagi memastikan kemenangan calon-calon rakyat ini.

“Keangkuhan Regim Barisan Nasional mesti terus kita gempur. Kezaliman dan penindasan Regim Barisan Nasional mesti terus kita hebahkan kepada rakyat. Propaganda jahat mereka melalui saluran media cetak dan elektronik arus perdana mesti terus kita bantah dan suarakan ketidakadilan itu kepada serendah-rendah rakyat sehinggalah kepada setinggi-tinggi pimpinan dalam negara ini iaitu Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong,” kata beliau.

DMPP, katanya, yakin dan percaya bahawa Regim Barisan Nasional akan tumbang akhirnya dengan kerjasama yang erat dan ikhlas di kalangan semua parti-parti pembangkang dan badan-badan NGO’s yang mendokong hasrat bersama.

DMPP turut menyeru agar petugas-petugas jentera pilihan raya PAS khususnya HalWa memainkan peranan secara berkesan mendampingi dan menyampaikan maklumat serta penerangan berkaitan tawaran-tawaran PAS kepada para pengundi di seluruh negara. Hadapi mereka dengan tabah, sabar dan berani.

“Pada masa yang sama, rafa’kan doa semulusnya kepada Allahu Akbar kerana sesungguhnya kerajaan (kuasa pemerintahan) itu hanya milik Allah. Sirru ’ala barakatiLlah,” katanya.

Gambar-gambar sekitar penamaan calon di Kepala Batas




Keterangan gambar dari atas, Abdullah Ahmad Badawi dan Subri Arshad semasa disahkan pencalonan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Calon Dewan Undangan Negeri Penaga, Tapiudin Hamzah. Penyokong-penyokong PAS di luar Dewan Milenium, Kepala Batas. Penyokong dan ahli Parti Mahasiswa Negara. Ikuti fokus laporan Pulau Pinang dalam Siasah keluaran akan datang.



PAS dakwa duti setem ditarik balik untuk selamatkan BN

KUALA TERENGGANU, 24 Feb: Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik balik di saat akhir arahan mewajibkan semua calon menyertakan borang pengesahan pencalonan dengan duti setam RM10 disifatkan sebagai usaha untuk menyelamatkan calon BN.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, SPR tahu ramai calon BN tidak akan dapat menunaikan syarat tersebut.
Bagi beliau, SPR sudah menjadi 'robot' Umno.

Katanya, BN menghadapi krisis calon dan sehingga malam tadi barulah urusan mengisi borang-borang calon BN selesai.
Menurutnya, jika syarat ini diteruskan nescaya ramai calon BN akan ditolak.
"Untuk selamatkan calon Umno/BN, arahan telah dikeluarkan kepada SPR untuk gugurkan arahan tersebut," tegasnya.
Beberapa hari menjelang pilihan raya, SPR memasukkan satu syarat baru iaitu mewajibkan semua calon hendaklah mengesahkan borang pencalonan mereka melalui pesuruhjaya sumpah dan memasukkan setem RM10 cukai hasil.

Namun ia mendapat bantahan dari PAS dan lain-lain dengan menyifatkan ianya langkah yang tidak lojik. Namun, SPR bertegas. Tetapi semalam, melalui kenyataan lisan, arahan itu ditarik balik.

"Semasa perjumpaan dengan kita pada 21 Februari lalu, SPR kata wajib matikan setem pada borang tersebut, kita jadi kelam kabut kerana tinggal tiga hari lagi penamaan calon, malah SPR mensyaratkan cop yang 'original', tetapi hari ini, sama ada matikan setem atau tidak, kedua-dua boleh. Bila saya tanya SPR, mereka jawab 'Ini arahan lisan terbaru'," ujar calon PAS Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali ketika berucap sebaik sahaja keluar dari pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Aminuddin Baki.

Beliau membuat bantahan terhadap calon BN di situ kerana tidak matikan setem pada borang pencalonannya.

Dalam pilihan raya 2004 lalu, SPR memaklumkan bangsal panas untuk parti-parti politik berhampiran pusat mengundi tidak lagi dibenarkan. Maklumat itu dibuat SPR melalui taklimat mereka kepada parti-parti politik.

Namun, menjelang pilihan raya, arahan ini ditarik balik dan dibenarkan. Namun, parti pembangkang mengetahui perkara ini terlalu hampir dengan waktu pilihan raya.

Kesannya, pada hari mengundi mereka menjadi kelab kabut apabila melihat BN menyediakan bangsal panas yang mereka difahamkan ia tidak boleh sebelum ini.

Selepas menyemak dengan SPR baru mereka tahu ianya telah dibenarkan semula.

Mampukah Puteri Reformasi tewaskan Sharizat

KUALA LUMPUR, 24 Feb: "Selamat datang ke arena politik sebenar" kata Datuk Sharizat Jalil kepada ibu muda yang belumpun mencecah umurnya 30 tahun sebaik sahaja masing-masing selesai menyerahkan borang penamaan calon Komplek Sukan Bangsar.
Sharizat bukanlah nama kecil dalam dunia politik tanah air, penglibatan Timbalan Ketua Wanita Umno ini dalam arena politik bermula pada tahun 1982 dan telah tiga penggal menjadi ahli parlimen.

Sepanjang tempoh itu, beliau telah menyandang pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan sehingga yang terakhir sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.


Tetapi lawan beliau dalam pilihan raya kali ini bukan calang-calang orangnya.

Walaupun perbezaan umur begitu ketara antara mereka berdua, kehadiran Nurul Izzah Anwar sebagai calon bagi parlimen Lembah Pantai sudah pasti tidak boleh dipandang remeh.

