Friday, February 22, 2008

Ahmad Awang tidak bertanding untuk beri tumpuan kepada kemenangan


IPOH, 22 Feb: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang mengambil keputusan untuk tidak akan bertanding sebarang kerusi dalam pilihan raya umum kali ini untuk membolehkan beliau memberikan sepenuh tumpuan bagi memastikan PAS negeri itu menang sebanyak mungkin kerusi.

Turut tidak bertanding sebarang kerusi adalah Timbalan Pesuruhjaya yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak, Haji Asmuni Awi dan Bendahari PAS Perak, Haji Abdul Rahim Mohd Arif.

"Kami bertiga akan memastikan PAS Perak memenangi sebanyak mungkin kerusi dalam pilihan raya kali ini," kata Ahmad Awang yang juga Naib Presiden PAS kepada Siasah.

PAS Perak, katanya, menjadikan sasaran 10 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen untuk dimenangi dalam pilihan raya kali ini.

"Kami sasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 10 dari 21 kerusi DUN yang kami tandingi kali ini dan sekurang-kurangnya dua dari tujuh kerusi Parlimen yang kami tandingi," kata Ahmad Awang.
Sebelum ini, Ahmad Awang disebut-sebut akan bertanding Dun Gunung Semanggul namun bertindak menyerahkannya kepada Yang Dipertua PAS kawasan berkenaan, Ustaz Ramli Tusin untuk bertanding.

Kawasan Dun yang disasarkan oleh Perak untuk dimenangi adalah Gunung Semanggul, Selinsing, Titi Serong, Kubu Gajah, Trong, Pengkalan Baru, Pasir Panjang, Rungkup, Lubuk Merbau dan Belanja.

Kawasan Parlimen pula adalah Parit yang bakal ditandingi oleh Dr Najihatusolehah dan Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof.

1 comment:

FARREL said...

saya menyokong penuh tindakan Ustaz Ahmad Awang..
sewajarnya Tuan Guru Nik Aziz b. NIk Mat mengikut jejak langkah beliau!! Tahniah Ustaz Ahmad Awang, saya percaya tindakan ini miliki agenda tersirat yng mungkin berniat untuk menyindir Tuan Guru Nik Aziz yang terlalu lama memegang tampuk pemerintahan..

Sewajarnya PAS mencontohi MCA yang menghadkan tempoh 3 penggal kepada menteri2nya...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...