Tuesday, September 11, 2007

Bapa tidak percaya anak bertindak ganas terhadap polis



KOTA BHARU, 11 Sept: Bapa kepada mangsa tembakan dipercayai dilakukan anggota polis di Batu Burok, Haji Abdul Ghani Muhamad, 61 yakin anaknya, Aswandi, 38 tidak berkelakuan ganas sehingga mencederakan anggota pasukan keselamatan.

(Suwandi terlantar di Hospital USM Kubang Kerian selepas pembedahan)

Beliau berkata, sepanjang hidupnya mangsa tidak pernah melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang, apalagi didakwa memukul anggota polis.

“Rasanya seperti tidak lojik apabila pihak tertentu menuduh anak saya terlibat memukul anggota keselamatan bersama pemuda lain sehingga terpaksa ditembak dari jarak dekat.

“Sepanjang pengetahuan saya dia tidak pernah mencari gaduh dengan sesiapa pun. Oleh itu saya minta siasatan kes tembakan menggunakan peluru hidup perlu dilakukan dengan telus,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di Kubang Kerian, 10 September lalu.

Pada kejadian malam 8 September lalu seorang anggota polis dilapor melepaskan tembakan sehingga terkena dua pemuda dan menerobos badan mereka. Seorang terkena di bahagian leher dan Aswandi pula menembusi bahagian dada di sebelah kanan.

Akibat kecederaan parah, Aswandi terpaksa dipindahkan dikejar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, kemudian keesokkan harinya pula dipindah ke HUSM di Kubang Kerian bagi menjalani pembedahan mengeluarkan peluru.

Mangsa yang diiringi seorang anggota polis dan abangnya, Suliadin, 39 berada di dalam ambulans sepanjang perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...