Selain mempunyai pengalaman berjuang di era reformasi yang tentunya mematangkan anak sulung Bekas Timbalan Perdana Menteri ini dengan sepak terajang politik, faktor bapanya yang berikrar untuk membantu kempen beliau bakal meletakkan Sharizat dalam keadaan tidak selamat di kerusi parlimen yang sudah hampir 15 tahun beliau duduki itu.

Kedua-duanya telah sampai ke pusat penamaan calon kira-kira jam 8.30 pagi tadi dengan diiringi penyokong masing-masing. Sharizat yang sampai terlebih dahulu datang dengan memakai baju biru gelap menjadi orang pertama menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai SPR.

Manakala Izzah berbaju kebaya yang datang bersama suaminya menjadi orang kedua menyerahkan borang pencalonan. Proses penamaan calon berjalan lancar dengan kehadiran seorang calon bebas, N Periasamy yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di Lembah Pantai.

Fokus khas Parlimen Lembah Pantai dalam akhbar Siasah keluaran akan datang

Gombak gelanggang paling sengit BA - BN di Selangor


KUALA LUMPUR, 24 Feb: Kehadiran ribuan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Barisan Alternatif (BA) mengiringi calon-calon mereka kepusat penamaan calon pagi tadi memberi gambaran jelas parlimen Gombak merupakan antara kawasan pilihan raya yang diketogarikan kawasan panas.

Apa lagi BA memerlihatkan keazaman untuk menguasai bukan sahaja kerusi parlimen malahan mahu menguasai ketiga-tiga DUN yang terletak dalam parlimen tersebut dengan menampilkan calon-calon besar dalam parti dan berwibawa.

PAS yang menghantar calon bagi kerusi DUN Gombak Setia dan Hulu Klang masing-masing telah meletakkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali dan Aktivis Shaari Sunggib sebagai calon manakala parti Keadilan Rakyat (PKR) mencalonkan Naib Presidennya, Azmin Ali bagi kerusi parlimen di situ disamping Pemimpin Angkatan Muda PKR, Amiruddin Shaari bagi DUN Batu Caves.

Manakala BN pula meletakkan Said Anuar Said Ahmad (Parlimen), Yuszahari Yusoff (DUN Gombak Setia), Ahmad Bujang (DUN Hulu Klang) dan T Mohan (DUN Batu Caves) bagi berhadapan dengan BA.

Seorang calon Bebas , Azmi Hussain juga telah dibenarkan bertanding selepas menghantar borang pencalonan bagi DUN Batu Caves yang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan Bebas.

Proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Sungai Pusu berjalan lancar walaupun keadaan agak panas dengan sorakan penyokong kedua-dua pihak. Tiada sebarang perkara tidak diingin berlaku dengan pengawasan ketat dari pihak polis.

Laporan Khas Parlimen Gombak dalam Siasah akan datang

PRESIDEN PAS: KEMENANGAN DI DUN KIJANG AKAN MENJANA KEMENANGAN BESAR


Pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah pun mengisytiharkan calon PAS, bekas Senator Wan Ubaidah bt Omar menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN N. 05 Kijang, Kelantan di Hari Penamaan Calon hari ini.

Kerusi DUN Kijang dalam parlimen Pengkalan Chepa ini dahulunya disandang oleh Naib Presiden PAS Dato Husam Musa, yang kini bertanding di DUN N.17 Salor.

Kemenangan awal 1-0 buat PAS dan Barisan Alternatif di Kelantan ini diyakini akan menyemarakkan lagi semangat dan iltizam para petugas dan penyokong parti untuk melipatgandakan lagi usaha mereka bagi memastikan kerajaan

"Membangun Bersama Islam" PAS Kelantan akan kekal untuk penggal yang kelima berturut-turut.

Presiden dan seluruh pimpinan serta ahli-ahli PAS bersyukur dan bergembira dengan perkembangan terbaru ini. Kemenangan yang dicapai oleh wakil Muslimat PAS ini mudah-mudahan akan menjadi inspirasi kepada semua tenaga Muslimat dan wanita PAS seluruh negara untuk memastikan kejayaan calon-calon PAS lain semasa Hari Mengundi pada 8 Mac nanti.
LIVE TERKINI 01.05 tengahari (refresh untuk mendapat yang terkini)

Pengkalan Chepa, SPR menolak bantahan calon PAS di Dun Cempaka walaupun borang pencalonan calon BN di situ tidak ditandatanganinya. Calon PAS di situ adalah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, MB Kelantan, calon BN adalah Dr Nik Mohd Zin.

Tumpat, Setiausaha Agung PAS, Datuk kamarudin Jaffar akan bertembung satu lawan satu dengan calon BN, Ashraf Wajdi Dusuki, sementara di Dun Pasir Pekan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato'Ahmad Yakob (PAS)n akan ditentang oleh calon BN, Mohd Noor Yaakob.

Sementa, calon BN menang tanpa bertanding di Dun Sementa selepas calon PKR gagal menyelesaikan borang 5Anya. Calon ganti PKR itu ditolak kerana borang pencalonannya tidak lengkap kerana tidak membayar duti setem. Calon asal PKR Suzaimi Salam tidak muncul hingga ke saat pencalonan ditutup. Ini adalah mangsa pertama peraturan saat akhir yang dibuat SPR..

Kuala Terengganu, Calon PAS Muhamad Sabu akan bertembung tiga penjuru dengan calon BN, Razali Ismail dan calon bebas, seorang nenek 89, Maimun Yusof.

Pengkalan Chepa, Wan Ubaidah, calon wanita PAS, diumumkan menang tanpa bertanding di Dun Kijang selepas kertas pencalonan calon BN Mustopha Ahmed ditolak. Yang lain semua satu lawan satu PAS dan BN.

