Friday, February 22, 2008

Kenyataan media: Presiden PAS kesal dengan laporan Berita Harian

PARTI Islam Se Malaysia (PAS) telah melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke 12 ini dengan tema: Kerajaan Beramanah Adil dan Bersih - Menuju Negara Berkebajikan semalam.

PAS telah menjemput semua wakil media tempatan termasuklah beberapa agensi berita antarabangsa yang turut hadir kerana masih yakin yang media massa di Malaysia masih ada ruang untuk membuat laporan yang seimbang dan tidak berat sebelah.

Sungguhpun PAS tidak pernah mahu mengawal kebebasan media, tetapi sikap media yang berat sebelah apalagi cuba memfitnah dan meburuk-burukkan parti dengan agenda tertentu sangatlah dikesali.

Dalam akhbar Berita Harian hari ini dimuka 11 di bawah tajuk "Calon pembangkang terpaksa berpindah randah, penulis artikel (Abdul Halim Yusoff, Faiza Zainudin dan Nazura Ngah) telah menulis:

Tetapi pada sidang media di pejabat PAS Pusat, Jalan Raja Laut, di ibu negara semalam Abdul Hadi dengan bongkak ,meskipun secara berjenaka, mempelawa Perdana Menteri untuk bertanding di Parlimen Marang, kononnya bagi menetukan siapa lebih hebat.

Pengunaan istilah "bongkak" disini memberi gambaran yang sangat negatif dan buruk terhadap Presiden PAS sedangkan semasa sidang media tersebut, Presiden PAS ternyata sekadar berjenaka dan tidak pun "bongkak" sebagaimana yang dituduh itu.

PAS Pusat memiliki rakaman video penuh majlis tersebut dan ternyata laporan Berita Harian itu berniat jahat dengan cuba memberikan imej buruk terhadap Presiden PAS dan parti itu sendiri.
Dalam hal ini saya hairan kenapa ketika Perdana Menteri yang juga Presiden Umno pada 14 Febuari lalu menyebut:

Ertinya dia (Presiden PAS) tidak yakin dah, dia kata dia nak ambil balik Terengganu tapi lari nak pi tempat lain. Apa cakap macam ni? Ertinya dia tidak boleh menang di Terengganulah tu, nak cari kawasan lain.

Tidak pula Berita Harian melaporkan yang Perdana Menteri dan Presiden Umno mengeluarkan kenyataan itu dengan bongkak meskipun secara berjenaka.

PAS sangat menghormati dan mengharagi peranan para wartawan khasnya dalam membuat liputan terhadap Pilihan Raya Umum ini, namun jangalah mereka membenarkan diri mereka diperalatkan sehingga tergamak melakukan fitnah sehingga menjejaskan proses demokrasi itu sendiri.

Buatlah laporan dengan adil, saksama, dan benar semoga rakyat negara kita kelak dapat memperolehi maklumat sebenar dan membuat keputusan sebaik-baiknya semasa mengundi nanti.

ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
Setiausasah Akhbar kepada Presiden PAS22 Febuari 2008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...