Wednesday, September 12, 2007

Tragedi Batu Burok: Berapa das tembakan sebenarnya?


KUALA LUMPUR, 12 Sept: Berapa das tembakan sebenarnya yang dilepaskan oleh polis berpakaian preman dalam Tragedi Batu Burok?.

Inilah persoalan yang berbangkit ekoran kenyataan Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob berubah-ubah setiap hari.

"Pada hari pertama selepas kejadian Ketua Polis Negeri berkenaan memaklumkan sebanyak 1 das tembakan telah dilepaskan. Kemudiannya angka berkenaan bertambah menjadi 2, dan pada hari ini (11 September) kebanyakkan akhbar media perdana melaporkan yang Ketua Polis yang sama memaklumkan pula bahawa sebenarnya 4 das tembakan telah dilepaskan," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar dalam kenyataannya.

Tembakan polis berpakaian preman dalam Tragedi ini telah menyebabkan dua mangsa cedera parah. Suwandi Abd Ghani, 37 (Gambar) terpaksa menjalani pembedahan di Hospital USM Kubang Kerian selepas peluru itu menembusi paru-barunya.

Azman, 21, pula cedera di bahagian lehernya dan menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Perbezaan ketara angka-angka ini lebih meyakinkan kami bahawa terdapat usaha memendamkan kebenaran tentang apa yang sebenarnya telah berlaku di Batu Burok pada malam berkenaan.
"Dan ini sudah tentu akan mengurangkan keyakinan orang ramai terhadap kredibiliti pasukan polis," kata Kamarudin lagi.

Oleh yang demikian, katanya, PAS sekali lagi mengulangi desakannya supaya sebuah Suruhanjaya Di Raja segera dibentuk bagi menyiasat tragedi ini dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam mencetuskannya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...