Sabah, BN menang satu Parlimen dan dua Dun tanpa bertanding. Abdul Ghapur Salleh (Kalabakan - parliamen dan Ramlee Marbahan (Bugaya Sabah - Dun).

Marang, semua kerusi di Parlimen ini bertembung satu lawan satu antara calon BN dan PAS. Presiden PAS bertanding di Parlimen Marang (melawan Datuk Dr Ahmad Ramzi) dan Dun Rhu Rendang. Datuk Mustafa di DUN Alor Limbat.

Kepala Batas, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah berdepan satu lawan satu dengan calon PAS, Subri Arshad.

Titiwangsa, calon PAS, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali disahkan bertanding satu lawan satu dengan calon BN.

Cempaka, PAS membuat bantahan terhadap calon BN Dun Cempaka kerana tidak menandatangani borang pencalonan. Calon PAS di sini adalah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, MB Kelantan.

Sementa, Calon BN Abdul Rahman Palil menang selepas tiada calon pembangkang yang datang ke pusat penamaan calon. Kerusi ini sepatutnya ditandingi oleh PKR.

Sarawak, empat calon BN menang tanpa bertanding apabila tidak ada calon. Mereka adalah Joseph Entulu (Selangau), Alex Tinggi (Kapit), Norah Rahman (Tanjung Manis) dan Aaron Dagang (Kanowit).

Saturday, February 23, 2008

Dekati penyokong Umno yang diketepikan


KUALA TERENGGANU, 23 Feb: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali mengarahkan ahli PAS di negeri ini mendekati para pimpinan dan penyokong Umno dari kumpulan yang tidak dapat bertanding.

Kata beliau, kumpulan tersebut berpotensi untuk memberi sokongan kepada PAS dalam pilihan raya yang akan berlangsung 8 mac depan.

Dalam masa yang sama beliau melarang sama sekali ahli-ahli PAS mengambil kesempatan berlakunya pergolakan dalam Umno Terengganu ketika ini untuk menghina atau perli pemimpin dan penyokong Umno dari kalangan yang tidak dapat bertanding itu.

"Memang ramai pemimpin Umno yang kecewa, ada yang kita jumpa mereka dengan wajah yang penuh kekecewaan tetapi jangan gunakan peluang ini untuk hina mereka," kata beliau ketika berucap di majlis pidato perdana anjuran Badan Menuntut Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) dekat sini.

Mustafa yang juga pengarah pilihan raya PAS, berkata demikian ekoran kemelut yang melanda Umno terengganu ketika ini semakin meruncing ekoran berlakunya protes daripada pihak-pihak yang tidak dapat menjadi calon.

Perkembangan mutakhir menyaksikan ramai ahli Umno terus menerus berhimpun di perkarangan rumah Idris Jusoh untuk membuat bantahan.

Selain itu, kecaman terhadap Idris juga semakin hebat apabila rasa ketidakpuasan hati itu diluahkan melalui sebaran surat serta risalah kepada ahli-ahli Umno termasuk menggunakan kata-kata kesat terhadap Idris.

"Saya sendiri tidak sanggup untuk menyebut semula apa tohmahan mereka kepada Idris, bahasa yang digunakan sangat kasar," ulas Mustafa berhubung perkembangan tersebut.
Beliau mengakui turut menerima risalah-risalah tersebut dari penyokong-penyokong Umno yang ditemui.

Bagaimanapun Mustafa mengingatkan para penyokong PAS supaya tidak leka dengan perkembangan tersebut sebaliknya meminta terus mempertingkatkan kerja menghadapi pilihan raya.

Turut berucap dalam dalam majlis pidato itu ialah Presiden PAS, Datok Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Muhammad Sabu dan Ketua Agkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Md Akin.

Pidato Perdana diadakan di Kuala Terengganu bagi mengantikan program perhimpunan besar-besaran anjuran Bersih di Kuala Terengganu yang telah dibatalkan.

Sebelum ini, Bersih merancang untuk mengumpulkan rakyat seramai mungkin untuk terus mendesar SPR melakukan perubahan dan menuntut beberapa perkara kepada kerajaan.


Pada awalnya program tersebut dirancang di Kuala Lumpur pada 23 Febuari tetapi terpaksa berpindah ke Kuala Terengganu kerana tidak dibenarkan menggunakan mana-mana stadium di sana.
Di Kuala Terengganu pula, program dirancang selama sehari di pantai Batu Burok dengan pelbagai aktivi dan berakhir dengan satu himpunan di tengah bandar Kuala Terengganu.

Bagaimanapun program yang mendapat perhatian media-media antarabangsa itu hanya diteruskan dengan pidato perdana berhampiran sebuah markas PAS di Cabang Tiga Kuala Terengganu.

Friday, February 22, 2008

Ahmad Awang tidak bertanding untuk beri tumpuan kepada kemenangan


IPOH, 22 Feb: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang mengambil keputusan untuk tidak akan bertanding sebarang kerusi dalam pilihan raya umum kali ini untuk membolehkan beliau memberikan sepenuh tumpuan bagi memastikan PAS negeri itu menang sebanyak mungkin kerusi.

Turut tidak bertanding sebarang kerusi adalah Timbalan Pesuruhjaya yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak, Haji Asmuni Awi dan Bendahari PAS Perak, Haji Abdul Rahim Mohd Arif.

"Kami bertiga akan memastikan PAS Perak memenangi sebanyak mungkin kerusi dalam pilihan raya kali ini," kata Ahmad Awang yang juga Naib Presiden PAS kepada Siasah.

PAS Perak, katanya, menjadikan sasaran 10 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen untuk dimenangi dalam pilihan raya kali ini.

