Wednesday, September 26, 2007

Ribuan peguam berarak ke Jabatan Perdana Menteri


PUTRAJAYA, 26 Sept: Hampir 10,000 peguam berarak dari Istana Keadilan (Palace of Justice) ke Jabatan Perdana Menteri bagi mendesak Perdana Menteri agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal klip video VK Lingam.

Walaupun usaha sebahagian daripada mereka menggunakan bas, tujuh buah tidak berjaya setelah disekat polis. Mereka kemudiannya berjalan kaki secara beramai-ramai bagi menyertai perarakan itu.

Perarakan itu dianjurkan oleh Majlis Peguam (Bar Council) ekoran pendedahan video klip yang memaparkan Peguam Kanan VK Lingam berbual dengan orang yang dinamakan sebagai Ketua Hakim Negara sekarang Tun Ahmad Fairus.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Penal Bebas bagi menyiasat kesahihan video itu namun ia tidak menghalang perarakan untuk menyerahkan memorandum bagi mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja ini.

Penal yang dianggotai tiga orang itu, Haidar Mohd Nor, Lee Lam Thye dan Mahadev Shankar akan menyiasat ketulinan video itu dan membuat laporan mengenainya kepada kerajaan dan bakal dibuka kepada umum.

Tuesday, September 25, 2007

PAS sambut baik JK Bebas, tetapi Suruhanjaya tetap perlu

KUALA LUMPUR, 25 Sept: PAS pada dasarnya menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Bebas untuk menyiasat klip video perbualan peguam VK Lingam dengan orang yang dikatakan sebagai Ketua Hakim Negara sekarang, Tun Ahmad Fairuz tetapi menegaskan penubuhan Suruhanjaya Bebas tetap perlu selepas ketulinan video itu disahkan.

Bagaimanapun DAP beranggapan penubuhan JK Bebas ini cuba untuk mengalih perhatian rakyat kepada masalah teknikal iaitu ketulinan video itu berbanding dengan isu sebenar iaitu kredibiliti institusi kehakiman selepas tersebarnya video itu dan beberapa siri kejadian sebelum ini.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata, penubuhan JK ini nampaknya bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang mahu menyerahkan siasatan ketulinan video klip ini kepada polis.

"Bagi saya ini satu tamparan kepada polis khasnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan sendiri," kata Mahfuz mengulas pengumuman itu.

Lim Kit Siang berpendapat, satu Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan kerana ia akan membuat segala kerja yang perlu termasuk menilai ketulinan videp klip ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan itu yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Haidar Mohd Nor. Dua lagi anggota adalah Mahadev Shanker dan Lee Lam Thye.

JK Bebas ini akan meneliti dan menebual pelbagai pihak untuk mengesahkan ketulinan video ini dan akan membuat cadangan selepas itu. Keputusannya akan diumumkan kepada orang ramai.

Mahfuz, bagaimanapun bimbang kredibiliti JK Bebas ini kerana ia bertanggungjawab terus kepada kerajaan sahaja.

"Saya rasa lebih sesuai kepada Parlimen," kata Mahfuz.

Mahfuz juga berpendapat, keputusan ini dibuat untuk mengelak perarakan yang dirancang oleh Majlis Peguam esok.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan video klip yang menggemparkan ini.

Antara kandungannya adalah perancangan kedua-duanya menyusun pegawai kanan sistem kehakiman negara.

Transkrip penuh di sini.

Tribunal lebih sesuai

Sementara itu, Peguam Muhamed Hanipa Maidin berpendapat, penubuhan JK Bebas tidak sesuai.

"Bagi saya, kerajaan wajar terus melaksanakan apa yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan dalam isu ini iaitu meminta Yang Dipertuan Agung menubuhkan Tribunal. Penubuhan JK Bebas silap-silap hanya membazirkan wang rakyat sahaja," kata beliau mengulas isu yang sama.

Menurut Hanipa yang juga AJK PAS Pusat, taraf Tribunal lebih tinggi dari Ketua Hakim Negara. Dengan itu, siasatan lebih menyeluruh boleh dibuat berbanding dengan JK Bebas ini yang anggotanya junior berbanding Ketua Hakim Negara yang ada sendiri.

"Kalau semasa mahu memecat Tun Salleh Abas dahulu Tribunal boleh ditubuhkan kenapa ketika mempertikaikan Tun Ahmad Fairuz Tribunal tidak boleh ditubuhkan," kata Hanipa.

PAS desak gantung Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR, 25 Sept: PAS mendesak supaya sementara penyiasatan rapi dilakukan, demi memelihara maruah dan integriti institusi kehakiman, Ketua Hakim Negara perlulah digantung terlebih dahulu dari menjalankan tugasnya sehingga penyiasatan ini selesai.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar dalam kenyataan medianya.
Menurut Kamarudin, PAS memandang berat pendedahan klip video yang menunjukkan perbualan telefon antara peguam VK Lingam dengan seorang yang disyaki sebagai Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim, Ketua Hakim Negara.

Dailog dalam klip video itu dimana Lingam dengan jelas membincangkan isu-isu perundangan dan politik serta jawatan-jawatan kehakiman dengan mengaitkan nama-nama dan jawatan-jawatan tertinggi politik dan korporat negara, sesungguhnya mendesak supaya satu penyiasatan segera dibuat bagi mengesahkan kesahihan rakaman itu.


PAS yakin dengan kemampuan teknologi semasa beserta kerjasama syarikat-syarikat telekom penyiasatan ini pasti dapat dijalankan dengan segera dan tepat, katanya.


"Walaupun kami menyokong agar penyiasatan segera dilakukan namun kami perhatikan dalam isu Timbalan Pendakwaraya Salahuddin Saidin dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaaribu, Salahuddin dilepaskan dari mengendalikan kes tersebut dalam tempoh kurang dari 24 jam hanya atas kenyataan Peguam Negara bahawa beliau dilihat bermain badminton dengan hakim yang membicarakan kes itu. Peguam Negara tidak pula mengemukakan bukti bagi mensahihkan dakwaan beliau itu,"katanya.

Dalam hal yang sama, katanya, PAS turut menyokong penuh tindakan Majlis Peguam Malaysia untuk menyerahkan memorandum ke Pejabat Perdana Menteri berhubung isu ini yag antara lain menuntut penubuhan sebuah Suruhanjaya di Raja bagi menyiasat isu ini.

Malaysia-today.net dan Tvpas.com diserang


KUALA LUMPUR, 25 Sept: Malaysia-today.net dan Tvpas.com adalah antara dua laman web Malaysia yang diserang oleh virus baru semalam menyebabkan kedua-dua laman web ini sehingga kini masih belum boleh dimasuki.

Menurut Pengurus Tvpas.com, Khairul Hartimi, laman webnya mula diserang jam 4 petang semalam serentak dengan Malaysia-today.

Menurut satu sumber lain pula, turut diserang adalah 48 lagi laman web yang berpengkalan di Singapura.

"Kami tidak tahu siapa penyerangnya, yang pasti ia memang disengajakan," kata Khairul ketika dihubungi Siasah.

