Thursday, February 21, 2008

Penyokong Umno demonstrasi, buang bendera tanda protes


MARANG, 21 Feb: Ekoran tidak dicalonkan semula untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 8 Mac ini, para penyokong Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Abdul Rahman bertindak menurunkan bendera Umno dan Barisan Nasional (BN).

Tindakan itu diambil sebaik sahaja mereka mengetahui Abdul Rahman tidak disenaraikan dalam pengumuman calon yang dibuat oleh Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, Rabu lalu.Beliau digugurkan daripada bertanding mana-mana kerusi termasuk untuk mempertahankan semula Parlimen Marang yang dimenanginya pada PRU ke-11 lalu.

Pada pilihan raya itu, beliau digelar giant killer kerana berjaya menewaskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah tiga penggal memenangi kerusi Parlimen berkenaan.

Kemenangan itu sekaligus mengukuhkan kedudukannya dalam politik apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di samping berjaya menduduki Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti pada 2004.


Abdul Rahman dalam reaksi awal melahirkan rasa terkejut apabila mengetahui namanya tidak tersenarai sebagai calon dalam PRU ke-12 dan digantikan dengan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Baginya, keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan negeri khasnya Idris selaku Pengerusi Perhubungan Umno negeri adalah satu penafian terhadap kewibawaannya sebagai seorang daripada pemimpin utama Umno negeri.


Sehubungan itu, beliau mengungkitkan mengenai beberapa jawatan utama Umno yang disandangnya termasuk ketua bahagian Marang, Ahli Majlis Tertinggi dan yang lebih utama ialah timbalan menteri yang baginya adalah tidak patut Idris mengetepikan begitu sahaja.

"Saya sedia menerima keputusan ini tetapi tidak bagi rakyat. Mereka berkumpul di rumah saya dan menyatakan rasa terkilan mereka mengapa saya tidak terpilih bertanding. Memang saya berasa amat terkejut tetapi apa yang lebih penting berita ini amat mengecewakan seluruh rakyat Terengganu dan mereka tentu sukar menerima kenyataan tersebut khususnya penduduk di kawasan saya," katanya kepada sebuah akhbar harian berhubung perkara itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...