"Kami sasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 10 dari 21 kerusi DUN yang kami tandingi kali ini dan sekurang-kurangnya dua dari tujuh kerusi Parlimen yang kami tandingi," kata Ahmad Awang.
Sebelum ini, Ahmad Awang disebut-sebut akan bertanding Dun Gunung Semanggul namun bertindak menyerahkannya kepada Yang Dipertua PAS kawasan berkenaan, Ustaz Ramli Tusin untuk bertanding.

Kawasan Dun yang disasarkan oleh Perak untuk dimenangi adalah Gunung Semanggul, Selinsing, Titi Serong, Kubu Gajah, Trong, Pengkalan Baru, Pasir Panjang, Rungkup, Lubuk Merbau dan Belanja.

Kawasan Parlimen pula adalah Parit yang bakal ditandingi oleh Dr Najihatusolehah dan Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof.

PAS Kelantan kemuka ramai muka baru

KOTA BHARU, 22 Feb: PAS Kelantan meletakkan 24 muka baru untuk memperkuatkan parti itu di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

Antaranya seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Dr Fadzli Datuk Hassan (gambar) dibawa untuk bertanding di Dun Temangan manakala di Tendong, seorang bekas pensyarah UKM, Dr Muhamad Daud dipilih.

Lain-lain muka baru adalah Kadok (Haji Azami Mohd Nor), Kemuning (Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman - gambar bawah) dan Gual Periok (Mohamad Awang).

Bekas anggota Parlimen Peringat, Ustaz Muhamad Mustapha dipilih untuk bertanding di Demit bagi menggantikan ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Mohamad Daud Iraqi yang tidak bertanding.

Bekas senator, Wan Ubaidah dipilih oleh PAS untuk bertanding di Kijang, tempat Datuk Husam Musa sebelum ini. Husam akan bertanding di Salor bagi menggantikan Buni Amin.

Untuk Parlimen pula, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa akan bertanding di Bachok berdepan Datuk Dr Awang Adek, Datuk Wan Abdul Rahim (Kota Bharu berdepan dengan Fatmi Che Salleh), Zailah Yusof (Rantau Panjang) dan Muhamad Husin di Pasir Puteh dan Dr Hatta Ramli di Kuala Krai.

Datuk Kamarudin Jaffar kekal di Tumpat begitu juga Datuk Abdul Halim Rahman kekal di Pengkalan Chepa.

Manifesto PAS Terengganu: Islam berdaulat rakyat sejahtera

KUALA TERENGGANU, 22 Feb: PAS Terengganu mengemukakan menifesto bertema Islam berdaulat rakyat sejahtera yang mengandungi 15 perkara sebagai tawaran kepada rakyat negeri itu dalam pilihan raya umum kali.

Antaranya adalah untuk memartabatkankan Terengganu sebagai negeri berkebajikan. Untuk itu, PAS berjanji untuk mengembalikan hak royalti petroleum kepada rakyat negeri itu.

Dasar pemberian tanah untuk rakyat juga akan dilaksanakan semula oleh kerajaan negeri apabila PAS diberikan mandat untuk mentadbir negeri itu di samping sistem tender untuk semua kawasan balaknya.

Untuk wanita pula, PAS berjanji untuk melantik wakil wanita untuk menganggotai Dewan Undangan Negeri.

Untuk belia, PAS berjanji untuk mengadakan ‘Tabung Belia Sejahtera’.

Untuk bukan Islam pula, mereka berjanji untuk menjamin kebebasan mereka dalam mengamalkan agama dan budaya masing-masing di samping melantik wakil bukan Islam untuk menganggotai Dewan Undangan Negeri.

PAS juga berjanji akan memudahkan kelulusan sebarang projek Kerajaan Pusat selagimana tidak menjejaskan kepentingan rakyat dan negeri itu.

Khairy di Jelebu, Nurul Izzah di Lembah Pantai, Po Kuan kembali


KUALA LUMPUR, 22 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan menantunya, Khairy Jamaludin Abu Bakar bertanding di Parlimen Rembau, Negeri Sembilan.

Nama Khairy diumumkan petang tadi oleh MB Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Hassan.

Pengumuman hari ini dibuat selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan anaknya, Nurul Izzah akan bertanding di Lembah Pantai melawan Sharizat Jalil.

Pengerusi DAP, Karpal Singh pula mengesahkan Fong Po Kuan akan bertanding semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 di kawasan yang sama iaitu Parlimen Batu Gajah.

Semalam, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa bersilat lidah mempertahankan Datuk Awang Adek yang bertanding dua kerusi (Dun dan Parlimen) di Kelantan sedangkan dia (Awang Adek) dikatakan bakal MB Kelantan jika BN menang.
Ini kerana, langkah itu seolah-olah menunjukkan BN tidak yakin akan merampas Kelantan.

Awang Adek sendiri yang berada dalam majlis yang sama memarahi seorang wartawan kerana bertanya soalan sedemikian rupa.

PAS Pahang sasar 15 kerusi Dun


Oleh KHAIRIL ABDUL RAHIM

TEMERLOH, 22 Feb: PAS dan BA mensasarkan kemenangan 15 kerusiDewan Undangan Negeri (Dun) di samping berjanji akanmenghantar wakil ke parlimen kali ini, kataPesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap dalam sidang media 21 Februari lalu ketikamengumumkan calon-calon PAS Pahang, Tuan Ibrahimberkata hasrat tersebut tidak sukar dilaksanakanmemandangkan terdapat banyak isu yang jikadiperjelaskan kepada rakyat, akan mendapat sokongan.

