Saturday, February 23, 2008

Dekati penyokong Umno yang diketepikan


KUALA TERENGGANU, 23 Feb: Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali mengarahkan ahli PAS di negeri ini mendekati para pimpinan dan penyokong Umno dari kumpulan yang tidak dapat bertanding.

Kata beliau, kumpulan tersebut berpotensi untuk memberi sokongan kepada PAS dalam pilihan raya yang akan berlangsung 8 mac depan.

Dalam masa yang sama beliau melarang sama sekali ahli-ahli PAS mengambil kesempatan berlakunya pergolakan dalam Umno Terengganu ketika ini untuk menghina atau perli pemimpin dan penyokong Umno dari kalangan yang tidak dapat bertanding itu.

"Memang ramai pemimpin Umno yang kecewa, ada yang kita jumpa mereka dengan wajah yang penuh kekecewaan tetapi jangan gunakan peluang ini untuk hina mereka," kata beliau ketika berucap di majlis pidato perdana anjuran Badan Menuntut Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) dekat sini.

Mustafa yang juga pengarah pilihan raya PAS, berkata demikian ekoran kemelut yang melanda Umno terengganu ketika ini semakin meruncing ekoran berlakunya protes daripada pihak-pihak yang tidak dapat menjadi calon.

Perkembangan mutakhir menyaksikan ramai ahli Umno terus menerus berhimpun di perkarangan rumah Idris Jusoh untuk membuat bantahan.

Selain itu, kecaman terhadap Idris juga semakin hebat apabila rasa ketidakpuasan hati itu diluahkan melalui sebaran surat serta risalah kepada ahli-ahli Umno termasuk menggunakan kata-kata kesat terhadap Idris.

"Saya sendiri tidak sanggup untuk menyebut semula apa tohmahan mereka kepada Idris, bahasa yang digunakan sangat kasar," ulas Mustafa berhubung perkembangan tersebut.
Beliau mengakui turut menerima risalah-risalah tersebut dari penyokong-penyokong Umno yang ditemui.

Bagaimanapun Mustafa mengingatkan para penyokong PAS supaya tidak leka dengan perkembangan tersebut sebaliknya meminta terus mempertingkatkan kerja menghadapi pilihan raya.

Turut berucap dalam dalam majlis pidato itu ialah Presiden PAS, Datok Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Muhammad Sabu dan Ketua Agkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Md Akin.

Pidato Perdana diadakan di Kuala Terengganu bagi mengantikan program perhimpunan besar-besaran anjuran Bersih di Kuala Terengganu yang telah dibatalkan.

Sebelum ini, Bersih merancang untuk mengumpulkan rakyat seramai mungkin untuk terus mendesar SPR melakukan perubahan dan menuntut beberapa perkara kepada kerajaan.


Pada awalnya program tersebut dirancang di Kuala Lumpur pada 23 Febuari tetapi terpaksa berpindah ke Kuala Terengganu kerana tidak dibenarkan menggunakan mana-mana stadium di sana.
Di Kuala Terengganu pula, program dirancang selama sehari di pantai Batu Burok dengan pelbagai aktivi dan berakhir dengan satu himpunan di tengah bandar Kuala Terengganu.

Bagaimanapun program yang mendapat perhatian media-media antarabangsa itu hanya diteruskan dengan pidato perdana berhampiran sebuah markas PAS di Cabang Tiga Kuala Terengganu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...