Tuesday, September 25, 2007

PAS sambut baik JK Bebas, tetapi Suruhanjaya tetap perlu

KUALA LUMPUR, 25 Sept: PAS pada dasarnya menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Bebas untuk menyiasat klip video perbualan peguam VK Lingam dengan orang yang dikatakan sebagai Ketua Hakim Negara sekarang, Tun Ahmad Fairuz tetapi menegaskan penubuhan Suruhanjaya Bebas tetap perlu selepas ketulinan video itu disahkan.

Bagaimanapun DAP beranggapan penubuhan JK Bebas ini cuba untuk mengalih perhatian rakyat kepada masalah teknikal iaitu ketulinan video itu berbanding dengan isu sebenar iaitu kredibiliti institusi kehakiman selepas tersebarnya video itu dan beberapa siri kejadian sebelum ini.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata, penubuhan JK ini nampaknya bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang mahu menyerahkan siasatan ketulinan video klip ini kepada polis.

"Bagi saya ini satu tamparan kepada polis khasnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan sendiri," kata Mahfuz mengulas pengumuman itu.

Lim Kit Siang berpendapat, satu Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan kerana ia akan membuat segala kerja yang perlu termasuk menilai ketulinan videp klip ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan itu yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Haidar Mohd Nor. Dua lagi anggota adalah Mahadev Shanker dan Lee Lam Thye.

JK Bebas ini akan meneliti dan menebual pelbagai pihak untuk mengesahkan ketulinan video ini dan akan membuat cadangan selepas itu. Keputusannya akan diumumkan kepada orang ramai.

Mahfuz, bagaimanapun bimbang kredibiliti JK Bebas ini kerana ia bertanggungjawab terus kepada kerajaan sahaja.

"Saya rasa lebih sesuai kepada Parlimen," kata Mahfuz.

Mahfuz juga berpendapat, keputusan ini dibuat untuk mengelak perarakan yang dirancang oleh Majlis Peguam esok.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan video klip yang menggemparkan ini.

Antara kandungannya adalah perancangan kedua-duanya menyusun pegawai kanan sistem kehakiman negara.

Transkrip penuh di sini.

Tribunal lebih sesuai

Sementara itu, Peguam Muhamed Hanipa Maidin berpendapat, penubuhan JK Bebas tidak sesuai.

"Bagi saya, kerajaan wajar terus melaksanakan apa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan dalam isu ini iaitu meminta Yang Dipertuan Agung menubuhkan Tribunal. Penubuhan JK Bebas silap-silap hanya membazirkan wang rakyat sahaja," kata beliau mengulas isu yang sama.

Menurut Hanipa yang juga AJK PAS Pusat, taraf Tribunal lebih tinggi dari Ketua Hakim Negara. Dengan itu, siasatan lebih menyeluruh boleh dibuat berbanding dengan JK Bebas ini yang anggotanya junior berbanding Ketua Hakim Negara yang ada sendiri.

"Kalau semasa mahu memecat Tun Salleh Abas dahulu Tribunal boleh ditubuhkan kenapa ketika mempertikaikan Tun Ahmad Fairuz Tribunal tidak boleh ditubuhkan," kata Hanipa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...