Malaysia-today adalah laman web yang dikendalikan oleh Raja Petra Kamarudin. Ia kini menjadi antara laman web politik yang paling popular di Malaysia.

Menurut Alexa.com, laman ini berada pada ranking 6,087 di dunia dan yang ke 56 di Malaysia.

Tvpas.com adalah laman web berita video yang dimiliki dan lancarkan oleh PAS Ogos 2006 lalu.

Ia banyak memaparkan video yang menarik di samping mempunyai berita ala tv yang diupdate pada setiap hari.

Monday, September 24, 2007

Kelantan mohon isu minyak dimasukkan dalam ECER


KOTA BHARU, 24 Sept: Kerajaan Negeri Kelantan merayu supaya pendaratan gas dan minyak dari perairan negeri itu ke pantai Kelantan menjadi sebahagian inisiatif pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Ini kerana, pantai Kelantan adalah yang terdekat sekali dengan sumber bahan asli itu dan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri.

Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkta, perkara tersebut terkandung dalam maklumbalas kepada pihak terbabit selepas satu taklimat cadangan awal pembangunan Koridor Timur yang disampaikan Petronas kira-kira lapan bulan yang lalu.

“Ada beberapa perkara yang kita beri cadangan balas tetapi saya yakin tidak dimasukkan lagi ialah pendaratan gas di Kelantan. Saya berharap perkara ini dapat ditimbangkan semula," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim.

Perhubungan keretapi di antara Kelantan dengan Pulau Pinang turut dipohon oleh Kelantan untuk dimasukkan di bawah ECER.

Ketika ditanya pemberita, sama ada perkara ini ditimbulkan pada pertemuan empat pemimpin negeri Pantai Timur dengan Perdana Menteri di Putrajaya, Rabu lalu, Husam berkata beliau tidak pasti, tetapi mengulangi bahawa ianya telah ditimbulkan pada taklimat awal sebelum ini.

Difahamkan tiga daripada empat Menteri Besar negeri Pantai Timur dijemput hadir perbincangan mengenai ECER bersama Abdullah, sementara Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa turut dilapor hadir.

Sunday, September 23, 2007

Jamaludin Jarjis dan TV3 disaman RM10 juta


KUALA LUMPUR, 23 Sept: Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Rompin memfailkan saman RM10 juta terhadap Ketua Bahagiannya, Datuk Jamaludin Jarjis di Mahkamah Tinggi Jalan Duta baru-baru ini.

Turut dinamakan sebagai defendan adalah Sistem Televisyen Malaysia atau TV3 ekoran dakwaan fitnah yang dibuat kedua-duanya ke atas beliau.

(Berita lanjut dalam Siasah hari ini)

Strategi BN semuanya kantoi


KUALA LUMPUR, 23 Sept: Pelbagai pihak menyifatkan strategi pilihan raya Barisan Nasional (BN) serba tidak menjadi sejak kebelakangan ini apabila semua projeknya gagal mencapai sasaran.

Bajet 2008 disifatkan gagal menghasilkan faktor 'feel good' kepada rakyat walaupun sejumlah wang yang besar diperuntukkan selepas ia tenggelam oleh Tragedi Berdarah Batu Burok yang berlaku sehari selepas bajet itu dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Peristiwa rusuhan Batu Burok yang diharapkan dapat memburukkan imej pembangkang khasnya PAS di Terengganu juga gagal apabila polis melepaskan peluru hidup dalam peristiwa itu sehingga mencederakan dua orang awam.

Laporan Ketua Audit Negara pula bukannya menunjukkan ketelusan kerajaan tetapi lebih mendedahkan pekung kerajaan apabila pelbagai penyelewengan agensi khasnya di bawah Perdana Menteri dan timbalannya sendiri didedahkan dalam lapuran itu.

Terkini, pendedahan video klip perbualan telefon antara peguam terkenal, VK Lingam dengan Ketua Hakim Negara sekarang, Tun Ahmad Fairus pada tahun 2002 (ketika itu Hakim Besar Malaya) bagi menyusun pejawat kanan badan kehakiman negara mendapat kecaman pelbagai pihak.

Bahkan, Perdana Menteri sendiri melahirkan rasa terkejutnya bagaimana perkara sebegitu boleh berlaku.

"Semuanya menjurus kepada hilangnya feel good factor untuk BN menjelang pilihan raya ini," kata seorang pensyarah universiti tempatan.

Laporan penuh dalam Siasah hari ini.

Tragedi Berdarah Batu Burok jadi senjata makan tuan


KUALA TERENGGANU, 23 Sept: PAS menyifatkan usaha Umno untuk memburukkan PAS melalui Tragedi Berdarah Batu Burok ‘menjadi senjata makan tuan’ apabila rakyat membenci parti itu ekoran peristiwa itu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, senjata Umno itu makan tuan apabila polis menggunakan peluru hidup dalam kejadian itu sehingga mencederakan dua orang awam selepas terkena tembakan polis.

Suwandi Abdul Ghani, 37 dan Muhamad Azman Aziz, 21 cedera parah dan terpaksa menjalani pembedahan selepas terkena tembakan polis dalam kejadian pada 8 September itu.

(Berita lanjut dalam Siasah hari ini)

Thursday, September 20, 2007

Batu Burok: PAS mohon Majlis Raja-raja tubuh suruhanjaya


KUALA LUMPUR, 20 Sept: PAS menyerahkan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu memohon agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat Tragedi Batu Burok 8 September lalu.

Memorandum itu diserahkan oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Melayu, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah semalam.

Turut serta bersama Nasharudin adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar, Ketua Pemuda, Salahudin Ayub dan AJK Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Bersama Engku Ibrahim adalah Penolong Setiausaha, Dato' Sabtu Awab.

Permohonan penubuhan suruhanjaya ini dibuat ekoran versi berbeza antara akhbar dan media BN dengan versi PAS dan orang awam terhadap peristiwa ini.

Tuesday, September 18, 2007

Tragedi Batu Burok kerana kekhuatiran kehilangan kuasa - Ruhanie

KUALA LUMPUR, 18 Sept: Bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Ruhanie Ahmad menyifatkan drama yang sedang berlaku ekoran Tragedi Batu Burok adalah kerana 'pihak-pihak yang kelihatan sedang cemas oleh kekhuatiran kehilangan kuasa?'

Bagi beliau, peristiwa peluru hidup di Batu Burok 8 September lalu adalah implikasi dari kewujudan pembesar yang kelihatan seakan-akan sudah hilang kawalan terhadap destini negara?

"Inikah akibatnya permainan politik setengah masak? Inikah kesannya politik "baling batu sembunyi tangan"? Inikah implikasinya bila ada pembesar yang kelihatan seakan-akan sudah hilang kawalan terhadap destini negara?" tanya bekas Setiausaha Politik Tun Musa Hitam itu.

Kepada pihak yang membaling batu sembunyi tangan, beliau mengingatkan, bagaimanakah jika kebenaran suatu hari nanti akan menafikan segala-galanya yang sedang diheboh-hebohkan?