Seramai 27 calon PAS iaitu 6 parlimen dan 21 Dundiamanahkan untuk mewakili parti pada pilihan rayaumum ke 12, 8 Mac nanti.

“Dengan gabungan calon dari pelbagai latar belakangpendidikan dan kerjaya,, kita yakin pengundi mampumembuat pilihan terbaik demi kebajikan rakyat”,katanya.

Dalam pengumuman tersebut, tiga pemimpin PAS Pusatiaitu Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Saleh sertadua Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman danAzizah Khatib Mat diketengahkan bagi mendokong misiPAS Pahang dalam pilihan raya Umum 8 Mac ini.

Nuridah bertanding di Dun Tahan, manakala MazlanAliman di Parlimen Bera dan Azizah di Dun Luit.Lain-lain muka baru ialah, Roslan Zainal (PadangTengku), Ustaz Ishak Ghani (Pulau Tawar), Syed MuhamadTuan Lonni (Beserah), Syed Rahman Syed Husein(Inderapura).

Ishak Ahmad (Sungai Lembing), MujiburRahman Ishak (Chenor), Syed Hamid Muhamad (KualaSemantan), Othman Bakar (Pulau Manis) dan Hamdan Ahmad(Pelangai).

Bagi kerusi parlimen pula PAS mempertaruhkan KamalSaari (Kuala Krau), Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat,Nasruddin Hassan (Parlimen Maran), Dr Mohd NilamManaf (Lipis), Mazlan Mat Yasin (Rompin) serta DrHamzah Jaafar (Jerantut),Tuan Ibrahim sendiri kekal bertanding di Jengka, YusufEmbong (Pancing), Abu Kassim Manaf (Peramu Jaya).

Ahiatuddin Daud (Bebar), Rosli Jabar (Tanjung Lumpur),Hasanuddin Salim (Kerdau), Musanif Abdul Rahman(Guai), Shukri Ahmad (Bukit Ibam), Mohd Fadli Ramli(Tioman) dan Abdullah Suhaimi Saat (Batu Talam).

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialahPengerusi KeAdilan Rakyat (PKR) Pahang, Zakaria AbdulHamid.

Pak Lah terpaksa senarai orang Dr M untuk elak serangan

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan senarai calon-calon BN yang diumumkan kelmarin yang telah memperlihatkan bahawa Presiden Umno, Datuk seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa menolak bantahan jentera pilihan raya Umno demi menjaga kepentingan politik peribadi beliau.

Ketuanya, Salahudin Ayub berkata, apa yang menarik, beberapa calon yang dikekalkan merupakan orang kuat Tun Dr Mahathir yang kini menjadi musuh peribadi Pak Lah kerana bekas Perdana Menteri sering kali mengkritik kelemahan pentadbiran Pak Lah, termasuk dasar-dasar BN yang kini dilihat amat lemah oleh Dr Mahathir.

Dalam senarai calon BN sehingga hari ini, nama orang kuat Dr Mahathir yang dianggap ‘bermasalah’ tetapi dikekalkan untuk bertanding ialah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin di Shah Alam dan Datuk Johari Baharom di Kubang Pasu.
Manakala anak Dr Mahathir, Datuk Mukhriz pula dicalonkan di Jerlun. Seorang lagi orang kuat Dr Mahathir, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sehingga kini masih belum diputuskan kedudukannya walaupun telah ditolak oleh pemimpin utama Umno negeri.

Dr Mahathir semenjak bersara pada 2003 telah menyerang secara terbuka kelemahan pentadbiran Pak Lah termasuk dalam isu Proton, AP kereta mewah, pembatalan projek Jambatan Bengkok, penjualan pasir kepada Singapura, kelonggaran dasar luar di Wilayah Pembangunan Iskandar dan lain-lain.

Lebih menarik lagi apabila Dr Mahathir menggesa rakyat menolak pemimpin BN yang lemah, suka tidur dan tidak mempunyai idea. Dr Mahathir turut menggesa rakyat Kelantan mengekalkan pemerintahan PAS kerana BN tidak berkesan di bawah Pak Lah. Bekas Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa Pak Lah pernah berjanji untuk menjadi Perdana Menteri untuk satu penggal sahaja.

"Strategi terbaru Pak Lah ini menunjukkan kebimbangan yang amat sangat dalam kepala Presiden Umno sekiranya Dr Mahathir menyerang beliau secara terbuka dalam pilihan raya dan menyeru pengundi supaya menolak BN.

"Mencalonkan Datuk Mukhriz yang sudah ditolak oleh Umno Langkawi adalah satu langkah untuk menutup mulut Dr Mahathir kerana tidak mungkin beliau akan berkempen untuk mengalahkan anaknnya sendiri. Lebih dahsyat lagi apabila Datuk Aziz Shamsuddin, bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir dicalonkan semula di Shah Alam walaupun Umno Shah Alam secara terbuka telah menolak tokoh veteran itu.

"Di Kubang Pasu, Datuk Johari yang bermasalah dengan Ketua Polis Negara juga terpaksa dikekalkan memandangkan Dr Mahathir amat berpengaruh sebagai bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu," kata Salahudin dalam kenyataannya.

Pak Lah juga, katanya, menyedari bahawa pimpinan Umno Perlis terutama Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Azmi Khalid telah menolak kepemimpinan Shahidan. Radzi secara jelas memberitahu media bahawa Menteri Besar mesti ditukar dan krisis ini telah diketahui umum.

Sehingga malam semalam, dilaporkan sudah enam kali Shahidan turun naik JPM untuk berunding dengan Pak Lah. Perdana Menteri nampaknya keliru antara memenuhi kehendak orang kuatnya, Radzi atau mengekalkan status quo untuk mengelakkan serangan Dr Mahathir yang negeri yang PAS berpengaruh itu.
Apa yang jelas, katanya, kesanggupan Pak Lah untuk menutupkan mata dan telinganya terhadap kritikan dan bantahan ahli-ahli Umno bawahan semata-mata untuk mengelakkan beliau diserang oleh Dr Mahathir dalam pilihan raya ini.

Penolakkan ahli-ahli Umno terhadap orang Dr Mahathir tidak dipedulikan oleh Pak Lah termasuk tidak mencalonkan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang disebutkan akan dicalonkan di Shah Alam. Situasi pencalonan ini menunjukkan bahawa pengaruh Dr Mahathir masih kuat dalam Umno dan kebencian ahli-ahli Umno terhadap amalan mengagihkan kekayaan negara kepada kroni dan anak menantu pemimpin tertinggi Umno itu amat kuat.

Pak Lah bimbang jika menggugurkan orang Dr Mahathir, berlaku pertembungan pengaruh yang boleh menjejaskan peluang ekonomi kroni dan anak menantunya selepas pilihan raya. Bagi Pak Lah nampaknya, kepentingan poket kroni dan anak menantunya lebih utama daripada perasaan dan kemahuan ahli-ahli Umno sendiri, dakwa beliau.

PAS kesal peraturan Akuan Berkanun di saat akhir

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Keputusan pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memperkenalkan peraturan baru iaitu mensyratakan semua calon-calon pilihan raya mengemukakan Akuan Berkanun (borang 5 atau 5A) dengan duti setem yang telah dibayar pada saat-saat akhir menjelang penamaan calon Ahad ini sangat dikesali.

Arahan yang dikeluarkan semalam iaitu tiga hari sebelum Hari Penamaan Calon ternyata menyukarkan calon-calon yang bakal bertanding, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

PAS, katanya, merasakan peraturan baru ini sangat tidak adil, sepatutnya jika SPR perlu sangat memperkenalkan sebarang peraturan baru ianya perlulah diumumkan sejurus selepas Parlimen dibubarkan, dan tidak di saat-saat akhir seperti ini .

Sehubungan itu, PAS mengharapkan pihak SPR tidak akan memperkenalkan lagi apa-apa peraturan dan syarat baru seumpama ini sepanjang tempoh pilihan raya kali ini dan membenarkan semua parti-parti yang bertanding berkempen secara aman.

Peraturan dan syarat yang menyusahkan calon dan parti-parti yang bertanding sesungguhnya menyumbang kea rah kepincangan dan ketempangan sistem pilihan raya kita yang sudah pun sedemikian.

NEGARA BERKEBAJIKAN : TAWARAN PAS KEPADA RAKYAT

Setiap kerajaan mempunyai falsafah pentadbiran dan pemerintahannya masing-masing. Ia menjadi asas kepada semua keputusan dan tindakan yang diambil. Kerajaan Malayia sekarang ini menggunakan falsafah Negara Pembangunan (Development State) yang meletakkan pembangunan untuk kecemerlangan fizikal sebagai keutamaan.

PAS menawarkan sebuah pemerintahan menggunakan falsafah Negara Berkebajikan yang mengutamakan pembangunan untuk kebajikan rakyat awam. Bagi Pilihanraya Umum ke 12, PAS memperteguhkan tawarannya kepada rakyat untuk bersama-sama bersatu dan berjuang menegakkan sebuah Negara Berkebajikan.

Konsep dan definisi

Negara Berkebajikan didefinisikan sebagai:

"Sebuah Negara yang mengutamakan kebajikan dan keselesaan rakyat sebagai agenda utama pembangunan negara". Negara Berkebajikan mementingkan pembangunan, tetapi matlamat nya ialah kesejahteraan rakyat kebanyakan.

Ciri-ciri Negara Berkebajikan

Negara Berkebajikan:

1) Tujuan utama pembangunan adalah bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam
2) Kerajaan adalah "guardian" atau Penjaga (ibu-bapa) kepada rakyat
3) Penekanan kepada kecemerlangan moral dan nilai keinsanan (Ethic and human
centric)
4) Kebendaan adalah modal, pembangunan insan adalah matlamat
5) Kesaksamaan asas di kalangan semua rakyat dipastikan, kecemerlangan individu di galakkan
6) Kebajikan rakyat adalah tanggungjawab negara
7) Rakyat sejahtera, negara makmur

Negara Berkebajikan PAS selaku "ibu-bapa" kepada rakyat tidak akan menganggap program kebajikan dan subisidi rakyat, yang tidak mempunyai pulangan keuntungan (dalam bentuk wang ringgit) sebagai satu bebanan atau kerugian, bahkan ia merupakan satu tnaggungajawab. Kerajaan UMNO/BN pula menganggap program kebajikan dan subsidi sebagai satu bebanan yang seboleh mungkin mahu dipertangungkan ke atas bahu rakyat.

Sejarah

Dari segi sejarah, model Negara Berkebajikan sebenar yang menjadi rujukan dan panduan PAS telah dilaksanakan di sepanjang peradaban manusia. Ia termasuklah pemerintahan Mesir dari seerah Nabi Yusuf a.s, kerajaan Nabi Sulaiman a.s, dan pemerintahan Rasulullah saw, sehingga pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz. Kesemua ini menjadi asas kepada Negara Berkebajikan yang diperjuangkan PAS. Walaupun negara-negara Eropah seperti Jerman, Belanda, Perancis, Sweden, dan United Kingdom mengenengahkan Konsep "Welfare State" selepas Perang Dunia Ke-2, namun ianya hanya bersesuaian dengan sebahagian daripada konsep Negara Berkebajikan PAS.

