Friday, September 7, 2007

Nasharudin di seminar Pembangunan Kebangsaan


KUALA LUMPUR, 7 Sept: Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam Seminar Pembangunan Kebangsaan mendapat perhatian pelbagai pihak yang terlibat dalam seminar elit yang mengumpulkan tokoh dari pelbagai kalangan itu.


Khazanah Nasional baru-baru ini menganjurkan Seminar Pembangunan Khazanah Nasional (Khazanah National Development Seminra) yang merupakan sebahagian dari Siri-siri Khazanah Merdeka iaitu program seminar sempena Ulangtahun Kemerdekaan Negara.


Matlamat seminar ini adalah untuk menggabungkan khazanah pemikiran dan pengalaman pemimpin-pemimpin segenap lapisan bagi menyumbang ke arah melakarkan halatuju Malaysia di masadepan.


Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa turut dijemput untuk mengambil bahagian dalam seminar sehari yang diadakan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur itu.


Sebanyak 4 sessi perbincangan telah diadakan menyentuh isu pembangunan ekonomi, modal insan dan pembangunan antarabangsa di samping ucap utama perasmian oleh Menteri Kewangan II Tan Sri Dato Nor Mohamaed Yakcop, ucapan khas tengahari oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan ucapan penutup dan penggulungan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Kehadiran Ustaz Nasharuddin, satu-satunya pemimpin dari parti pembangkang ke majlis tersebut atas undangan pihak penganjur telah menarik perhatian para peserta dan hadirin yang rata-rata terdiri dari pimpinan negara, tokoh-tokoh akademik, ekonomi, sosial dan wakil-wakil jemputan antarabangsa.


Malahan nama Timbalan Presiden PAS itu telah disebut oleh bekas TPM Tun Musa Hitam semasa menyampaikan ucapannya dalam sessi tengahari bilamana Tun Musa menyebut bahawa kehadiran Ustaz Nasharudin sungguh beliau kagumi sehingga mendorong beliau untuk mengiktirafnya di dalam ucapannya itu.


Timbalan Presiden PAS itu juga di samping hadir turut mengambil bahagian dengan mengemukakan soalan dan pandangan ketika sessi soal jawab khasnya semasa bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar membentangkan kertasnya serta semasa sessi penutupan oleh Najib Razak.


Najib semasa memberikan respon terhadap soalan Ustaz Nasharudin yang bertanyakan apakah maksud beliau (semasa ucapannya) yang Malaysia dalam 50 tahun mendatang ini akan menjadi sebuah negara yang sejahtera dan menarik, menyebut bahawa pembangunan negara akan bertepatan dengan fasa-fasanya dan lantas akan memerlukan sebuah institusi Parlimen yang baik dan efektif.


"Dan ianya mestilah terdiri dari ahli-ahli yang baik samada dari parti kerajaan mahupun pembangkang," kata Najib menjawab soalan itu.


Semasa mengambil bahagian dalam sessi yang lebih awal Ustaz Nasharudin telah menegaskan bahwa beliau bersetuju dengan pandangan ahli Parlimen Kota Bharu, Dato Zaid Ibrahim (salah seorang pengulas jemputan) yang budaya politik dan sosial di Malaysia perlu menjalani perubahan.


Malahan kata Ustaz Nashaurdin, PAS sendiri telah dan akan menjalankan tanggungjawab menegur dan membangkang atas hasrat membawa kebaikkan kepada rakyat dan negara.


Tambah Ustaz Nasharudin, PAS sedia menyumbang ke arah pembangunan negara dalam apa bentuk sekalipun dan berterima kasih kepada Khazanah kerana sudi mengundang beliau bagi melahir dan menyuarkan sikap dan pendirian PAS dalam isu-isu pembangunan negara bagi manfaat semua.


PAS, katanya, mengalu-alukan sebarang jemputan yang sama di masa akan datang bagi membuktikan keterbukaannya khususnya dalam mempertahankan kemerdekaan negara ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...