Sunday, February 24, 2008

Mampukah Puteri Reformasi tewaskan Sharizat

KUALA LUMPUR, 24 Feb: "Selamat datang ke arena politik sebenar" kata Datuk Sharizat Jalil kepada ibu muda yang belumpun mencecah umurnya 30 tahun sebaik sahaja masing-masing selesai menyerahkan borang penamaan calon Komplek Sukan Bangsar.
Sharizat bukanlah nama kecil dalam dunia politik tanah air, penglibatan Timbalan Ketua Wanita Umno ini dalam arena politik bermula pada tahun 1982 dan telah tiga penggal menjadi ahli parlimen.

Sepanjang tempoh itu, beliau telah menyandang pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan sehingga yang terakhir sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.


Tetapi lawan beliau dalam pilihan raya kali ini bukan calang-calang orangnya.

Walaupun perbezaan umur begitu ketara antara mereka berdua, kehadiran Nurul Izzah Anwar sebagai calon bagi parlimen Lembah Pantai sudah pasti tidak boleh dipandang remeh.

Selain mempunyai pengalaman berjuang di era reformasi yang tentunya mematangkan anak sulung Bekas Timbalan Perdana Menteri ini dengan sepak terajang politik, faktor bapanya yang berikrar untuk membantu kempen beliau bakal meletakkan Sharizat dalam keadaan tidak selamat di kerusi parlimen yang sudah hampir 15 tahun beliau duduki itu.

Kedua-duanya telah sampai ke pusat penamaan calon kira-kira jam 8.30 pagi tadi dengan diiringi penyokong masing-masing. Sharizat yang sampai terlebih dahulu datang dengan memakai baju biru gelap menjadi orang pertama menyerahkan borang pencalonan kepada pegawai SPR.

Manakala Izzah berbaju kebaya yang datang bersama suaminya menjadi orang kedua menyerahkan borang pencalonan. Proses penamaan calon berjalan lancar dengan kehadiran seorang calon bebas, N Periasamy yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di Lembah Pantai.

Fokus khas Parlimen Lembah Pantai dalam akhbar Siasah keluaran akan datang

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...