Konsep Negara Pembangunan yang dibawa oleh UMNO/BN terlalu mengutamakan pembangunan dan kemasyhuran fizikal. Ini dapat disaksikan dengan projek-projek mega seperti Monsoon Cup, Masjid Kristal (bukan tempat ibadah tetapi untuk tarikan pelancong semata-mata), Pertandingan Formula 1, Pesta Philharmonic Malaysia, 4 jet peribadi pemimpin tertinggi, dan Kompleks Bunga Raya di KLIA. Ini adalah antara banyak projek mega kerajaan UMNO/BN yang jelas tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat kebanyakan.

Bagi Negara Berkebajikan PAS, bukannya imej negara tidak penting, tetapi kebajikan semua rakyat lebih diutamakan

Tawaran PAS menjadikan Malaysia sebuah
Negara Berkebajikan


Sebagai memenuhi agenda pemerintahan PAS untuk Malaysia Negara Berkebajikan , PAS menawarkan kepada semua lapisan rakyat Malaysia pelbagai program berkebajikan berkonsepkan perkongsian sumber dengan kaedah perkhidmatan rakyat. Antaranya ialah:

1) Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi (penghapusan semua yuran pengajian)
2) Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional bagi setiap rakyat yang tidak mempunya perlindungan kesihatan majikan
3) Mengembalikan semula pemberian biasiswa seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan
4) Menurunkan harga petrol dan gas.
5) Merapatkan jurang agihan kekayaan antara golongan kaya-miskin
6) Melaksanakan akta gaji minima
7) Memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan cuti kebapaan 7 hari


Penegasan dan Gesaan

Berdasarkan fakta-fakta di atas, PAS dengan ini membuat gesaan dan rayuan kepada rakyat Malaysia agar memulakan perubahan daripada pemerintahan UMNO yang mengutamakan pembangunan untuk kemegahan imej negara, kepada Pemerintahan PAS yang bercirikan Negara Berkebajikan yang mengutamakan pembangunan bagi kebajikan rakyat Malaysia keseluruhannya.


21 Febuari 2008

DATO' SERI ABD. HADI AWANG
Presiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Husam hantar surat nasihat kepada Bernama minta tarik berita

KOTA BHARU, 22 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menghantar surat peguam kepada Bernama menuntut agensi berita kebangsaan itu agar memperbetulkan laporan mereka berkaitan dengan manifesto negara berkebajikan PAS.

Tindakan ini dibuat ekoran langkah Bernama menyiarkan laporan bertajuk "PAS akui tidak mampu wujudkan negara kebajikan" dan disiarkan oleh hampir kesemua media semalam.

Husam menunjukkan sekali lagi rakaman kenyataan beliau sebelum ini kepada media yang dirakamkan oleh Tvpas.com.

"Laporan itu tidak tepat dan bertujuan serong dan tidak baik. Saya dah berulang kali sebut media harus harus memainkan peranan secara profesional. Kami ada salinan video rakaman di sini, saya harap Bernama dapat perbetulkan berita itu begitu juga akhbar-akhbar yang menyiarkan berita itu," kaya Husam.

Menurut Husam, dia berkata, jika diberikan peluang, PAS akan laksanakan manifesto berkenaan.

"Objektif pertama kita mengurangkan majoriti BN jika sekira rakyat beri peluang mentadbir, kita berpeluang melaksanakan manifesto tersebut.

"Saya melalui Hisham Fauzi Associate telah menghantar surat nasihat agar berita itu ditarik balik," katanya.

Kenyataan media: Presiden PAS kesal dengan laporan Berita Harian

PARTI Islam Se Malaysia (PAS) telah melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke 12 ini dengan tema: Kerajaan Beramanah Adil dan Bersih - Menuju Negara Berkebajikan semalam.

PAS telah menjemput semua wakil media tempatan termasuklah beberapa agensi berita antarabangsa yang turut hadir kerana masih yakin yang media massa di Malaysia masih ada ruang untuk membuat laporan yang seimbang dan tidak berat sebelah.

Sungguhpun PAS tidak pernah mahu mengawal kebebasan media, tetapi sikap media yang berat sebelah apalagi cuba memfitnah dan meburuk-burukkan parti dengan agenda tertentu sangatlah dikesali.

Dalam akhbar Berita Harian hari ini dimuka 11 di bawah tajuk "Calon pembangkang terpaksa berpindah randah, penulis artikel (Abdul Halim Yusoff, Faiza Zainudin dan Nazura Ngah) telah menulis:

Tetapi pada sidang media di pejabat PAS Pusat, Jalan Raja Laut, di ibu negara semalam Abdul Hadi dengan bongkak ,meskipun secara berjenaka, mempelawa Perdana Menteri untuk bertanding di Parlimen Marang, kononnya bagi menetukan siapa lebih hebat.

Pengunaan istilah "bongkak" disini memberi gambaran yang sangat negatif dan buruk terhadap Presiden PAS sedangkan semasa sidang media tersebut, Presiden PAS ternyata sekadar berjenaka dan tidak pun "bongkak" sebagaimana yang dituduh itu.

PAS Pusat memiliki rakaman video penuh majlis tersebut dan ternyata laporan Berita Harian itu berniat jahat dengan cuba memberikan imej buruk terhadap Presiden PAS dan parti itu sendiri.
Dalam hal ini saya hairan kenapa ketika Perdana Menteri yang juga Presiden Umno pada 14 Febuari lalu menyebut:

Ertinya dia (Presiden PAS) tidak yakin dah, dia kata dia nak ambil balik Terengganu tapi lari nak pi tempat lain. Apa cakap macam ni? Ertinya dia tidak boleh menang di Terengganulah tu, nak cari kawasan lain.

Tidak pula Berita Harian melaporkan yang Perdana Menteri dan Presiden Umno mengeluarkan kenyataan itu dengan bongkak meskipun secara berjenaka.

PAS sangat menghormati dan mengharagi peranan para wartawan khasnya dalam membuat liputan terhadap Pilihan Raya Umum ini, namun jangalah mereka membenarkan diri mereka diperalatkan sehingga tergamak melakukan fitnah sehingga menjejaskan proses demokrasi itu sendiri.

Buatlah laporan dengan adil, saksama, dan benar semoga rakyat negara kita kelak dapat memperolehi maklumat sebenar dan membuat keputusan sebaik-baiknya semasa mengundi nanti.

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
Setiausasah Akhbar kepada Presiden PAS22 Febuari 2008

Thursday, February 21, 2008

Kajian sahkan Pulau Pinang pusat pertempuran PRU-12

PULAU PINANG, 21 Feb: Laporan Siasah sebelum ini, Pulau Pinang menjadi pusat pertempuran dalam pilihan raya umum ke 12, telah disahkan oleh kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre dengan sebuah akhbar harian.

Kajian yang dibuat oleh mereka mendapati dari 12 komponen kajian yang mereka buat, hanya tiga sahaja yang rakyat berpuashati manakala sembilan lagi rakyat tidak berpuashati dengannya.

Ini bermakna, BN mempunyai kerja yang sangat berat untuk mengekalkan negeri itu berdasarkan sentimen rakyat Pulau Pinang yang ada.

Namun, sebuah akhbar harian, dalam beritanya memanipulasi berita tersebut secara yang amat tidak profesional.

Sebelum ini, Siasah melaporkan, Pulau Pinang menjadi pusat pertempuran antara pembangkang dengan BN dalam PRU-12 ini bukannya Kelantan atau Terengganu sebagaimana yang cuba ditonjolkan oleh media BN sekarang.

Selain ketidakpuasan hati rakyat terhadap BN, negeri itu juga adalah negeri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Jatuhnya Pulau Pinang kepada pembangkang bermakna ia satu tamparan hebat kepada Presiden Umno itu sendiri.

Ia bakal memberi kesan kepada Abdullah dalam pemilihan Umno hujung tahun ini.
Pulau Pinang juga bakal menjadi pusat kempen untuk PKR dan DAP apabila pemimpin kedua-dua parti itu juga berkampung di sana.

Kajian Merdeka Center mendapati majoriti respondan tidak berpuashati terhadap sembilan dari 12 kategori kehidupan di Pulau Pinang iaitu harga barang, ekonomi, pendapatan anda, kadar jenayah, kadar masalah sosial, kadar rasuah, layanan kerajaan terhadap bangsa anda, kualiti pemimpin nasional, keadaan trafik dan rumah mampumilik.

Yang paling tidak mereka puas hati adalah kadar jenayah iaitu 79% manakala yang berpuashati hanya 18% sahaja.
Yang kedua adalah harga barang iaitu 77% manakala yang berpuashati hanya 21% sahaja.
Selain itu, mereka juga tidak berpuashati dengan kadar masalah sosial (74%), kadar rasuah (66%), keadaan trafik dan rumah mampu milik (61%) dan ekonomi (58%).

Majoriti mereka hanya berpuashati kepada tiga perkara sahaja iaitu pengangkutan awam iaitu 53% berbanding 34% yang tidak berpuashati, 69% berpuashati dengan pendidikan manakala 26% tidak berpuashati dan 52% berpuashati dengan kualiti pemimpin nasional manakala yang tidak berpuashati 37%.

Penyokong Umno demonstrasi, buang bendera tanda protes


MARANG, 21 Feb: Ekoran tidak dicalonkan semula untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 8 Mac ini, para penyokong Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman bertindak menurunkan bendera Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tindakan itu diambil sebaik sahaja mereka mengetahui Abdul Rahman tidak disenaraikan dalam pengumuman calon yang dibuat oleh Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, Rabu lalu.Beliau digugurkan daripada bertanding mana-mana kerusi termasuk untuk mempertahankan semula Parlimen Marang yang dimenanginya pada PRU ke-11 lalu.

Pada pilihan raya itu, beliau digelar giant killer kerana berjaya menewaskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah tiga penggal memenangi kerusi Parlimen berkenaan.

Kemenangan itu sekaligus mengukuhkan kedudukannya dalam politik apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di samping berjaya menduduki Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti pada 2004.


Abdul Rahman dalam reaksi awal melahirkan rasa terkejut apabila mengetahui namanya tidak tersenarai sebagai calon dalam PRU ke-12 dan digantikan dengan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Baginya, keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan negeri khasnya Idris selaku Pengerusi Perhubungan Umno negeri adalah satu penafian terhadap kewibawaannya sebagai seorang daripada pemimpin utama Umno negeri.


Sehubungan itu, beliau mengungkitkan mengenai beberapa jawatan utama Umno yang disandangnya termasuk ketua bahagian Marang, Ahli Majlis Tertinggi dan yang lebih utama ialah timbalan menteri yang baginya adalah tidak patut Idris mengetepikan begitu sahaja.

"Saya sedia menerima keputusan ini tetapi tidak bagi rakyat. Mereka berkumpul di rumah saya dan menyatakan rasa terkilan mereka mengapa saya tidak terpilih bertanding. Memang saya berasa amat terkejut tetapi apa yang lebih penting berita ini amat mengecewakan seluruh rakyat Terengganu dan mereka tentu sukar menerima kenyataan tersebut khususnya penduduk di kawasan saya," katanya kepada sebuah akhbar harian berhubung perkara itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...