"Berapa lama lagikah rakyat jelata perlu dihidangkan dengan keadaan seperti ini. Dan, bagaimanakah jika kebenaran akan suatu hari nanti menafikan segala-galanya yang sedang diheboh-hebohkan oleh pihak-pihak yang kelihatan sedang cemas oleh kekhuatiran kehilangan kuasa?

(Gambar: Suwandi terlantar di Hospital mangsa tembakan polis yang tidak disiarkan media BN)



"Lantaran itu, tidak murnikah kalau impak peristiwa di Batu Buruk itu ditangani secara lebih ikhlas, teliti dan bijaksana oleh pihak berkuasa?" Ruhanie mempersoalkan.

Nasib Palestin: Pengerusi OIC lari ikut pintu belakang


KUALA LUMPUR, 18 Sept: Kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Amerika boleh selesaikan isu Palestin jika dia jujur disifatkan sebagai 'Lari melalui pintu belakang'.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Samsudeen dalam kenyataannya berkata, kenyataan Abdullah itu melambangkan beliau cuba melepaskan tanggungjawabnya kepada pihak lain.

"Banyak berpendapat jika Amerika Syarikat benar-benar mahu menjadi 'broker' (pengantara) yang adil, mereka akan berjaya. Israel sentiasa berpegang kepada beberapa perjanjian dicapai sebelum ini," kata Abdullah dalam temubual dengan stesen televisyen, Australia Network, menerusi program Asia Pacific Focus yang disiarkan, semalam.

Kepada soalan pengacara program itu, Helen Vatsikopolous, Perdana Menteri turut berkata, bahawa beliau bersetuju jika Amerika Syarikat memberi lebih tumpuan terhadap usaha menyelesaikan krisis Palestin-Israel, hubungan antara dunia Islam dan Barat akan bertambah baik.

Memikirkan semua kejadian ini, ucapan pengerusi OIC di program Asia Pacific Focus benar-benar menguris perasaan umat Islam diseluruh dunia, kata Herman.

Beliau, kata Herman, tanpa segan silu memberikan hormat dan tunduk pada Amerika dan Israel.

"Sikap beliau yang tidak serius memperjuangkan isu Palestine menjadi barah kepada kejerihan rakyat Palestine yang tiada berkesudahan," dakwa Herman.
Sebagai Pengerusi OIC, tegas Herman, Abdullah seharusnya sedar tentang politik jijik yang dimainkan oleh Amerika dan Israel dalam menzalimi Palestine.

Beliau seharusnya tampil kehadapan bagi menjadi orang tengah bagi meredakan konflik yang semakin menegang ini. Pengerusi OIC tidak seharusnya lari ikut pintu belakang dan meninggalkan kaum seagamanya dibunuh dan dirogol oleh Zionis Israel dan Amerika, katanya.

"Sebagai orang yang mengucap dua kalimah syahadah, adalah bacul bagi kita meninggalkan saudara seagama kita untuk diperlakukan sedemikian rupa tanpa pembelaan. Justeru itu, Pemuda PAS WP mengesa agar pengerusi OIC bertindak segera untuk campurtangan dalam isu dan tidak menyerahkan isu ini pada Amerika semata-mata,"tegas beliau dalam kenyataannya.

PGCC bebas karbon hanya kenyataan 'lipstick'

PULAU PINANG, 18 Sept: Pelbagai badan bukan kerajaan di Pulau Pinang menyifatkan laporan kononnya Penang Global City Centre (PGCC) sebagai bandaraya tanpa karbon hanya 'gicu bibir' (lipstick) sahaja bagi mengaburi mata rakyat.

"PGCC bercakap soal bandaraya tanpa karbon tetapi mereka tidak bercerita kepada kita jumlah karbon yang akan dibebaskan ke udara sepanjang belasan tahun kerja-kerja pembinaan," tulis Anil Netto, seorang aktivis NGO di Pulau Pinang.

Anil mengulas laporan media kononnya PGCC bakal menjadi bangunan tanpa karbon selepas ini. Ia merujukkan kepada laporan kononnya bangunan yang dibina dalam projek ini mesra alam sekitar dan tidak akan mengeluarkan karbon diaoksid yang memudaratkan manusia.

Bagi Anil, ini hanya kenyataan ala 'gincu bibir' sahaja untuk menyedapkan mata memandang sahaja tetapi tidak pada realitinya.

Sebelum ini, Siasah menyiarkan, PR Konsultan kepada PGCC adalah Fox Comunication. Antara kerja awal Fox adalah menemui para pemimpin NGO bagi membincangkan projek PGCC sebelum ianya dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Namun hanya sebilangan kecil sahaja dari wakil NGO ini sedia menemui Fox, kata Nizam Masyar, Koordinator Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Bagi Anil, sepatutnya kajian kesan alam sekitar (EIA) projek ini dibuat dengan teliti dan juga oleh badan yang bebas untuk mempastikan projek ini benar-benar mesra alam sekitar.

Menurut Anil juga, ketika semua data-data yang ada menunjukkan Malaysia terdedah kepada gegaran gempa ekoran dari trend gegaran yang semakin hampir, negara ini sepatutnya mengelakkan pembinaan bangunan tinggi.

Tetapi PGCC bakal membina dua bangunan ikonik dan 40 menara di atas tapak seluas 104 hektar

Menurut satu laporan oleh Canadian Press, seorang pakar gempabumi yang bertugas di Institut Sains Indonesia, Danny Hillman, "Kami menjangka gempabumi yang bersais 8.5 ritcher ke atas bakal berlaku."

Ini ekoran dari siri gempabumi yang berlaku di Indonesia sejak kebelakangan ini.

PGCC tiada agenda rakyat apatah lagi Melayu

PULAU PINANG, 18 Sept: Bukan setakat agenda untuk membela Melayu Pulau Pinang tidak nampak bahkan, agenda untuk membela kepentingan orang ramai khasnya golongan menengah dan rendah juga tidak dapat dilihat dari Projek Penang Global City Centre (PGCC) yang dilancar Perdana Menteri baru-baru ini.


Inilah suara yang kedengaran selepas Perdana Menteri melancarkan projek ini baru-baru ini.
PGCC bakal menelan belanja RM25 bilion akan dibina diatas tapak Kelab Lumba Kuda yang bersais 104 hektar. Ia bakal mengandungi 40 tower dan dua bangunan ikonik. Ia akan dibangunkan oleh Abad Naluri Sdn Bhd, syarikat sekutu Equine Capital Berhad.


Sebelum ini Patrick Lim diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sebagai Patrick Badawi berdasarkan hubungan baik kedua-dua mereka.


Nizam Mahsyar, Koordinator Sahabat Alam Malaysia (SAM) ketika diwawancara Siasah berkata, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) cuba ditemui oleh agen pemaju syarikat kononnya untuk berbincang tetapi kebanyakan mereka tidak sedia untuk menemuinya.

(Gambar yang disiarkan oleh akhbar harian menunjukkan PM dengan rakannya, Patrick 'Badawi' Lim ketika melancarkan PGCC.)

"Sebuah syarikat PR, Fox Comunication datang untuk berbincang dengan NGO tentang projek ini tetapi ramai yang tak minat dan hanya menghantar wakil sahaja kerana mereka tidak yakin akan didengari," kata Nizam.


Menurut Nizam, kebanyakan NGO tidak berapa senang dengan projek ini kerana mereka lebih suka kawasan ini dikekalkan sebagai kawasan lapang dan hijau keranan kawasan lain sudah penuh dengan bangunan di Pulau Pinang ini.


Projek ini, katanya, amat luar biasa istimewanya apabila syarat agar rumah kos rendah dan sederhana dibina di kawasan pembangunannya tidak perlu dipenuhi.


"Mereka memohon Majlis Perbandaran satu tapak lain untuk membina rumah kos rendah dan sederhana. Jika begitu, kawasan ini mereka dapat, tapak baru untuk kos rendah dan sederhana juga mereka dapat," kata Nizam.


Siasah difahamkan, pemaju akan membina rumah kos rendah dan sederhana sebagaimana disyaratkan di sekiat Flat Rifle Renge.


PGCC bakal dibina di atas tapak Kelab Lumba Kuda (Turf Club) yang sudah ada di situ.
Bagi menggantikannya, Kelab Lumba Kuda serba canggih dan moden akan dibina di sekitar Batu Kawan, kawasan projek yang sedang dibangunkan oleh Equine Capital.

Thursday, September 13, 2007

PAS lancar Tabung Mangsa 8 September


KUALA TERENGGANU, 13 Sept: PAS melancarkan Tabung Mangsa 8 September bagi membantu kos rawatan dan perbelanjaan guaman yang bakal dihadapi oleh mangsa Tragedi Batu Burok Khamis lepas.
(Gambar: Presiden PAS bersama pimpinan PAS Terengganu melancarkan Tabung Mangsa 8 September di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu.)

Pelancaran itu dibuat oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan diperhatikan oleh para pemimpin PAS Terengganu.

Ia dilancarkan di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu.

"Kita memang akan membantu semua mangsa tragedi ini tetapi kita juga mahu bebanan ini dipikul oleh semua ahli kita di semua peringkat," kata Presiden PAS kepada Siasah.

Sehubungan itu, beliau meminta PAS di semua peringkat membuat tabung itu dan terangkan kepada orang ramai apa yang berlaku sebenarnya bukan sebagaimana yang dilaporkan oleh media milik BN.

Sebelum ini, PAS mendakwa, tragedi itu dirancang oleh Umno dan pihak-pihak tertentu untuk memburukkan nama PAS selepas PAS mula mendapat sambutan kembali di Terengganu selepas kalah pada tahun 2004.

Dalam kejadian itu, Suwandi Abdul Ghani, 37, cedera parah pada dadanya selepas terkena tembakan polis di dadanya. Beliau kini masih menerima rawatan lanjut di Hospital USM Kubang Kerian selepas peluru itu berjaya dikeluarkan.

Muhamad Azman Aziz, 21 juga terkena tembakan dalam tragedi itu. Beliau kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Kedua-duanya direman oleh polis dan disiasat atas kesalahan jenayah.

Kedua-duanya terpaksa menanggung kos rawatan dan bakal menanggung kos guaman apabila mereka didakwa nanti.

Wednesday, September 12, 2007

Beratus bantah penswastaan hospital

SELAYANG, 12 Sept: Beratus-ratus aktivis membuat demo di perkarangan Hospital Selayang hari ini bagi membantah penswastaan hospital.

Mereka berhimpun dengan pelbagai jenis slogan bagi mengutuk langkah kerajaan itu.

Antara 'BN judi nyawa pesakit", "Selamatkan hospital untuk rakyat miskin", "No to helth tourism", "Batalkan skim pesakit bayaran penuh" dan sebagainya.

Antara yang berucap dalam perhimpunan aman itu adalah AJK PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud.

Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini.

Babi lebih beruntung...


KOTA BHARU, 12 Sept: Nampaknya babi lebih beruntung kerana terus menikmati kebebasan mereka ketika rakyat Terengganu terpaksa menerima tembakan untuk mendapat kebebasan berhimpun mereka.

Itulah tulisan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com ketika mengulas Tragedi Batu Burok yang menyebabkan dua cedera akibat tembakan polis berbanding dengan nasib babi di Bukit Beruang, Melaka.

Bagi beliau, kuasa undi masyarakat Cina dan sensitiviti politik mereka menggerunkan polis tetapi tidak dua pemuda Melayu dari negeri yang rakyatnya adalah kedua termiskin di Malaysia.

“Jika dengan masyarakat Cina polis kecut, lain pula dengan orang Melayu. Polis tunjuk berani’ – rata-rata itulah komen spontan yang saya dengar sepanjang hari ini, tulis Husam.

Menurut Husam, jika dalam kes di Bukit Beruang, polis boleh menghentikan gempuran mereka dan keadaan kembali damai, mengapa tidak polis mengambil tindakan yang sama di Batu Burok?

"Pilihan polis ialah untuk memantau dan mengawal ceramah itu atau untuk menyekat perhimpunan, menggempur dan menyerbu? Mana satu yang secara logiknya boleh menghasilkan suasana aman?" soal Husam lagi.

Penjelasan PAS mengenai Tragedi Batu Burok 14 September

KUALA TERENGGANU, 12 Sept: PAS Mengajak para penyokongnya mendengar penjelasan berikutan Tragedi Batu Burok di perkarangan Masjid Rusila Jumaat 14 September ini.

"Jom Solat Terawih di Masjid Rusila, lepas tu dengar ceramah" bunyi kempen mereka berhubung dengan program itu yang bakal berlangsung jam 9 malam itu.

Program itu membariskan sembilan penceramah iaitu 1. YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang2. Ustaz Nasharudin Mat Isa3. Haji Mohamad Sabu4. Dato' Mustafa Ali5. YB Salahuddin Ayub6. Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi7. YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut8. Tan Sri Khalid Ibrahim9. Haji Mohd Azmi Abd Hamid.

Tragedi Batu Burok: Berapa das tembakan sebenarnya?


KUALA LUMPUR, 12 Sept: Berapa das tembakan sebenarnya yang dilepaskan oleh polis berpakaian preman dalam Tragedi Batu Burok?.

Inilah persoalan yang berbangkit ekoran kenyataan Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob berubah-ubah setiap hari.

"Pada hari pertama selepas kejadian Ketua Polis Negeri berkenaan memaklumkan sebanyak 1 das tembakan telah dilepaskan. Kemudiannya angka berkenaan bertambah menjadi 2, dan pada hari ini (11 September) kebanyakkan akhbar media perdana melaporkan yang Ketua Polis yang sama memaklumkan pula bahawa sebenarnya 4 das tembakan telah dilepaskan," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar dalam kenyataannya.

Tembakan polis berpakaian preman dalam Tragedi ini telah menyebabkan dua mangsa cedera parah. Suwandi Abd Ghani, 37 (Gambar) terpaksa menjalani pembedahan di Hospital USM Kubang Kerian selepas peluru itu menembusi paru-barunya.

Azman, 21, pula cedera di bahagian lehernya dan menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Perbezaan ketara angka-angka ini lebih meyakinkan kami bahawa terdapat usaha memendamkan kebenaran tentang apa yang sebenarnya telah berlaku di Batu Burok pada malam berkenaan.
"Dan ini sudah tentu akan mengurangkan keyakinan orang ramai terhadap kredibiliti pasukan polis," kata Kamarudin lagi.

Oleh yang demikian, katanya, PAS sekali lagi mengulangi desakannya supaya sebuah Suruhanjaya Di Raja segera dibentuk bagi menyiasat tragedi ini dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam mencetuskannya.

Reman mangsa tembakan tidak wajar

KUALA TERENGGANU, 12 Sept: PAS menyifatkan tindakan polis menahan reman dua lelaki yang ditembak polis dalam Tragedi Batu Buruk sebagai tindakan tidak wajar dan premature.

Sepatutnya yang direman dan disiasat adalah polis yang menembak kedua-dua lelaki berkenaan kerana alasan polis menembak mereka sebagai 'mempertahankan diri' tidak sah sehingga disahkan oleh mahkamah.

Dengan tindakan polis ini bermakna polis bukan sahaja penembak tetapi juga pendakwa, hakim dan juri sekaligus.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya hari ini.

(Laporan penuh dalam Siasah Ahad ini)


Tuesday, September 11, 2007

Umno rancang rusuhan - PAS

KUALA LUMPUR, 11 Sept: PAS mendapat maklumat yang jelas, Umno dan pihak tertentu merancang rusuhan yang berlaku di Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September lepas, kata Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali.

"Saya ingin mengatakan, antara yang terlibat merancang kejadian ini adalah Datuk Wan Farid Wan Salleh, Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri," kata Mustafa lagi.

"Saya bertanggungjawab penuh dengan kenyataan ini dan sedia memberikan bukti yang lengkap jika satu Suruhanjaya Diraja yang bebas dibentuk untuk menyiasat tragedi ini secara menyeluruh," kata Mustafa.

Menurut Mustafa, ada saksi yang melihat Jalur Gemilang dibawa masuk ke tempat kejadian dari luar kawasan dalam bundle dan membakarnya di situ.

Gambar yang disiarkan oleh NST menunjukkan seorang yang memakai topi keledar dengan muka tertutup membakarnya.

Gambar pula diambil ketika bendera itu mula dibakar seolah-olah ia memang dirancang antara jurugambar dan yang mebakar bendera itu.

Beliau juga menafikan dakwaan polis kononnya polis yang menembak orang awam dalam kejadian ini ketika mahu menyelamatkan wanita dan kanak-kanak dalam peristiwa ini dan Mustafa menegaskan, "Polis kena bertanggung jawab dengan kenyataan ini."

Dalam kejadian ini, dua orang awam cedera ditembak polis iaitu Suwandi Abdul Ghani, 37, dan Muhamad Azman Aziz, 21.

Suwandi terpaksa dibawa ke Hospital USM Kubang Kerian Kelantan untuk mengeluarkan peluru yang melekat pada dadanya manakala Azman dibedah di Kuala Terengganu.

Bapa tidak percaya anak bertindak ganas terhadap polis



KOTA BHARU, 11 Sept: Bapa kepada mangsa tembakan dipercayai dilakukan anggota polis di Batu Burok, Haji Abdul Ghani Muhamad, 61 yakin anaknya, Aswandi, 38 tidak berkelakuan ganas sehingga mencederakan anggota pasukan keselamatan.

(Suwandi terlantar di Hospital USM Kubang Kerian selepas pembedahan)

Beliau berkata, sepanjang hidupnya mangsa tidak pernah melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang, apalagi didakwa memukul anggota polis.

“Rasanya seperti tidak lojik apabila pihak tertentu menuduh anak saya terlibat memukul anggota keselamatan bersama pemuda lain sehingga terpaksa ditembak dari jarak dekat.

“Sepanjang pengetahuan saya dia tidak pernah mencari gaduh dengan sesiapa pun. Oleh itu saya minta siasatan kes tembakan menggunakan peluru hidup perlu dilakukan dengan telus,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di Kubang Kerian, 10 September lalu.

Pada kejadian malam 8 September lalu seorang anggota polis dilapor melepaskan tembakan sehingga terkena dua pemuda dan menerobos badan mereka. Seorang terkena di bahagian leher dan Aswandi pula menembusi bahagian dada di sebelah kanan.

Akibat kecederaan parah, Aswandi terpaksa dipindahkan dikejar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, kemudian keesokkan harinya pula dipindah ke HUSM di Kubang Kerian bagi menjalani pembedahan mengeluarkan peluru.

Mangsa yang diiringi seorang anggota polis dan abangnya, Suliadin, 39 berada di dalam ambulans sepanjang perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

Monday, September 10, 2007

Tragedi Batu Buruk: Kenyataan media Bersih


Oleh
Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

1) Pada 8 September 2007, Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menggabungkan parti-parti politik dan NGO merancang untuk mengadakan majlis perhimpuan aman berupa road show untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Batu Buruk, Kuala Terengganu.


2) Pihak penganjur telah membuat permohonan permit polis sebagaimana yang sewajarnya namun permit tidak dikeluarkan kepada pihak penganjur walaupun rayuan telah dibuat.


3) Pihak penganjur telah mendirikan pentas program namun pada jam 5 petang polis telah menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah yang digunakan pihak penganjur dan merobohkan pentas itu tanpa keizinan tuan rumah.


4) Polis kemudiannya membuat sekatan jalan dan halangan beberapa kilometer dari tempat majlis hendak diadakan agar orang ramai tidak masuk ke kawasan itu.


5) Pada sebelah malamnya, kira-kira jam 9.40 malam, para pemimpin BERSIH termasuk Dato’ Mustafa Ali telah dihalang dari masuk ke kawasan majlis itu. Mereka termasuklah Dr Syed Azman Syed Ahmad (wakil BERSIH), Haji Muhamad Sabu (wakil PAS), Tan Sri Khalid Ibrahim (wakil PKR), YB Leong Ngah Ngah (wakil DAP) dan Haji Azmi Hamid (Teras).


6) Perbincangan dibuat antara mereka dan polis namun program itu tidak dibenarkan untuk diadakan.


7) Ekoran dari itu, ketegangan telah timbul antara polis dan orang ramai yang berhimpun. Kemudiannya FRU mula menembak water canon dan gas pemedih mata ke arah orang awam secara membabibuta. Ia berterusan hingga jam 1.30 pagi.


8) Salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah melepaskan beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam yang berhimpun secara aman. Ia telah terkena kepada seorang awam bernama Suwandi Abdul Ghani, 37, dan menembusi paru-parunya, Seorang lagi, Muhamad Azman Aziz, 21, telah terkena pada lehernya. Sehingga kini, Suwandi telah dipindahkan ke Hospital Kubang Kerian (dari Hospital Kuala Terengganu) untuk menerima rawatan lanjut.


9) Berpuluh-puluh orang awam telah tercedera dan empat dari mereka parah.

10) 23 orang dari orang awam telah ditangkap termasuk tiga wartawan akhbar tempatan. Dua dari mereka telah ditahan reman.


11) Ekoran huruhara ini, pelbagai kerosakan berlaku kepada harta awam. Ia hanya reda selepas polis meninggalkan kawasan ini kira-kira jam 1.30 pagi.

Kami dengan ini berpendirian:-

1) Peristiwa ini berlaku selepas polis melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan memancut air ke atas orang ramai yang sedang beracun.


2) Bagi menghormati keputusan polis, pihak penganjur tidak bercadang untuk meneruskan program ceramah pada malam itu dan pimpinan yang hadir sedang menyelaraskan pembatalan itu dengan pihak tuan rumah dan petugas. Pihak penganjur juga telah memaklumkan kepada polis, majlis tidak akan diteruskan. Namun provokasi yang berterusan telah dilakukan oleh pihak polis.


3) Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Antara tuntutan Bersih adalah penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan menjamin media yang adil dan tidak berpihak.


4) Malangnya, polis telah digunakan untuk menyekat program bagi menyedarkan rakyat tentang hak mereka dalam sebuah negara demokrasi padahal polis sepatutnya menjalankan tugas untuk menurunkan kadar jenayah yang begitu tinggi sekarang ini dan menjadi masalah sebenar kepada rakyat sekarang.


5) Yang malang lagi, ada polis telah menggunakan peluru hidup dalam mengendalikan perhimpunan aman sebegini. Penggunaan peluru hidup dalam mengendalikan program sebegini adalah tidak berasas dan sangat dikesali.


6) Bagi kami polis telah gagal mengendalikan perhimpunan tersebut berdasarkan prosedur undang-undang polis sendiri. Antaranya tiada pengumuman meminta orang ramai bersurai.

Kami dengan ini menuntut:

1) Penubuhan Suruhanjaya Diraja Bebas untuk menyiasat apa sebenarnya yang berlaku di Batu Buruk pada 8 September.


2) Penjelasan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri serta Ketua Polis Negara terhadap penggunaan peluru hidup dalam mana-mana perhimpunan aman sebegini.


3) Segala perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mana-mana badan yang sah tidak memerlukan permit polis dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak polis.


4) Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka.


5) Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini.

Maka kami yang mewakili BERSIH sekali lagi menegaskan pendirian bahawa kami terus komited memperjuangkan tuntutan untuk mendapatkan demokrasi dan pilihan raya yang adil secara aman di negara Malaysia yang tercinta ini.

Pada 9 September 2007

Tempat ceramah dah digunakan sejak 1990an

KUALA LUMPUR, 10 Sept: Tempat ceramah Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu telah digunakan oleh PAS sejak awal tahun 1990 lalu lagi.

Yang terakhir adalah ceramah Anwar Ibrahim dua bulan lalu yang berjalan tanpa kejadian yang tidak diingini.

Oleh itu, dakwaan polis ia tapak yang tidak sesuai untuk diadakan ceramah tidak benar sama sekali, kata Pesuruhajaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya bersama Bersih hari ini.

“Kawasan ini berhampiran pantai di mana orang ramai boleh berkumpul di situ tanpa mengganggu lalulintas dan sebagainya. Apa yang berlaku, ada campur tangan politik yang tidak mahu Bersih mengadakan majlis di situ,” kata Mustafa.

Beliau berkata, permohonan permit telah dibuat pada 30 Ogos lagi dan pada 6 September, polis telah memaklumkan penolakan permohonan itu. Namun rayuan telah dibuat agar ianya dibenarkan.

“Bagi saya, polis telah mendapat tekanan dari Umno untuk menggagalkan ceramah itu. Saya ada saksi, bagaimana Umno ambil kesempatan antaranya bendera Umno cuba dibawa masuk dan dibakar dalam majlis itu,” kata Mustafa.

Polis juga cuba menggagalkan majlis ini dengan dua kali memujuk tuan rumah tempat ceramah itu hendak diadakan agar tidak membenarkan rumahnya digunakan oleh Bersih tetapi gagal.

“Apa yang berlaku adalah ada campurtangan Umno untuk gagalkan program ini,” kata beliau.

Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat Tragedi Batu Buruk


KUALA LUMPUR, 10 Sept: PAS dan parti-parti politik serta NGO mendesak kerajaan supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat apa sebenarnya yang berlaku dalam Tragedi Batu Buruk pada 8 September lepas.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya mempunyai versi tersendiri tentang apa yang berlaku manakala media BN telah melapurkan versi mereka pula.

“Oleh itu saya mendesak supaya disiasat semua sekali apa yang sebenarnya berlaku dan saya rela disiasat tentang apa yang saya katakan hari ini,” katanya dalam Sidang media khas anjuran Bersih di Pejabat Agung PAS hari ini.

Sidang media itu disertai oleh para pemimpin parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP serta juga pemimpin NGO termasuklah Suaram dan lain-lain. Juga hadir adalah aktivis Bersih yang menganjurkan program di Batu Buruk itu.

Dalam sidang media hari ini, Mustafa mendakwa, apa yang berlaku di Batu Buruk adalah hasil provokasi polis dan antara pihak yang terlibat secara langsung di belakangnya adalah Setiausaha Politik Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri, Datuk Wan Farid.

Provokasi bermula dari perobohan pentas ceramah jam 8 malam dan ia dibuat oleh polis di hadapan para penyokong PAS sehinggalah kepada peristiwa tertembaknya dua orang penyokong PAS oleh polis yang berpakaian awam sendiri yang berlaku kira-kira jam 12 malam.

Difahamkan, kekecohan bermula sejak jam 10 malam 8 September apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan water canon kepada orang ramai yang berkumpul tetapi kegawatan mula berlaku bila orang ramai melihat dua dari mereka ditembak polis.

Sunday, September 9, 2007

2 cedera parah ditembak polis di Batu Buruk



KUALA TERENGGANU, 9 Sept: Dua cedera parah ditembak peluru hidup oleh polis manakala berpuluh-puluh cedera dalam pertempuran antara orang ramai dan polis di Batu Buruk petang dan malam semalam.

(Gambar: Datuk Mustafa cuba berbincang dengan polis kira-kira jam 10 malam agar ketegangan itu diselesaikan, Namun ia tidak terkawal apabila seorang polis menembak seorang awam)



Salah seorang yang terkena tembakan itu, Suwandi Abdul Ghani, 37, dipindahkan ke Hopital USM Kubang Kerian apabila kes itu tidak mampu lagi dikendalikan oleh Hospital Kuala Terengganu selepas paru-parunya tembus ekoran tembakan itu.

(FRU menyembur air ke arah orang ramai yang berkumpul)

Berpuluh-puluh cedera di pihak orang awam dan juga polis manakala berbelas-belas telah ditahan sehingga kini termasuklah wartawan TVPAS. Dua dai mereka kemudiannya ditahan reman.

Wartawan TVPAS, Suhaimi Taib sehingga kini masih ditahan polis.

Antara pemimpin PAS yang turun ditahan adalah bekas anggota Parlimen Kuala Nerus, Mohd Shukrimun.

Pertempuran berlaku ekoran tindakan merobohkan pentas yang dibuat untuk majlis ceramah anjuran Bersih oleh polis dan pihak berkuasa tempatan.

Ketegangan berlaku sejak petang lagi apabila sekatan dibuat ke arah tempat majlis ceramah yang hendak dianjurkan itu.

Di Kuala Lumpur, PAS dan BERSIH yang menganjurkan majlis itu yang mengadakan sidang akhbar khas esok bagi menjelaskan apa yang berlaku.

Friday, September 7, 2007

Dua wanita disebut bakal calon PAS di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 Sept: Seorang doktor sakit puan wanita, Dr Wan Saleha binti Datuk Wan Ishak disebut-sebut bakal menjadi salah seorang calon wanita PAS di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang ini.

Selain beliau, seorang lagi aktivis disebut tetapi belum dapat disahkan lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ketika berucap di Ijtima' PAS Terengganu baru-baru ini mencadangkan agar Terengganu meletakkan calon wanita dalam pilihan raya akan datang.


“Saya mencadangkan supaya PAS di Terengganu meletakkan calon wanita dalam pilihan raya akan datang bagi mendapatkan undi muslimah dengan secukupnya bagi kita memenangi pilihan raya di Terengganu sebagai sebuah kerajaan yang baru bukan sebagai pembangkang,” katanya.


Dalam sejarahnya, calon wanita PAS, Khatijah Sidek pernah bertanding dan menang atas tiket PAS untuk Parlimen Dungun.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali ketika diwawancara oleh akhbar rasmi parti itu Harakah berkata, setelah diperincikan oleh beliau, lebih dari 50 peratus calon PAS di Terengganu akan datang adalah muka baru.

Sebelum ini, ketika diwawancara Siasah, Mustafa berkata, lebih 40 peratus adalah muka baru.

Setiausaha persatuan anak Terengganu di perantauan (Perantau), Shuhaimi Embong yang menyokong cadangan itu turut mencadangkan agar angka itu menjadi 60 peratus.

Kerajaan Terengganu tidak adil


Luar biasa tetapi itulah yang dilakukan oleh para pekerja Redang Beach Resort (RBR) menjelang sambutan 50 tahun kemerdekaan negara menjelang 31 Ogos lalu. Mereka menyalakan api lilin di atas pasir yang mereka korek membentuk perkataan TIDAK ADIL yang ditujukan khas kepada kerajaan negeri Terengganu khasnya Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) yang merobohkan sebuah bangunan 35 bilik RBR pada 15 Ogos lalu.

Laporan penuh dalam Siasah versi cetak yang ada di pasaran Ahad ini.

Jangan dekati Sinar Harian - Nik Aziz


KOTA BHARU, 7 Sept: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengarahkan ahli dan para penyokong PAS agar jangan lagi mendekati akhbar Sinar Harian.


"Akhbar itu sudah menunjukkan sikap berpihak agak keterlaluan, maka saya dengan ini mengisytiharkan supaya setiap daripada kita mengelakkan daripada mendekatinya,” katanya pada satu program di sini.


Menurutnya, akhbar itu sengaja hendak menimbulkan suasana ketidaktentuan rakyat kepada kerajaan Kelantan sekarang.


Mengulas perkembangan itu, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, menjadi satu kewajaran sekiranya pemimpin PAS tidak lagi mendekati akhbar tersebut memandangkan cara pemberitaannya sudah berat sebelah.


Menjelang pilihan raya umum lalu, akhbar-akhbar harian juga memuatkan iklan tajaan Umno, namun ia dilakukan pada musim kempen pilihan raya sahaja.


Bagaimanapun Sinar Harian telah memulakan lebih awal episod menjadi alat kepada sebuah parti politik.


Malah, editor kanannya pernah memberitahu seorang pemimpin PAS, akhbar itu tidak dapat dijamin tahap biasnya kepada parti politik tertentu pada kempen pilihan raya umum nanti.


Biar pun usia masih setahun jagung, namun kewujudannya kini seperti menjadi perkakas kepada parti politik tertentu. Bermula 1 Julai lalu, saban hari akhbar Sinar Harian menjadi alat kempen Umno Kelantan.


Pada awalnya hanya dua halaman disediakan untuk pasukan wartawan tajaan Umno. Kemudian pada Ogos lalu bertambah helaian kepada empat.


Sehingga ke hari ini akhbar itu membiarkan dirinya diperalatkan. Difahamkan tajaan Umno itu dibayar kira-kira RM1 juta.

Nasharudin di seminar Pembangunan Kebangsaan


KUALA LUMPUR, 7 Sept: Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam Seminar Pembangunan Kebangsaan mendapat perhatian pelbagai pihak yang terlibat dalam seminar elit yang mengumpulkan tokoh dari pelbagai kalangan itu.


Khazanah Nasional baru-baru ini menganjurkan Seminar Pembangunan Khazanah Nasional (Khazanah National Development Seminra) yang merupakan sebahagian dari Siri-siri Khazanah Merdeka iaitu program seminar sempena Ulangtahun Kemerdekaan Negara.


Matlamat seminar ini adalah untuk menggabungkan khazanah pemikiran dan pengalaman pemimpin-pemimpin segenap lapisan bagi menyumbang ke arah melakarkan halatuju Malaysia di masadepan.


Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa turut dijemput untuk mengambil bahagian dalam seminar sehari yang diadakan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur itu.


Sebanyak 4 sessi perbincangan telah diadakan menyentuh isu pembangunan ekonomi, modal insan dan pembangunan antarabangsa di samping ucap utama perasmian oleh Menteri Kewangan II Tan Sri Dato Nor Mohamaed Yakcop, ucapan khas tengahari oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan ucapan penutup dan penggulungan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Kehadiran Ustaz Nasharuddin, satu-satunya pemimpin dari parti pembangkang ke majlis tersebut atas undangan pihak penganjur telah menarik perhatian para peserta dan hadirin yang rata-rata terdiri dari pimpinan negara, tokoh-tokoh akademik, ekonomi, sosial dan wakil-wakil jemputan antarabangsa.


Malahan nama Timbalan Presiden PAS itu telah disebut oleh bekas TPM Tun Musa Hitam semasa menyampaikan ucapannya dalam sessi tengahari bilamana Tun Musa menyebut bahawa kehadiran Ustaz Nasharudin sungguh beliau kagumi sehingga mendorong beliau untuk mengiktirafnya di dalam ucapannya itu.


Timbalan Presiden PAS itu juga di samping hadir turut mengambil bahagian dengan mengemukakan soalan dan pandangan ketika sessi soal jawab khasnya semasa bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar membentangkan kertasnya serta semasa sessi penutupan oleh Najib Razak.


Najib semasa memberikan respon terhadap soalan Ustaz Nasharudin yang bertanyakan apakah maksud beliau (semasa ucapannya) yang Malaysia dalam 50 tahun mendatang ini akan menjadi sebuah negara yang sejahtera dan menarik, menyebut bahawa pembangunan negara akan bertepatan dengan fasa-fasanya dan lantas akan memerlukan sebuah institusi Parlimen yang baik dan efektif.


"Dan ianya mestilah terdiri dari ahli-ahli yang baik samada dari parti kerajaan mahupun pembangkang," kata Najib menjawab soalan itu.


Semasa mengambil bahagian dalam sessi yang lebih awal Ustaz Nasharudin telah menegaskan bahwa beliau bersetuju dengan pandangan ahli Parlimen Kota Bharu, Dato Zaid Ibrahim (salah seorang pengulas jemputan) yang budaya politik dan sosial di Malaysia perlu menjalani perubahan.


Malahan kata Ustaz Nashaurdin, PAS sendiri telah dan akan menjalankan tanggungjawab menegur dan membangkang atas hasrat membawa kebaikkan kepada rakyat dan negara.


Tambah Ustaz Nasharudin, PAS sedia menyumbang ke arah pembangunan negara dalam apa bentuk sekalipun dan berterima kasih kepada Khazanah kerana sudi mengundang beliau bagi melahir dan menyuarkan sikap dan pendirian PAS dalam isu-isu pembangunan negara bagi manfaat semua.


PAS, katanya, mengalu-alukan sebarang jemputan yang sama di masa akan datang bagi membuktikan keterbukaannya khususnya dalam mempertahankan kemerdekaan negara ini.

Tuesday, September 4, 2007

Husam serahkan doa-doa untuk keluarga Nurin


KUALA LUMPUR, 4 Sept: Ketika lain-lain pihak datang dengan bantuan kewangan, nasihat dan simpati, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengunjungi keluarga kanak-kanak yang hilang, Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun, dengan doa-doa untuk diamalkan oleh keluarganya.

Husam menyerahkan doa-doa itu serta sumbangan peribadi kepada bapa Nurin, En Jazimin ketika mengunjungi keluarga malang itu di Wangsa Maju semalam, 3 September.

Adik Nurin hilang dua minggu lalu dalam perjalanannya ke pasar malam yang terletak berhampiran dengan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Dalam pertemuan itu, Husam melahirkan rasa simpati beliau dan PAS kepada ibubapa Nurin.

Encik Jazimin, 32, seorang pemandu teksi mengucapkan terima kasih kepada Husam atas kunjungan dan doa-doa yang diberikan kepada beliau untuk diamalkan bagi memohon agar Allah mengembalikan Nurin.
gambar atas:
Husam menunjukkan cara-cara membaca doa-doa yang diberikan beliau kepada Jazimin bagi membantu mendapatkan semula Nurin.

Nilai prestasi Menteri Luar


KUALA LUMPUR, 4 Sept: Perdana Menteri diminta kembali prestasi Menteri Luar, Datuk Seri Hamid Albar ekoran kegagalan beliau menangani insiden empat pegawai polis Malaysia memukul jurulatih Karate dari Indonesia dengan baik.

Dalam masa yang sama, Anggota Parlimen PAS dari Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun (gambar) memuji sikap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang secara peribadi membuat permohonan maaf beliau selaku ketua kepada para pegawai polis yang bertindak tidak wajar itu.

Sehubungan itu juga beliau mencadangkan Parlimen Malaysia mengambil satu tindakan yang sewajarnya bagi mempastikan insiden yang berlaku itu tidak mengganggu hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

Fatah berkata demikian dalam kenyataan akhbar yang dihantar kepada Siasah baru-baru ini.

“Kami memuji sikap Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Musa Hassan kerana beliau memberi perhatian peribadi dan telah segera melakukan apa yang wajar mengikut prosedur kepolisian Malaysia.

“Kami berharap Kes yang merupakan satu kejadian terhadap tetamu Negara diberikan pengadilan yang secukupnya supaya ia tidak berulang lagi,” kata Fatah

Doa untuk kesejahteraan Tun Dr Mahathir


KUALA LUMPUR, 4 Sept: Pelbagai pihak memanjatkan doa mereka agar Tun Dr Mahathir selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) yang bermula jam 9.30 pagi tadi.

Pakar pembedahan jantung, Dr Yahya Awang melakukan pembedahan itu dengan dibantu oleh Dr Hartzell Schaff, Ketua Pakar Bedah Jantung dari Mayo Clinic Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Dr Mahathir, 81, pernah menjalani pembedahan yang sama pada 24 Januari 1989 di Hospital Besar Kuala Lumpur selepas diserang sakit jantung.
Dr Mahathir dimasukkan ke bilik pembedahan kira-kira jam 9 pagi dan dijangka selesai selepas empat ke enam jam dari waktu itu.

Kami di Siasah juga mendoakan agar Tun selamat dan terus aktif dalam membantu membina negara Malaysia.

Abdul Hadi dengan gaya tersendiri dalam program 'Jom Ngail....'


Kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada program 'Jom Ngail Bersama Ayah Chik' di Pantai Geliga, Kemaman memeriahkan suasana yang bermula jam 3.30 petang.


Abdul Hadi yang menggemari aktiviti pantai dan laut termasuk memancing tidak melepaskan peluang untuk mengail bersama kira-kira 150 peserta pada program anjuran PAS Majlis Tindakan DUN (MTD) Chukai itu.


Gambar:

Abdul Hadi sibuk memasang umpan pada mata pancingnya dalam pertandingan mengail.

Sokong PAS letak muka baru di Terengganu


KUALA LUMPUR, 4 Sept: Kenyataan bahawa PAS akan meletakkan tidak kurang dari 40 peratus muka baru sebagai calon parti itu di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang di sambut baik oleh pelbagai pihbak.

Bahkan, bagi Setiausaha kelab anak Terengganu di perantauan (Perantau), Shuhaimi Embong, tidak cukup sekadar 40 peratus sahaja dan beliau mencadangkan menjangkau hingga 60 peratus muka baru.

"Muka baru ini tidak semestinya muda tetapi mereka yang tidak cacat dari segi politiknya," kata beliau kepada Siasah.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali mengumumkan, PAS akan meletakkan tidak kurang dari 40 peratus muka baru sebagai calon parti itu di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan raya PAS berkata, calon-calon ini pula akan terdiri dari orang-orang yang lebih muda dari calon-calon parti itu sebelum ini.

Mustafa yang mula menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu mulai tahun lepas berkata demikian dalam wawancara khas dengan akhbar Siasah keluaran lepas.

Sementara itu, seorang pemerhati politik berpendapat, langkah itu amat baik untuk memperbetulkan persepsi PAS Terengganu mempunyai pemimpin yang sama sejak sekian lama.

Beliau yakin, jika muka-muka baru ini mempunyai nama yang baik, cita-cita PAS untuk menawan Terengganu kembali akan menjadi kenyataan.

Beliau yang merupakan bekas pegawai tinggi kerajaan berkata, antara persepsi tidak baik di Terengganu sekarang adalah pemimpin yang ada sudah terlalu lama memimpin PAS di Terengganu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...