KUALA LUMPUR, 10 Sept: Tempat ceramah Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu telah digunakan oleh PAS sejak awal tahun 1990 lalu lagi.
Yang terakhir adalah ceramah Anwar Ibrahim dua bulan lalu yang berjalan tanpa kejadian yang tidak diingini.
Oleh itu, dakwaan polis ia tapak yang tidak sesuai untuk diadakan ceramah tidak benar sama sekali, kata Pesuruhajaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya bersama Bersih hari ini.
“Kawasan ini berhampiran pantai di mana orang ramai boleh berkumpul di situ tanpa mengganggu lalulintas dan sebagainya. Apa yang berlaku, ada campur tangan politik yang tidak mahu Bersih mengadakan majlis di situ,” kata Mustafa.
Beliau berkata, permohonan permit telah dibuat pada 30 Ogos lagi dan pada 6 September, polis telah memaklumkan penolakan permohonan itu. Namun rayuan telah dibuat agar ianya dibenarkan.
“Bagi saya, polis telah mendapat tekanan dari Umno untuk menggagalkan ceramah itu. Saya ada saksi, bagaimana Umno ambil kesempatan antaranya bendera Umno cuba dibawa masuk dan dibakar dalam majlis itu,” kata Mustafa.
Polis juga cuba menggagalkan majlis ini dengan dua kali memujuk tuan rumah tempat ceramah itu hendak diadakan agar tidak membenarkan rumahnya digunakan oleh Bersih tetapi gagal.
“Apa yang berlaku adalah ada campurtangan Umno untuk gagalkan program ini,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment